Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 004 : Merisik khabar

004

Kampung Permai, Tanjong Malim

Jam 1105

Sudah sepuluh kali Jefry mengalih pasu bunga milik emaknya. Ada saja yang tak kena di matanya. Alih sini, tak cantik. Alih sana, tak kena tema. Alih kiri, pokok jadi meninggi. Alih kanan, dah jadi macam-macam! Adoi! Inilah kalau memberikan kerja kepada yang bukan ahlinya. Tapi nak membebelpun tak guna, sebab memang gerenti kalah punya.

Jefry melihat jam di tangan. Jam baru menginjak 3 minit tapi dia rasa macam 3 jam lagi baru emaknya akan pulang. Dia membasuh tangan di pili kemudian masuk ke rumah mengambil kunci kereta. Dia baru bercadang hendak menjenguk emaknya di baruh. Sudah bosan tahap petala langit ke tujuh! Baik dia duduk bersembang di warung Mak Jah daripada sakit hati melihat hasil kerja tak menjadi.

" Jefry Ahmad Deraman! Kamu nak ke mana pulak tu? Baru minta tolong alih pasu, muka dah macam bunga pukul lapan masuk tenghari?"

Jefry berpaling ke arah suara yang memetir. Hairan. Bagaimana emaknya boleh pulang sebegitu awal? Bukankah sepatutnya emaknya akan bekerja lebih masa sebab Mak Jah baru dapat tempahan katering kenduri kahwin?

Semalam emaknya yang beria-ia memberitahu ada overtime. Sekarang dah menjengul di muka pintu? Emakpun dah belajar ilmu 'muncul tiba-tiba' tanpa diduga? Jefry memegang dagu, menganalisis dengan curiga.

"Dah siap ke susun pasu bunga yang mak suruh tu?" Belumpun analisisnya menjadi analitikal, emaknya seperti biasa dah potong line.

"Jef tak pandailah mak, bab alih-alih pasu ni, bukan kepakaran Jef." Jefry cuba memenangkan diri.

"Abis? Apa kepakaran kau Jef? Alih perempuan?" Laju Faridah Hanum memotong cakap anak tunggalnya itu.

Dengar khabar anaknya ramai makwe keliling pinggang tapi yang hairannya sampai sekarang sorang pun tak pernah sangkut untuk dipinang. Umurnya dah makin menambah angka saban tahun. Agak-agakla kalau asyik nak kena makan nasi kenduri kat rumah orang. Itulah yang Faridah bengangkan.

Hendak dikata tak ada rupa, anaknya itu mewarisi kecantikan dia. Dia muda-muda dulu, bersepah orang lelaki nak berkenalan tapi entah kenapa si Ahmad Deraman juga yang akhirnya menjadi pilihan. Disebabkan banyak sangat pilihan, dah tersalah pilih, itulah hidupnya jadi macam ni. Mujur cepat jadi janda, kalau tak, memang hidupnya terseksa sampai ke tua.

"Mak ni... tak sudah-sudah nak sakitkan hati Jef. Kalau Jef tak balik, mak marah. Kalau balik, membebel tak sudah. Mak nak apa sebenarnya daripada Jef? Cuba mak cakap." Jefry cuba menahan intonasi suaranya daripada melepasi oktaf anak derhaka. Dia menyabarkan hatinya. Di depan ini, ibunya; umi yang melahirkan, emak yang membesarkan, di telapak kakinya syurga yang dijanjikan.

"Betul Jef nak bagi apa yang mak nak?" Berseri-seri wajah Faridah. Tet! Anak jantannya dah nak masuk perangkap! Yes! 'Mentol' di atas kepalanya terang menyala-nyala.

"Ya, Jef akan bagi apa saja yang mak nak, dengan syarat mak tak kerja lagi. Jef kalau boleh, balik kampung 3-4 bulan sekali nak tengok mak duduk rumah, masak untuk Jef, sembang-sembang dengan Jef. Apa lagi mak nak? Duit rasanya dah berkepuk dalam bank. Rumah pun rumah batu..." Jefry menyatakan ketidakpuasan hatinya. Lama dah dia pendam. Lagi lama, rasanya hatinya semakin membahang.

"Betul ni? Jef nak mak duduk rumah? Tak kerja kat kedai Mak Jah?" Faridah bertanya sekadar untuk mengesahkan padahal telinganya bukanlah pekakpun lagi.

"Betul la mak. Jef suka kalau mak duduk rumah. Orang mengata Jef bawak kereta besar, mak rumahpun rumah besar tapi ambik upah masak kat kedai orang. Duit banyak-banyakpun bukan boleh bawa ke mana. Kita berdua ajepun mak." Jefry memberi justifikasi cadangannya.

"Mak bukan apa Jef, mak kerja sebab mak bosan duduk kat rumah sorang-sorang. Kat kedai Mak Jah tu mak bersembang ajepun. Kerja sikit-sikit aje. Mak Jah kamu tu kan best friend mak dari dulu?" Faridah tersengih-sengih. Alasan basi yang selalu dia bagi bila Jefry membangkitkan hal itu.

"Ye, Jef faham mak sunyi..." Jefry sudah memegang tangan emaknya erat. Dia membawanya ke bibir lalu mengucupnya lembut. Tangan itulah yang selalu menyuapkannya nasi, yang selalu memandikannya, yang selalu memenangkannya bila berdepan kemarahan arwah ayahnya. Besar jasa tangan yang sedang diraihnya ke pipi itu.

"Jef janji dengan mak, kalau mak berhenti kerja, Jef ikut apa saja yang mak nak." Jefry mengangkat tangan kanannya separas bahu mengukir janji.

"Okey, kejap lagi mak bagitahu apa mak nak. Sekarang Jef ambil pinggan dulu. Mak dah masakkan lauk kegemaran Jef kat kedai Mak Jah kau tadi." Suara Faridah semakin mengendur. Dengan anak bertuah yang seorang itu, hatinya cepat panas, tapi cepat juga jadi sejuk. Jefry memang pandai kalau bab-bab menyejukkan hatinya yang cepat panas.

"Mak! Kita makan tepi pangkin kat tepi pokok pelam macam selalu ye?" Jefry sudah menyarung selipar. Di sebelah tangannya ada dua pinggan dan sudu sementara yang sebelah lagi sudah memegang mangkuk tingkat berisi lauk-pauk.

"Yelah... Jef dah tebas semak kat tepi pangkin tu ye?" tanya Faridah sambil turut menonong ke pangkin di bawah pokok mempelam di depan rumahnya.

Port kegemaran mereka dua beranak menghabiskan masa kalau Jefry pulang, 3-4 bulan sekali. Itupun sudah dikira cepat. Kadang-kadang 6 bulan baru Jefry jenguk muka. Siapalah tak sunyi dengan rumah banglo besar tapi hanya duduk sendiri?

"Bukan setakat tebas semak kat pangkin tu mak, kat kebun durian tu pun Jef dah 'selamatkan'. Harap-harapnya dapatlah bertahan sampai musim durian sebulan dua lagi. Kalau semak dah naik, mak upahlah orang ye. Jef tak tahu kali ni Jef pergi berapa lama..." Sayu Jefry berkata. Kalau dia ada pilihan, dia memang tak akan tinggalkan emak kesayangannya sendirian. Ada masa, dia jadi rindu sangat-sangat mendengar bebelan emak. Kadang-kadang bebelan itu menjadi sangat indah dalam mimpi malamnya... Namun atas tuntutan kerjaya... semua itu harus dia korbankan.

"Mak tak minta Jef cari kerja lain sebab mak tahu, Jef sukakan kerja ni." Faridah menyudukan kuah tempoyak ikan rebus ke dalam pinggan Jefry. Mukadimahnya disusun rapi agar apa yang cuba disampaikan mencapai tujuan. Dia tahu, kali ini dia tak boleh berlengah lagi. Lepas ni entah-entah 6 bulan baru dapat nak berjumpa Jefry.

"Sedapnya mak masak! Mabeles! Kalau hari-hari dapat makan masakan mak, mau bulat Jef mak!" Komen Jefry tatkala nasi dan gulai yang bergaul mesra itu masuk ke mulutnya. Memang inilah masakan kegemarannya sejak azali lagi. Walau jenuh telan macam-macam masakan di serata dunia, air tangan mak juga yang terhebat dirasakannya.

"Rasa ni pulak!" Faridah sudah menyuapkan sambal tumis petai ikan bilis ke mulut Jefry. Jefry memang suka makan tapi ikan bilis aje, petainya diletak ke tepi. Kalau makan juga, nanti perutnya meragam. Pelik karenah Jefry tapi hanya ibunya yang paling arif tentangnya.

Setelah membiarkan Jefry menikmati makan tengaharinya yang terlebih awal pagi itu, Faridah teringatkan misi yang belum dilaksana tadi.

"Jef, kalau mak berhenti kerja, mak nak minta satu perkara, boleh Jef?" Pertanyaan Faridah hanya dibalas dengan anggukan yang cepat. Mulut Jefry memang sudah penuh. Dia memang sedang menikmati air tangan ibunya bersungguh-sungguh.

"Mak sebenanrya teringin nak bermenantu!"

Sebaik habis Faridah meluahkan hasratnya, tersembur makanan dari dalam mulut Jefry. Tersedak. Kelam kabut dia mencari air.

"Isy! Tak senonoh betul! Habis baju mak!" Faridah mengibas-ngibas bajunya yang sudah penuh dengan nasi.

"Minta menantu aje pun, bukannya minta berlian. Jef bagi mak menantu, mak duduk rumah diam-diam!" Kali ini Faridah pula mengangkat tangan separa bahu, konon-konon berjanji macam Jefry tadi.

"Mak! Agak-agakla nak minta pun! Kalau mak minta berlian, Jef tak tersedak semacam." Jefry meneguk air lagi. Beberapa kali dia berdehem membetulkan kerongkongnya yang pedih.

"Apasal? Tak de calon? Duit banyak nak buat apa kalau tak bagi anak bini? Ke tak minat dengan perempuan?" Dia memandang anaknya bagaikan mesin pengimbas membuat pemeriksaan. Anak lelakinya yang bertubuh sasa dan berwajah segak takkanlah tak ada perempuan berkenan. Melainkanlah anaknya sendiri tak berminat pada perempuan.

Mulut laser Faridah menembak Jefry sampai bulat mata Jefry dek tak percaya emaknya sanggup bertanya sampai ke situ.

"Mak ni! Ada pulak ke situ. Jef ni lelaki tulen la... Ada perasaan pada perempuan. Tapi..." Jefry memberhentikan kata-katanya. Dia bimbang akan terlepas cakap yang bakal menyebabkan ibunya berkecil hati.

"Tapi apa? Penakut dengan perempuan? Isy! Mak dengar cerita Jef dari sekolah dulu ramai girlfriend. Takkan bila dah kerja terus pencen? Mak tak percayala kamu dah tua bangka macam ni tak ada kawan perempuan."

Faridah menyatakan pendapatnya. Keturunan ratu kebaya macam dia tak ada orang yang suka? Sangatlah mustahil. Buta ke apa perempuan sekarang?

"Mak! Ni bukan masalah tak ada kawan perempuan. Setakat kawan, bersepahla mak. Masalahnya, Jef ni. Jef sebenarnya... hmm..." Berat betul Jefry hendak meluahkan rasa hatinya.

"Kau buat mak suspen aje Jef. Kau jangan cakap yang bukan-bukan. Mak risau ni. Takkanlah..." Faridah sudah semakin cuak. Wajahnya memang sarat dengan bimbang.

"Takkanlah apa mak?" Kali ni Jefry pula yang berdebar menantikan kata-kata daripada mulut maknya.

"Takkanlah Jef... Jef... "

"Takkanlah apa mak?"

"Takkanlah Jef... ada masalah lelaki?"

"Mak!"

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.