Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 013 : Rahasia Jefry

013

Kampung Permai, Tanjong Malim

Jam 2017

Faridah memandang anak lelakinya nan seorang itu mengemas pakaian. Sayu juga kerana ini malam terakhir Jefry akan tidur di rumah itu. Silap-silap enam bulan pula baru anak teruna itu kembali menjenguknya. Dia sudah lali ditinggalkan, tetapi dia mahukan kehidupan seperti itu dihentikan. Perlahan-lahan dia mahu memberi Jefry sesuatu yang dinamakan ‘kehidupan’ yang sebenar.

“Sekarang Jef nak buat macam mana?” Dia bertanya kepada Jefry tentang hal pertemuannya dengan bakal besan tidak jadinya siang tadi.

“Nak buat macam mana, macam mana? Macam nilah...” Acuh tak acuh Jefry menjawab. Kepalanya berserabut. Sangkanya tugasnya mudah saja tadi. Bukannya susah pun sebenarnya. Dia yang gagal dalam misi hati. Kalau misi di lapangan boleh pula dia jadi hero sejati.

Tadi tidak ada pun aksi tembak-menembak. Aksi menyoal saksi yang kena menggunakan kekerasan pun tidak ada. Tapi yang jelas dia gagal dalam perang psikologi sendiri. Aduh! Memang berat betul kalau hal-hal bab hati ni. Tambah-tambah hati bakal emak mertua seperti Marsita tadi.

Keprihatinannya... kelembutannya... aduhai! Kalau bakal emak mertua dah terbaik begitu, anaknya tentulah stok yang jenis sukar dilepaskan. Dia tahu, kalau dia terlepas peluang, tak akan datang lagi tawaran lumayan! Bak kata orang putih, opportunity just knock the door only once.

“Gaya bercakap tu macam orang putus asa aje...” Faridah sudah duduk di katil. Dia mencapai beberapa helai pakaian yang berselerak di katil. Dilipatnya satu per satu sambil menunggu anak bujangnya membuka mulut untuk berkata-kata.

Sambil itu matanya memerhatikan Jefry bekerja. Kalau ditengok daripada kerja Jefry melipat baju, anaknya memang tidak perlukan seorang isteri pun untuk tugas itu. Lipatan Jefry sangat kemas seperti baju yang dilipat di kaunter jualan di supermarket. Tapi tugas isteri bukanlah sekadar melipat dan menyediakan pakaian suami. Tugas isteri lebih mulia daripada itu yang hanya Jefry dapat rasa kalau dia bersetuju saja dengan cadangannya.

“Bukan putus asa, mak. Jef dah cakap pendirian Jef. Jef takut kecewakan anak orang, mak.” Jefry menyatakan pendirian yang sama seperti sebelum dia pergi menonong ke rumah ibu Eisya siang tadi. “Tapi bila mak cik Marsita beria-ia nak jodohkan Jef dengan anak daranya tu, macam tak manis pula Jef nak tolak macam tu aje. Betul tak, mak tindakan Jef?” sambungnya. Dia memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg lalu menutupnya. Dia memandang wajah emaknya sekilas. Serius.

“Baguslah kalau Jef boleh berfikir ke situ. Emak mana tak nak yang terbaik untuk anak-anaknya? Cubalah jumpa dulu dengan Eisya tu. Kalau dah jumpa tapi rasa tak serasi, emak-emak ni tak akan memaksa. Ate, kome juge yang nak memakenye!” Pekat piau slanga Perak Faridah membuatkan Jefry tergelak sama. Saat-saat serius boleh buat lawak pula.

Jefry menolak beg ke tepi mencari ruang untuk baring di riba emaknya tiba-tiba. Manja. Satu karekter Jefry yang tidak ditonjolkan kepada sesiapa, hatta kepada Zed, rakan setugasnya yang lama.

“Mak, kalau Jef dah cuba, tapi tak boleh juga, mak jangan paksa ya?” Pemuda itu berkata. Mata emaknya direnung. Dia memintal-mintal rambut emaknya yang mengurai di bahu.

“Jef, semua orang ada sejarah dan kisahnya sendiri. Mak faham apa yang Jef alami masa kecil dulu begitu menakutkan. Tapi Jef kan sudah dewasa? Sudah boleh berfikir dan mengawal diri. Sejarah ayah, dah lama berlalu. Kita kena hidup lari daripada bayangannya. Kalau selama ini kita boleh, kenapa esok tak boleh?” Panjang lebar pula kali ini Faridah memberi ceramah. Tak disangka, Jefry masih tidak dapat melupakan keganasan arwah suaminya. Agak-agaknya selama ini Jefry mengalami trauma sendiri. Dia mengelus-ngelus rambut Jefry. Kasihan... dia tidak sangka sama sekali, Jefry tidak dapat melupakan kenangan pahit itu.

“Tapi Jef ni keturunannya, mak. Darah yang mengalir kat dalam darah Jef ni darah yang sama,” tutur Jefry, sayu. Hanya dia yang tahu dirinya sendiri.

Setiap kali dia menembak di lapangan, yang ditembaknya adalah ‘ayah’. Setiap kali dia marah dan harus melampiaskan marahnya kepada penjenayah, yang dibelasah adalah ‘ayah’. Setiap kali dia menyeksa untuk mendapatkan maklumat, yang diseksanya adalah ‘ayah’. Oh! Dia takut kepada dirinya sendiri!

“Jef, mak tak boleh nak nafikan hakikat tu. Lagipun macam mana darah nak dibuang daripada badan kita ni? Tapi Jef boleh cuba. Jef dengan ayah orangnya tak sama. Namanya pun lain.” Faridah berhujah cuba lagi memberi motivasi.

“Memanglah Jef dengan ayah nama lain, mak. Kalau Jef dengan ayah nama sama, lain pula ceritanya.” Jefry menyangkal kata-kata ibunya. Dia serius, emaknya main-main pula.

“Tahu pun!”

“Memanglah tahu...”

“Habis... kenapa pulak Jef asyik nak samakan diri Jef dengan arwah ayah?” Faridah sedikit marah. Seumur hidupnya, dia cuba melupakan lelaki yang telah memusnahkan kebahagiaannya. Yang membuatkan dia menyesal sepanjang hayatnya adalah kerana dia berkahwin dengan arwah Ahmad Deraman! Rupa-rupanya seumur hidup juga, Jefry mahu melupakan arwah ayahnya. Sungguh ironi!

“Mak! Cuba mak tengok muka Jef ni! Selagi muka Jef ni sebiji macam muka arwah ayah. Macam mana Jef nak lupakan wajah ayah, mak?”

Pertanyaan Jefry membuatkan Faridah terkedu. Dia memandang tepat anak mata Jefry. Ternyata itulah alasan yang sama yang membuatkan dia dan Jefry sukar melupakan arwah Ahmad Deraman sepanjang hidupnya!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.