Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
Bab 018 : Ibu Eisya Pasang Strategi

018

Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA)

Jam 2059

Jade telah meninggalkan Zed di Restoran Secret Receipe yang termenung sendiri. Dia memasukkan ‘sesuatu’ yang diberikan Jade tadi ke dalam poketnya tanpa melihatnya terlebih dahulu. Dia menghirup kopinya yang telah sejuk. Ketika itu, dia merasakan dia tidak mahu pulang.

Kata-kata Jade tadi memberi ilham kepadanya untuk berfikir dan terfikir. Apakah yang dicarinya di dalam hidup? Sekurang-kurangnya setiap kali menyertai misi, Jade ada seorang ibu yang membuatkan dia bersemangat untuk pulang meneruskan hidup. Jika Jade terkorban semasa berjuang, semua harta yang dikumpulkan akan diwariskan kepada ibunya tetapi dia? Siapakah yang dia ada?

Dia melepaskan keluhan. Inilah pertama kali soalan seperti itu difikirkan sedalam-dalamnya. Dia harus punya motif untuk terus bernafas di muka bumi ini. Sudah terlalu lama dia meminggirkan rasa itu. Kasih sayang. Rasa sayang dan disayangi.

Bunyi telefon bimbit mengejutkannya daripada lamunan. Dia memandang sekilas skrin. Panggilan daripada Jem. Dia membetulkan rengkung lalu menjawab panggilan.

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam sebaik menekan punat hijau.

Jem terus menyampaikan laporannya.

“Bawa bertenang. Cerita perlahan-lahan.” Tenang Zed memberi arahan. Suara Jem yang bagai dikejar hantu itu memang langsung tidak membantu dia memahami butir yang disampaikan.

“Aku balik sekejap, hari ni hari jadi anak buah. Aku minta Zawani tolong jaga. Kejap aje, dua jam saja. Tapi dalam tempoh dua jam itulah ada sesuatu yang terjadi.” Setelah bertenang, Jem bercerita. “Ada seseorang datang berjumpa dengan aset. Zawani tak berani nak bertindak sebab lelaki tu hanya perhati aset dari luar rumahnya.”

“Lelaki?”

“Ya, lelaki. Kata Zawani muda bos, dalam lingkungan tiga puluhan.”

“Selain perhatikan premis, apa lagi yang lelaki itu buat?” Zed tenang bertanya mengumpul maklumat.

“Tak ada apa. Cuma perhati, lambai dan balik.” Jem mengingat kembali laporan Zawani kepadanya.

“Ada ambil gambarnya?”

“Tak sempat, sebab masa tu Zawani kata dia pun baru saja sampai sebab pergi ‘menunaikan hajat’. Dia datang lelaki itu sudah nak bergerak balik.”

“Ada catat nombor kenderaan?”

“Sudah, bos. Tapi setelah disemak, nombor pendaftaran itu palsu, tak wujud.” Suara Jem kedengaran mendatar kerana kecewa.

“Jadi, apa tindakan kau seterusnya?” Zed bertanya menguji kepintaran Jamailia.

“Malam ni aku cadang nak pecah masuk. Aku nak cari bukti.” Begitu yakin Jem memberitahu.

“Pastikan tiada sebarang kesan pencerobohan. Aku tak nak jadi kes polis dan kita susah nanti,” pesan Zed.

Okay, roger and out.

Zed berteleku di meja sebaik talian dimatikan. Otaknya ligat mencerna info terbaru yang disampaikan Jem sebentar tadi. Di kepalanya dia dapat membuat kesimpulan mungkin lelaki itu mengenali Maryam Eisya tetapi persoalannya untuk apa dia datang tetapi sekadar berhenti di depan kereta dan melambai?

Zed bangun. Masa untuk bekerja! Bukan boleh dilayan emo lama-lama!

Flat Bosnia, Taman Seri Serdang

Jam 2312

Maryam Eisya duduk di atas katil. Jambangan bunga pemberian Jefry diletkkan di atas meja soleknya. Kedatangan Jefry petang tadi memberi dia satu persepsi yang lain, berbeza daripada sebelumnya. Dia memegang pula bungkusan yang ada di tangannya. Sedari tadi dia teragak-agak untuk membukanya.

Satu SMS masuk. Cepat-cepat Eisya menjenguknya. Hampa. Dia menanti SMS datang daripada si dia tetapi yang masuk adalah SMS daripada Eifa. Dia menekan kekunci lalu membaca SMS kiriman adiknya.

Askm. Ada x abg Jef dtg? Ibu kata, brg yg ibu kirim tu, simpan aje. Kalau abg Jef dtg, akk call org ek. Hehe... Nak dgr gosip.

“Barang yang mak kirim? Eh! Entah-entah dalam bungkusan yang Jef bagi ni. Aku yang perasan dia bagi hadiah.” Eisya baru tersedar. Jauh sudah dia dimain perasaan. “Kalau Eifa tau aku jadi macam ni, mau kena gelak.” Dia mengingatkan diri. Dia kemudian mula membuka bungkusan yang ada di tangannya. Kalau dia tahu bungkusan ini kiriman ibunya, sah-sah dari tadi dia sudah buka.

Sebaik kertas pembungkus dikoyak, terserlah isi kandungan di dalamnya. Dia menepuk dahi.

“Laa... baju kurung tahun bila mak hantar ke sini? Nak buat apa? Baju ni dah layak masuk muzium dah ni.” Dia membebel sebaik melihat sepasang baju kurung lama miliknya di dalam bungkusan plastik. Baju kurung semasa dia konvo diploma dulu. Apa kes ibu hantar kepadanya melalui Jefry pulak tu?

Dia membuka plastik yang membungkus baju kurung itu. Dia mahu mengacukan baju kurung kain kapas berwarna merah jambu itu ke badannya. Sudah terlalu lama dia tidak memakai baju kurung itu. Itulah baju kurung yang sangat disayanginya antara baju-baju yang lain. Baju kurung itu sangat bermakna kerana pada hari dia menerima diploma dalam bidang yang paling dicintainya, baju kurung itulah yang dipakainya.

Sekonyong-konyong sehelai kertas terjatuh sebaik dia menarik baju itu ke badan untuk diacukan. Eisya mengutip kertas berwarna biru itu dari lantai.

“Abang...” Eisya berhenti membaca. Tangannya menggeletar. Dunianya berputar!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.