Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 07 - PDSS
ALEX segera menjawab telefon sebaik sahaja nama Yoonah muncul di skrin telefon pintarnya. Penjelasan yang disampaikan oleh Yoonah membuatkan Alex terkejut.

“Alex, jangan lupa parti Michael malam ini. Saya sudah beritahu Michael yang kita berdua akan datang ke sana. Kamu datang ke apartment saya jam 7.00 malam ni ya.” manja sahaja suara Yoonah.

“Kenapa kamu membuat keputusan terlebih dahulu, saya tidak menyatakan apa-apa persetujuan pun untuk keluar bersama.” jelas Alex tidak selesa. Dia menjauhkan perbualan itu daripada Rania terdengar.

“Alex sayang, jangan menolak pelawaan saya. Walaupun kita sudah berpisah, tapi saya masih sayangkan kamu. Lagi pun kita sudah lama tidak keluar bersama-sama. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kamu masih bersama dengan Rania?” soal Yoonah membuatkan Alex segera memandang Rania yang masih berselera makan di depan matanya.

“Ya, saya masih bersama Rania. Kenapa?”

“Saya sudah agak. Jangan kata disebabkan Rania, kamu menolak pelawaan saya ke parti malam ini.” Yoonah mengugut Alex.

“Jangan kaitkan Rania dalam soal ini. Sudah banyak kali saya katakan bahawa perhubungan kita sudah lama berakhir.” Alex semakin geram dengan Yoonah yang sengaja menganggu dia.

“Kamu sukakan Rania?” teka Yoonah membuatkan Alex tersentak.

Alex mendengus kuat, “Saya tidak perlu menjawab soalan itu. Jika tidak ada apa lagi, saya mahu tamatkan perbualan ni.” gertak Alex.

“Kamu tidak perlu berbohong dengan saya. Segala perhatian kamu kepada Rania jelas menunjukkan yang kamu suka dengan dia. Saya tidak peduli, kamu perlu datang menemani saya ke parti Michael malam ini.” Tut… Alex mengeluh panjang. Seleranya sudah tidak ada lagi.

“Kenapa Alex? Ada sesuatu yang berlaku kepada kamu?” Rania memandang Alex dengan rasa ingin tahu.

“Tidak ada apa-apa. Kawan saya ajak ke parti kawannya malam ini.” ujar Alex perlahan.

“Oh, saya fikirkan sesuatu yang buruk telah berlaku.” Rania menambah. Dia khuatir sesuatu yang buruk telah berlaku apabila melihat suasana tegang antara Alex dengan kawannya sebentar tadi.

“Saya malas mahu ke parti tu.” Alex meluahkan perasaannya. Sebenarnya dia tiada mood langsung untuk keluar dating bersama Yoonah, bekas kekasihnya setahun yang lalu.

“Kenapa? Kamu tidak sihat?” Rania meneka. Kalau melihat daripada wajah Alex, nampak okay saja.

“Saya letih.” pendek sahaja jawapan daripada Alex.

“Pasti kawan kamu mengharapkan kehadiran kamu ke parti malam ni.” ujar Rania memberi pendapat. Alex hanya mendengar tanpa memberi sebarang reaksi.

“Saya sudah selesai makan. Ayuh, kita beredar.” Rania segera memanggil pelayan kedai untuk membayar harga makanan. Usai menerima wang baki di tangan, mereka menuju ke masjid Seoul Central yang hanya mengambil masa 5 minit sahaja daripada kedai makan tadi.

“Kamu mahu masuk sekali?” soal Rania kepada Alex sebaik sahaja mereka tiba di pintu gerbang masjid.

“Saya boleh masuk ke?” soal Alex membuatkan Rania tersenyum.

“Boleh. Walaupun kita mempunyai lain kepercayaan agama, masjid sangat mengalu-alukan kedatangan semua orang.” jelas Rania seperti seorang ustazah.

“Saya temankan sehingga kamu selesai menunaikan ibadat.” jawab Alex dengan tenang. Dia berasa agak suspen kerana ini kali pertama masuk ke kawasan masjid yang dikhaskan untuk umat Islam beribadat.

Mereka terpaksa menaiki anak tangga untuk ke perkarangan masjid Seoul Central. Kelibat pelancong muslim daripada negara Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah dapat dilihat di kawasan masjid yang mempunyai 3 tingkat. Rania tidak henti mengucapkan syukur dan berasa amat gembira kerana dapat menjejaki rumah ALLAH di negara Korea yang mempunyai minoriti orang Islam.

“Kamu boleh duduk di sini. Saya mahu masuk ke dalam. Mungkin saya mengambil masa dalam 15 sehingga 20 minit sahaja.” Rania memberitahu Alex yang leka memandang seni bina masjid.

“Baik. Saya tunggu kamu di sini ya.”

Rania meninggalkan kameranya bersama Alex. Dia kemudian mencari tempat untuk mengambil wuduk. Matanya tertancap melihat seorang wanita yang baru selesai mengambil wuduk, Rania segera menuju ke bahagian tepi masjid yang menempatkan ruang wuduk dan tandas untuk kaum wanita. Usai mengambil wuduk, Rania menuju masuk ke dalam masjid. Dia meneliti maklumat dan papan tanda bagi mengetahui ruang solat untuk muslimat.

“Assalammuaikum, ruang solat muslimat di tingkat 2.” suara daripada seorang wanita Indonesia membuatkan Rania segera menoleh ke belakang.

“Waaikummussalam, terima kasih ya.” jawab Rania kepada wanita itu.

Sebaik sahaja Rania sampai di ruang solat muslimah, matanya melihat keadaan sekeliling. Ruang itu tidak besar namun panjang keluasannya. Ada beberapa orang wanita daripada Timur Tengah sedang menunaikan solat dan ada juga yang sedang membaca Al-Quran. Telekung yang tersusun rapi diambil dengan cermat, Rania berniat iktikaf di masjid lalu menunaikan solat tahiyatul masjid dan solat jamak takhir. Suasana tenang dan alunan ayat-ayat Al-Quran membuatkan Rania berasa damai dan dekat dengan Sang Pencipta Langit dan Bumi.

“Assalammuaikum my sister.” sapa seorang wanita daripada Turki kepada Rania ketika melipat kain telekung. Tangannya dihulurkan dan senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Rania menjawab salam lalu bersalaman dengan wanita itu. Sungguh indah apabila dapat bertemu dengan saudara islam di negara asing.

Sebelum beredar daripada masjid, Rania mengeluarkan beberapa wang kertas Ringgit Malaysia lalu dimasukkan ke dalam tabung masjid yang disediakan. Dia berniat moga sedikit sumbangan wang itu dapat dimanfaatkan oleh pihak pengurusan masjid. Matanya sempat membaca sedikit maklumat berkaitan masjid Seoul Central. Maklumat ini akan disimpan untuk ditulis di dalam blog kesayangannya. Masjid ini merupakan masjid pertama di Seoul yang dibina pada tahun 1974. Keluasan tapak masjid itu dalam sekitar 5000 meter yang telah didermakan oleh Kerajaan Korea pada ketika itu. Selain itu, ianya juga dibiayai oleh beberapa buah negara Islam.

Rania bergegas keluar dan mencari kelibat Alex yang ditinggalkan seketika tadi. Matanya melilau mencari namun Alex tiada di bangku yang disediakan oleh pihak masjid.

“Mana pulak Alex ni.”getus Rania perlahan.

“Kamu cari saya?” suara Alex membuatkan Rania terkejut.

“Alex! Kamu buat saya terkejut. Kamu ke mana?” soal Rania dengan nada tinggi.

“Janganlah marah, saya berbual dengan imam masjid ni. Dia seorang Korea muslim.” Alex cuba meredakan kemarahan Rania.

“Mana ada saya marah.” balas Rania sambil mengikat tali kasutnya. Wajah Alex langsung tidak dipandang.

“Kamu takut saya tinggalkan kamu ya?” duga Alex membuatkan Rania memandang Alex dengan mengerutkan dahi.

“Mana imamnya, saya tidak nampak pun.” Rania memandang ke arah pintu masuk tingkat 1 yang menempatkan ruang pentadbiran masjid.

“Imam sudah beredar, katanya mahu bersiap sedia untuk solat asar.” jelas Alex. Pengalaman tadi sungguh berharga tatkala disapa oleh seorang imam yang baik hati dan mesra berbual dengannya. Jauh sekali tanggapannya terhadap agama Islam sebelum ini. Walaupun dia seorang penganut Kristian namun dia tetap menghormati kepercayaan agama orang lain. Sudah lama Alex tidak datang ke gereja, akhir sekali ketika maknya membawa dia semasa berusia 15 tahun yang lalu. Setelah itu, jarang sekali dia pergi lagi.

“Oh, saya tidak dapat jumpa. Tidak ada rezeki mahu jumpa imam masjid ni.” luah Rania dengan rasa hampa.

“Lain kali kamu boleh berjumpa dengan imam. Kamu tidak mahu bergambar di sini?” Alex cuba mengalihkan perhatian Rania.

“Mestilah mahu!” ujar Rania teruja.

“Mari, saya tolong ambilkan gambar kamu.” Alex bersiap sedia dengan kamera di tangan. Tatkala melihat tulisan Arab berwarna hijau di bahagian atas masjid membuatkan Alex tergamam.

“Kenapa Alex?” soal Rania sebaik sahaja melihat Alex tidak berkelip mata memandang kalimah Allahu Akbar di atas masjid.

“Apa maksud perkataan itu?” Alex menunjukkan ke arah tulisan tadi. Rania tersenyum manis.

“Itu adalah bahasa Arab yang bermaksud ALLAH Maha Besar atau dalam bahasa Inggeris ALLAH Almighty.” jelas Rania yang turut memandang ke arah tulisan itu.

“Oh, indah maksudnya. Saya suka.” luah Alex.

“Saya juga.” sampuk Rania.

“Kamu pernah datang ke masjid ini?” soal Rania.

“Tak pernah. Kawan muslim saya selalu singgah ke sini jika datang ke Seoul. Kata mereka masjid ini besar, cantik dan selesa. Mereka akan solat di tingkat 1 dan dapat berjumpa dengan orang Islam pelbagai bangsa di sini setiap hari Jumaat.”

“Bagi umat Islam, orang lelaki diwajibkan untuk solat Jumaat pada setiap hari Jumaat.” tambah Rania.

“Bagus masjid ini, banyak kemudahan dan ada pula bangunan Pusat Islam yang mempunyai madrasah, Islamic Culture Research dan lain-lain.” Alex memuji akan infrastruktur yang disediakan.

“Kami di Malaysia, banyak masjid disediakan. Kamu perlu datang ke Malaysia. Saya boleh bawakan.” pelawa Rania membuatkan Alex menganggukkan kepala.

Usai mengambil gambar, mereka meninggalkan kawasan masjid dan menuju ke stesen subway Itaewon, sepanjang perjalanan mereka dapat melihat wajah-wajah berbangsa Malaysia, Indonesia dan Pakistan silih berganti menuju ke arah masjid.

“Rania, kamu free tak malam ni?” tiba-tiba Alex bersuara.

Free, mengapa?”

“Kamu ikut ke parti kawan saya.” pelawa Alex.

“Parti?” Rania terkejut dengan pelawaan itu. “Kalau parti orang Korea ni mesti ada minuman keras.  Nanti ada yang mabuk-mabuk, tak sesuai untuk aku.” bisik hatinya.

“Maafkan saya Alex. Saya letih dan tidak dapat ikut kamu ke parti malam ni. Kamu ajak kawan yang lain ya.” Rania menolak permintaan Alex dengan baik.

“Baiklah. Saya mahu kenalkan kamu dengan kawan-kawan saya.” jelas Alex lagi.

“Mungkin di lain masa saya boleh berkenalan dengan kawan-kawan kamu.” pujuk Rania.

Setengah jam kemudian, mereka tiba di apartment Yoonah. Semua barang-barang Rania di bawa bersama.

“Saya mahu menginap di Kimchee Myeongdong Guesthouse yang terletak di Myeongdong. Di situ dekat dengan stesen subway dan tempat membeli-belah. Semalam saya sudah booking bilik di guesthouse tu.”

“Bagus. Lokasi yang strategik. Mudah bagi kamu.” Alex menyokong. Walaupun sebenarnya dia mahu Rania tinggal beberapa hari lagi di apartment Yoonah agar mudah berjumpa.

“Terima kasih Alex, kamu banyak membantu saya hari ini. Pasti saya akan teringatkan kamu bila pulang ke Malaysia.”

“Sama-sama. Ini hanya pertolongan kecil sahaja. Saya senang menemani kamu bersiar-siar di sini.” balas Alex merendah diri.

“Esok kamu mahu ke mana?” soal Alex ingin tahu.

“Adalah mana boleh beritahu kamu.” gelak Rania membuatkan Alex benggang.

“Beritahulah saya. Di Seoul ini banyak tempat yang menarik untuk dilawati.” pujuk Alex.

“Cuba kamu teka?” ujar Rania.

“Teka lagi?” ujar Alex tidak bersetuju.

“Kalau kamu teka dengan betul, saya akan beri hadiah.” pujuk Rania. Dia suka melihat wajah keliru Alex sebentar tadi. Sweet!

“Saya tidak mahu teka atau hadiah lagi. Beritahulah saya.” rayu Alex.

“Kamu tidak boleh paksa saya.” Rania memalingkan wajahnya daripada Alex.

“Baiklah, saya tidak mahu paksa. Saya harap kamu gembira dengan perancangan hari esok. Ini nombor telefon dan email saya.” Alex menghulurkan sekeping kertas yang tertera no. telefon dan email.

“Saya berharap kita akan berjumpa lagi. Jangan lupa hubungi saya jika kamu ada apa-apa masalah di sini.”

“Baik. Jumpa lagi. Bye.” Rania melambaikan tangannya kepada Alex dengan rasa sedikit sebak.

Alex membalas lambaian Rania dengan penuh senyuman. Rania bergerak meninggalkan Alex, langkahnya laju menuju ke stesen subway. Dia tidak sabar mahu berehat di atas tilam yang empuk di Kimchee Myeongdong Guesthouse.

Seketika kemudian, Rania membuka pintu bilik bernombor 203Kasutnya terus dibuka dan beg sandangnya dicampakkan di tepi katil 2 tingkat. Rania segera merebahkan diri di katil bawah. Aahh.. bestnya! Matanya dipejam rapat.

“Bagus juga tiada orang. Bilik ini boleh menempatkan 4 orang. Aku mahu mandi dan lepas tu mahu buat maggie!” Rania bermonolog sendirian.

Usai solat jamak takdim, Rania membawa mangkuk yang berisi maggie di sisi katilnya lalu dimakan dengan penuh selera. Telefon pintarnya dicari, seharian dia tidak sempat membelek akibat lupa caj telefon. Setelah menjumpai di dalam beg sandang, tangannya laju menyentuh skrin telefon. Pesanan SMS disemak sekiranya ada SMS baru yang masuk.

“Aaghh…” Rania mula mengantuk. Matanya layu dan badannya berasa letih. Beg yang terbuka, membuatkan Rania teringat akan diari Lelaki Dari Langit kesayangannya. Dia terus mencapai dan mencatatkan peristiwa yang berlaku hari ini.

Hari Kedua Di Seoul

Hai, diariku sayang… Alhamdulillah, aku masih lagi berada di Seoul. Hari ini banyak perkara yang berlaku. Festival bunga yang aku idam-idamkan setiap kali aku lihat di televisyen dan dalam drama Korea telah aku jejaki. Wow, sungguh cantik dan indahnya pemandangan itu! Pasti Zaidah cemburu kalau lihat gambar yang aku ambil siang tadi. Masjid Seoul Central pun aku suka dan teruja kunjungi. Psst… aku tidak boleh menahan diri daripada menulis tentang Alex. Hari ini Alex telah selamatkan aku daripada dilanggar motosikal. Mengapalah aku cuai sangat!.

Hah, ada satu lagi insiden yang tidak diduga. Alex suapkan aku makan. Tak percaya? Percayalah bahawa Alex telah menyuapkan aku makan Bulgogi macam yang aku selalu tengok dalam drama Korea. Matilah aku kalau ibu dapat tahu pasal ni. Menyesal pula aku buka mulut! Huhuhu… Ingat tau, ini rahsia antara kita berdua wahai diariku sayang. Aku sedih bila kami berpisah tadi setelah hampir 2 hari aku bersama Alex. Dia lelaki yang baik, handsome dan gentleman pula tuh!. Ehh… hatiku berasa sangat gembira macam bunga sedang kembang mengharum bila sebut nama Alex. Sesuatu berlaku pada diriku, adakah aku jatuh cinta dengan Alex?

Previous: Bab 06 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez