Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 014 : Tunang segera

014

Flat Bosnia, Taman Seri Serdang

Jam 2000

Perlahan-lahan Maryam Eisya turun dari motosikal Honda Wave. Dia memakirkan motosikal di kawasan parkir Blok Damar yang terang-benderang. Masih awal lagi, jadi motosikal di parkir masih belum penuh. Tak susah, dapat parkir baik punya. Elok-elok kat bahagian tepi sekali. Senang dia hendak keluar esok pagi. Kudrat perempuannya kuat mana? Kalau parkir ditengah, payah juga dia hendak keluar dari parkir esok pagi. Esok hari Khamis, hari cutinya. Dia bercadang hendak ke Pejabat Pos Serdang untuk mengepos beberapa resume.

Eisya menarik topi keledar dari kepalanya. Dia memang cuba balik seawal ini kerana bimbangkan keselamatan diri. Hendak beli kereta, masih belum mampu. Jadi naik motosikal ke mana-mana atau kenderaan awam saja. Tapi kalau hendak ke tempat kerja di The Mines, dia terpaksa bermotorsikal juga.

Kalau asyik naik teksi mahunya makan mi segera. Kos sara hidup memang tinggi. Mana nak bayar sewa rumah, bil utiliti, PTPTN lagi. Dia terpaksa berjimat sementara mencari pekerjaan tetap. Selagi dia boleh berdikari, jangan haraplah dia meminta emak wang saku lagi.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Cepat-cepat dia menyeluk saku seluar, mengeluarkan telefon bimbit. Huh! Baru saja mengomel hal berjimat, sudah datang bil bulan depan! Maria Eifa! Miss calledlah tu! Eisya buat-buat tidak tahu. Siang tadi mereka sudah bercakap lama, macamlah mereka anak tuan punya konglomerat komunikasi terhebat.

Telefon bimbitnya kembali disimpan dan dia terus mendaki tangga, menuju ke rumah sewanya di tingkat dua. Dibiarkan telefon bimbitnya berbunyi dan terus berbunyi.

Darijauh, Jamailia hanya memerhati. Malam ini, tugasnya mengekori Eifa sampai ke rumah gadis itu. Amanah itu diberikan Zed sebelum pulang tadi. Katanya dia mahu menganalisis data yang berjaya ‘diskodeng’ di telefon bimbit milik Eisya di pejabat. Biarlah dia buat kerja yang mudah-mudah. Beri kepada pakar yang susah-susah.

Matanya begitu asyik pada ‘aset’ yang sedang berada di depan pintu rumah sewanya. Gadis itu dilihat memandang ke kiri kanan bagai memastikan keselamatan dirinya. Dia mengeluarkan kunci dan tidak lama kemudian masuk ke dalam rumah.

“Berani juga minah ni naik motor malam-malam macam ni,” kata Jem sendiri. “Stok berdikari dan berani, memang bagus kalau jadi bini spy.” Dia membebel lalu tergelak. Dia menggelengkan kepala mengingatkan diri supaya jangan pula dia jadi gila kerana tugas-tugasnya begini.

Sebaik gadis itu masuk, dia mengundurkan keretanya. Tugasnya untuk malam itu telah selesai. Seorang penyiasat lain telah datang untuk menyambung tugasan. Dia menguap. Hari ini hari yang betul-betul penat. Dia tidak tahu sampai bila dia dan Zed akan memerhatikan pergerakan Maryam Eisya. Tugas yang nampak boleh dilakukan sambil makan kacang dan pejam mata! Macam mudah saja!

Telefon bimbit yang masih berbunyi, Maryam Eisya letakkan saja di atas meja di tepi TV. Beberapa kali berbunyi dibiarkan begitu saja. Dia meletakkan topi keledar dan sebungkus makanan di atas meja makan lalu menonong menuju ke biliknya. Pergerakannya hanya diperhatikan Zie, rakan serumahnya yang sedang berehat sambil membaca novel ‘Cinta 2you.My’, karya Weeda Airiza terbitan Alaf 21. Kelibat Eisya memang mengganggu kosentrasi pembacaannya.

“Wei! Ni handphone ni apasal tak nak jawab?” laung Zie kepada Eisya.

“Saja... dengar ajelah lagu abang One Direction tu.” Lagu ‘What Makes You Beautiful’ berkumandang dari telefon bimbitnya itu.

“Abang? Agak-agaklah... umur dia orang tu semua sah-sah lebih muda dari kita, abang konon...” Zie mengomel tetapi tidak diendahkan Eisya. Dia terus menutup pintu biliknya.

“PMS agaknya!” Zie membuat kesimpulan sendiri sebelum meneruskan pembacaannya.

Setelah 15 minit masa berlalu, Eisya keluar dari biliknya dengan berbaju tidur. Rambutnya sudah pun disimpul di dalam tuala. Wajahnya sudah bersih. Tidak ada kesan mekap bekerja siang tadi. Dia membawa bungkusan makanan bersama sudu menyertai Zie yang sedap terbaring di ruang tamu yang kecil itu.

“Sedapnya bau!” Sebaik haruman nasi goreng kampung itu tersusuk hidung, Zie bangun. Dia duduk menadah tangan sambil bersila, sabar menunggu Eisya habis membaca doa.

“Makanlah dulu.” Eisya menghulurkan sudu. Memang dia selalu begitu. Mendahulukan orang lain daripada dirinya sendiri. Mungkin sudah terbiasa menjadi kakak yang selalu beralah dengan adiknya.

“Sedapnya, Sya! Kau beli kat padang ke? Sempat singgah, ek? Kenapa tak telefon aku bagitau tadi? Boleh kirim.” Mulut ada nasi, Zie hendak bercakap juga. Mujur tidak tersembul keluar isinya.

Eisya sengaja membiarkan Zie makan dahulu. Dia bangun lalu mengambil telefon bimbitnya. Dia membelek telefon bimbitnya lalu mengerutkan dahi. Banyaknya panggilan yang tidak berjawab!

Sepuluh panggilan? Biar betul! Hanya ada satu saja panggilan daripada Eifa, panggilan paling awal sekali. ‘Tentu panggilan di tangga tadilah ni,’ fikir Eisya. ‘Yang lagi sembilan ni daripada siapa pulak?’ Otak tidak boleh berfikir kerana terpapar ‘private number’.

Dia melihat peti SMS kalau-kalau ada namun yang ada hanyalah SMS daripada pengiklan yang memang tidak kuasa hendak dilayan. Pelik. Kalau sudah telefon sampai sembilan kali tidak berjawab tentulah penting sangat-sangat, tapi kenapa tidak tinggalkan SMS? Dia cuba menekan nombor tersebut tapi masuk ke dalam peti suara pula. Dahinya berlapis-lapis kerut.

“Siapa yang telefon banyak kali tadi?” Zie bertanya. Dia sudah menolak kotak polistirena nasi goreng kampung ke tepi Eisya.

“Entah, nombor peribadi.” Eisya menjawab ringkas lalu menyuapkan sesudu nasi ke dalam mulutnya. Dia kemudian menekan nombor telefon Eifa. Kotak polistirena bertukar tangan lagi.

“Kenapa telefon kakak lagi? Pagi tadi kan kita dah cakap panjang? Ingat kakak cop duit ke?” Eisya terus menyerang tanpa memberi peluang Eifa bermukadimah selain menjawab salamnya. “Hah? Apa? Beraninya dia...”

Kata-kata Eifa membuatkan badan Eisya jadi tegak tiba-tiba. ‘Ini sudah lebih...’ Dia marah di dalam hati. Berita yang baru disampaikan oleh Eifa membuatkan rasa yang elok disimpan di dasar hati kembali muncul menyesakkan dada. Tadi dia elok-elok boleh pura-pura lupa.

“Ya ke? Ada aku kisah? Ada bersepah lagilah jantan kat KL ni yang putih melepak.” Eisya sudah mula marah-marah.

Kali ini badan Zie pula yang tegak. Telinganya bergerak-gerak. Wah! Berita gempak! Sambil-sambil itu, dia cover line dengan pura-pura asyik benar melantak!

“Apa? Esok?” Eisya sudah menepuk dahi sendiri. “Dia nak buat apa? Alah... ibu nilah...” Dia sudah menggaru kepalanya, tetapi tidak boleh kerana kepalanya berbalut dengan tuala. Semuanya serba tidak kena.

“Yalah... yalah... Nanti kakak telefon dia bagitau tak payah ngada-ngada nak datang. Kakak tak bersedia nak jumpa.” Eisya berkata sambil muncung. Geramnya siang tadi tak habis, malam ni ditambah lagi... Dia menekan butang mematikan talian selepas menjawab salam pamitan daripada Eifa tapi muncungnya tidak juga surut juga.

“Ni apasal pulak?” Zie bertanya kerana prihatin. Dilihat rakannya di sebelah sedang membelek skrin telefon. Muka tak payah cerita. Buat mati selera makan aje. Sudahlah dia memang lapar gila!

“Hisy! Handphone masuk mesin pulak,” bebel Eisya.

“Siapa yang kau marah-marahkan ni, Sya?” Zie bertanya sambil menyuapkan nasi ke mulutnya. Di dalam bekas polistirena memang sudah sikit sangat bakinya. Memang sah dia lapar sebenarnya.

“Tunang aku...”

Mendengarkan jawapan Eisya, habis tersembur makanan yang ada di dalam mulut Zie. “Bila masa pulak kau dah bertunang?” Dalam batuk-batuk, dia masih mahu bertanya. Dia membetul-betulkan kerongkongnya. Tercekik dia mendengar ayat Eisya itu.

“Pagi tadi...” jawab Eisya selamba. Di kepala sebenarnya sudah pun ada rencana! Jefry pasti menyesal kerana memilihnya jadi tunang segera!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.