Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 10 - PDSS
RANIA terus mendongak ke atas bukit sebaik sahaja mereka turun dari stesen Myeongdong. Dari kejauhan Namsan Tower dapat dilihat walaupun kelihatan kecil. Mereka menghala ke arah kanan Hotel Pacific dan berjalan dalam 10 minit untuk sampai di stesen kereta kabel Namsan.

“Di sini pun ramai orang juga.” keluh Rania perlahan. Dia hanya melihat Alex bergegas membeli tiket untuk naik kereta kabel. Banyak juga duit Rania telah dibelanjakan sepanjang aktiviti mengembaranya. Setiap keratan tiket akan disimpan rapi supaya dapat diabadikan tiket itu di dalam scrap book khas sebagai memori indah.

“Berapa harga tiket?” soal Rania sebaik sahaja Alex menghulurkan tiket.

“KRW8,000 untuk satu orang.” balas Alex. Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk menunggu kereta kabel yang boleh memuatkan 20 orang sahaja dalam satu masa. Kelihatan ramai pelancong asing di sini sama seperti Rania.

“Kami di Malaysia pun ada menara yang dikenali sebagai Menara Kuala Lumpur namun tiada menggunakan kereta kabel untuk naik ke atas.” ujar Rania sementara menunggu kereta kabel untuk sampai. Hari semakin gelap, jam digital di kaunter tiket tadi menunjukkan jam 7.30 malam. Angin sejuk semakin dapat dirasai, Rania memasukkan kedua tangannya di dalam poket jaket yang mengandungi pek heater.

“Kamu okay ke?” sapa Alex apabila melihat Rania yang gelisah dan kelihatan sejuk. Lokasi Namsan Tower di atas bukit Namsan menambahkan lagi suasana sejuk. Alex sendiri turut merasa angin sejuk apatah lagi Rania yang tidak pernah merasai musim sejuk.

“Kamu pakai sarung tangan saya ni. Sarung tangan kamu nampak nipis.” Alex segera membuka sarung tangannya dan menghulurkan kepada Rania.

“Di atas sana nanti akan lebih sejuk dan berangin.” jelas Alex membuatkan Rania mengiyakan saja. Terasa hangat sarung tangan yang Alex berikan. Badannya mula berasa sejuk dan rasa seperti mahu menutup muka daripada terkena angin sejuk. Tempat-tempat popular bagi pelancong sentiasa sahaja dipenuhi dengan pengunjung sama ada dalam atau luar negara. Pujian harus diberikan kepada pihak perlancongan negara Korea yang menjaga baik setiap tempat tumpuan pelancong. Hampir setiap tempat menarik dijadikan lokasi drama atau filem Korea, sesuatu yang boleh dicontohi oleh negara lain.

“Wow, cantiknya pemandangan!” ujar Rania teruja sebaik sahaja kereta kabel memulakan perjalanan ke Namsan Tower. Dari situ kelihatan pemandangan Myeongdong dan bandar metropolitan Seoul yang cantik dengan bangunan pencakar langit. Selain itu, lampu neon merata-rata bertaburan. Sungguh maju negara ini, bisik hati Rania kagum.

Rania melihat keadaan dalaman kereta kabel itu dengan serius. “Apa yang kamu cari?” sapa Alex membuatkan Rania tersenyum. “Saya cari nota yang ditulis seperti adegan di dalam sebuah drama Korea. Saya sudah lupa tajuk drama tu. Ada adegan hero dan heroin terperangkap di dalam kereta kabel kerana pihak pengurusan kereta kabel tidak perasan akan kehadiran mereka di situ.”

“Banyaknya drama Korea yang kamu nonton? Saya sendiri pun tidak banyak sempat menonton. Hebatlah kamu!” puji Alex membuatkan Rania tersipu malu. Dia mula ketagih menonton drama Korea semenjak di zaman universiti lagi. Kawan sebiliknya kaki drama Korea secara tidak langsung dia mula terpengaruh untuk menonton sekali.

“Sebelum Namsan Tower popular, ianya didirikan pada tahun 1969 yang berfungsi sebagai menara komunikasi dan penyiaran bagi stesen TV bagi saluran utama Korea seperti KBS, MBC dan SBS. Ianya di buka kepada umum pada tahun 1980. Kamu suka teddy bear?” soal Alex sebelum melangkah keluar daripada kereta kabel.

Rania pantas menjawab, “Mestilah saya suka! Kenapa, kamu mahu beri saya teddy bear ke?” teka Rania sambil tersenyum lebar dan teruja mendengarnya.

“Kamu mahu ke?” duga Alex.

“Kalau kamu mahu beri saya terima.” Rania ketawa besar.

“Di sini ada muzium Teddy Bear, Pavilion, kedai makan dan kedai cenderahati.” jelas Alex ketika mereka menaiki anak tangga menuju ke puncak. Angin sejuk membuatkan Rania terus membetulkan scarf yang dipakai. Fuhh, memang sejuk sampai ke tulang!

“Menarik! Tapi rasanya tidak sempat. Sekarang ni pun sudah jam 8.00 malam. Mungkin lain kali sahaja.” beritahu Rania sedih. Dia tidak mahu terlalu lama bersama Alex memandangkan sekarang sudah malam. Risau juga bersama seorang lelaki yang bukan muhrimnya di tempat asing. Matanya tertancap huruf N besar yang dibina di situ, ini mesti bermaksud Namsan, Rania membuat tafsiran sendiri.

“Baik, kalau itu yang kamu mahu. Depan tu ada banyak pokok padlock dan love bridge di bahagian atas.” Alex beriya menunjukkan lokasi tersebut.

“Kamu pernah datang ke sini ya bersama kekasih.” teka Rania membuatkan Alex mengelengkan kepala laju.

“Mana ada. Pandai sahaja kamu membuat telahan. Tiada wanita yang sudi menjadi kekasih saya.” ujar Alex lemah dan merendah diri. Walaupun pada hakikatnya dia dan Yoonah pernah memadu kasih dan datang ke sini bersama cinta suci mereka setahun yang lalu. Mana mungkin dia mahu mengaku di depan Rania bahawa dia pernah bercinta sakan dengan Yoonah. Waktu sekarang dia perlu menarik perhatian Rania agar hatinya terbuka untuk menerima cinta Alex.

“Boleh percaya ke ni? Kamu kan handsome dan baik hati pasti banyak wanita yang jatuh hati!” usik Rania. Dalam hatinya kuat membuat mengatakan bahawa Alex mempunyai teman wanita. Mana mungkin Alex tertarik hati dengan dirinya seorang wanita berlainan agama dan bangsa.

“Terserah kepada kamu untuk membuat tafsiran.” balas Alex endah tak endah.

“Kita masuk kedai cendarahati dulu. Saya mahu cari fridge magnet.” ajak Rania terus mara ke depan. Sekeliling mereka banyak pengunjung yang pelbagai bangsa. Suasana meriah dapat dirasai apabila lampu-lampu bercahaya di sebalik pokok-pokok besar yang hidup di situ.

“Dalam kedai itu juga ada jual love padlock jika kamu mahu beli. Selepas itu, gantungkan di love bridge di bahagian atas.” ujar Alex kepada Rania yang mula rambang mata melihat pelbagai cenderahati di situ.

Kedai cenderahati itu penuh dengan pengunjung. Seperti biasa pelbagai cenderahati dijual seperti mug, buku, foto, fridge magnet, pen dan sebagainya. Rania memilih fridge magnet yang mempunyai foto Namsan Tower sebagai kenang-kenangan pernah menjejakkan kaki di situ. Mata Rania tidak lepas melihat love padlock yang dijual di situ. Pelbagai warna yang dijual bersama pen khas untuk menulis.

“Belilah satu.” usik Alex membuatkan wajah Rania berubah menjadi panas. Gila! Sekarang ni mana aku ada kekasih hati, kalau setakat nak beli love padlock tu untuk mengistiharkan cinta dengan menulis nama kedua pasangan, baik tak payah. Belum tentu kekasih tu akan menjadi suami aku!

“Kita beli satu, sebagai kenang-kenangan bahawa Alex dan Rania pernah datang ke Namsan Tower.” Alex terus memilih sebuah love padlock yang berwarna merah hati yang bersaiz kecil. Rania mengerutkan dahi tanda kurang setuju.

Love padlock ini tidak semestinya pasangan kekasih sahaja yang beli, kita sebagai kawan dari 2 negara pun boleh beli.” terang Alex membuatkan Rania sedikit lega. Macam-macam alasan Alex, buat semua ni seolah-olah aku kekasih dia.” Rania bermonolog sendirian.

“Mari saya tuliskan, Alex & Rania was here!, okay tak?” Love padlock terus ditunjukkan kepada Rania. “Kamu mahu tulis apa lagi?” bisik Alex membuatkan Rania tergamam. Sebenarnya Alex menulis Saya Cinta Kamu dalam tulisan Korea. Pasti Rania tidak dapat memahami apa yang ditulisnya. Biar masa yang menentukan percintaan mereka berjaya atau tidak.

“Eem.. tulis tarikh hari ni.” balas Rania pendek. Wangian bau minyak wangi yang dipakai oleh Alex jelas menusuk ke hidung. Jantungnya berdegup kencang, segera dia beralih ke sebuah bangku yang seakan patah di bahagian tengah. Jujur dia tidak boleh menahan diri daripada tergoda dengan bau romantis itu!.

“Kamu gantungkan love padlock ini di mana sahaja yang kamu suka.” ujar Alex menghampiri Rania yang sedang duduk di bangku.

“Di sini okay tak?” tanya Rania kepada Alex yang leka membelek padlock berbentuk teddy bear berwarna putih yang turut digantungkan di situ. Dia memilih bahagian tengah love bridge yang disediakan. Alex mengangguk tanda setuju, tanpa disuruh peristiwa itu diabadikan dengan lensa kamera. Ada ribuan love padlock diletakkan di situ dan pelbagai tulisan dapat dilihat. Ada juga love padlock yang sudah berkarat masih teguh tergantung.

“Selain love padlock, di sini ada satu lagi benda yang pasangan kekasih boleh buat iaitu message tile untuk mengistiharkan cinta mereka. Tile tersebut hampir sebesar tapak tangan dan kemudian akan ditampal di dinding khas.” beritahu Alex teruja.

“Kamu pernah bercinta?” soalan maut Alex membuatkan Rania menelan air liurnya tanpa disedari. Soalan apakah ini, mahu tahu akan soal hati dan perasaan aku.

“Pernah. Cinta monyet semasa di sekolah rendah dengan seorang jiran saya sebelum saya berpindah ke Kuala Lumpur. Mengapa kamu bertanya?” soal Rania semula membuatkan Alex tersenyum gembira.

“Itu cinta monyet. Maksud saya kamu percaya akan keindahan cinta?” tanya Alex tepat memandang wajah Rania. “Ya, saya percaya dengan keindahan cinta. Sesungguhnya cinta kepada pemilik alam semesta ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” jawab Rania tenang.

“Itu cinta kepada Tuhan. Saya mahu tahu perasaan cinta kamu dengan seorang lelaki.”

“Ooh… saya gadis normal. Perasaan cinta itu akan hadir bila sampai waktunya dengan izin daripada Tuhan.” Ungkapan dari mulut Rania membuatkan hati Alex berbunga-bunga, dia dapat merasakan bahawa hati gadis itu masih belum dimiliki oleh lelaki lain. Inilah masa yang sesuai untuk aku meluahkan isi hati!

Excuse me, boleh bantu kami ambil gambar?” Tiba-tiba seorang gadis remaja hampir kepada mereka.

“Boleh, mari saya ambilkan.” sahut Rania meninggalkan Alex yang terpinga-pinga.

“Kamu dari mana? Indonesia?” soal Rania kepada pasangan remaja itu.

“Bukan, kami dari Singapura.”

“Terima kasih kak atas bantuannya. Jumpa lagi.” ucap mereka sambil melambaikan tangan sebaik sahaja selesai sesi bergambar. Rania terus mara ke satu sudut yang menempatkan banyak love padlock yang berwarna-warni. Dia leka memerhati dan membelek satu per satu padlock di situ untuk mencari bahasa yang mudah difahami.

Seketika kemudian, “Mengapa kamu asyik melihat jam tangan?” tanya Alex membuatkan Rania terkejut dari perlakuannya. Dia tersenyum. “Oh, saya mahu tahu sekarang ni jam berapa. Risau pula saya jika balik lewat ke guesthouse, takut terserempak dengan orang mabuk!” luah Rania membuatkan Alex gelak sakan.

“Kenapa kamu gelak? Saya serius ni!” bentak Rania dengan wajah masam. Eish, gelakkan aku pula!. Tiba-tiba sahaja aku berasa tidak sedap hati malam ni. Jangan ada perkara buruk berlaku, minta dijauhkan. Rania sempat berdoa.

“Saya boleh jadi peneman kamu pulang ke guesthouse. Jangan risau! Lagi pun saya ada tali pinggang hitam taekwando. Sebentar lagi ada pertunjukan Lightning Animation Video di tiang menara ni. Kamu perlu lihat!” Belum habis Alex berkata, satu pengumuman dibuat kepada semua pengunjung yang berada di situ. Keadaan mula bising dan banyak mata menumpukan perhatian di tiang Namsan Tower. Cahaya, bunyian dan animasi bersatu menghasilkan pertunjukan yang sangat menarik kepada pengunjung. Rania sendiri kagum dan mengambil gambar bagi setiap tema video yang dihasilkan. Sungguh cantik dan menarik, kreatif sungguh mereka ni!

“Hebat!” ucap Rania sambil menepuk kedua tangannya selepas pertunjukan 15 minit itu selesai ditayangkan. Alex turut menepuk tangan seperti pengunjung yang lain sebagai tanda menghargai dan gembira dengan hasil kreativiti yang dijadikan animasi.

“Kita ke Coffee House, wajah kamu nampak pucat!.” Rania mengiyakan sahaja sambil menutup mulutnya dengan kedua tangannya supaya hangat. Tanpa disedari scarf yang dipakainya terjatuh akibat dilanggar oleh seorang pengunjung. Alex segera mengambil scarf yang terjatuh lalu membelet kemas di leher Rania. Insiden itu membuatkan Rania tergamam. Sungguh pantas ianya berlaku tanpa sempat dia menghalang.

“Kamu mahu order apa?” soal Alex sebaik sahaja mereka duduk di sebuah meja bulat di dalam Coffee House yang tampak ekslusif. Alunan muzik yang perlahan dan menyenangkan membuatkan Rania berasa sungguh selesa dan privasi. Aroma kopi menusuk ke hidung dan menghangatkan.

Hot chocolate.” balas Rania sambil meletakkan beg cenderahati di sisinya. Setelah Alex membuat pesanan chocolate latte dan chocolate velvet cake, dia terus menulis sesuatu di atas sekeping kertas. Mata Rania meninjau-ninjau untuk mengetahui butiran yang dituliskan oleh Alex. Argh.. bahasa Korea pula yang ditulis. Mana aku faham!

“Kamu tulis apa tu?” soal Rania penuh curiga. Alex tersenyum. “Peraduan yang diadakan oleh coffee house ni. Bagus idea mereka!”

“Oneul jeul gowo seumnida.” ujar Alex lagi. Rania mengerutkan dahi tanda tidak faham.

“Maksudnya hari ini sangat menyenangkan.” jawab Alex sambil tersenyum lebar.

“Hanya 2 hari sahaja lagi kamu di Seoul. Esok apa perancangan kamu?” Alex memandang Rania tanpa jemu. Dia ingin menyimpan wajah Rania dalam memorinya bagi melepaskan rasa rindunya tatkala gadis itu pulang ke tanahairnya.

“Eemm… esok saya mahu ke IstanaGyeongbokgung. Tak sabar mahu berangan berada di zaman pemerintahan Dinasti Joseon!” ujar Rania sambil ketawa.

Alex turut tertawa, “Kalau saya mahu ikut boleh tak?” Rania terdiam saat soalan itu muncul dari mulut Alex.

“Alex! Kamu tidak perlu bekerja ke? Banyaknya masa kamu? Apa sebenarnya pekerjaan kamu?” bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh Rania membuatkan Alex hanya tersenyum.

“Jangan rasa bersalah. Saya ikhlas mahu menemani kamu di Seoul. Urusan pekerjaan, saya boleh uruskan dengan baik. Kamu tidak perlu risau.” bersungguh Alex memberikan penjelasan. Sejak hari pertama lagi Alex sudah membuat perancangan rapi untuk sentiasa berada di samping Rania. Semua staf di Honey Coffee Café telah dimaklumkan bahawa dia akan bercuti selama beberapa hari.

Rania terkedu tidak tahu mahu berkata apa. “Sebelum kita beredar, saya mahu berikan sesuatu kepada kamu. Harap kamu suka dan tidak menolak pemberian ikhlas dari saya.” ujar Alex perlahan. Anak mata Alex yang redup menunjukkan pengharapan yang tinggi dituntut daripada Rania.

“Sekarang kamu pejamkan mata.” suruh Alex membuatkan Rania akur seperti telah dijampi bomoh. Tangan Alex segera mengambil sebuah kotak berwarna hitam yang ekslusif buatannya lalu diletakkan perlahan di hadapan Rania.

“Sekarang buka mata kamu perlahan-lahan.” ujar Alex lembut. Rania menurut sahaja perintah Alex tanpa membantah. Sebaik sahaja matanya dibuka, di depannya ada sebuah kotak hitam yang cantik.

“Kamu boleh buka dan lihat apa isinya.” Rania dengan perlahan-lahan membukanya. Hatinya berdebar-debar ingin mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Seuntai rantai bersama loket yang berbentuk LOVE jelas kelihatan. Mata Rania membulat dan mulutnya ternganga.

“Betul ke hadiah ini untuk saya?” soal Rania ragu. Jenama antarabangsa yang terdapat di kotak rantai itu jelas harganya mahal. Mana mungkin Alex sanggup memberikan hadiah semahal itu kepada dirinya yang baru sahaja dikenali. Hah, susah betul mahu menafsirkan apa yang Alex sedang fikirkan tentang diri aku!.

“Ya, untuk kamu. Suka tak?” ujar Alex dengan penuh romantis membuatkan Rania mengangguk lemah dek terpana dengan rasa terharu lagi dihargai oleh seorang lelaki handsome seperti Alex. Aku sedang bermimpi ke ni? Terasa muncul bintang-bintang kecil dan bunga api di atas kepalanya. Senyuman Rania semakin lebar. Bahagia!

“Rania! Kamu suka rantai tu?” soal Alex membuatkan Rania tersedar dari lamunannya.

“Hah, apa?” balas Rania semula tanpa berkelip matanya memandang wajah Alex.

“Kamu ingat pada siapa ni…” sayu sahaja bunyi nada suara Alex. Dia berasa agak kecewa dengan reaksi Rania ketika itu. Sepatutnya Rania ceria dan gembira dengan pemberian hadiah rantai itu.

Sorry Alex, saya terlalu gembira sampaikan sempat berangan. Saya seolah berada di sebuah taman bunga yang ada pertunjukan bunga api. Cantik sangat! Kamu jangan fikirkan yang bukan-bukan ya.” Pujuk Rania setelah melihat memek muka Alex yang kelihatan kecewa.

“Betul ke ni?” duga Alex membuatkan Rania hanya tersenyum sipu.

“Mari saya pakaikan rantai ini.” ujar Alex segera bangun ke arah Rania. Melihat itu, Rania segera bertindak, “Alex, tidak perlu! Saya akan simpan rantai ini. Lagi pun pakaian saya tidak sesuai untuk memakainya.” Rania segera memberi alasan. Mana mungkin dia akan membenarkan lelaki lain memakaikan rantai di lehernya. Hanya insan yang sah bergelar suami sahaja yang layak untuk memakaikan rantai di leherku ini. Rania sempat berfikir panjang sebelum Alex meneruskan niatnya.

“Baiklah. Kamu simpan baik-baik hadiah dari saya.” ujar Alex dengan penuh harapan. Hakikatnya dia teringin sekali melihat rantai itu sentiasa dipakai oleh Rania. Dia dapat membayangkan seolah-olah dia sentiasa ada bersama Rania walaupun jarak yang beribu kilometer antara Korea dan Kuala Lumpur.

“Kenapa kamu beri saya hadiah semahal ini?” soal Rania ingin sangat mengetahuinya. Moga tiada agenda lain di sebalik pemberian hadiah ini.

“Saya ada sebab tersendiri kenapa beri kamu rantai itu.”

“Iyalah, apa sebabnya. Saya pun ingin tahu.” desak Rania dengan wajah yang mengharap.

“Eemm… Rantai itu saya sudah beli sebelum ini.”

“Apa? Siapa sebenarnya yang kamu mahu berikan rantai ini?” Rania semakin curiga dengan penjelasan Alex.

“Semasa saya berjalan di sebuah pusat membeli-belah, saya terpandang seutas rantai yang cantik dan amat menarik perhatian. Jadi, saya terus beli. Itu saja.” tenang sahaja Alex memberitahu.

Rania tidak puas hati dengan penjelasan Alex. Mana mungkin seorang lelaki yang baru dikenali mahu memberi seorang gadis dengan hadiah yang mahal. Pasti ada sesuatu di sebaliknya! bisik hati Rania. Aah kacau dibuatnya.

“Jika saya menolak pemberian hadiah ini…”

“Tidak! Kamu tidak boleh menolak pemberian hadiah ini. Sama sekali tidak boleh. Jika kamu menolak, seolah-olah kamu tidak menganggap saya sebagai kawan. Saya tahu kamu curiga dengan hadiah mahal ini, percayalah bahawa saya beri dengan hati yang ikhlas.” luah Alex penuh harapan supaya Rania memahaminya.

“Saya ada sebab tersendiri mengapa saya tidak boleh menerima hadiah kamu ini.”

“Kenapa Rania?” soal Alex cemas.

“Bagi saya, semuanya ini tidak masuk akal! Saya tidak bersedia untuk menerimanya.” luah Rania dengan tegas.

“Ayuh, kita beredar. Saya mahu berehat, kepala saya pening.” Tiba-tiba Rania bersiap sedia untuk meninggalkan Coffee House. Alex terkejut dengan tindakan spontan Rania, di luar jangkaannya.

Previous: Bab 09 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez