Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 06 - PDSS

SUASANA di perkarangan Masjidil Haram sesak dengan tetamu ALLAH. Berpusu-pusu orang mula keluar daripada masjid selepas selesai solat Zuhur.

“Pegang tangan saya kuat-kuat!” ujar Zulkarnaen kepada isterinya di sisi.

“Abang jalan perlahan sikit, sakit tangan saya ni.” ujar Noraidah sambil membetulkan kain telekungnya.

“Saya sudah jalan perlahan ni.” jawab Zulkarnaen.

“Pegang tangan saya, jangan lepaskan.”

“Abang, saya sudah tidak larat.” ujar Puan Noraidah perlahan. Zulkarnaen memandang Noraidah sekilas.

“Sikit lagi, kita akan berhenti di tiang depan tu.” pujuk Zulkarnaen kepada isterinya.

Noraidah hanya menganggukkan kepalanya.

Cuaca panas dan suhu yang mencecah 42 darjah celcius tidak mengurangkan jumlah jemaah yang hadir di tanah haram. Noraidah tercungap-cungap. Dia memegang kakinya sambil membebel, “Bila sudah tua ni jalan sikit saja sudah mula sakit.”

“Jangan membebel tak tentu pasal, kita di tanah haram ni. Cakap yang elok dan baik saja. Semua tu doa dan cepat makbul.” balas Zulkarnean masih memegang tangan isterinya.

“Jantung saya berdebar-debarlah, tak tahu mengapa. Saya tidak sedap hati.” ujar Noraidah yang duduk tersandar di salah sebuah tiang Masjidil Haram.

“Mula lagi. Jangan ikutkan sangat hati tu. Kalau rasa tak selesa, cepat-cepat istigfar dan berdoa kepada ALLAH. Kita di rumahnya.” nasihat Zulkarnaen.

“Awak dahaga. Sekejap lagi kita minum air zam zam.”

“Betul bang, jantung saya berdebar-debar sejak tadi. Ada perkara buruk yang berlaku di Malaysia?” luah Noraidah kepada suaminya.

“Jangan dilayan perasaan tu. Awak banyak naik tangga, tu yang membuatkan jantung awak berdebar-debar.”

“Saya teringatkan Rania!” terpacul nama itu daripada bibir Noraidah.

Zulkarnaen tersentak sebaik sahaja nama itu disebut. Dia segera memeluk isterinya bagi menenangkan perasaan rindu seorang ibu kepada anaknya. Noraidah mula menangis di bahu suaminya yang telah dikawini sejak 25 tahun.

“Kita doakan yang terbaik buat Rania. Sudah, berhenti menangis. Kita minum air zam-zam sekejap.”

“Tadi semasa saya solat, ada seorang gadis tu wajahnya sama seperti Rania. Saya terkejut.” ujar Noraidah sambil membetulkan kain baju jubah hitam yang dipakainya.

“Terus saya teringatkan Rania. Saya berasa…”

“Sudah, jangan cakap lagi. Mari kita ke sana, minum air zam zam.” ajak Zulkarnaen. Dia memandang isterinya dengan penuh kasih sayang. Tangan Noraidah diusap lembut.

“Kita doakan moga Rania selamat dunia akhirat dan cepat jodohnya. Jangan lupa berdoa untuk Furqan juga. Kita hanya ada 3 hari saja lagi di sini.”

“Baik, abang. Saya rindukan mereka. Maafkan saya jika banyak buat kesilapan.”

Zulkarnaen hanya menganggukkan kepala perlahan. Matanya segera menghadap ke arah Kaabah dengan penuh khusyuk. Dalam diam, dia berdoa moga Rania dan Furqan dijemput ALLAH sebagai tetamuNya.

 

 

 

BAKUL dan barang-barang berselerak di tepi jalan raya.

“Kamu tidak apa-apa Rania?” soal Alex cemas. Jantungnya berdegup kencang bagaikan mahu tersembul keluar.

“Saya okay. Terima kasih Alex selamatkan saya.” balas Rania dengan tercungap-cungap.

Tangannya segera dilepaskan daripada Alex. Mujur tindakan pantas Alex, menyelamatkan dirinya daripada dilanggar motosikal yang laju tadi. Pemilik peniaga barang-barang turut datang membantu.

“Alhamdulillah, terima kasih TUHAN kerana melindungi diri ini.” bisik hatinya.

“Mari saya bantu kamu membawa kamera itu.” pelawa Alex.

“Terima kasih. Kamu jangan risaukan saya, sekarang ini saya sudah okay.”

Alex hanya menganggukkan kepala.

“Ayuh, saya tidak sabar mahu ke masjid Seoul Central.”

“Baik.” Alex tersenyum memandang Rania. Dia tidak dapat membayangkan jika perkara buruk berlaku ke atas Rania.

“Banyaknya kedai makan di sini!” Rania teruja sebaik sahaja dapat melihat deretan kedai makanan muslim.

“Wah, ada kedai makan Indonesia, Pakistan dan Arab. Kamu boleh makan masakan Arab?”

“Boleh saja. Saya pernah makan nasi Arab, sangat sedap.” balas Alex.

“Saya mahu makan makanan Korea. Saya suka makan topoki!” beritahu Rania kepada Alex.

“Cerita tentang makanan ni membuatkan perut saya lapar.” jawab Alex.

“Saya fikir, kita makan dulu dan kemudian saya akan ke masjid.” ujar Rania.

“Kedai Murree Muslim Food seperti menarik. Kita makan di sini, boleh tak Alex?”

“Boleh. Saya ikut kamu.”

Mereka segera masuk dan mencari tempat duduk. Walaupun tidak ramai orang, namun tempat duduknya agak terhad. Akhirnya mereka mengambil tempat duduk yang berhampiran dengan pintu masuk kedai. Dari situ mereka dapat melihat keadaan di luar kedai. Mata Rania melilau melihat keadaan dalaman kedai makan. Seorang wanita Korea datang dengan mengukirkan sebuah senyuman kepada mereka berdua. Dia memberikan menu makanan kepada Rania dan Alex.

“Banyaknya makanan!” Rania tersenyum lebar.

“Ini nampak sedap. Yang ini juga, nampak sedap!” Rania sibuk membelek menu yang disediakan oleh kedai itu. Alex pula tekun melihat menu yang disenaraikan.

“Kamu suka makan apa?” soal Alex membuatkan Rania terhenti melihat menu.

“Saya suka makanan yang pedas dan mengenyangkan.”

“Hari ini saya mahu makan makanan Korea saja. Dakdoritang, masakan berasaskan ayam dan agak pedas. Galbitang pula sup daging yang ada sayur.” Rania membaca satu persatu menu yang tertera di depan matanya.

“Saya mahu rasa semua masakan ini boleh tak?”

“Saya cadangkan kamu pesan Bulgogi. Ini merupakan menu yang popular dan digemari rakyat Korea. Rasanya sangat sedap!” Alex mengesyorkan menu itu kepada Rania yang mula rambang mata.

“Baik. Saya mahu cuba menu itu. Kamu mahu makan apa?”

“Saya mahu Galbitang dan Dakdoritang. Boleh ke?” usik Alex.

“Boleh. Saya ambil pesanan ya.”

Pekerja kedai dipanggil dan Rania mula memesan menu. “Kami juga mahu nasi untuk dua orang makan. Bulgogi, Galbitang dan Dakdoritang. Terima kasih.”

“Di sini tidak ada jual makanan topoki. Saya mahu sangat makan topoki.”

“Di Malaysia pun ada makanan Korea?” soal Alex ingin tahu.

“Ada. Cuma tidak banyak. Kawan universiti yang perkenalkan makanan Korea pada saya.” Rania mengingati kembali pertama kali mencuba makanan yang berasal dari negara Korea.

“Pemerhatian saya, makanan Korea amat berkhasiat. Ada sayur-sayuran dan tidak berminyak.”

“Apa makanan Korea yang pertama kamu cuba makan?”

“Cuba kamu teka.” usik Rania.

“Makanan Korea banyak.” balas Alex.

“Baik, saya teka. Kalau betul kamu beri saya hadiah, setuju?”

“Setuju, dengan syarat kamu boleh teka sebanyak tiga kali sahaja.” jelas Rania.

Topoki?” teka Alex.

“Bukan.”

Bokkumbap?” Alex meneka kali kedua.

“Pun bukan. Kali ketiga ini kamu perlu teka dengan betul. Cuba fikir.”

“Fuhh… apa ya? Bagilah saya sedikit tips makanan tu.” pujuk Alex.

“Mana boleh. Kalau saya beri tips, nanti kamu tahu jawapannya. Cuba lagi.” Rania menolak cadangan Alex.

“Baik. Saya cuba. Makanan Korea yang pertama kamu makan adalah Bimbimbap?”

Mata Rania terbeliak mendengar jawapan itu.

“Tepat sekali! Bimbimbap!” Rania menepuk tangan meraikan jawapan Alex yang tepat.

“Terima kasih. Saya tahu jawapan itu daripada mula lagi. Cuma saya sengaja beritahu kamu untuk kali yang ketiga.” Alex tersenyum.

“Iya ke?”

“Ya, saya dapat agak bila kamu kata sebentar tadi yang kamu suka makanan yang pedas dan mengenyangkan. Saya terfikir makanan Bimbimbap yang merupakan nasi putih yang dicampur dengan pelbagai sayur-sayuran dan sos cili.”

“Bijak kamu! Pertama kali saya cuba makan Bimbimbap terus saya suka. Bila makan panas-panas sungguh nikmat! Kemudian saya makan sekali dengan kimchi.” jelas Rania.

“Kamu suka makan kimchi?”

“Suka! Kamu pandai buat kimchi tak? Saya mahu belajar buat kimchi.” ujar Rania.

“Saya tidak sangka kamu sukakan makanan Korea. Kamu perlu tinggal lama di sini dan boleh belajar memasak masakan Korea.”

“Saya tidak pandai buat kimchi tapi ibu saya pakar membuat kimchi. Jika kamu rasa pasti akan mahu makan lagi dan akan teringat-ingat.”

“Ibu kamu tinggal dengan bersama dengan kamu di sini?”

“Tidak, ibu saya tinggal di Busan.”

“Kamu pernah ke Busan?” soal Alex.

“Tidak pernah.”

“Kamu perlu datang ke Busan. Banyak tempat yang menarik di sana. Sebenarnya saya berasal dari Busan. Selepas menamatkan pengajian di universiti, saya terus bekerja di Seoul.”

“Jauh ke Busan dari Seoul?”

“Jauh juga. Jika menaiki KTX iaitu keretapi laju, hampir 4 jam baru sampai ke Busan.”

“Jika kamu mahu, saya boleh bawa kamu ke Busan sebelum kamu balik ke Malaysia.” pelawa Alex.

“Terima kasih. Mungkin lain kali. Saya sudah ada jadual yang padat di Seoul.” Rania menolak dengan baik.

Seketika kemudian, makanan yang dipesan tiba di meja mereka. Rania memandang setiap menu dengan tidak berkelip matanya.

“Ayuh, kita makan. Saya sungguh lapar ni.” Rania terus menikmati nasi putih.

“Jika kamu mahu makan Bulgogi, ada caranya. Mari saya tunjukkan.” Alex terus mengambil sehelai sayur salad hijau kemudian dia mengambil Bulgogi. Daging itu diletakkan di atas daun salad dan kemudian dibungkus. Alex terus memandang Rania.

“Sekarang ni kamu buka mulut.” Suruh Alex.

Tanpa berfikir panjang Rania terus membuka mulut, dan tidak diduga Alex terus menyuapkan bungkusan sayur tadi ke dalam mulut Rania.

Tanpa berkata Rania terus mengunyah sayuran tersebut. Dia terkedu dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

“Apa rasanya?” soal Alex.

Rania masih mengunyah makanan tersebut. Wajahnya mula panas.

“Sedap!” itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya.

Bulgogi dibuat daripada hirisan daging lembu yang diperap dengan kicap, bawang putih, minyak bijan, bawang dan lada hitam.” Alex menerangkan ramuan Bulgogi tanpa disuruh.

“Daging ini terasa manis dan rasa sedap dimakan dengan sayur salad.” komen Rania.

“Daging itu diperap dengan kicap manis. Kamu berasa pedas ke?”

“Tidak, kenapa pula?”

“Wajah kamu merah. Saya fikir kamu kepedasan.” teka Alex. Rania tersipu dan memegang wajahnya. Dalam hatinya berbisik, “Aku malu dengan Alex kerana suapkan makanan padaku. Kenapalah Alex ni baik sangat dengan aku.”

Rania hanya tersenyum dan terus menikmati rezeki di depan matanya. Alex hanya melihat Rania makan dengan penuh selera.

Rania terperasan dan terus melihat Alex. “Kenapa kamu tidak makan? Tidak sedap ke?” soal Rania bimbang.

“Saya sudah kenyang.”

“Kenyang? Tapi tadi kamu juga yang kata lapar.” Rania tidak percaya dengan jawapan Alex.

“Saya kenyang melihat kamu makan dengan penuh selera.” selamba sahaja Alex bertutur.

“Alex!!!” Rania tergamam.

Previous: Bab 05 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez