Home Novel Cinta CINTA KAU DAN AKU
Bab 18

"Kat mana aku ni? Padang pasir? Biar benar..macam mana aku boleh sampai ke sini?" 

Irdina memegang kepalanya yang terasa pening.

"Tolong, tolong..ada sesiapa tak kat sini?"

Pelik bercampur ajaib kerana suara itu tersekat di kerongkong. Tekak terasa perit dan dahaga. Irdina bangun dan cuba berjalan namun dia tersungkur. Lututnya terasa pedih. Rupanya kedua-dua lututnya berdarah. Irdina menangis teresak-esak. Apalah malang nasibnya tercampak ke situ dengan tiada manusia seorang pun. Apa akan jadi pada dirinya nanti?

"Irdina.."

Irdina mencari suara yang memanggilnya. Dalam samar-samar itu dia melihat seseorang menghampirinya dengan sebuah botol air di tangan kanannya. Semakin lama semakin jelas wajah orang itu. Apabila wajah itu semakin mendekat, Irdina menutup mulut kerana terkejut. HARIZ!!!

"Minumlah air ni. Awak pasti dahaga kan. Nah!" 

Lelaki itu menghulurkan air. Irdina teragak-agak untuk menerima. Tekaknya terasa semakin sakit.

"Ambillah. Saya cari awak dah lama ke sana sini baru jumpa. Saya tahu awak perlukan ni."

Air mata Irdina mengalir laju tanpa dapat ditahan. Wajah lelaki itu direnung lagi dengan sayu.

"Kenapa kau datang sini Hariz? Kenapa kau datang cari aku sedangkan dulu kau yang buang aku? Kenapa kau nak sakitkan hati aku lagi?"

Irdina merintih sambil mengesat air mata yang terus mengalir laju. Teruknya Irdina rasa, menangis teresak-esak di depan Hariz.

"Saya minta maaf. Maaf yang sangat-sangat. Tapi saya tak pernah buang awak, tidak dulu dan sampai bila-bila pun tak akan pernah buang awak sebab awak yang pertama dan saya nak awak jadi yang terakhir dalam hidup saya."

"Cukuplah dulu awak dah beri harapan palsu kepada saya. Saya tak mahu terus kecewa. Penat dan sakit sangat. Awak tak rasa sebab awak yang sakitkan hati saya. Awak tak pernah fikir perasaan saya. Awak kejam!!"

"Dina...jangan cakap macam tu. Saya akui silap saya tapi awak tak berada di tempat dan situasi saya. Saya terpaksa. Tak boleh kah awak maafkan saya kali ni? Tak ada lagikah cinta dalam hati awak tu untuk saya? Awak dah buang semua ke?"

Hariz duduk menghadap Irdina dengan lututnya menyentuh pasir. Dia mahu memandang wajah perempuan kesayangannya itu sepuas-puasnya. Namun wajah perempuan itu hanya tunduk sambil menyeka air mata. Hariz mahu mengesat air mata itu. Selama ini dia tak pernah ada kesempatan dan jika ada pun dia tak mahu berdosa kerana menyentuh perempuan yang belum halal baginya.

"Izinkan saya sentuh awak untuk kali ni..saya nak sapu air mata awak. Selama ni saya ingin menyapu air mata awak, tapi apakan daya saya, sebab kita belum halal."

Hariz meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Namun dia merasa terkilan tatkala melihat Irdina menggelengkan kepala tanda tidak mahu disentuh.

"Dina, Dina.."

Irdina masih menbatukan diri. Dia tak sudi memandang wajah Hariz. Bukan kerana benci tapi tidak mahu mengulang semula luka yang lalu.

"Dina, Dina..bangun...tak lapar ke?"

Irdina rasa tubuhnya digoncang-goncang. Ganas pula si Hariz ni sampai bertindak begitu. Tak faham bahasa ke orang kata tak mahu.

"Astaghfirullahalazim budak ni. Dina, kau ni kenapa? Kau pengsan kenapa?"

Emak menggerak-gerakkan badan Irdina yang masih belum sedar dari petang tadi hingga malam. Irdina nampak sengaja buat tak tahu, sengaja mengeraskan badannya. Sesekali mulutnya kumat-kamit seolah-olah membebelkan seseorang.

"Kak Dina, oh Kak Dina..bangunlah. Dah lama akak pengsan ni. Ni dah malam ni, tak nak bangun lagi ke?"

Inara datang mendekat ke sisi kakaknya dan menggoncang kuat badan Irdina. Irdina tergolek jatuh ke lantai. Mata yang tadi terpejam terbuka luas.

"Kat mana aku ni? Padang pasir lagi ke?"

"Padang pasir korok mung!" 

Inara ketawa besar. Emak juga ketawa.

"Apa ni Ara, mak? Sakitlah jatuh atas kat lantai ni. Siapa yang tolak Dina tadi? Ni mesti kerja kau kan Ara. Sakitlah gila.."

Irdina mengambil bantal kecil dan membalingnya ke arah Inara. Inara mengelak lalu ketawa.

"Kenapa kau tadi kak? Kenapa kau pengsan tengok lelaki tadi? Kesian dia, kelam-kabut tengok kau gedebuk jatuh. Macam nangka busuk!" Usik Inara .

"Siapa yang angkat aku ke sini?"

"Kau ingat lelaki tu ke angkat kau? Tak payah berangan. Ni bukan cerita Korea ke novel cinta ke. Kenyataannya aku dan ayah papah kau masuk bilik ni kau tahu tak."

"Taklah aku tak kata dia pun. Lagipun, tak kan ayah bagi dia angkat aku pula."

"Aku tanya ni kak..kau kenal ke lelaki tu sampai kau pengsan tu?"

"Ermm..Pakwe aku dulu, masa kat U.."

"Hahh???"


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee