Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 010 : Jumpa pun belum camne nak feeling-feeling?

010

Kampung Permai, Tanjong Malim

Jam 10.45 pagi

Jefry masih termenung di tingkap. Balik ke kampung tiga, empat bulan sekali tetapi dia selalu sunyi. Anak tunggal. Emak pulak sibuk dengan kerjaya sebagai tukang masak di kedai Mak Pah. Minggu pertama dan kedua bolehlah emak manjakannya, cuti kerja. Kalau dah masuk sebulan, mahu Mak Pah datang bakar rumah kerana tukang masak tak datang memasak. Alamat tak berasaplah dapur Mak Pah pula.

Jefry melepaskan nafas. Ingatan perbualannya dengan emak beberapa hari yang lepas datang tidak perlu disuruh-suruh. Dia menyeluk kocek seluarnya. Memegang telefon bimbit, kemudian menukarkan kad sim. Begitulah rutin bagi sesetengah orang yang agak menyusahkan tetapi dia sudah alah. Tuntutan pekerjaannya membuatkan dia harus berhati-hati merahsiakan identiti.

“Telenovela ke... drama swasta ke... slot Akasia... Aurora... ada mak kisah? Tak kira! Janji ditepati bukan dicapati! Sebelum fly nanti, mak nak laporan lengkap. Jef mesti dah jumpa dengan dia.”

Suara petir emaknya melintas di kepala. Jefry memejamkan mata. Perlukah dia beralah dengan emaknya kali ini?

“Jumpalah dulu dengan budaknya. Lepas tu, barulah komen. Ini jumpa pun belum, macam mana nak feeling-feeling?”

Kepalanya tidak berhenti-henti memikirkan kata-kata emaknya. Dia menekan telefon pintar jenama Apple di tangan kanannya. Nombor telefon seseorang sedang dicarinya. MARYAM EISYA. Kemudian menunggu. Tekan atau tidak?

Dia melepaskan nafas lagi. Kenapa apabila hendak berhadapan dengan perempuan yang seorang ini, hatinya berbelah bahagi?

“Jef janji dengan mak, kalau mak berhenti kerja, Jef ikut apa saja yang mak nak.”

Jefry macam nampak tayangan semula dia mengangkat tangan kanannya separas bahu di depan emak untuk mengukir janji.

“Adoi! Padanlah dengan muka aku! Ni janji dengan mak tau, bukan dengan mana-mana perempuan!” Dia marah kepada diri sendiri. Rasa pentingkan diri VS utamakan emak berlawan-lawan di dalam diri.

Dia memandang telefon bimbitnya lagi. Mencari nombor telefon MARYAM EISYA. Hanya nama itu lekat di kepalanya. Pada bila-bila masa dia bersedia untuk menekan nombor telefon gadis yang emak idamkan menjadi menantunya.

The Body Secret, The Mines Shopping Mall

Jam 10.45 pagi

Tepat jam 10.45 pagi, Jamailia masuk ke dalam premis pusat rawatan kecantikan dan pelangsingan itu dengan wajah yang gelisah. Alasannya sakit perut yang teramat dan meminta untuk ke tandas pada kadar segera, dilayan dengan kelam-kabut oleh pekerja pusat itu. Memang lakonan mantap sampai pekerja itu langsung tidak banyak soal, terus membawanya ke belakang.

Di dalam tandas, Jem menunggu kira-kira seminit sebelum dia keluar dan memulakan misinya mencari kelibat Maryam Eisya. Terjengket-jengket sambil terhendap-hendap di koridor. Dia masuk ke dalam bilik stor yang menempatkan banyak pakaian ala-ala kimono, shower cap, pakaian dalam segera dan berjenis-jenis stok ubatan untuk rawatan.

Sampai di laci sebelah hujung sekali, dia jumpa dengan pakaian pekerja. Dia mengambil sepasang lalu masuk ke bilik persalinan. Pergerakannya sangat pantas kerana dia memang ejen yang terlatih. Kerja mudah seperti itu boleh dibuat sambil makan bertih jagung.

“Jumpa ke?” Tiba-tiba pertanyaan pada alat perhubungan di telinganya membuatkan dia tersedar yang dia punya seorang lagi rakan sejawat di luar sana.

“Negatif, baru tukar baju.”

“Pastikan tak siapa perasan.”

“Ya, aku tahu.”

Jem mengintai di balik celah pintu apabila terdengar suara orang sedang berbual-bual. Dua orang pekerja sedang membawa sebakul raga kecil yang membawa peralatan rawatan menuju ke bilik rawatan. Sebaik bayang mereka menghilang, dia keluar dan berlagak seperti salah seorang pekerja di situ.

Dia kembali ke bilik belakang. Ada kelibat orang di situ. Dia mengintai. Di dalam bilik persalinan itu, seorang gadis sedang membelek wajahnya di cermin. Dia menganalisis wajah gadis itu. Sah! Padanan wajah si gadis dengan gambaran yang telah ditunjukkan kepadanya hampir sama.

Pastilah yang membezakan, gambar yang ditunjukkan kepadanya gadis itu bertudung tetapi yang di hadapannya tidak bertudung. Dia mengintai lagi untuk melihat pipi yang bagaikan telur dikupas itu. Hmm... jauh sangat pula.

Dia kembali ke dalam stor. Meregangkan pintu supaya dia dapat melihat pergerakan gadis itu.

“Aset ditemui.” Ringkas laporannya kali ini.

“Selamat maju jaya.”

Kata-kata lelaki di hujung sana menyebabkan Jem tersenyum. Garang-garang pun tak lupa bagi motivasi. ‘Bagus, bos!’ Sempat lagi dia memuji di dalam hati.

“Tak masuk lagi?”

Tiba-tiba suara seorang wanita kedengaran. Tentulah pekerja Indonesia berdasarkan slanganya. Jem mengintai, kelihatan seorang wanita tidak memakai uniform pekerja, sedang menatang tuala untuk dibawa ke bilik stor.

‘Pekerja pencuci.’ Jem membuat analisis. Telinganya menangkap perbualan lagi.

“Ni nak masuklah. Nanti kakak ambil pakaian kotor di bilik persalinan dua ya? Tadi Miss Lily pesan.” Kata-kata daripada gadis itu nampaknya mengesahkan analisis awalnya tadi.

“Ya, sebentar. Saya hantar tuala dulu ke stor.”

Mendengarkan itu, Jem menegakkan badannya. Dia tahu pada bila-bila masa, pekerja pencuci itu akan masuk ke dalam bilik dia berada. Otaknya ligat untuk berfikir ke mana dia mahu menghilangkan diri.

Dia memandang ke sekeliling, mencari ruang untuk menyorok. Tiada. Cepat pula dia memandang ke siling. Dia boleh memanjat tetapi tidak punya masa.

Tidak sampai beberapa saat, pekerja itu menolak pintu. Mujurlah akhirnya dia sempat menyorok di belakang pintu. Sebaik pekerja itu keluar dari stor, Jem mengurut dada. Dia menghembuskan nafas lega. Hampir-hampir dia terkantoi tadi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.