Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 009 : Banyakkan sabar Zed

009

Kawasan parkir L1A, The Mines Shopping Centre

Jam 1025

Zed mengetuk-ngetuk stereng kereta sambil matanya meliar melihat persekitaran parkir yang memang penuh dengan kereta. Hari Sabtu begini, mana-mana pusat membeli-belah di Malaysia ini memang selalu penuh. Orang Malaysia memang suka aktiviti membeli-belah pada hujung minggu. Yalah, masa inilah boleh membeli-belah, di samping beriadah bersama keluarga. Erk? Membeli-belah boleh dikira beriadah ke? Zed tergelak sendiri. Dia mana tahu pasal hal-hal keluarga kerana dia memang tidak ada keluarga. Dari kecil sudah jadi orang pelarian. Dah dibuang!

Sekonyong-konyong dia ternampak kelibat seorang gadis bertudung merah jambu berseluar jean dan memakai blaus senada dengan warna tudungnya di sebelah kirinya.

“Jam tiga, roger.” Dia memberi arahan melalui alat perhubungan.

Tidak sampai beberapa saat, gadis itu berpaling lalu bergerak ke arahnya. Dalam masa setengah minit, wanita itu sudah berada di dalam kereta, berada di sebelahnya.

So, what’s up?” Tersengih gadis itu bertanya kepada Zed yang kelihatan begitu tenang dengan spek mata hitamnya. Jamailia gagal membaca riak sebenar lelaki bernama Zed itu. Penuh rahsia. Misteri.

“Begini, rancangan aku...” Zed menarik cermin mata hitamnya lalu memandang ke arah gadis itu dengan sepenuh perhatiannya.

Jamailia tiba-tiba terpanar. Panahan mata yang begitu menawan itu membuatkan dadanya berkocak tiba-tiba. ‘Fokus, Jem! Fokus!’ Hatinya melawan perasaan aneh itu. ‘Come on.Takkan tertawan dengan rakan setugas sendiri?’ Hatinya melawan lagi.

“Eh! Kau dengar tak ni?” Zed bertanya kepada Jem yang kelihatan terganggu.

“Apa dia? Boleh ulang, bos? Betullah, ada nyamuk dalam kereta ni. Berapa hari tak basuh kereta ni, bos?” Jem sibuk mengibas-ngibas kedua-dua tangannya. Gigih. Cuba nak coverkantoi tadi.

“Ni bukan kereta akulah...” Zed menjawab. Dia sempat melemparkan senyuman kepada Jem. Dia tahu rakan setugasnya itu cuba berdalih. Macam dia jugalah tadi.

Tapi senyuman itu semakin membuatkan Jem parah. Dia terlopong. Pertama kali ini dia melihat Zed memberikannya senyuman. Lelaki itu 24 jam serius dan keras macam batu. Beku.

“Kat dalam kereta ni, bukan ada nyamuk aje, lalat pun ada. Tutup mulut tu, karang masuk dalam mulut, mahu cirit-birit seminggu. Aku juga yang susah tak ada partner,” ujar Zed, cuba berseloroh. Dia kembali serius membuatkan Jem cepat-cepat memberi fokus.

“Memang kereta ni kena tukar, bos. Balik nanti bagitahu agensi, tukar kereta lain. Kenapalah bagi kereta tempat pembiakan serangga?” Jem menyokong. Dia membetulkan duduknya.

“Dah... dah... ni balik pada rancangan kita. Sekejap lagi ETA 1045, aku nak kau masuk balik ke dalam premis tu.” Zed merenung jam digital di tangan lalu menekan satu butang, untuk menetapkan masa Estimated Time Arrival (ETA).

“Aik? Apsal cepat sangat, bos? Janji kan pukul sebelas? Nanti budak tu tak ada, aku juga yang mati kutu,” protes Jem. Dia tidak mahu nanti dia tersalah langkah lagi.

Dia juga teringin hendak menjadi ejen yang hebat macam Zed dan Jade. Asyik-asyik nama dua ejen itu yang disebut-sebut sebelum ni oleh APG semasa orientasi dulu. Dia pun hendak juga masuk senarai Hall of Fame! Berangan dah sampai bintang! Padahal baru masuk kerja beberapa bulan.

“Aku tak sedap hati. Apa pasal dia tak masuk kerja macam selalu? Aku dah ikut dia lama sebelum kau join aku. Tadi ada satu panggilan masuk ke telefon bimbit dia tapi agensi tak sempat pintas. Ada masalah teknikal. Aku takut itu panggilan yang kita nanti-nantikan selama ini.” Zed memberi penjelasan kepada Jem.

“Okey. Masuk dalam.” Jem sedang menyerap arahan, mencari bayangan di dalam kepala. Dia membayangkan ketika itu dia sedang terhendap-hendap mencari Eisya. Daripada gambaran yang diberikan kepadanya, gadis itu sederhana tinggi tapi putih melepak. Kulit pipinya putih dan licin bak telur dikupas. Dia masih tidak dapat bayangkan bagaimana rupa gadis itu seperti yang diterangkan Zed. Atau ketuanya itu sudah terlebih diskripsi? Tengok dalam gambar macam tak nampak tang mana yang bahagian telur dikupas itu.

“Kau buatlah alasan nak ke tandas. Lepas tu kau carilah dia, mesti ada punya kat mana-mana dalam premis tu. Takkan itu pun aku nak ajar? Kau tak habis belajar ke kat agensi? Macam mana agensi boleh lepaskan kau?” Zed berkata sinis. Kena sebiji ke batang hidung Jem.

“Yalah... yalah... aku takut salah langkah aje. Ini kan pengalaman pertama aku? Bagi mukalah sikit.” Jem sudah menyeringai. Dia hendak buat apa lagi selain menyeringai? Dah sah-sah salah!

“Okey... kalau aku dah masuk dalam, aku cari dia. Curi handphone dia kan, bos?” Jem bertanya tetapi lelaki itu ketawa membuatkan wajah yakinnya jadi luntur tiba-tiba. “Salah, ek?” Mukanya macam hendak menangis pun ada.

“Kalau kau curi handphone dia, nanti kecoh pula kat premis tu. Ingat, perkara utama... jangan timbulkan sebarang kekecohan. Kita kena selalu bertindak dalam tenang, macam tak ada apa-apa yang berlaku.”

“Oh, ya, maaf, aku terlupa. Nebeslah!” Cepat-cepat Jem potong cakap Zed. “Hah! Aku tahu! Aku tahu! Kali ni mesti betul punya!” Tiba-tiba dia teruja sambil tangannya tergawang-gawang ke udara.

“Hmm... apa dia cadangan kau, duhai apprentice muda?” Zed sudah senyum-senyum sambil mengurut dagu. Seronok pula bekerja dengan ejen lurus bendul macam Jamailia ni.

“Aku cuma perlu tengok nombor panggilan masuk atau SMS, kan?”

“Betul!”

“Lepas tu, aku letak balik handphone dia. Buat macam tak ada apa-apa berlaku dan terus masuk ke sesi rawatan.”

“Betul!”

“Alah... kacang!” Jem sudah mahu bergerak keluar kerana dilihatnya waktu sudah semakin suntuk. Dia hanya ada beberapa minit untuk kembali ke premis itu, buat-buat mahu ke tandas kemudian mencari Eisya dan menyalin maklumat yang diperlukan. Dia yakin sangat boleh lakukan semua itu.

“Nak ke mana?” Zed bertanya sebelum sempat Jem menutup pintu kereta.

“Laa... nak ke sanalah...”

“Habis, kau nak salin info dengan apa?” Zed bertanya. “Nah!” Dia menghulurkan alat pengimbas data yang boleh memuat turun semua maklumat yang diperlukan di telefon bimbit Eisya nanti kepada Jem yang sudah menyengih .

Jem tersengih-sengih. Terlebih teruja dengan tugasan barunya.

“Peninglah!” Zed sempat lagi bagi satu ‘tamparan’ kepada Jamailia sebelum gadis itu pergi.

Di dalam kereta, lelaki itu tidak habis-habis berdoa agar misi pagi itu berjaya dilaksanakan!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.