Home Novel Cinta CINTA KAU DAN AKU
Bab 51

Petang itu, Irdina bersama keluarganya berada di halaman rumah. Ketika itu, hanya ada 4 orang anak Pak Lan yang ada iaitu Irdina, Imani, Inara dan juga si bongsu Izzar. Aktiviti mereka ialah bermain badminton beregu tanpa nett. Sementara Pak Lan dan isterinya berbual-bual di beranda rumah. 

Irdina bersama Inara manakala Imani bersama Izzar.  Sedang asyik bermain sambil bergelak ketawa, sebuah motosikal Ex5 masuk ke halaman rumah. Irdina dan adik-adiknya berhenti seketika. 

"Assalamualaikum Pak Lan, santai nampak. Anak-anak semua balik kampung ya. "

Lelaki yang tidak dikenali Irdina itu memberi salam kepada Pak Razlan. 

"Waalaikumussalam. Ya, ni belum semua lagi sampai. Kalau semua sampai lagi riuh. Ada apa hal ni, ke nak ajak pergi memancing?"

Pak Razlan mempersilakan tetamu itu duduk di beranda rumah. Irdina dan Imani menangguhkan hasrat untuk sambung bermain. Segan pula kerana lelaki dewasa datang ke rumah mereka. Irdina dan Imani membawa diri ke belakang rumah manakala Inara dan Izzar meneruskan permainan. 

"Pak Lan, tadi tu Dina ke?"

Lelaki yang bernama Nazmi itu bertanya. Dia ingat-ingat lupa tapi setahunya Pak Lan mempunyai 4 orang anak perempuan. Dua sudah kahwin, dua lagi belum. 

"Ya, Dina. Anak yang ketiga. Kamu kenal ke dia?"

"Rasa macam kenal. Beza dua tahun je saya dengan Dina tu Pak Lan, kalau dengan adik saya Nazman tu sebaya lah tapi mereka tak sekelas rasanya sebab Dina tu budak pandai, Nazman duduk kelas belakang.." 

Memang benar, siapa tak kenal dengan anak-anak Pak Lan yang semuanya bijak-bijak dan semuanya ke menara gading. 

"Alah, korang tak pandai pun tak apalah. Harta mak ayah kamu tu 7 keturunan pun tak habis."

Pak Lan mengusik. Anak Tok Penghulu ni si Nazmi ni! Ayahnya mempunyai tanah yang berpuluh-puluh ekar, lembu berpuluh-puluh ekor, orang kaya kat kampung tu. 

"Tu harta ayah, Pak Lan. Saya ni apalah yang ada, sekadar menumpang harta ayah je. Lagipun saya tak berharap sangat dengan harta ayah, sebab tu saya pun ada kerjaya sendiri."

Nazmi merendah diri. Pak Lan tersenyum, dia tahu anak Tok Penghulu yang ini, seorang guru sekolah rendah di kampung itu. Orangnya berbudi bahasa dan masih bujang. Berbeza dengan adiknya si Nazman yang suka menimbulkan masalah di dalam kampung. Tak padan dengan anak Tok Penghulu..

"Mak nya, buatkan air. Si Nazmi ni dah dahaga agaknya." 

"Eh, tak payah susah-susah lah Mak Som, Pak Lan. Tak apa, saya datang pun tak lama. Saja je ni, datang nak sembang dengan Pak Li."

"Tak ada susahnya. Mak nya, suruh si Dina ke atau Ani yang buatkan."

Mak Som berlalu ke dapur. Dari pintu dapur, dia memanggil Irdina dan Imani. 

"Tolong buat air, tetamu datang tak elok biarkan je," ujar Mak Som.

"Kau lah buat kak."

Sambil mencebik, Irdina mengacau Teh O dalam jag yang kecil. Cukup-cukup untuk dua orang minum. 

"Mak, ni airnya!" 

"Bawaklah pergi sana."

Mak Som mengarah sambil menjeling anaknya. Bukan dia tidak tahu anak-anak nya jika tetamu datang, mulalah semuanya nak larikan diri, terutamanya si Irdina ni. 

"Ayah, ni airnya."

Irdina meletakkan jag air dan 2 biji cawan di tengah-tengah antara ayahnya dan lelaki itu. Lelaki itu menjeling sambil tersenyum. Irdina buat-buat tak tahu sahaja. Sombong!

"Dina, ni kau kenal tak siapa ni? Dia kerja cikgu di sekolah rendah kamu dulu tu..."

Sebaik sahaja Irdina ingin berlalu, Pak Lan bersuara. Irdina memusingkan kembali badannya. Dia menggeleng kepala. Bukan penting pun! Isk, sombong benar si Irdina ni!

"Ni anak Tok Penghulu yang ketiga. Nazmi namanya. Nazmi kata, adik dia sebaya Dina. Nazman. Dina kenal ke?"

Irdina mengerutkan dahinya. 

"Nazman mana ya? Nazman yang...nakal tu ke?"

"Ha ah. Adik saya tu memang nakal, mesti anak Pak Lan ni pernah kena usik dulu-dulu."

Irdina mencebik mengingatkan budak lelaki bernama Nazman. Memang nakal budak tu! 

"Ayah, Dina naik dulu. Nak masak nasi, mak suruh."

Irdina memberikan alasan padahal emak telah menyuruh Imani tadi. Sebenarnya dia ingin mengelakkan diri dari terus bercakap tentang lelaki bernama Nazman itu. Menyampah! 


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee