Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 09 - PDSS

JAM tangan Alex tepat menunjukkan jam 12.45 tengahari, di mana-mana sahaja kelihatan pengunjung daripada pelbagai usia gembira menghayati keindahan alam semulajadi, hasil seni karangkraf dan mengimbau kembali kisah romantik drama yang popular tahun 2002 untuk memadu kasih di Pulau Nami.

“Romantis sungguh Joonsang dan Yu-jin di dalam drama Winter Sonata.” Rania leka melihat setiap foto yang diambil daripada sedutan drama itu. Galeri Winter Sonata merupakan galeri yang mesti dikunjungi oleh peminat drama tersebut. Sebuah poster besar yang berlatarbelakangkan kedua pelakon utama itu disediakan untuk peminat bergambar bersama.

“Alex, tolong ambilkan gambar saya bersama pasangan romantis ni.” tanpa membantah Alex bersedia dengan lensa kamera.

“Rania, di depan tu kedai makan halal yang menjual Dosirak.” Alex menunjukkan kepada Rania sebaik sahaja mereka sampai di bangunan Baplex Hall.

“Perut saya dah lapar. Jom kita pergi makan.” Rania bersetuju dengan cadangan Alex. Kedai makan itu tidak besar namun menyediakan meja dan kerusi sama ada di dalam atau luar kedai.

“Kamu mahu duduk di mana?” soal Alex kepada Rania yang asyik memandang gelagat pelanggan kedai di situ.

“Kita duduk di dalam sahaja. Di luar ni agak sejuk.” Rania segera duduk di sebuah meja yang berhampiran dengan kaunter.

“Selain Dosirak, kamu mahu makan apa?” soal Alex yang duduk setentang dengan Rania. Kamera diletakkan di atas meja makan.

“Saya mahu pankek kimchi.”

“Saya pergi ambil order.” Alex segera bangun dan menuju ke kaunter yang disediakan. Pekerja kedai agak sibuk memenuhi keperluan pelanggan yang datang silih berganti. Suasana agak bising dengan pelbagai karenah, ada yang sibuk menguruskan kehendak anak-anak, ada yang asyik menikmati makanan yang dipesan dan ada yang sedang menunggu.

Alex tiba dengan dua buah cawan yang berisi air putih. Ianya disediakan oleh pihak kedai dan pelanggan perlu mengambilnya sendiri.

“Ini air untuk kamu, tentu kamu sudah haus.” pelawa Alex.

“Terima kasih.” balas Rania sambil mengambil sesuatu daripada beg sandangnya.

Banana milk?” spontan sahaja Alex bertutur sebaik sahaja melihat Rania mengeluarkan botol itu.

“Ada satu sahaja yang saya bawa. Kamu mahu rasa?” Alex mengelengkan kepala. Rania memasukkan straw. Air itu diminum dengan penuh nikmat.

Banana milk ni sangat sedap. Kawan saya kata kalau pergi ke Korea jangan lupa beli banana milk kerana rasanya yang sedap. Kalau boleh saya mahu bawa balik ke Malaysia.” gelak Rania. Banana milk mempunyai banyak perisa seperti strawberi dan oren. Bentuknya seperti botol air vitagen namun besar dan gemuk sedikit.

“Wah, Dosirak sudah tiba!” ujar Rania teruja. Namun ada sesuatu yang pelik di samping hidangan.

“Mari saya tunjukkan bagaimana mahu menikmati Dosirak. Kamu perlu memakai kedua-dua glove khas yang disediakan. Dan kemudian goncang dengan kuat supaya nasi dapat bersatu dengan kimchi dan telur!” Alex terus mengoncangkan bekas tin nasi. Rania tidak tahan menahan ketawanya.

“Patutlah dipanggil nasi goncang atau nasi kocak! Perlu buat begitu!” gelak Rania. Segera dicapai kamera lalu diambil gambar Alex dengan Dosirak.

“Saya mahu buat juga!” tangannya disarungkan dengan glove dan kemudian digoncangkan.

“Kamu goncang tak kuat. Mari saya buatkan.” segera Alex mengambil bekas tin nasi tadi lalu digoncang kuat.

“Dosirak sudah sedia dimakan.” Alex memberikan semula kepada Rania sejurus selesai mengoncangnya. Bekas makanan itu dibuka perlahan. Kelihatan nasi putih bercampur telur separuh masak dan kimchi.

“Emm.. sedap! Cuma kimchi ni agak kuat masamnya. Pankek ni pun sedap dan saiznya besar. Saya mahu tunjukkan sesuatu dari Malaysia.” Rania meletakkan chopstik dan mencari sesuatu di dalam beg sandangnya.

Surprise! Serunding dari Malaysia!”

“Serunding?” balas Alex dengan kehairanan.

“Ini adalah makanan tradisional. Serunding diperbuat daripada daging dan dimasak lama sehingga kering supaya tahan lama. Cuba kamu rasa.” pelawa Rania sambil meletakkan sedikit serunding di makanan Alex.

“Emm… sedap! Ada rasa sedikit pedas dan rempah-ratus . Saya suka!” komen Alex sebaik sahaja mencubanya. Rania gembira mendengar maklum balas daripada Alex akan makanan Malaysia.

“Kamu pandai masak?” soalan Alex membuatkan Rania hampir tersedak.

“Bolehlah sedikit, tapi tidak sepandai chef!” gelak Rania. Alex tersenyum mendengarnya.

“Kenapa kamu tanya?” soal Rania ingin tahu.

“Saja tanya. Kamu masih bertenaga lagi untuk berjalan?” Alex mengalihkan topik perbualan.

“Saya okay selepas makan Dosirak dan banana milk. Tapi sebelum kita sambung semula bersiar-siar saya mahu solat dulu. Saya diberitahu bahawa dekat kawasan ini ada tempat solat untuk orang muslim.” ujar Rania sambil melihat ke arah luar kedai.

“Oh, saya ada nampak tadi. Tempat tu di sebelah kedai ni. Kamu seorang penganut Islam yang patuh pada ajaran agama. Saya kagum dengan kamu.”

“Sebagai orang Islam, kami diwajibkan menunaikan solat walaupun sedang bermusafir.”

“Kali ni saya belanja kamu makan. Tunggu sebentar ya.” Alex berlalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Rania hanya memerhatikan Alex dengan rasa senang dilayan begitu. Alangkah bahagianya jika Alex ni orang Islam, moga ALLAH beri hidayah Islam kepada Alex doa Rania dalam diam.

Alex menunggu Rania di depan bangunan yang menempatkan musolla. Tangannya mula menyentuh skrin telefon pintarnya. Dia melihat semula foto Rania sepanjang 2 hari yang lepas. Rania ternyata cantik dan mempunyai senyuman yang manis membuatkan hati lelakinya berdebar. Senyuman tidak lekang dari bibirnya tatkala menatap foto Rania. Sedang dia asyik melihat satu persatu gambar yang diambil secara curi-curi, bahunya ditepuk oleh seseorang. Alex segera menoleh.

Excuse me, musolla?” soal seorang lelaki berbangsa Indonesia kepadanya. Alex terus menunjukkan arah tempat mussolla. Sejurus lelaki itu mengucapkan terima kasih dan beredar hatinya terdetik, jika dia menyukai dan ingin memiliki Rania ada satu masalah utama yang perlu dihadapi iaitu perbezaan agama. Melihat cara dan ketaatan Rania pada agama Islam pasti dia merupakan seorang penganut yang patuh pada ajaran Islam. Sebelum ini, ada juga rakan-rakan muslimnya yang bercerita akan agama Islam namun telinganya sekadar mendengar tidak lebih dari itu. Namun, kehadiran dan sejak pertemuannya dengan Rania membuatkan dia ingin mengetahui apa yang istimewanya Islam di kaca mata Rania.

“Jauh mengelamun!” Alex tersentak. Hampir sahaja dia mahu terjatuh dari bangku yang didudukinya.

“Rania! Kamu buat saya terkejut!” balas Alex. Mukanya merah menahan rasa marah.

“Saya sudah panggil nama kamu, namun tiada reaksi. Apa yang kamu menungkan?” ujar Rania ingin tahu. Dari tingkat atas dia dapat melihat Alex yang merenung jauh seperti ada masalah.

“Maaf, saya tidak dengar langsung. Kamu sudah solat?” soal Alex berdiri dan membetulkan baju kot sejuknya.

“Sudah, terima kasih masih setia menunggu di sini.” Rania ketawa menampakkan sebaris gigi putih yang tersusun cantik.

“Kamu tidak menjawab soalan saya tadi.” Rania mengingatkan kembali. Alex mengerutkan dahi, “Soalan apa ya?” balasnya bersahaja.

“Apa yang kamu menungkan tadi? Ada masalah ke?” ujar Rania dengan penuh minat.

“Ooh… saya sedang memikirkan hadiah apa yang sesuai untuk diberikan kepada kamu.” Alex memberikan alasan yang lain. Dia tidak mahu Rania mengetahui perkara sebenar tentang apa yang bermain difikirannya sekarang.

“Hadiah?... Untuk saya?” Rania seolah ingin melompat tinggi semasa Alex menyebut tentang hadiah. Ianya perkara yang paling disukai dalam hidupnya.

“Ya, hadiah untuk kamu. Pasti kamu suka kan?” duga Alex membuatkan Rania bertambah teruja. Belum sempat Rania berkata lagi Alex sudah maju ke depan meninggalkan kawasan restoran. Terkedek-kedek Rania mengekori dari belakang.

“Apa yang berwarna putih tu?” tunjuk Rania di sebuah kolam kecil yang mempunyai jambatan kayu. Kakinya tidak berasa sakit lagi, langkah kakinya semakin laju.

“Itu adalah baki ais yang masih membeku. Sebelum musim bunga adalah musim sejuk, bertuah kamu dapat melihatnya. Kamu pernah bermain salji?” tanya Alex membuatkan Rania mengelengkan kepala perlahan.

“Di Korea ada tempat yang kamu masih boleh nikmati suasana sejuk dan bersalji walaupun sekarang sedang musim bunga. Kalau kamu berminat, di gunung Soorak masih ada salji. Tapi perjalanannya agak jauh dari Seoul. Hampir 4 jam menuju ke sana jika menaiki bas.” jelas Alex membuatkan Rania bertambah ralat bila mendengar tempat itu jauh. Dia mempunyai keinginan untuk bermain salji sekiranya berpeluang namun memandang dia hanya mengembara seorang diri maka niatnya dibatalkan. Rania mahu berseronok bermain salji dengan Zaidah kawan baiknya.

“Mungkin lain kali sahaja saya pergi. Sebelum meninggalkan Pulau Nami, saya mahu membeli sedikit cenderahati.” luah Rania.

Mata mereka tertumpu kepada seekor tupai tanah yang asyik leka makan chestnut yang jatuh daripada pokok. Kelincahan tupai itu menarik minat beberapa pengunjung untuk merakamkan video dan mengambil gambar.

“Cantiknya deretan pokok metasequoia depan tu. Alex, bantu saya ambil gambar.” pinta Rania. Di situ merupakan tempat tumpuan pengunjung mengambil gambar kerana pemandangan yang sungguh cantik dan menghijau. Wajah-wajah ceria jelas kelihatan di situ, memang sifat manusia semulajadi dijadikan untuk suka kepada sesuatu yang cantik dan indah.

Tiba-tiba, “Mari saya ambilkan gambar kamu berdua.” Seorang lelaki Korea menawarkan bantuan untuk mengambil gambar mereka berdua. Alex dan Rania terkejut dengan pelawaan tu, tanpa berlengah lagi Alex menyerahkan kamera kepada lelaki itu. Dia segera bersedia di sebelah Rania.

Maeu joseumnida!” ujar lelaki itu sebaik sahaja selesai mengambil gambar. Hampir serentak Alex dan Rania menganggukkan kepala tanda mengucapkan terima kasih.

“Apa yang lelaki tu kata?” soal Rania ingin tahu kerana lelaki itu menggunakan bahasa Korea.

“Dia kata kita perlu cepat kawin!” jawab Alex dengan senyuman lebar. Wajahnya merona merah. Rania terus ketawa besar mendengar jawapan itu.

“Pandai uncle tu buat lawak. Macam-macam perangai orang ni.” Rania masih tertawa.

“Maksud maeu joseumnida adalah bagus sekali. Di sinikan ramai pasangan kekasih, mungkin uncle itu fikir kita pun dalam fasa itu.” Alex turut tertawa girang.

Rania bergegas mengajak Alex ke kedai cenderahati sebaik sahaja terpandang papan arah kedai itu. Hampir 20 minit, mereka menghabiskan masa di situ melihat dan membelek cenderahati yang berkenan di hati untuk dibeli.

“Banyaknya kamu beli fridge magnet. Mesti kawan kamu ramai!” Alex membuat telahan rambang setelah melihat hampir 10 fridge magnet yang dibeli oleh Rania.

“Betul tu, ada kawan saya yang kirim suruh belikan. Saya tunaikan hajat mereka.” Rania membayar harga barang yang dibeli dan mereka terus beredar dari situ.

“Kita tidak perlu berjalan di seluruh Pulau Nami ni, nanti pengsan dibuatnya. Kita ikut laluan ini dan menuju semula ke jeti.” nasihat Alex. Rania mengangguk setuju, sudah hampir 5 jam mereka berada di Pulau Nami. Di sekitar mereka berdiri megah pohon-pohon menghijau menunjukkan Pulau Nami dijaga rapi. Para pengunjung tidak dibenarkan memetik atau merosakkan tumbuhan yang ada di situ dan haiwan seperti anjing pun tidak dibenarkan dibawa bersama.

Sepanjang mereka berjalan di laluan yang berhampiran Sungai Han, mereka terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak yang datang bersama dengan guru. Rania tertarik kerana kanak-kanak itu patuh berbaris 2 barisan.

“Kamu sukakan kanak-kanak?” Alex menyoal sebaik sahaja melihat keceriaan di wajah Rania yang melihat kumpulan kanak-kanak itu.

“Mestilah suka. Saya tiada adik kecil.” jawab Rania sambil memandang Sungai Han.

“Saya anak tunggal.” luah Alex perlahan. Dia curi-curi memandang Rania, mahu melihat reaksi wanita itu. Hatinya mula terdetik untuk meluahkan perasaan sayang kepada Rania kerana bimbang tidak dapat berjumpa lagi. Dia menarik nafas dalam-dalam dan kemudian dilepaskan.

“Kamu tiada rasa takut bila seorang diri sahaja di Seoul?” soalan Alex membuatkan Rania pantas menoleh. Kenapa pula soalan itu yang terkeluar daripada mulutnya sedangkan Alex ingin Rania mengetahui akan isi hatinya.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Saya yakin, Tuhan sentiasa bersama dan melindungi saya.” tenang Rania menjawab.

“Keyakinan kamu tinggi terhadap Tuhan.” Alex kagum dengan jawapan Rania.

“Agama Islam menitik beratkan kepercayaan tauhid bahawa ALLAH Maha Besar dan Maha Mengetahui tentang semua perkara yang berlaku di alam ini termasuk daun yang gugur ke tanah.” petah Rania menjelaskan.

Alex hanya mengiyakan sahaja. Soal hati yang mahu ditanya, lain pula jadinya. Dia tidak puas hati, Rania perlu diberitahu akan isi hatinya. Walaupun usia perkenalan mereka sangat singkat, namun Alex telah dilamun cinta dan sayang gara-gara penangan Rania!.

“Cantiknya belon-belon putih digantung di atas pokok!” teriak Rania membuatkan Alex turut menoleh. Pulau Nami bukan sahaja ada mitos kisah drama Winter Sonata, namun dipamerkan juga hasil seni daripada pengiat seni daripada negara Indonesia, China, Thailand dan beberapa negara lagi. Rania kagum dan berasa bangga kerana hasil seni rakyat Malaysia iaitu Yusuf Gajah turut ada di situ.

Alex berusaha mengumpulkan semula semangat untuk memaklumkan kepada Rania, “Kalau saya tanya kamu satu soalan boleh tak?”

“Banyak soalan pun tidak mengapa.” balas Rania acuh tak acuh. Dia memfokus lensa kamera ke arah kumpulan kanak-kanak tadi. Cekap dia mengunakan kamera yang sudah berbakti sejak 2 tahun yang lalu.

“Sebenarnya saya suka…” ayat itu tidak habis diluahkan tatkala seorang kanak-kanak daripada kumpulan tadi datang memberikan mereka buah limau seorang satu biji.

Kamsa hamnida (Terima kasih).” serentak mereka mengucapkan. Rania segera menyuruh Alex membantunya mengambil gambar dengan kumpulan kanak-kanak yang berusia 6 hingga 7 tahun.

“Harumnya bau buah limau ni! Tak sangka dapat hadiah!” Rania tersenyum lebar. Alex mengelengkan kepala melihat reaksi Rania yang seperti kanak-kanak mendapat gula-gula.

“Kita semakin sampai di jeti! Cepat juga kita berjalan, tidak sedar langsung.” Rania memasukkan kamera kesayangannya di dalam beg sandang.

“Selepas ni, kita terus pergi ke Namsan Tower ya. Kamu tidak perlu balik ke guesthouse.” pinta Alex.

“Boleh juga tapi kamu ikut sekali?” soal Rania memohon kepastian. Dalam hatinya berkata, hampir seharian Alex menemani aku di sini tanpa jemu. Sungguh bertuah wanita yang berjaya menawan hati lelaki seperti Alex. Tidak mungkin Alex menyukai dirinya kerana mereka berlainan agama dan bangsa. Pasti haru-biru jadinya jika mereka berdua saling menyintai. Orang lain bawa balik cenderahati, tapi aku pula bawa balik lelaki Korea ke Malaysia. Mustahil, perkara ini tidak akan terjadi!

Previous: Bab 08 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez