Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 04 - PDSS

KRING… KRING… KRING

Rania membuka matanya perlahan-lahan. Alarm telefon bimbitnya dihentikan. Jam di skrin telefon bimbitnya menunjukkan jam 4.30 pagi waktu Korea. Waktu solat subuh sudah masuk. Rania mengeliat dan mengikat rambutnya, perlahan-lahan membuka kain selimut. Kakinya cuba digerakkan, alhamdulillah makin kurang sakitnya. Rania tersenyum sendirian melihat sticker yang melekat di kakinya.

Suasana apartment Yoonah sunyi sepi. Sejuk mula mencengkam tulangnya. Usai mengambil wuduk, kakinya segera disarung dengan stokin yang diperbuat daripada bulu kambing biri-biri. Terasa hangat dan amat selesa. Rania terus menjalankan kewajipan seorang muslimah. Setelah berdoa kepada TUHAN, Rania menyiapkan diri dan mengemas barang-barangnya di dalam beg sandang. Pagi ini dia perlu beredar dari apartment Yoonah. Di dalam fikirannya mula memikirkan hostel baru untuk menginap. Dia mempunyai empat hari lagi di Seoul.

Rania duduk bersandar di dinding, matanya terus menyemak pesanan yang masuk menerusi SMS. Nama Zaidah muncul di salah satu peti masuk pesanan ringkas. Tanpa berlengah, Rania terus membuka lalu membaca.

“Hish… tak habis-habis Dato Kamil mengambil tahu tentang dirinya. Penting sangat ke dirinya sampai begitu sekali dia mencari aku.” Rania bermonolog sendirian.

Jarinya laju menekan kekunci telefon bimbit. Dia membalas pesanan ringkas Zaidah.

Waaikumussalam sahabatku yang baik hati,

Tahniah kerana masih menyimpan rahsia antara kita berdua. Tentang Dato Kamil tu, aku pun naik bosan bila mengetahuinya. Hotel Princess ada banyak staf, aku juga yang dicarinya. Aku ini bukan orang penting di hotel pun, hanya seorang pembantu eksekutif marketing! Entahlah, malas aku nak bercerita kalau melibatkan Dato Kamil ni. Aku ada banyak cerita yang menarik di sini nanti kita bercerita panjang ya. Apa-apa yang berlaku beritahu aku. Mohon doakan urusan aku dipermudahkan dan dilindungi Tuhan.

Jumpa lagi. Bye.

Segera ditekan butang ‘SEND’ ke Zaidah. Rania tersenyum puas hati kerana dapat berhubung dengan orang Malaysia. Rania menguap berulang kali, matanya masih mengantuk. Baru jam 5.30 pagi. Takut pula dia keluar pagi-pagi di tempat yang asing. Rania terus menarik semula kain selimut yang berada di hujung kakinya. Matanya mula layu dan perlahan-lahan terlena semula.

Seketika kemudian, telinga Rania mula terdengar suara orang yang berbual-bual. Matanya mula dibuka. Jam tangannya tepat menunjukkan jam 7.30 pagi, dia bingkas bangun dan bersiap-siap.

Sebaik sahaja dia melangkah ke ruang tamu, sekujur tubuh yang amat dikenalinya. Rania mengosokkan matanya berulang kali. Yoonah hanya tersenyum melihat gelagat Rania.

“Selamat pagi, Rania.” Alex menyapa Rania yang siap untuk keluar. Rania tersipu.

“Selamat pagi Alex dan Yoonah.” balas Rania lemah. Dia segera melabuhkan punggungnya di meja makan.

“Kamu hampir lewat, bukan ke hari ini kamu akan ke Jinhae Gunhangje Festival.” soal Alex bersungguh.

“Hah?” mata Rania terbeliak memandang Alex.

“Macam mana kamu tahu?” soal Rania pantas.

“Ada tertulis di kertas ini.” Alex segera menghulurkan sehelai kertas kepadanya.

“Oh, inetari saya. Bagaimana ada bersama kamu?” soal Rania kehairanan.

“Kamu tertinggal semasa keluar dari kedai kopi malam tadi.” balas Alex dengan tenang.

“Ayuh, minum pagi. Jika tidak kamu berdua akan lewat ke sana.” Yoonah menyampuk dan segera menghidangkan fresh oren, buah epal Korea dan telur ayam yang direbus.

“Berdua? Apa maksud Yoonah?” soal Aishah hairan.

“Kamu dan Alex.” selamba sahaja Yoonah berkata. Alex pula hanya tersenyum.

Rania segera memandang ke arah Alex yang segak memakai baju kemeja berwarna biru.

“Ini nasi segera yang boleh kamu makan.” Yoonah menghulurkan kepadanya.

Rania memandang Alex dengan pandangan yang mendalam.

“Kamu tidak perlu risau. Nasi segera ini tidak ada bahan yang mencurigakan untuk dimakan oleh orang Islam.” Alex berkata tanpa memberi peluang kepada Rania untuk bercakap.

“Terima kasih kerana memahami.” Rania menundukkan sedikit kepalanya.

Mereka bertiga memulakan sesi menikmati juadah yang terhidang di atas meja. Sekali sekala Alex memandang Rania yang menikmati makanan pagi dengan penuh selera. Yoonah hanya memerhati dengan cermat wanita dihadapannya.

Sesudah makan, Rania segera mengemaskan barangnya untuk dibawa bersama.

“Kamu tidak perlu bawa barang itu bersama. Hanya bawa kamera, passport dan dompet kamu sahaja.” arah Alex. Matanya sempat menjeling Yoonah yang asyik memerhati mereka berdua.

“Ada yang tidak kena pada saya?” Alex bersuara perlahan kepada Yoonah.

“Ada. Kamu berdua, nampak serasi dan seperti sudah lama saling mengenali.” usik Yoonah yang sibuk membersihkan meja makan.

Alex hanya ketawa besar mendengar telahan daripada Yoonah. Rania hanya mengelengkan kepala melihat gelagat Alex.

“Ayuh, Rania. Balik nanti kita ambil barang kamu.” Rania hanya menganggukkan kepalanya. Beg sandang kecil yang berisi barang dibawa bersama. Mereka berdua mengucapkan selamat tinggal kepada Yoonah.

“Kenapa kamu ikut saya?” tiba-tiba terkeluar soalan itu daripada mulut mungil Rania.

“Kamu tidak bekerja ke?” soal Rania lagi.

“Hari ini saya bercuti dan tidak ada aktiviti lain hari ini. Bosan terperap di rumah maka saya datang awal untuk kembalikan semula itenari kamu.” pantas saja Alex menjawab.

“Dan saya dengan sukarela ingin menemani kamu berjalan-jalan di sekitar Seoul.” sambung Alex.

“Kamu tidak suka?” duga Alex lantas menoleh ke arah Rania.

“Erk, bukan itu maksud saya.” Rania mengelengkan kepala.

“Tapi, saya seorang pelancong yang memakai tudung kepala.”

Alex mendengus kuat. “Salahkah saya mengiringi kamu. Anggap saja saya seperti pemandu pelancong warga Korea yang menjadi pemandu pelancong kepada kamu.” balas Alex bersungguh.

Rania terdiam mendengar jawapan itu.

“Saya tiada cukup wang untuk membayar kamu sebagai pemandu pelancong.” Rania menoleh ke arah Alex yang asyik meneliti peta perjalanan perkhidmatan subway.

“Tidak perlu. Anggap saja saya juga pelancong seperti kamu.” Alex tersenyum memandang Rania.

“Bagaimana dengan kaki kamu, sudah baik ke?” soal Alex sambil tepat memandang ke arah kaki Rania.

“Masih sakit sedikit, tapi saya boleh berjalan. Cuma perlahan.” balas Rania sambil mengangkat sedikit kakinya.

“Kalau masih sakit, kita batalkan dan kamu berehat sahaja.” nasihat Alex kepada Rania.

“Tidak mengapa, kaki saya semakin baik.”

“Kita akan menuju ke stesen subway Jinhae. Dari situ kita akan berjalan kaki dalam 640 meter ke Jinhae Gunhangje Festival.” jelas Alex.

Rania hanya menganggukkan kepala tanda faham.

“Berapa hari kamu di Seoul?” soal Alex lagi.

“Di Seoul hanya 5 hari sahaja. Selepas itu, pulang ke Malaysia.” ujar Rania.

“Lama juga kamu di Korea.” Alex tersenyum.

“Mengapa kamu tersenyum?” spontan sahaja soalan itu terpacul dari Rania.

“Saya suka senyum. Itu sahaja dan tidak ada maksud apa-apa.” jawab Alex selamba.

Mata Rania melilau keadaan sekeliling. Dia bermonolog sendirian. “Train yang dinaiki ini sungguh kondusif dan bersih. Ada tempat yang dikhaskan untuk orang tua dan wanita mengandung. Hatinya berasa tenang dengan kehadiran Alex walaupun baru beberapa jam mengenali pemuda Korea yang persis seperti artis Korea. Bagus juga ada kawan untuk melancong ke festival bunga.”

“Kita sudah tiba. Ayuh!” kata Alex.

Mereka keluar daripada subway dan menuju ke tapak festival. Mata Rania tertancap melihat vending machine dihadapannya. Seperti pernah dilihat di dalam drama Korea. Segera dia mengambil foto vending machine tersebut sebagai kenangan.

“Kamu mahu minum air kopi 1500 won?” soal Alex kepada Rania yang sedang meneliti vending machine tersebut.

“Sedap ke?” soal Rania.

“Kamu perlu minum dulu. Saya belanja kamu minum air kopi ini. Rugi jika sudah sampai di Korea dan tidak minum air kopi ini.” kata Alex sambil mengeluarkan wang syiling dan memilih air kopi panas seperti yang diminta oleh Rania.

“Untuk kamu. Selamat menikmati kopi magik.” kata Alex sambil menghulurkan secawan air kopi yang berisipadu 50 milimeter.

Rania memegang cawan kertas itu dengan cermat. Dia segera menikmati air kopi tersebut.

“Sedapnya!” Rania separuh menjerit. Alex hanya tersenyum menampakkan lesung pipitnya.

“Saya perlu beli lagi sebelum pulang ke Malaysia.” Rania berseloroh.

“Sudah tentu. Nanti kamu termimpi-mimpi pula mahu minum air kopi magik.” balas Alex senang.

Serentak mereka berdua ketawa besar.

“Cantiknya pemandangan di sini!” jerit Rania sebaik sahaja melihat pokok-pokok cherry hanya mengeluarkan bunga yang berwarna putih. Senyuman tidak lekang dari wajahnya.

“Ramainya orang di sini!” kata Rania.

“Ya, ramai. Festival ini berlangsung selama sepuluh hari, kebiasaannya bermula awal April. Kamu bertuah kerana ini merupakan festival bunga yang paling utama di Korea Selatan. Hampir dua juta pelancong setiap tahun akan datang ke sini.” terang Alex bersungguh.

“Wow, hebatnya festival ni!” Rania teruja. Tangannya segera mengambil kamera DSLR lalu mula mengambil gambar .

“Pasti seronok jika datang ke sini untuk honeymoon. Sejuk, pemandangan yang indah dan bersama dengan insan yang tersayang.” kata Rania yang tidak putus-putus memuji Jinhae Gunhangje Festival.

“Lain kali kamu harus datang lagi, tapi pastikan akhir bulan Mac sehingga pertengahan bulan April kerana itu adalah musim bunga di sini. Mari saya ambilkan foto kamu dengan pokok cherry yang berbunga cantik.” pelawa Alex.

Rania tersenyum lebar. “Terima kasih Alex. Ambil foto saya cantik-cantik ya.”

“Kamu sudah cantik. Pasti foto ini akan bertambah cantik!” usik Alex. Merah padam wajah Rania bila Alex memujinya.

Alex suka melihat Rania gembira. Memiliki wajah yang cantik, tingkah-laku yang sopan dan emosi yang cepat turun naik amat menarik perhatiannya. Dalam diam, dia menyukai wanita yang berada di depan matanya. Oh Rania!

Previous: Bab 03 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez