Home Novel Cinta CINTA KAU DAN AKU
PROLOG

Hariz memberhentikan kereta tidak jauh dari KFC Ulu Tiram. Dia mengerling jam di lengan kirinya. 2.20 petang. Masih ada 10 minit. Hariz memerhatikan sekeliling. Belum nampak kereta biru milik Irdina. Belum sampailah tu, desis Hariz.

Hariz memandang dirinya di cermin kereta. Dia merasakan penampilannya sudah kemas dan hampir sempurna. Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi menandakan mesej di WhatsApp masuk. Apabila dibaca, ternyata dari Irdina.

            'Saya dah sampai. Awak kat mana? Lagi 2 minit pukul 2.30 petang.'

           'Kejab lagi saya sampai. Boleh tak awak order makanan dulu? Saya belum lunch lagi ni.'

           'Nak makan ape?'

          'Snack Plate. Air Milo. Tu aje.'

          'OK. Saya kat Tingkat 1. Jangan lambat, saya tak suka tunggu orang.'

          'Iya, dah nak sampai dah ni.'

Hariz memanjangkan lehernya untuk melihat tingkahlaku Irdina yang berada di kaunter KFC. Dia membiarkan dulu Irdina membawa makanan ke Tingkat 1.

          'Mana awak ni? Saya dah naik ke Tingkat 1 ni.'

          'OK, I'm coming!'

Hariz keluar dari keretanya dan melangkah ke pintu masuk KFC. Kemudian dengan perlahan-lahan dia memanjat tangga ke Tingkat 1. Suasana Tingkat 1 agak lengang pada ketika itu. Hariz nampak Irdina membelakangkannya dan menghadap ke jalan raya.

Hariz menarik nafas dan membaca sedikit doa untuk menenangkan hatinya dan juga doa melembutkan hati. Semoga Allah melembutkan hati awak Irdina!

"Assalamualaikum IRDINA ZAHRA..."

Hariz berdiri tercegat di depan Irdina yang kelihatan tergamam. Tiba-tiba Irdina mengambil beg tangannya yang diletakkan di kerusi sebelahnya. Dia mahu berlalu namun kata-kata dari mulut Hariz membuatkan dia terduduk semula.

"Awak dah janji, walau macam mana sekalipun rupa saya, awak tak akan pergi. Awak kena tunaikan janji awak."

Perempuan bernama Irdina itu kelihatan serba salah. Sekejab dia pandang ke bawah, sekejab dia pandang ke jalan raya.

"Awak sihat Dina?"

Berhati-hati Hariz menuturkan pertanyaan. Irdina di hadapannya kini kelihatan tidak sama seperti 10 tahun dulu. Irdina yang dulu akan gembira bila berjumpanya. Irdina yang dulu akan selalu memandang matanya. Irdina yang dulu selalu senyum manis kepadanya.

"Jadi awak rupanya yang selalu mesej saya. Dari mana awak dapat nombor telefon saya?"

Suara yang dilontarkan Irdina kedengaran sedikit bergetar.

"Maaf...saya curi nombor telefon awak tanpa keizinan awak. Sebenarnya, Farhan anak saudara saya..."

Irdina mengeluh panjang.

"Ini semua rancangan awak ke? Farhan masuk ke sekolah tu, tusyen dengan saya..."

"Tak. Demi Allah tak. Kebetulan..yang Allah dah aturkan. Dina...saya nak minta maaf. Untuk segala kesilapan yang saya pernah buat pada awak dulu..10 tahun yang lalu..."

"Apa silap awak pada saya yang menyebabkan saya kena maafkan awak?"

Suara itu sedikit kuat berbanding tadi. Hariz sudah bersedia, dia tahu akan ada situasi di mana Irdina mungkin akan meninggikan suara, menangis, diam tanpa berkata-kata...

"Kalau saya tak ada silap, kenapa awak larikan diri dari saya 10 tahun yang lepas tu?"

Hariz tatap wajah cerah milik Irdina. Dulu Irdina cute, sekarang cantik dan nampak lebih matang. Tatkala pandangan Irdina bertembung dengan pandangannya, Hariz terpaku. Cantiknya warna mata awak Irdina, coklat! Kenapa dulu aku tidak pernah perasan?

"Awak kan cakap awak dah ada tunang, jadi saya tak mahu ganggu awak. Saya tak nak jadi orang ketiga."

Irdina nampak semakin tenang. Semoga awak akan berterusan begitu, doa Hariz di dalam hati.

"I'm so sorry, Dina. Saya tipu awak, saya minta maaf."

"What??"

"Masa tu saya tak nak komitmen lagi. Saya nak fokus pada study," tutur Hariz lambat-lambat.

"Ermm..yelah, tak apalah kalau gitu, Maksudnya dah betul la tindakan saya lari dari awak. Sebab awak kan tak nak komitmen," ujar Irdina selamba.

"Tapi, awak tinggalkan saya terlalu pantas. Saya belum bersedia masa tu."

"Kalau awak belum bersedia ditinggalkan oleh saya, kenapa awak tergamak tipu masa tu? Kenapa tak straight to the point je. Ingat saya ni bodoh sangat ke tak boleh faham kehendak awak tu."

"Dina..saya tahu saya silap. Sebab saya tak tahu nak buat macam mana. Ibubapa saya letakkan harapan yang tinggi pada saya. Saya kan pernah cakap masa tu, saya seorang je yang berjaya masuk universiti..."

"Saya agak awak dah berjaya sekarang. Walau apa kerjaya awak sekarang ni, awak yang saya kenal selalu melakukan yang terbaik. So, tahniah lah!"

"Awak ikhlas ke ni? Atau sekadar nak perli saya? Saya tak kisah Dina, awak nak marah ke, perli ke, pukul saya ke, nak bunuh saya sekalipun, awak buatlah. Saya sedia terima hukuman."

"Hukuman apa pulak? Apa hak saya untuk buat semua tu? Saya ni bukan siapa-siapa pun dalam hidup awak."

"Bukan kah dulu awak selalu cakap awak sayang saya? Ke saya yang salah anggap ni? Kalau gitu, malu nya saya.." 

Hariz sekadar ingin menguji Irdina. Mana kan dia lupa Irdina selalu mengucapkan sayang kepadanya dulu.

"Sayang sebagai kawan je kot."

"Kalau sebagai kawan je, kenapa awak nak marah bila saya kata saya dah bertunang. Patutnya kawan akan gembira kan."

Hariz senyum di dalam hati. Dia tahu lama-lama hati Irdina akan lembut, cuma dia perlukan masa untuk melembutkannya.

"Saya ni kalau bercakap dengan awak, tak pernah menang. Awak patut jadi peguam je."

"Saya akan bagi awak menang kadang-kadang...kalau awak sudi maafkan saya. Dina, awak OK ke ni? Awak jangan pengsan kat sini tau sebab kalau awak pengsan kat sini, saya yang kena angkat awak. Saya suka je angkat awak, tapi takut awak je malu nanti.."

Hariz terus mengusik Irdina. Dia nampak pipi Irdina sudah kemerah-merahan.

"Kenapa awak pergi ke rumah saya dekat kampung? Apa tujuan awak? Awak nak apa dari saya ni? Awak ingat dengan berjumpa ibubapa saya, saya akan terima awak semula? Awak ingat dengan cara mengusik saya macam ni, hati saya akan lembut ke? Dah terlambat Hariz. Hati saya dah tertutup untuk awak dan untuk terima cinta sesiapa pun. Saya dah kunci rapat. Saya tak benarkan sesiapa pun masuk."

"Awak jangan hukum diri macam ni. Awak berhak bahagia, walaupun tanpa saya. Kenapa awak tak kahwin lagi? Kenapa awak nak seksa diri awak sendiri?"

"Saya tak hukum diri sendiri."

"Kalau gitu. maksudnya awak menghukum saya lah kan. Sebab saya pernah lukakan hati awak. Saya pernah kecewakan awak. Jadi sebab tu awak tutup pintu hati awak, untuk terima cinta lain. Kalau macam tu, baik awak terima saya semula... sebab saya masih sayangkan awak!"

"Tak semudah itu.."

"Katakan apa yang perlu saya buat untuk tebus kesalahan saya tu..i will do anything for you. Saya bersedia sekarang. Ya, dulu saya belum ready untuk bercinta, Sekarang ni saya dah ada kerjaya, saya dah banggakan ibubapa saya. Sekarang ni masa saya bahagiakan diri sendiri pula."

"Ramai lagi gadis cantik dan baik kat luar sana."

"Tapi saya tetap nak awak!"

"Kenapa pula saya? Saya ni bukan ada apa-apa pun. Kerja cikgu je pun, rupa paras pun biasa-biasa je, perangai pun tak adalah baik sangat."

"Sebab awak yang pertama. Sebab awak, saya belajar erti rindu, sayang dan cinta."

"Hahaha...macam tak percaya awak boleh cakap macam ni. Saya rasa awak salah makan ubat ni. Ni betul ke Hariz Ehsan yang saya kenal dulu?" Perli Irdina sambil ketawa sinis.

"Tolonglah Dina, maafkan saya. Saya dah cuba cari awak dalam masa 10 tahun ni, saya tak sangka rupa-rupanya awak ada di negeri saya sendiri. Awak nampak tak takdir Allah, awak nampak tak jodoh kita memang ada?"

"Bukan saya yang minta posting sini. Saya yang dicampakkan ke sini."

 Irdina masih berkeras. Tidak akan menerima mudah-mudah.

"Itulah takdir namanya. Sudikah awak terima saya semula Dina? Saya ikhlas nak berkawan semula awak."

"Nak berkawan? Supaya dapat sakitkan hati saya macam dulu? Supaya saya salah faham macam dulu?"

"Tolong bagi peluang kedua kepada saya untuk buktikan keikhlasan saya..."

"Cukuplah awak dah hadir lama dulu, kemudian awak pergi macam tu je, awak buat saya macam tunggul kayu.."

"Bukan saya yang pergi, tapi awak yang pergi tinggalkan saya.."

"Walaupun awak tak suruh saya tinggalkan awak, tapi saya faham awak memang maksudkannya. Selama kita berkawan pun, awak tak pernah cakap awak anggap saya lebih dari seoraang kawan. Memang salah saya pun dari mula kita kenal, saya yang bertepuk sebelah tangan, saya yang perigi cari timba. Perempuan tak tahu malu kan..to be honest, saya rasa maruah saya dipijak-pijak sewenang-wenangnya oleh awak..."

"Dina...saya tak pernah berfikiran sampai macm tu. Tak pernah saya rasa nak hina dan anggap awak perigi mencari timba. Satu je sebab saya terpaksa tipu awak masa tu..kan saya dah bagitahu..susah sangat ke awak nak faham situasi saya?"

"Awak nak suruh saya faham situasi awak..tapi awak faham dan tahu tak apa yang terjadi kepada saya selepas tu? Awak tak tahu dan tak pernah ambil tahu..apa yang awak tahu ialah study..study..study..dan sekarang ni kenapa cari saya semula? Untuk apa?" 

Tembak Irdina bertalu-talu. Barangkali melepaskan geram yang bertahun-tahun tersimpan.

Kelihatannya Irdina masih berdegil. Hariz cuba bertenang. Nampaknya Irdina sudah berubah menjadi seorang yang keras hati dan sukar dipujuk. Langsung berbeza dengan dulu. Mungkin kekecewaannya itu menjadikan sikap Irdina berubah menjadi degil dan keras hati.

"Saya faham awak kecewa, awak terluka dengan perkara yang dah lepas tu. Boleh tak awak lupakan dan terima semula saya. Bukannya besar sangat dosa saya kan..."

Irdina mencebik bibirnya. Geram dengan sikap Hariz yang seolah-olah merendahkan rasa bengang dan sakit hatinya selama ini.

"Awak tak akan faham sebab awak yang lukakan hati saya. Yang terluka, yang sakit, yang kecewanya adalah saya..bukan awak. Jadi tolonglah berhenti cakap yang awak faham apa yang saya rasa dan lalui sebab hakikatnya awak tak faham pun."

"Satu perkara saya minta dengan awak..berhenti kejar saya. Hari tu awak pergi cari saya kat kampung, ni awak pura-pura jadi secret admire saya ...apa semua ni? Awak nak mainkan hati dan perasaan saya lagi ke? Tak cukup lagi yang dah lepas-lepas tu? Tak cukup lagi dengan harapan yang awak pernah beri... dan kemudian awak hancurkan semula harapan tu?"

Irdina tidak tahu dari mana dia mendapat kekuatan untuk bercakap sebegitu. Mungkin kerana selama ini dia banyak memendam rasa dengan sikap Hariz. Mungkin juga kerana dia tidak pernah meluahkan kepada sesiapa melainkan hanya di buku catatan sahaja.

"Saya nak balik dulu. Kepala rasa nak pecah dah ni."

"Tapi.."

Irdina bangun dari kerusi dan mencapai beg tangannya. Dia pandang wajah Hariz yang nampak sugul. Selepas itu, Irdina berlalu tanpa menoleh lagi. Di dalam kereta, dia menangis teresak-esak. Dari atas, Hariz nampak Irdina tunduk mengesat air mata. Hati Hariz turut sebak. Maafkan aku, Irdina!!

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee