Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
PROLOG : Di kota London yang bakal berakhir sebenarnya baru bermula!

Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan ALLAH baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.”

-SabdaRasulullah S.A.W riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi

Prolog

Trafalgar Square, London

Jam 1130

Trafalgar Square. Namanya diilhamkan sempena kemenangan British ke atas Perancis dalam Perang Trafalgar pada tahun 1805. Tumpuan pelancong serata dunia ke kota mewah London ini tidak akan lengkap jika tidak berkunjung ke sini. Seperti hari kebanyakannya, Trafalgar Square sibuk bagai biasa. Orang dan kenderaan bertali arus setiap masa menjadikan ia kawasan yang tidak pernah sunyi daripadasesak, asap dan manusia.

"Tunggu sini." Arahan jelas diberikan.

"Errr... Tapi Jade?"

"Kau tunggu sini, biar aku saja yang masuk."

"Tapi kau dah janji dengan aku, kali ni kita selesaikan bersama. Takkan aku kat luar aje. Bila lagi aku nak ambil pengalaman kau Jade?" Dia tunduk. Kecewa. Hmm... Melepas lagilah...

"Bukan aku tak nak ajak kau sekali, tapi arahan KP nak aku seorang saja. Nanti apa-apa berlaku susah kita. Dah! Kau tunggu sini, that's an order!"

Jade terus menutup pintu kereta dan hilang di celah-celah ratusan manusia yang sedang bersiar-siar di Trafalgar Square menuju ke bangunan Malaysia Tourism Promotion Board tidak jauh dari dataran ini.

Dia mendengus sekali lagi. Tak habis-habis menjadi sidekick. Hanya peneman kepada rakan setugasnya yang sering sahaja melakukan tugasan merbahaya. Memang selalu dia cuma jadi pemandu dan penghubung Jade dengan HQ. Macamlah dia hanya jadi pak pacak dalam episod tembak-menembak dan pecah masuk di lapangan. Ingat serah nyawa sama macam posmen serah surat ke?

Sehingga ke hari ini sudah masuk 3 tahun dia menjalankan misi dengan Jade tetapi tidak pernah sekalipun KP memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk melaksanakan tugas utama. Walau dia pernah menyelamatkan nyawa Jade (dan tak terkira jugalah Jade menyelamatkan nyawanya), peranannya itu bagai tidak memberikan apa-apa makna. Nada!

Sudah merata ceruk dunia dia jelajahi bersama Jade, namun setiap kali misi berjaya, nama Jade saja disebut KP sehingga kembang-kempis hidung Jade dengan pujian melambung KP setiap kali mereka pulang ke HQ di Putrajaya. Sungguh tidak adil!

Setiap kali ada misi penyamaran, Jade selalu diberikan watak lelaki macho yang kaya; dengan tuxedonya, dengan kereta sport mewahnya, dengan beberapa model-model cantik iras artis ternama dibayar untuk mengiringinya bersama semua gajet-gajet terkini dari hujung kaki hinggalah kepalanya siap tersedia.

Dia? Sebagai tukang sapu sampah di depan bangunan, pelayan restoran, pemandu teksi dan yang paling dia tidak boleh dilupa ialah menjadi badut berhidung besar berwarna merah di sebuah funfair di Port Dickson! Huh! Kan nampak sangat memang tidak adil?

Hari ini sekali lagi permintaannya tidak dipenuhi. Janji Jade untuk membawanya sekali menyelesaikan misi yang masuk hampir 4 bulan mereka siasat bersama ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan sama sekali. Kesemua petunjuk yang dikumpul akhirnya berjaya membawa mereka untuk satu perjumpaan rahsia di dalam bangunan Malaysia Tourism Promotion Board tidak sampai 130 meter dari tempat dia berdiri.

Perjumpaan yang diatur oleh Jade bakal menamatkan misi ini kerana seorang pemberi maklumat telah meminta Jade untuk berjumpanya di dalam bangunan tersebut. Kenapa Jade memilih bangunan tersebut tidak pula dia ketahui. Sememangnya Jade banyak muslihat. Ada perkara-perkara dalam misi yang hanya diketahuinya apabila musuh sudah dilihat atau peluru sudah datang seperti hujan lebat. Jadi seperti biasa, dia awal-awal lagi sudah bersedia fizikal dan mental jika dipanggil pada bila-bila masa untuk memberi khidmat atau menjadi penyelamat!

Dia keluar daripada perut kereta lalu bersandar di kereta, bermain-main dengan pemetik api Zippo pemberian Jade kepadanya.

Sambil menunggu matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Bosan tetapi dia masih tidak lupa peranannya sebagai penyiasat yang sedang berada di lapangan. Bukan semua orang diberi peluang seperti itu. Ada beribu-ribu orang yang tidak terpilih dan dia seharusnya bangga dengan pencapaiannya setakat ini, sekalipun peranannya itu hanyalah sebagai sidekick.

Kalaulah ibunya tahu, anaknya ini seorang penyiasat antarabangsa, mahu riuh satu kampung sampai raya tahun hadapan cerita itu tidak habis dijaja. Menangis menyesal tak sudah kerana meninggalkan dia kepada ayah masa kecil-kecil dulu. Dan bapa pula tentulah jadikan cerita kehebatannya kepada semua pelancong yang dijumpanya. Hehe. Zed memang ada banyak sebab untuk rasa sebegitu bangga!

Dia mengenepikan rasa bosannya lalu kembali fokus kepada kerja. Sebuah kamera dikeluarkan daripada poket seluar kanannya lalu mula mencari sasaran lensa, bagaikan pelancong yang santai berlibur di kota London.

Lensa ditalakan ke tengah-tengah dataran ini yang terletaknya sebuah monumen yang dinamakan Nelson's Column, dikelilingi oleh empat patung singa yang besar. Bagi mendapatkan imej dari sudut yang lain, dia berjalan ke arah salah satu patung singa di sebelah kanan.

Pandangannya tertumpu ke arah The Mall, bukannya sebuah shopping mall tetapi nama sebuah jalan yang menghala ke arah Buckingham Palace, istana rasmi kerabat DiRaja British. Teringatkan Jade, pandangannya beralih kembali ke arah laluan Jade menghilang. Dia melihat jam. Dua puluh minit telahpun berlalu. Masih belum ada apa-apa arahan yang terbaru.

Kelibat seorang tua berbaju jaket labuh hingga ke paras lutut bewarna biru tiba-tiba menarik perhatiannya. Lelaki tersebut sedang berjalan terhincut-hincut menghala ke arah Jalan Haymarket. Mungkin keadaan fizikal lelaki itu yang sebegitu membuatkan perhatiannya tertarik ke arah lelaki itu.

Dia memandang lagi kepada lelaki tua itu. Meneliti dengan waspada. Seketika lelaki itu mengeluarkan sarung tangan untuk dipakai dan terus berjalan dengan pantas. Namun matanya tertancap kepada sesuatu yang terjatuh daripada kocek lelaki tua itu. Jalannya agak pantas tanpa menyedari dia telah tercicirkan sesuatu.

"Hey Mister!" Dia menjerit. Jaraknya dengan lelaki tua itu agak jauh, pastilah menyebabkan teriakannya tidak didengari oleh lelaki itu. Tambahan pula ramai sangat manusia di kelilingnya. Dia berlari menuju ke arah 'sesuatu' yang terjatuh tadi. Seorang budak perempuan sedang memungutnya.

"Sorry, this is not yours." Dia terus mengambil telefon bimbit yang sedang dipegang oleh budak perempuan itu lalu berlari mencari lelaki tua itu.

Tujuannya hanya satu, memulangkan kembali telefon bimbit tersebut kepada lelaki tua tadi. Dia terus berlari. Kelibat lelaki itu dilihatnya menuruni tangga untuk ke stesen Subway Haymarket. Dia terus mengejar.

"Hey mister! Mister! You've dropped you cellphone!" Termengah-mengah akhirnya dia berjaya menyentuh bahu lelaki tua itu.

Lelaki itu menoleh. Ah! Rupanya lelaki Asia. Dia mengukir senyuman sambil menghulurkan telefon bimbit di tangannya.

"Sorry Nak, that's not mine, bukan telefon saya." Lelaki tua itu membalas sambil terus meninggalkannya yang terpinga-pinga.

"But, ehh... tapi Pak, saya nampak ia jatuh daripada kocek bapak! Pak! Pak!"

Dia memanggil dengan rasa hairan tetapi lelaki tua yang boleh bertutur bahasa Indonesia itu terus berlari melintasi palang tiket di tempat menunggu keretapi bawah tanah itu bagai tidak pernah tempang. Dia langsung tidak menghiraukannya yang sedang memanggilnya sekuat hati.

Dia marah. Dia sakit hati. Mengapakah panggilannya tidak dilayan sedangkan dia amat pasti telefon bimbit yang dipegangnya itu memang sah milik lelaki tua itu.

Tiba-tiba... Telefon di tangannya berdering. Dia keliru. Mahu dijawab atau dibiarkan sahaja. Beberapa kali ia berdering hanya dipandang dengan rasa serba salah. Orang di sekeliling sudah memerhatikan dia yang sedang memerhatikan telefon di tangan.

"Hello!" Akhirnya dia menjawab juga, tidak tahan dengan deringan yang berkali-kali itu.

"Hello!"

Dia mengerutkan dahinya. Suara di dalam telefon itu amat dikenalinya...

"Jade?"

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.