Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 005 : Rahsia terbongkar

5

Kampung Permai, Tanjong Malim

Jam 1125

Beria-ia kedua-dua beranak itu gelak, memecah kesunyian kampung menjelang tengah hari itu. Makanan yang sedia terhidang sudah pun tidak dihiraukan. Jefry menekan perutnya sebab sakit terlebih banyak gelak. Faridah pula mengesat air mata dengan hujung lengan baju kerana terlebih ketawa.

“Mak memang pandai buat lawak. Kalah Maharaja Lawak Mega.” Jefry masih belum reda tawanya sekalipun dia mencuba untuk berhenti.

“Mak bukan apa, imaginasi aje terlebih. Risau...”

“Apa yang mak risaukan? Jef bukannya anak dara. Teruna trang tang tang macam Jef ni, makin berusia semakin berharga mak! Nak risau apanya?” ujar Jefry dengan yakin.

“Bukan apa... mak berkenan sangat dengan anak dara kampung sebelah. Mak jumpa masa dia datang ziarahMak Pah kau kat kedai dengan maknya. Memang berkenan sangat mak dengan budak tu.” Faridah mula melancarkan agenda walimahnya menyebabkan tawa Jefry terus mati.

“Apa, mak? Mak berkenan dengan anak dara kampung sebelah? Sebelah mana pulak ni, mak?” Jefry menunjukkan rasa tidak senang hatinya. Ini memang sudah terlebih mengarut. Emak tak pernah bagi cadangan ala-ala bau nasi minyak sebelum ini. Dia sudah dapat menghidu bau bahaya di hadapannya.

“Kampung sebelah... Kampung Ketoyong. Eh? Tadi kata, nak tunaikan apa saja kalau mak berhenti kerja. Belum apa-apa dah ada unsur-unsur berbaur reject aje.” Faridah memerli.

“Jef pernah jumpa ke orang tu, mak?” Suara Jefry sudah mengendur, beriak bimbang. Ada ke budak kampung sebelah yang menepati selera lelakinya? Hmm... emak ni tak tahu ke cita rasa anak bujangnya tinggi?

Ya. Emak tak tahu, selama dia bekerja, dia dikelilingi perempuan-perempuan cantik. Sedikit pun hatinya tak terjentik. Hendak yang kulit putih, kulit hitam, sawo matang? Petik jari, ordersaja. Pasti dia boleh mendapatkannya. Ini pula nak dibandingkan dengan perempuan kampung seberang... apa barang? Jefry mengomel sendiri di dalam hati. Dia tidak berani menyuarakan kepada ibunya, bimbang kena sembur boleh pekak nanti.

“Apa pulak Jef tak kenal? Pernah duduk kat sebelah rumah arwah opah dulu. Masa kecil memang kau orang berkawan. Jumpalah dulu dengan budaknya. Lepas tu, barulah komen. Ini jumpa pun belum, macam mana nak feeling-feling?” Faridah sudah mula mengemaskan hidangan di atas pangkin. Topik yang dibawa tadi rupa-rupanya telah membantutkan selera makan Jefry.

“Mak... tak ada permintaan lain ke?” rayu Jefry. Pandangan matanya diredupkan mohon simpati.

Nada!” Geleng Faridah cepat-cepat.

“Mak ni mesti dah terlebih tengok telenovela.” Jefry buat rumusan berdasarkan jawapan yang baru diberikan.

“Telenovela ke... drama swasta ke... slot Akasia... Aurora... ada mak kisah? Tak kira! Janji ditepati bukan dicapati! Sebelum fly nanti, mak nak laporan lengkap. Jef mesti dah jumpa dengan dia.” Tegas kali ini arahan Faridah.

“Mak dah siasat ke, entah-entah dia dah ada boyfriend? Tak ke niaya buatkan pasangan dua sejoli berpisah? Tak baik kita runtuhkan masjid orang mak.” Kendur suara Jefry. Dia tahu melawan tidak akan memberi dia kemenangan.

“Dah... dah... tak payah nak ajar mak. Mak dah kawtimbaik punya dengan mak dia. Mak dia kata, anaknya baru grad, memang ‘kompem’ tak ada boyfriend. Budaknya pun mak tengok baik. Sekarang tengah cari kerja. Ada kat KL. Mak dah ambil alamat dan nombor telefon dia. Jef dah tak ada alasan nak mengelak... semuanya mak dah uruskan.” Beria-ia Faridah cuba meyakinkan Jefry yang gadis disukai itu semudah memetik jari untuk dihubungi. Bunyinya macam yakin sangat, si gadis akan menerima anak terunanya sebagai calon suami.

“Mak bagitahu Jef kerja apa?” Jefry memandang tepat kepada ibunya, masih dalam nada diplomasi.

“Import eksport...”

“Hmm... mak dia tahu ke yang anaknya nanti akan selalu kena tinggal?” Jefry cuba provokasi.

“Tahu...”

“Apa kata bakal mak mertua Jef tu?”

“Dia lagi suka...”

“Aik? Pelik? Mana ada orang yang suka anaknya selalu kena tinggal mak?” Jefry menghidu konspirasi.

“Yalah... kalau Jef jadi kahwin dengan anak dia, tentu Jef akan benarkan dia tinggal dengan mak kat sini. Anak dia bebas nak balik bila-bila jenguk mak dia. Kan bagus tu? Anak perempuan dah kahwin pun dapat tinggal dengan ibu sendiri.” Faridah memberikan teori.

“Hmm... jadi sekarang ni, Jef kahwin supaya bagi mak teman serumahlah... bukan nak bagi Jef teman serumah?” Jefry memetik jari.

Faridah gelak-gelak sendiri. “Tadi kan dah janji nak bagi mak duduk rumah dan berhenti kerja?” Ayat yang sama diulang-ulangnya untuk memberi tekanan psikologi kepada anaknya itu.

“Tapi, mak belum tahu masalah sebenar Jef terpaksa menolak cadangan ni.” Jefry berwajah serius sekali. Dia berdiri menghadap ibunya. Nampak wajahnya sarat dengan rasa yang sukar untuk diluahkan. Huh! Serangan psikologi mak, senang aje dia nak tepis-tepis masuk ke longkang.

“Jef sebenarnya takut...”

“Takut apa?” Faridah terus memotong kata-kata yang mahu diluahkan oleh anaknya itu.

“Jef takut...”

“Jef takut... Jef takut... takut apa?” Faridah sudah tidak sabar menunggu. Seksa benar dia menantikan jawapan.

“Jef takut... Jef jadi macam arwah ayah.” Jefry memejamkan mata. Dia tidak punya kekuatan untuk memandang wajah kecewa emak di hadapannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.