Home Novel Cinta CINTA KAU DAN AKU
Bab 11

'Assalamualaikum, awak buat apa tu? Dah breakfast ke? Jangan lupa breakfast tau, ia bagus untuk kesihatan.'

Setiap pagi Hariz akan menghantar mesej melalui WhatsApp kepada Irdina. Tak pernah dia merasa jemu. Walaupun kadangkala, pagi dihantar, malam barulah Irdina membalasnya. Hariz sedia maklum keadaan kerja Irdina sebagai pendidik, sama seperti dirinya.

Hariz juga mengambil tahu rutin harian Irdina walaupun bukan setiap hari. Dia tahu di samping Irdina sibuk dengan kelas tambahan Tingkatan 5, tusyen di rumahnya, Irdina juga sibuk sebagai jurulatih bola tampar di sekolahnya.

Dulu Hariz tidak pernah mengambil tahu hobi dan minat Irdina. Dia tidak tahu rupa-rupanya Irdina seorang yang meminati sukan seperti bola tampar, futsal, bola sepak dan bola keranjang. Macam tidak percaya namun itu lah kenyataannya.

Bahkan menurut cerita Farhan, setiap tahun Irdina melatih sendiri pasukan bola tampar perempuan di sekolahnya dan menghantar mereka ke pertandingan peringkat daerah. Irdina juga sanggup menghabiskan masa lapangnya dengan menemani pelajar-pelajarnya di gelanggang bola tampar.

"Kak Zu, Paan pergi tusyen ke?"

Jawapan untuk soalan itu sebenarnya telah sedia berada dalam otak Hariz. Dalam mindanya telah set setiap hari Sabtu Farhan akan pergi ke rumah Irdina untuk belajar Matematik.

"Ha ah, ya. Nah, minum Air Teh ni dulu. Dah sarapan ke belum?"

Cikgu Zuraini meletakkan dulang yang berisi jag Air Teh dan cekodok pisang yang digorengnya pagi tadi.

"Makan roti je tadi sekeping kak..Kak Zu..."

Bicara Hariz terhenti seketika apabila Farhana adik Farhan muncul dari dalam biliknya.

"Salam Pak Lang." 

Cikgu Zuraini memberi arahan kepada anak bongsunya. Farhana menghampiri Pak Langnya dan menghulurkan tangan.

"Buat apa tadi kat bilik? Senyap je.."

"Tertidur Pak Lang. He he he.." 

Farhana tersipu malu.

"Amboi, lepas makan boleh pulak dia tertidur. Dah sekarang ni Hana pergi kutip kain baju yang kotor, pastu masukkan dalam mesin dan tekan button on. Lepas tu tolong vakum bilik awak tu ya mama tengok malam tadi dah penuh dengan habuk. Dah berapa bulan tak vakum?"

Bebel Cikgu Zuraini kepada anak gadisnya yang berusia 14 tahun itu. Farhana mengangguk seraya berlalu.

"Riz nak cakap apa tadi? Ada hal penting ke?"

Cikgu Zuraini seakan-akan boleh mengagak sesuatu yang penting ingin diluahkan adik iparnya itu.

"Akak...ni tentang cikgu yang ajar tusyen Paan tu..."

Hariz menarik nafas dalam-dalam. Sebenarnya dia segan untuk bercakap hal itu namun rasanya dia memerlukan bantuan kakak iparnya itu.

"Kenapa dengan dia ya? Ada yang tak kena ke? Paan ada cerita apa-apa pada Riz ke?"

Cikgu Zuraini mengerutkan dahi. Apa yang Hariz ingin sampaikan ni? Mungkinkah Paan ada masalah dengan Cikgu Dina? Macam agak mustahil kerana Paan selalu bercerita tentang cikgu kesayangannya itu. Cikgu Dina baik, bertolak-ansur , berbudi bahasa. Pendek kata semua tentang Cikgu Dina kedengarannya indah kerana itu Cikgu Zuraini hanya mengiyakan apabila Paan ingin belajar Matematik dengan Cikgu Dina.

"Sebenarnya..cikgu tu..bekas kawan Riz dulu..masa kat KUTKM.."

"Laa yeke..kecilnya dunia ni kan. Baguslah kalau macam tu. Riz dah pernah berbual dengan dia tak? Maksud akak, masa Riz pergi ambik Paan hari tu, ada berbual dengan dia tak?"

"Tak..belum lagi.."

"Kenapa?"

Cikgu Zuraini cuba membaca air muka Hariz yang nampak tidak senang duduk. Kalau kawan biasa, tak kan sebegini reaksi Hariz. Hariz yang dia kenal, seorang yang professional dan matang. Maklumlah dia seorang pensyarah.

"Errmmm.." 

Hariz masih belum berdaya untuk meluahkan perkara sebenar.

"Sebenarnya dia..dia boleh dikatakan awek Hariz..dulu.."

Fuh, akhirnya perkataan itu terluah juga. Hariz menarik nafas lega.

"Owh...patutlah macam pelik je cara Riz nak bagitahu. Tapi akak macam tak sangka pula Riz pernah ada yang istimewa selain dari bekas isteri Riz tu."

"Riz tak rasa Liana istimewa pun..tak pernah berkawan dengan dia pun.."

"OK..Sorry..jadi apa yang terjadi sebenarnya antara kalian berdua? Maksud akak, kenapa bukan dia yang jadi isteri Riz? Kenapa Liana pula? Maaflah sebab dulu akak tak masuk campur sangat masa Riz kahwin dan juga berpisah dengan Liana."

"Sebenarnya Riz dengan Dina..tak berakhir dengan baik. Nak kata gaduh, macam tak gaduh, tapi apa yang Riz pasti..semua salah Riz. Tapi masa tu Riz terdesak sebab Riz masih tak nak komitmen. Masa tu Riz tak nak fikir sangat soal bercinta ni, Riz nak fokus pada pelajaran. Walaupun Dina tu tak pernah cakap dia cintakan Riz tapi Riz tahu dia sayang dan cintakan Riz. Dah banyak benda dia buat semata-mata kerana Riz." 

"Tapi Riz tipu dia cakap Riz dah bertunang padahal masa tu kami baru habis tahun ke-2. Mustahil lah Riz bertunang awal sebab Riz tak pernah ada perempuan lain selain dia. Tapi nak dijadikan cerita, dia percaya cerita rekaan Riz tu. Lepas tu Riz perasan dia cuba jauhkan diri dari Riz. Sampailah kami dah habis belajar."

Panjang berjela Hariz bercerita. Dia merasakan beban yang ditanggung dalam dadanya semakin berkurang. Mana tak nya kakak iparnya adalah orang pertama dalam keluarganya yang tahu tentang kewujudan Dina.

"Riz tak cuba cari dia ke lepas dah habis belajar tu?"

"Ada. Tapi cari kat Melaka je sebab tanya kawan-kawan dia pun diorang tak tahu alamat kampung dia. Riz memang tak tahu sebab yelah Riz sedar jarang mengambil berat tentang dia dulu."

"Jadi,apa yang Riz yang nak dari dia sekarang?"

"Riz nak sambung balik hubungan kami yang terputus dulu.." Jawab Hariz dengan berhati-hati.

"Tapi dia masih single ke??"



Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee