Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 05 - PDSS

FAREED memandang potret Rania dengan penuh kasih sayang. Wajah Rania tetap cantik seperti dua tahun yang lalu. Jiwanya membara ingin sekali berjumpa semula dengan Rania. Bagasinya belum dikemaskan lagi. Badannya masih sakit-sakit dan mengalami jet lag.

“Kenapa Rania tidak datang menjemputnya di airport?” bisik hatinya. Fareed telah memberitahu awal kepada Rania akan jadual ketibaannya di Kuala Lumpur.

“Telefon bimbitnya tidak dijawab. Rania masih marahkan lagi akan dirinya yang jarang mengirimkan khabar berita. Moga ianya hanya sangkaan.” Fareed bermonolog sendirian.

Sebuah hadiah yang berbalut cantik dengan kertas berwarna emas telah dibeli khas buat Rania. Walaupun pada saat akhir Fareed membelinya, namun dia pasti Rania akan menyukainya.

Tuk… tuk… tuk… Pintu bilik Fareed diketuk perlahan.

Seraut wajah ayu dan mendamaikan, muncul dengan sebuah senyuman.

“Fareed, ibu sudah sediakan sarapan. Kalau sudah siap, turun ke bawah.” ujar Puan Munnah kepada anak lelaki tunggalnya.

“Sekejap lagi Fareed turun. Fareed mahu keluarkan sedikit barang.” luah Fareed.

“Kamu masih pening lagi?” soal Puan Munnah.

“Ya, masih ada. Insya-Allah, dalam seminggu ni akan baik. Mak jangan risau ya. Ianya perkara normal bagi mereka yang mengalami perubahan masa dan cuaca.”

“Kalau masih tidak elok, kita ke kninik saja.”

“Tak perlu, sekejap je simptom jet lag ni mak.”

“Sebelum lupa, ini ada hadiah untuk ibu. Fareed beli di UK.” Satu bungkusan berbalut kertas berwarna biru diserahkan kepada ibunya.

“Harap ibu suka dengan hadiah yang Fareed beli.” luah Fareed sambil tersenyum.

“Pasti ibu suka. Kenapa membazir? Kamukan masih belum bekerja lagi.”

“Ini duit yang Fareed simpan hasil bekerja part time semasa cuti semester.”

“Pilihan Fareed tidak pernah mengecewakan ibu.” tangannya lembut mengusap rambut Fareed.

“Dua tahun tidak berjumpa, Fareed nampak kurus.”

“Mana ada kurus, berat Fareed bertambahlah ibu. Cuba lihat pipi Fareed ni, sudah makin tembam. Hah, cuba ibu pegang.” Fareed mengambil kedua tangan ibunya lalu diletakkan di pipinya.

Ibu hanya tersenyum melihat gelagat Fareed.

“Naik sikit saja.” usik ibu.

“Sudah, ibu mahu turun. Bubur special ibu sudah buatkan khas untuk kepulangan Fareed.”

“Terima kasih ibu. Di sana, tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi kesedapan bubur special yang ibu buat.”

“Mahu bodek ibu ya. Cepat turun, cepat boleh makan bubur.”

“Sayang ibu.” Fareed terus memeluk ibunya dengan erat. Matanya dipejamkan. Sungguh Fareed amat merindui ibunya. Masa dua tahun dirasakan amat lama. Dalam diam, Fareed memasang niat akan membalas segala jasa dan menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat. Terima kasih TUHAN!



SOFA lembut telah menenggelamkan punggung Dato Kamil. Matanya asyik membelek laporan bulanan Hotel Princess dengan khusyuk. Sekali-sekala dia membetulkan cermin matanya dengan perlahan.

“Selina, masuk sekejap.” ujar Dato Kamil setelah menekan butang intercom di pejabatnya.

“Baik, Dato.” jawab Selina ringkas.

Setelah kelibat Selina di depan matanya, Dato Kamil terus meletakkan laporan tadi di atas meja.

“Siapa yang sediakan laporan ini?” soal Dato Kamil dengan wajah yang serius.

“Saya yang sediakan. Kenapa Dato? Ada kesilapan ke?” jawab Selina dengan tergagap-gagap.

“Betul ke kamu yang sediakan?”

“Betul Dato. Setiap bulan saya yang siapkan laporan ini.”

“Bahagian marketing sediakan juga ke?” Dato Kamil terus memandang tepat ke wajah Selina.

“Ada, ehh… tidak.”

“Eish… cuba kamu jawab ada atau tidak. Tergagap-gagap pula petang ni.” suara Dato Kamil mula tinggi.

“Tidak. Hanya saya yang dapatkan maklumat dan siapkan laporan ini sehingga siap.” jawab Selina tenang.

“Bagus laporan bulan ini. Saya suka!” puji Dato Kamil dengan senyuman di bibirnya.

“Terima kasih Dato.”

“Sudah, kamu boleh sambung kerja. Petang ini saya tiada di pejabat. Saya baru sahaja menerima panggilan telefon daripada Datuk Anuar untuk keluar bersama.”

“Baik, saya maklum.” Selina memohon diri untuk beredar dari situ.

Sebaik sahaja keluar, Selina tersenyum sumbing dan berjalan dengan penuh angkuh. Lenggok badannya memikat sesiapa sahaja yang memandangnya.

“Tengok, gaya Selina jalan persis model di atas pentas. Fuhh…” bisik Asraf kepada Zaidah yang tekun membuat kerja.

“Hai, takkanlah hari ini baru nampak gaya model berjalan. Selina tu, sudah bekerja hampir lima tahun di hotel ni. Aku sudah masak dengan gaya berjalan ala model kekwat tu.” mulut Zaidah mencebek. Matanya sempat menjeling ke arah Selina.

“Betullah cakap kau tu, tapi petang ni gaya berjalan dia lain macam saja. Hah, cuba kau tengok betul-betul. Besarkan sikit mata kau tu.”

“Tak perlu nak besarkan mata aku. Dari sini aku sudah nampaklah.”

“Marah pulak, kau kalau marah aku suka nengok. Cantik, muka kau akan jadi merah. Macam udang kena panggang.” usik Asraf.

“Hentikan semua tu. Aku banyak kerja mahu siapkan. Jangan nak ganggu aku pulak.” cantas Zaidah sambil membetulkan postur tubuh badannya di kerusi.

“Aku mengantuk, bila masuk waktu petang aku mula menguap-guap.”

“Kalau sudah mengantuk, pergilah tidur.” balas Zaidah dengan mata yang sengaja dibulatkan.

“Gila kau mahu aku tidur waktu ni. Sekarang, masih dalam waktu bekerja. Aku masih tahu lagi tanggungjawab dan amanah yang aku bawa dalam hotel ni.” bebel Asraf membuatkan Zaidah tersenyum nipis.

“Hum… hum…” batuk Selina membuatkan mereka berdua berpaling serentak.

“Rancak berbual, tidak ada kerja ke?” ujar Selina dengan renungan yang tajam kepada mereka berdua.

“Kami berbual biasa. Tentang kerja.” kata Asraf tanpa disuruh.

“Aku tengok dari jauh, sibuk sungguh kamu berdua berbual sampaikan aku sampai di sini kamu berdua tidak perasan.” tempelak Selina.

“Kami perasan cuma tidak mahu menegur, almaklumlah kami sedang sibuk buat kerja.” ujar Zaidah sambil memandang wajah Asraf di sisinya.

“Kata orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan sopan santunnya. Kenapa tidak praktikkan?” soal Selina dengan raut wajah tidak puas hati dengan jawapan Zaidah.

“Telefon berbunyi tu, baik kau jawab.” tiba-tiba Asraf menarik perhatian Selina untuk beredar dari situ.

“Jaga kamu berdua!” Selina terus berlari-lari anak ke meja kerjanya. Asraf dan Zaidah hanya tersenyum melihat telatah Selina.



JAM tangan Rania tepat menunjukkan jam 3.00 petang waktu Korea. Walaupun cahaya matahari nampak terik namun Rania tetap berasa angina sejuk ditubuhnya.

“Kamu tidak lapar ke?” tiba-tiba Alex menyoal Rania yang asyik melihat orang ramai yang kelihatan gembira.

“Lapar! Sudah jam 3.00 petang.”

“Saya fikir kamu mahu tidur sahaja di sini.” usik Alex membuatkan Rania segera menoleh ke arah wajah tampan di depannya.

“Kalau dibenarkan saya mahu tidur di sini bersama bunga-bunga cherry yang indah lagi cantik!”

“Betul ke ni?”

“Betullah. Saya serius!” Rania membulatkan matanya.

“Cuaca malam sangat sejuk. Tidak sesuai untuk kamu mahu bermalam di sini.” nasihat Alex.

“Saya pakailah baju sejuk, sarung tangan dan scarf yang kamu berikan kepada saya.”

“Itu tidak cukup. Sejuk malam boleh membuatkan kamu jatuh sakit!”

“Kamu sangat prihatin dengan saya. Terharu dibuatnya!” Rania memuji Alex yang sentiasa ramah dengan para pelancong di situ.

“Bahasa Melayu kamu agak baik. Kamu belajar di mana?” soalan Rania membuatkan Alex tersenyum.

“Semasa di universiti, saya mengambil subjek bahasa antarabangsa. Saya amat berminat dengan bahasa Melayu. Cuma di sini pensyarah saya berasal dari Indonesia.” jelas Alex.

“Oh patutlah kamu pandai berbahasa Melayu.”

“Berapa lama lagi kamu mahu berada di sini?” soal Alex cemas.

“Kenapa? Kita sudah mahu beredar ke?”

“Ya, saya kesian pada kamu yang masih belum makan tengahari.”

“Saya sudah hampir selesai mengambil gambar. Cuma tidak ada gambar kita berdua sebagai kenang-kenangan nanti.”

“Ya, gambar berdua. Pasti kamu akan ingat pada saya setelah kamu pulang ke Kuala Lumpur.”

Alex segera menahan seorang wanita berbangsa Korea untuk membantu mereka mengambil gambar.

“Cheese” wanita itu bersuara.

Alex dan Rania segera menyebut cheese. Setelah selesai, Alex dan Rania mengucapkan terima kasih. Wanita itu menunjukkan isyarat bagus kepada mereka berdua dan berkata sesuatu dengan Alex dalam bahasa Korea.

Alex hanya menundukkan kepala tanda hormat dan tersenyum lebar. Dia segera menghampiri Rania yang terpinga-pinga ingin mengetahui.

“Apa yang wanita itu kata?” desak Rania kepada Alex yang bersiap-siap untuk meninggalkan tapak festival.

“Dia kata, saya bertuah dapat calon isteri yang cantik dan amat sepadan.” ujar Alex tersipu-sipu.

“Hah, calon isteri? Pasti wanita itu bergurau!” Rania ketawa besar.

“Kita kelihatan seperti sepasang kekasih?” usik Alex membuatkan Rania mengelengkan kepala.

“Tidak, kamu pasti sudah ada girlfriend! Wajah kamu yang kacak lagi bergaya semua wanita sukakan lelaki seperti kamu.”

“Betul tak?” teka Rania.

Alex hanya tersenyum. Rania mengemaskan barangnya dengan cermat.

“Selepas ini kita mahu ke mana?” soal Rania.

“Kita pergi makan dan kemudian cari hostel untuk penginapan kamu.”

“Bagus!” jawab Rania.

“Saya ada permintaan, apa kata kita pergi ke Seoul Central Mosque di Itaewon. Saya mahu solat dan di sana juga ada banyak kedai makanan muslim.”

“Cadangan yang terbaik! Saya boleh temankan kamu ke sana.”

“Kamu tidak kisah?” Rania inginkan kepastian daripada Alex.

“Saya cepat menyesuaikan diri dengan mana-mana situasi. Jangan lupa yang saya pernah mempunyai kawan yang beragama Islam dan datang daripada Indonesia dan Singapura.” jelas Alex membuatkan Rania tersenyum lebar.

Dua puluh minit kemudian, mereka berdua tiba di kawasan Itaewon yang terkenal dengan kawasan muslim dan kewujudan Seoul Central Mosque yang popular di kalangan pelancong muslim di Korea Selatan.

“Saya baca dalam salah sebuah blog, kita akan berjalan dalam 500 meter dan masjid itu terletak di atas bukit.” terang Rania kepada Alex yang sibuk melihat peta menerusi telefon pintarnya.

Alex mengangguk perlahan. “Kita hampir sampai. Depan sana ada simpang, kita belok ke arah kiri.”

“Wah, banyaknya buah strawberi! Besar dan nampak segar.” ungkap Rania sebaik sahaja melalui jalan di situ.

“Strawberi Korea ini banyak dari bulan Januari sehingga Mei. Rakyat Korea amat suka dengan strawberi kerana manis dan segar. Kamu patut beli dan rasanya!” pujuk Alex.

“Saya akan beli dan mahu makan banyak-banyak. Saya pecinta strawberi!” Rania menelan air liurnya.

“Balik nanti kita beli ya.”

“Setiap tahun ada festival khas untuk strawberi iaitu Nonsan Strawberry Festival yang terletak di Nonsan.” Alex memberitahu Rania yang leka mengambir gambar sepanjang perjalanan mereka.

“Pasti menarik festival tu kan? Banyak tempat yang menarik di Korea Selatan ni. Saya pasti akan datang lagi ke Korea.”

“Kamu hanya bercuti hari ini kan?”

“Ya, hanya hari ini saya bercuti. Kenapa bertanya, kamu mahu saya bercuti dan temankan kamu berjalan-jalan?” soal Alex.

Rania mengelengkan kepala. “Bukan, saya hanya bertanya sahaja. Ingin tahu, itu saja.” selamba sahaja Rania menjawab.

“Saya menganggu perjalanan kamu ke?” Alex menyoal seperti tidak puas hati dengan penjelasan Rania.

“Eh, tidak! Kamu amat membantu saya. Hanya TUHAN sahaja yang dapat membalas jasa baik kamu.”

“Jika kamu mahu membalas jasa saya. Boleh belanja saya makan tengahari?” usik Alex.

“Tentu saja boleh. Memang saya ada niat untuk belanja kamu makan.” spontan Rania menjawab.

“Hati-hati Rania!” Alex mengingatkan Rania yang tidak memberikan perhatian ke arah hadapan. Rania masih leka melihat, membelek dan mengambil gambar.

Tanpa disedari, sebuah motorsikal yang dipandu laju muncul dari arah hadapan mereka. Alex yang menyedari terus berteriak.

“Rania!!!” Suara kuat Alex membuatkan Rania segera menoleh dan tergamam dengan kehadiran motorsikal laju itu.

“Aargh!!!” jerit Rania.

Previous: Bab 04 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez