Home Novel Cinta CINTA KAU DAN AKU
Bab 75

"Assalamualaikum Puan Irdina. Saya Inspektor Danial dari Balai Polis Seri Alam. Saya nak beritahu, orang yang menculik dan mencederakan suami puan ada di Hospital Sultanah Aminah sekarang. Dia kemalangan malam tadi selepas cuba melarikan diri dari sekatan polis."

"Waalaikumussalam. Bagaimana keadaan dia Encik?"

"Keadaan dia agak parah, 50-50."

"Baiklah Encik terima kasih kerana memaklumkan kepada saya. Assalamualaikum."

Irdina menarik nafas panjang. Memikirkan kedua-dua lelaki yang menyayanginya berada di hospital sekarang. Hariz semakin stabil, Ameer pula parah. Walaupun Ameer penyebab suaminya Hariz berada di hospital, Irdina tidak akan mendoakan yang buruk untuk lelaki yang pernah bergelar rakannya itu. Dia tahu, Ameer menjadi begitu, kerana dirinya juga. 

Walaupun Irdina tidak juga menyalahkan diri sendiri atas apa yang telah berlaku, namun tetap terselit sedikit rasa simpati dengan keadaan Ameer. Kalaulah kau lebih rasional dan redha di atas ketentuan Allah, aku rasa kau tak akan jadi sebegini. Semoga kau selamat dan berubah ke arah yang lebih baik, doa Irdina di dalam hati.

                                ****************************************

Sudah seminggu Hariz keluar dari hospital. Keadaannya semakin baik namun dia masih mengambil cuti. Pada hari itu, Irdina mendapat panggilan telefon dari HSA. Pihak hospital memintanya hadir ke hospital kerana Ameer mahu berjumpa dengannya.

"Abang..."

Berhati-hati Irdina cuba menuturkan kata untuk memberitahu Hariz tentang hal tersebut.

"Ya, sayang. Ada apa? Macam ada hal penting je yang sayang nak cakap kan."

"Ermm..ya. Penting juga lah. Macam ni, tadi pihak HSA call sayang. Mereka minta sayang ke hospital sebab Ameer nak bercakap dengan sayang...tapi..kalau abang tak izinkan, saya tak akan pergi."

Irdina memegang tangan suaminya dengan lembut. Hariz diam seketika. Irdina sememangnya telah memaklumkan kepadanya tentang kejadian yang menimpa Ameer malam itu. Hariz tidak membenci Ameer, apatah lagi untuk mendoakan keburukan terhadap lelaki yang telah menikamnya itu. 

"Abang izinkan..tapi dengan satu syarat."

"Apa syaratnya?"

"Bawa abang bersama-sama sayang."

                      ************************************

Ketika mereka sampai ke katil Ameer, kelihatan lelaki itu seperti sedang tidur. Demi mendengar suara orang yang sedang bercakap dengan anggota polis yang menjaganya tidak jauh dari situ, Ameer membuka mata.

"Dina.."

Ameer bersuara lemah. Irdina menghampiri Ameer Mirza yang tangannya di gari di katil. 

"Kau sudi datang Dina...lepas apa yang aku buat pada kau dengan suami kau.." ujarnya tersekat-sekat. 

Menurut doktor yang merawat Ameer, keadaan Ameer semakin stabil tetapi masih perlu berada di hospital kerana dia masih perlu dipantau. Dahi dan kepala Ameer berbalut. Kedua-dua kakinya patah dan tangan kirinya hancur dari bahu sehingga jari. 

"Aku dan suami aku sudah maafkan kau. Kami tak simpan dendam."

Irdina bersuara. Hariz di tepinya hanya diam, memberi peluang kepada mereka berdua berbicara. 

"Terima kasih Dina...Hariz. Aku...aku..minta maaf.."

Tiba-tiba Ameer menangis. Dia tidak mempedulikan orang-orang yang memandangnya. Apa yang dia tahu, dia rasa sangat berdosa terhadap kedua-dua insan di depannya. Dia sedar sekarang, dia tidak patut terlalu menurut hasutan syaitan. Dia patut sedar dari dulu bahawa Irdina memang bukan untuknya!

"Aku dah maafkan kau..kita manusia tak sempurna, selalu buat silap. Aku harap kau berubah lah, bertaubat. Allah masih sayang kau sebab tu dia bagi peluang kau hidup lagi. Sama lah macam aku, aku masih banyak dosa sebab tu Allah bagi aku peluang lagi untuk hidup."

Kata-kata Hariz menyentuh hati Ameer. Air matanya terus gugur membasahi baju berwarna putih yang dipakainya. Mulianya hati lelaki ini. Patutlah dari dulu lagi Irdina impikan dia, sukakan dia. Tidak seperti dirinya yang selalu memaksa Irdina. 

Irdina dan Hariz pulang ke rumah mereka setelah memberi kata-kata semangat kepada Ameer. Namun, keesokkan harinya, pihak hospital menghubungi Irdina semula dengan mengkhabarkan Ameer telah pergi untuk selama-lamanya... 


Previous: Bab 74
Next: Bab 76

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee