Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 18 - PDSS
Bab 18 

MATA Rania melilau mencari kelibat Furqan di balai ketibaan. Walaupun tidak ramai orang namun suasana masih bising dengan pelbagai ragam pengunjung.

“Mana pula Furqan ni, janji mahu datang. Sudah nak masuk jam 2.00 pagi ni, hish… ini yang aku tak suka.” dengus Rania sendirian.

Dia segera menyentuh telefon pintarnya, mencari no. telefon Furqan.

“Kak Rania!” suara lelaki jelas dari arah belakangnya.

Rania segera menoleh. Hah, akhirnya Furqan tiba. Alhamdulillah.

Tersengih-sengih Furqan memandangnya dari jauh sambil melambai-lambai.

“Awal kak Rania sampai.” sapa Furqan sambil mengambil beg tarik Rania.

“Mana awalnya. Akak tiba di sini jam 1.15 pagi, sudah 40 minit akak tunggu Furqan.” Rania membebel.

Oh! Malaysia tanahair yang ku cintai, akhirnya kini aku berada semula di sisimu. Wajah pelbagai bangsa jelas kelihatan. Tiada lagi orang yang memakai kot sejuk. Tidak perlu lagi menaiki subway. Rania cuba menyesuaikan diri dengan negara asalnya setelah 5 hari di Korea.

“Mana boyfriend akak, tak nampak pun.” usik Furqan sambil tertinjau-tinjau di sekeliling Rania.

“Akak lupa bawa. Ada, tertinggal di Seoul.” Rania tergelak besar.

Frustlah Mama dan Papa, kakak tak bawa balik calon suami orang Korea.” usik Furqan lagi.

Rania tersengih mendengar gurauan Furqan.

“Hahaha… pandai buat lawak pagi-pagi ni. Lelaki Korea tak pandang akak pun. Di sana lagi banyak wanita cantik yang boleh dipilih.” jawab Rania masih dengan gelak tawanya.

“Alah… wajah wanita dia orang tak asli. Banyak yang sudah buat plastic surgery. Kak Rania lagi cantik dan asli.” puji Furqan sambil memandang kakaknya yang tinggi lampai.

“Akak nampak semakin cantik dan berseri-seri sejak balik dari Seoul ni. Pasti ada sesuatu kan?” usik Furqan membuatkan Rania membutangkan matanya.

“Melepaslah Furqan dapat abang ipar orang Korea. Kalau tak, setiap tahun boleh ke Korea jenguk akak.” gelak Furqan lagi membuatkan Rania menjuihkan lidah.

“Aah… sudah, jangan nak merepek lagi. Mana Furqan parking kereta? Akak dah tak sabar mahu tidur dengan teddy bear kat rumah. Mama dan Papa sihat ke?” soal Rania membuatkan Furqan berhenti seketika. Dia tepat memandang Rania..

“Alhamdulillah, sihat. Cuma Mama ada batuk-batuk sikit sejak balik dari Mekah hari tu. Ada cerita best tau dari Mama untuk akak.”

Furqan sengaja memancing perhatian Rania.

“Alhamdulillah, akak di sana selalu berdoa Mama dan Papa memperolehi umrah yang mabrur.” jawab Rania dengan penuh perasaan.

“Rindunya dengan cuaca di Malaysia.” tutur Rania sebaik sahaja berada di kawasan parking yang terbuka.

“Rindukan cuaca atau rindukan boyfriend Malaysia?” usik Furqan tidak habis menyakat Rania yang kelihatan letih.

“Hahaha.. pastilah rindukan kedua-duanya!” jawab Rania selamba.

Rania rindukan gelak tawa Furqan adik lelakinya yang berusia 22 tahun. Dua tahun lebih muda darinya. Walaupun negara Malaysia tiada cuaca sejuk namun dia tetap berbangga dilahirkan di sini.




“MAMA dan Papa syukur sangat dapat cukup hajar aswad walaupun masa itu waktu puncak. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan.” ujar Mama teruja dengan pengalaman selama 7 hari di Mekah.

Papa hanya tersenyum mendengar cerita isterinya. Dia berasa gembira dapat berkumpul dengan 2 orang anaknya, Rania dan Furqan penyeri dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, Rania pun mahu kucup hajar aswad kalau pergi sana nanti.” ujar Rania akan impiannya.

“Insya-ALLAH, Rania pasti akan dipanggil sebagai tetamu-Nya nanti. Jangan henti berdoa dan kumpul duit.” Nasihat Papa kepada anak perempuan sulungnya.

“Apa yang kakak belikan ole-ole untuk Furqan.” Tiba-tiba Furqan mencelah di ruang tamu.

Mereka semua sudah selesai menikmati sarapan, kini mereka berkumpul di ruang tamu. Saling bertukar cerita antara 2 benua yang berlainan. Papa dan Mama dari bumi barakah Mekah dan Madinah manakala Rania pula dari bumi Korea Selatan.

“Tak sabar sejak pagi tadi, asyik tanya ole-ole dia.” usik Rania sambil membuka sebuah beg plastik berwarna hitam.

“Kak Rania ada belikan T-shirt ‘I LOVE KOREA’ tak?” soal Furqan teruja.

Sejak dari Malaysia lagi dia sudah memberitahu Rania supaya jangan lupa belikan T-shirt tersebut. Berulang kali diingatkan.

“Alamak, lupalah nak beli. Yang ini hanya T-shirt perempuan sahaja.” ujar Rania dengan nada kesal.

Dia memandang tepat ke arah adik lelakinya.

“Akak!! Biar betul tak belikan. Furqan sudah banyak kali ingatkan.” balas Furqan dengan nada kecewa. Wajahnya mula muram tidak seceria seperti tadi.

Mama dan Papa hanya mendiamkan diri tanpa banyak menyoal kepada Rania.

“Hah! Ada la, tak perasan. Tersorok kat belakang ni. Ini T-shirt yang Furqan nak sangat tu. Akak beli warna hitam yang macam Furqan mahu.” Terjah Rania membuatkan Furqan melonjak gembira.

“Terima kasih kak. Beli juga ole-ole untuk Furqan. Ingatkan sudah lupa pada adik di Malaysia.

Almaklumkan banyak lelaki handsome di Korea.” sakat Furqan galak mengenakan Rania.

Mata Rania membulat besar bila Furqan menyebut lelaki handsome Korea.

“Nak kena Furqan ni, tak habis-habis bercakap pasal lelaki handsome Korea. Saja nak kenakan akulah tu!” Rania sempat bermonolog sendirian.

“Mana akak boleh lupakan adik yang paling handsome ni.” usik Rania pula.

Furqan sudah mula mengayakan T-shirt yang dibelikan Rania dibadannya yang agak gempal berbanding badannya yang kurus ramping.

“Rania ada beli brooch buatan Korea. Mama pilihlah yang mana satu berkenan di hati.” Rania menghulurkan kotak brooch yang dibelinya di E-Lengdang, Myeongdong.

“Wah, cantiknya. Mama suka semuanya, pandai Rania pilihkan.” puji Mama kepada anak gadisnya yang pandai memilih corak dan warna brooch yang sesuai dengan citarasanya.

Walaupun Rania baru 2 tahun bekerja namun dia mengakui anak gadisnya itu pandai menyimpan duit dan berjimat-cermat dalam berbelanja.

“Untuk Papa tak ada ke?” sampuk Papa sambil menjenguk ke beg plastik yang ada di depan Rania.

Mereka semua ketawa bila mendengar permintaan Papa.

“Mestilah ada. Rania tak lupakan ole-ole untuk Papa. Harap sangat Papa suka. Surprise!” Rania segera mengeluarkan sebuah bantal comel dari sebuah beg plastik.

“Apa tu?” soal Papa terpinga-pinga melihatnya. Dia agak blur.

“Ini bantallah Papa. Bantal ini bagus untuk kesihatan dan kepala. Cuba Papa pegang, dalamnya bukan kekabu tapi ada macam biji kacang. Orang Korea kalau tidur gunakan bantal macam ni. Malam ni Papa boleh cuba gunakan.” ujar Rania bersungguh.

Bantal itu hanya sepanjang lengan orang dewasa. Rania membeli warna merah hati supaya tidak cepat kotor. Rania tertarik untuk membeli kerana tidak ada idea ole-ole yang sesuai untuk diberikan kepada Papa.

“Ooh… nampaknya malam ni Papa mimpikan K-Pop la.” ujar Papa membuatkan semua ketawa sakan.

“Jangan nak mengada-gada, sedarlah sikit. K-Pop tu untuk orang muda saja.” usik Mama kepada Papa yang mencium bantal itu berulang kali.

Rania dan Furqan hanya tersenyum melihat kemesraan suami isteri itu.

“Sekali-sekala apa salah, bermimpi jadi orang muda. Awak pun boleh cuba gunakan bantal ni nanti.” balas Papa sambil menghulurkan kepada Mama.

“Bila Rania mula bekerja?” soal Papa yang duduk tersandar di sofa berbunga ros.

“Insya-ALLAH, hari isnin ni Rania masuk kerja.” jawab Rania sambil menyusun beg plastik yang tidak digunakan. Selesai sudah sesi memberi ole-ole kepada ahli keluarganya.

Selepas ini Rania boleh sambung tidur. Dia mahu qadak tidurnya. Di Seoul, dia kurang tidur kerana asyik bersiar-siar.

“Rania sempat main salji ke?” soal Mama yang kelihatan agak gelap mungkin kerana cuaca panas di sana membuatkan kulitnya berubah warna.

“Eis.. taklah Ma. Rania pergi ni musim bunga. Musim sejuk baru saja berlalu. Tapi tetap rasa sejuk macam duduk dalam fridge saja.” balas Rania.

“Kalau pagi-pagi tu, cakap pun mulut keluar asap. Naik kaku dibuatnya.” sambung Rania lagi akan pengalamannya di Seoul selama 5 hari.

“Zaidah, tahan pula dia sejuk. Bukan ke dia tu ada asma dan tak tahan sangat dengan suhu sejuk.” sampuk Papa.

Dia mengetahui Zaidah bersama Rania di Seoul.

“Alhamdulillah, Zaidah okay aja. Semua ubat-ubatan dia sudah bawa sekali.” jawab Rania tanpa memandang ke arah Papa.

Pasti kacau kalau Papa dan Mama tahu cerita sebenar bahawa Zaidah last minute tidak jadi ke Korea kerana asmanya yang teruk.

Rania bersandar ke sofa setelah barang-barangnya dikemaskan. Tangan Mama disentuh mesra, “Ma, ole-ole untuk Rania dari Mekah tak ada ke?” Rania seolah-olah menagih hadiah macam budak kecil.

“Untuk kak Rania tak ada. Hanya untuk Furqan saja yang Mama belikan. Betul tak Ma?” Furqan segera duduk di sebelah Mama.

Rania membuat muka masam bila mendengar kata-kata Furqan.

“Betul, Ma ada belikan Furqan jubah lelaki dan Rania pula jubah perempuan.”

“Nanti solat Jumaat Furqan boleh pakai. Kita sama-sama pakai jubah.” Sampuk Papa.

“Okay, tiada masalah. Sudah lama Furqan nak pakai jubah bila gi solat Jumaat.” Furqan memeluk Mama dengan penuh kasih sayang sebagai tanda terima kasih.

“Furqan kalau pakai jubah pasti nampak macam lelaki Arab.” usik Rania.

“Mestilah, Furqan kan handsome. Pakai apa pun tetap handsome. Kak Rania jangan jelous ya.” jawab Furqan sambil membaling bantal kecil sofa kepada Rania.

“Perasan!” Rania mengelakkan diri daripada terkena bantal kecil tersebut.

“Anak Mama dua-dua handsome dan cantik. Mama belikan Rania jubah hitam, harap sesuai dengan saiz badan Rania. Nanti Mama ambilkan, Rania boleh cuba.”

Furqan dan Rania tersenyum gembira dengan kata-kata Mama yang pandai mengambil hati mereka.

“Rania dan Furqan jangan lupa minum air zam zam yang Papa dapat daripada agensi umrah. Sebelum minum selawat dan berdoa mohon kepada ALLAH akan hajat di hati. Doa mereka yang minum air zam zam adalah mustajab.” ujar Papa sambil tersenyum.

Nasihat itu turut disampaikan oleh ustaz yang mengiringi perjalanan kembara suci mereka di sana. Wajah Papa kelihatan bersih dan bercahaya.

“Hah, dengar tu kak Rania. Berdoa dapat jodoh lelaki Korea sebelum minum air zam zam.” usik Furqan membuatkan wajah Rania merona merah di hadapan Papa dan Mama.

Rania segera membaling semula bantal kecil ke arah Furqan. Namun Furqan sempat mengelak. Dia hanya tersengih menampakkan giginya yang berlapis. Rania mengetapkan bibir.

“Furqan pun sama berdoa jodoh isteri yang solehah.” sampuk Mama membuatkan Furqan terkejut.

Rania tergelak sakan mendengar kata-kata dari Mama. Padan muka, tadi mengenakan aku sekarang giliran kau pulak!

“Ma, Furqan muda lagi. Baru 22 tahun, belajar pun tak habis lagi.” ujar Furqan perlahan. Dia belum bersedia untuk memberikan komitmen dengan sebuah perkahwinan.

“Sebab mudalah, Mama suruh kamu berdoa dapat calon isteri yang beriman. Di Mekah, Mama lihat banyak pasangan muda yang sudah bernikah buat umrah dan beribadat di Masjidil Haram.” cerita Mama dengan wajah yang serius.

Papa hanya memerhatikan dan tersenyum melihat telatah 2 adik-beradik.

“Mama doakan Furqan dapat jodoh yang baik. Doa ibukan mustajab!” sahut Furqan malu-malu. Rania hanya tersengih melihat wajah Furqan yang merona merah.

“Iya, Mama selalu mendoakan jodoh yang baik dan beriman untuk anak-anak Mama. Moga bahagia dunia dan akhirat.” sambung Mama lagi.

Tangan Papa dipegang mesra. Perbezaan usia Mama dan Papa hanya 5 tahun sahaja.

“Terima kasih Ma.” Rania memeluk Mama dengan penuh kasih sayang.

“Mama, nak suruh Rania simpankan atau Mama mahu tinggalkan di sini.” ujar Rania sebelum beredar dari situ.

“Biarkan di sini. Tak puas Mama mahu belek lagi. Jauh brooch ni datang. Rania mahu ke mana?” soal Mama sambil menyusun brooch di atas meja kaca hadapannya.

“Apa lagi Ma, kak Rania mahu tidurlah tu.” perli Furqan sambil tersengih.

“Kak Rania keletihan. Asyik berjalan di Seoul 5 hari. Sudah, pergi berehat. Nanti jam 12.45 tengahari Mama kejutkan.” Mama menjawab bagi pihak anak gadisnya.

Dia tahu Rania keletihan dan tidak cukup tidur. Melihat wajah Rania yang agak pucat sudah pasti anaknya itu menggunakan tenaga yang bukan sedikit di Seoul.

“Hah, dengar tu. Mama pun faham tau!” perli Rania sambil berlalu dari ruang sofa menuju ke tingkat atas.

Sebaik sahaja Rania merebahkan badan di atas katil, tangannya segera mengambil teddy bear besar yang berwarna coklat. Dicium teddy bear tu, hadiah daripada Papa sejak dia berusia 21 tahun.

Tiba-tiba mata Rania terpandangkan scarfyang berwarna merah pemberian Alex. Tanpa disedari dia bangun dan mengambil scarf. Direnung scarf itu lama.

“Apa khabar Alex? Macam mana keadaan dia hari ini?” soalan itu muncul di fikirannya. Dipegang scarf yang lembut buatannya. Bau minyak wangi Alex masih kekal di situ. Seolah-olah Alex berada di sisinya. Scarf itu segera dipakaikan pada leher Mr. Teddy Bear. Dia tersenyum sendirian melihat Mr. Teddy Bear kelihatan handsome bersama scarf dari Korea. Entah mengapa pagi ini hatinya menjadi dingin, terus teringatkan Alex yang jauh dari mata.




ALEX meneliti pesanan biji kopi yang diimport khas dari Amerika Syarikat. Diciumnya bau biji kopi dengan cermat. Staf di situ hanya memerhatikan kelakuan majikan yang masih muda dan bujang. ALEX Kim Jie, pemilik penuh Honey Coffee Café yang terletak di Seoul.

“Biji kopi ini masih baru. Simpan elok-elok di dalam stor. Ambil sedikit untuk buat minuman pelanggan hari ini.” ujar Alex dengan wajah yang serius ketika bekerja.

Walaupun sudah 5 hari dia tidak ke kafé namun setiap pelaporan telah dimaklumkan oleh pembantunya.

“Baik, wajah Mr. Alex kelihatan pucat. Tuan sakit ke?” soal staf tadi prihatin.

“Tak, saya cuma kepenatan sedikit. Kamu boleh bawa guni biji kopi ini ke stor.” Arah Alex kepada staf lelakinya yang memakai spek mata bulat.

Sehingga kini, Alex mempunyai 15 orang staf yang terdiri daripada 6 perempuan dan 9 lelaki. Honey Coffee Café beroperasi selama 15 jam setiap hari kecuali hari Isnin akan ditutup.

Alex memegang wajahnya, agak panas. Sejak bangun pagi tadi, dia sudah berasa badannya panas. Alex sempat membuat air teh ubat sebelum ke kafé. Dia perlu berada di kafé hari ini setelah 5 hari bercuti.

“Mr. Alex, bunga ros ini mahu diletakkan di mana?” soal seorang staf wanita sambil tersenyum nakal.

“Kamu letakkan di pejabat saya. Pastikan bunga itu kelihatan sentiasa segar ya.” balas Alex.

Matanya tidak lepas daripada melihat bunga ros itu dibawa masuk ke dalam pejabatnya. Dia menahan rasa rindu yang memuncak kepada Rania. Tidak sampai 24 jam, Alex sudah mula serba tidak kena di sini. Dia pasti Rania sudah tiba di Kuala Lumpur dan bersama ahli keluarganya.

“Mr. Alex, Cik Yoonah datang dan mahu berjumpa. Dia ada di luar.” Tiba-tiba seorang staf lelaki datang memberitahunya.

“Katakan kepadanya yang saya sedang sibuk. Bagi Cik Yoonah minuman kegemarannya. Saya mahu masuk ke pejabat.” Alex terus beredar dari ruangan dapur yang menempatkan peralatan membuat minuman coffee. Staf itu hanya menganggukkan kepala.

Alex merenung bunga ros yang ditinggalkan Rania semalam. Dia menghampiri bunga ros itu lalu dicium perlahan. Bau harum menusuk ke hidung mancungnya. Bagaimana keadaan Rania sekarang di Kuala Lumpur? Adakah Rania masih mengingati dirinya seorang diri di sini? Sihat ke dia? Atau dia pun demam seperti aku? Pelbagai persoalan yang muncul difikirannya pagi ini. Kepalanya juga berdenyut-denyut, Alex menahan sakit. Badannya terasa panas.

Bunga ros merah hati direnung semula dengan mata yang layu. Alex berasa tidak bersemangat hari ini. Badannya seolah-olah tidak bermaya hanya disebabkan ketiadaan Rania di depan matanya. Mereka kini terpisah 4,619.6 kilometer atau 2,870.5 batu jauhnya.

Alex turut menyalahkan dirinya kerana tidak mendapatkan no. telefon dan akaun facebook gadis itu untuk dihubungi. Semuanya itu Alex terlupa akibat kalut memikirkan cara memujuk dan memohon maaf daripada Rania. Alex menundukkan kepalanya di atas meja tanda menyesal.

Tiba-tiba pintu biliknya dibuka keras, “Hai, Alex!” suara wanita itu cukup dikenali.

Alex mengangkat wajahnya melihat siapa yang masuk ke pejabatnya ketika ini. Kelibat Yoonah muncul di depannya dengan tersenyum lebar. Yoonah mara ke arahnya tanpa disuruh. Dia duduk berhadapan dengan Alex. Matanya terus memandang Alex sambil tersenyum sinis.

“Tak ada lah teruk sangat sakit kau ni. Cuma nampak tidak bermaya sahaja.” perli Yoonah sambil membetulkan rambutnya yang panjang.

“Siapa benarkan kau masuk ke sini?” soal Alex dengan nada tinggi.

“Tiada siapa yang benarkan. Aku sendiri yang mahu masuk. Aku mahu melihat kau okay ke tidak setelah tiadanya Rania di Seoul.” ujar Yoonah tenang. Matanya tidak lepas memandang bunga ros merah yang tersusun kemas di dalam pasu bunga.

“Bunga ini untuk Rania? Eh, tapi kenapa ada di pejabat kau pula? Pelik sungguh!” Yoonah sengaja membuatkan hati Alex panas. Dia sungguh cemburu dengan Rania, Alex sanggup membelikan jambangan bunga ros untuk gadis yang belum tentu menerimanya.

“Kau diam boleh tak? Kepala aku sakit ni. Kau datang bertambah sakit dibuatnya.” jawab Alex dengan sinis.

“Aku cuma bertanya sahaja. Ingin mengetahui cerita sebenar apa yang telah berlaku semalam. Rania tidak terima pemberian bunga ros ni ke?” duga Yoonah membuatkan Alex merenung tajam wajah putih Yoonah di depannya.

“Rania tertinggal bunga ros.” jawab Alex lemah.

“Betul ke Rania tertinggalkan bunga ros ini, bukan sebab dia menolak cinta kau?” ujar Yoonah lagi. Dia pasti Rania menolak pemberian bunga ros ini daripada Alex setelah mendengar cerita baby mereka. Nampaknya lakonannya berjaya dan berkesan. Yoonah tersenyum sendirian.

“Kenapa kau tersenyum?” soal Alex dengan penuh rasa curiga dengan kelakuan Yoonah.

“Aku senyum pun tak boleh?” pantas Yoonah menjawab. Dia mula berdiri, beg tanggannya digenggam erat.

“Okaylah Alex, aku mahu beredar. Aku tidak mahu menganggu khayalan kau dengan gadis Malaysia tu. Kalau kau perlukan teman untuk berhibur, aku sudi menerimanya. Jangan lupa call aku ya.” ujar Yoonah dengan nada manja. Alex hanya memalingkan muka ke arah lain. Menyampah dan meluat dengan perangai Yoonah yang sengaja membuatnya sakit hati.

Alex memeluk badannya. Kerusi dipusingkan. Dia mendengus panjang. Marah akan dirinya sendiri kerna gagal menambat hati Rania selama 5 hari yang lalu. Kini, Rania sudah tiada di Seoul. Harapannya semakin tipis atau tiada langsung . Bagaimana aku mahu menghubungi Rania di Malaysia sedangkan satu maklumat pun aku tak ada. Dia memejamkan matanya rapat. Alex mati akal.

Previous: Bab 17 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez