Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 02 - PDSS

SEKETIKA kemudian, nafas Rania turun naik dengan cepat. Kakinya sakit setelah berlari keluar dari Honey Coffee Café. Rania bergegas ke arah stesen subway Hangsung University. Dia berhati-hati menuruni anak tangga di stesen subway tersebut. Rania segera melabuhkan punggungnya di bangku yang disediakan untuk pengguna subway sebaik sahaja sampai di tepi landasan subway. Beg sandangnya diletakkan di sebelah kanannya. Matanya merayau melihat keadaan sekeliling. Hanya ada lima orang Korea sahaja yang sabar menunggu kedatangan subway.

Krukk.. krukk. Matanya dijeling ke kiri dan ke kanan . Rania segera memegang perutnya. Moga tiada sesiapa yang mendengar perutnya yang mula berkeroncong.

“Manalah aku mahu tidur malam ini. Kalau di Malaysia, paling kurang pun boleh tidur di masjid atau di surau. Ini Korea, umat Islamnya hanya minoriti. Masjid Seoul Central di kawasan Itaewon jauh dari sini. Ahh, sejuknya Seoul! Macam mana orang di sini hidup. Sabar ya perut. Nanti kita cari makanan yang halal.” Rania bermonolog sendirian lagi. Dia menongkat dagu di atas kedua belah pehanya.

Tiba-tiba bahunya disentuh oleh seseorang. Rania segera menoleh. Seorang lelaki mabuk dalam lingkungan usia 40-an datang menghampirinya. Lelaki itu tersenyum dan meracau. Jarinya ditunjukkan ke arah Rania. Walaupun jarak di antara mereka hanya lima kaki, namun hidung Rania dapat menghidu bau masam daripada lelaki itu.

Gorgeous girl!” lelaki mabuk itu terus menghampiri dan ingin menyentuhnya. Rania tergamam.

“Jangan!” jerit Rania. Dia segera bangkit dan melarikan diri daripada lelaki itu. Tanpa sempat melihat ke hadapan, kakinya tersadung di salah satu anak tangga.

“Aargh!!!”

“Rania!!!” cuping telinga Rania dapat menangkap suatu suara yang pernah dikenalinya.

Rania segera mendongak ke arah suara itu. “Alex!” terpacul nama itu disebut.

“Rania! Awak tidak apa-apa?” Alex segera membantu Rania untuk bangun.

“Aargh! Kaki saya.” jerit Rania.

“Kenapa dengan kaki awak?” soal Alex cemas.

“Kaki saya sakit. Mungkin terseliuh agaknya.” balas Rania dengan wajah yang berkerut.

“Awak boleh jalan ke?” Alex cuba membantu Rania untuk berdiri tegak.

“Boleh tapi saya mahu duduk sebentar.” keluh Rania. Kakinya dilunjurkan.

“Awak mahu lari dari siapa? Sampaikan saya pun awak tidak nampak.” soal Alex dengan wajah yang serius.

“Saya melarikan diri daripada lelaki mabuk tadi. Maaf, saya tidak perasan awak.” Rania berkata perlahan dan memandang wajah Alex seolah-olah memohon pengertian daripadanya.

“Mana kawan awak yang dimaksudkan tadi?” soal Alex sambil meninjau keadaan sekeliling.

“Kawan?” soal Rania pelik.

“Ya, kawan yang mahu berjumpa dengan awak.” balas Alex.

“Aaa.. kawan saya tidak jadi datang untuk berjumpa dengan saya.” kata Rania sambil menundukkan pandangannya.

“Kawan awak itu tidak wujudkan?” tempelak Alex.

Rania segera menoleh ke arah Alex. Matanya membulat dan terdiam kelu. Tanpa disangka Rania membalas, “Awak fikir saya berbohong ke?” suara Rania agak tinggi. Dia cuba bangun sendiri.

“Awak mahu ke mana?” soal Alex sebaik sahaja melihat Rania mula marah dengan pertanyaannya tadi.

“Mahu cari hotel untuk menginap!” balas Rania dengan wajah yang serius. Dia mula berjalan perlahan walaupun kakinya terhenjut sedikit.

“Rania tunggu! Maafkan saya jika soalan tadi membuatkan awak marah. Saya tidak bermaksud menyakiti hati awak. Cuma saya bimbangkan tentang awak yang bersendirian.” Alex cuba meredakan keadaan. Wanita di depannya, sudah mula menjauhkan diri daripadanya.

“Rania, ayuh ikut saya!” kata Alex serius.

“Kita mahu ke mana?” soal Rania acuh tidak acuh. Dia sengaja mencari alasan untuk menolak bantuan Alex.

“Saya berniat mahu membantu Rania. Mujur saya datang, jika tidak…” Alex cuba menyakinkan wanita cantik yang datang dari jauh untuk melancong di negaranya.

“Ke mana kamu mahu membawa saya menginap?” tiba-tiba Rania bersuara setelah mendengar penjelasan daripada pemuda Korea yang tidak tahu asal usulnya.

“Saya ada seorang kawan wanita Korea yang tinggal sendirian. Kamu boleh bermalam di rumahnya sementara menunggu hari esok.”

“Kawan kamu bersetuju menerima saya?” Rania menduga.

“Jangan risau, saya sudah ceritakan tentang kamu dan dia sedia membantu.” Alex tersenyum.

Rania mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa supaya dia tidak ditipu dengan lelaki ini.

“Ayuh, kita naik subway. Rumahnya tidak jauh dari sini.” Alex memberi arahan.

Rania segera mengikuti Alex masuk ke dalam keretapi laju subway. Setelah 5 minit berlalu, mereka sampai ke stesen subway Hye-hwa.

Seketika kemudian, mereka berdua keluar daripada stesen subway Hye-hwa dengan menggunakan tangga.

“Hati-hati Rania, jalan perlahan. Kaki awak terseliuh.” nasihat Alex seperti sudah lama mengenalinya.

“Fuhh, sejuknya!” Rania berkata sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di deretan kedai.

Alex dengan pantas mengambil scarf di lehernya. Diserahkan scarf itu kepada Rania.

“Tidak mengapa. Saya boleh bertahan!” Rania menolak pemberian scarf Alex.

“Kamu memerlukan scarf ini. Jika tidak kamu akan kesejukkan dan sakit.”

Rania terpaksa mengambil scarf itu dan disarungkan dilehernya. Dia berasa sedikit hangat dan selesa kerana angin sejuk tidak menjamah kulitnya. Bau minyak wangi lelaki yang dipakai oleh Alex dapat dihidu oleh hidung mancung Rania. Bau romantik dan gagah!

Sedang Rania asyik menghayati perjalanannya, Alex berhenti dan memandang ke arahnya.

“Rania, awak tunggu sekejap. Saya mahu beli barang di kedai.” kata Alex.

Tidak sampai 5 minit kemudian, Alex datang dengan sebuah beg plastik kecil ditangannya.

“Ayuh, kita hampir sampai ke rumah kawan saya.” Alex tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Aah, kacak sungguh pemuda Korea ni! bisik hati kecil Rania.

Mereka berdua berjalan seiring menuju ke arah kawasan bangunan kedai yang mula renggang dengan orang. Akhirnya mereka tiba di sebuah apartment. Pintu rumah yang bernombor 1409 ditekan loceng.

Sementelah kemudian kelibat seorang wanita muda berbangsa Korea muncul dihadapan mereka berdua.

“Kenalkan, ini Yoonah Mi Sie.” Alex berkata kepada Rania.

“Hai Yoonah. Saya Rania dari Malaysia.” Rania menghulurkan tangannya kepada Yoonah yang kelihatan muda daripadanya.

Anyoung haseyo (hello)” kata Yoonah ramah.

“Ayuh, jemput masuk. Alex telah memberitahu saya akan kesulitan kamu sebentar tadi. Kamu boleh bermalam di sini sebelum mencari hostel yang lain.” Yoonah mempelawa mereka berdua masuk ke dalam apartmentnya.

“Jumpa esok Rania.” Alex berkata sebaik sahaja Rania melangkah masuk ke dalam apartment.

Rania mengangguk dan terkesima.

“Sebentar Rania, ini ubat untuk kaki awak.” Alex menghulurkan beg plastik kecil tadi kepada Rania.

“Ooh, hamsameda (terima kasih) Alex.” balas Rania dengan rasa terharu.

Hiasan dalaman apartment Yoonah sungguh kemas dan teratur. Yoonah tersenyum melihat Rania yang leka memerhatikan hiasan dalaman apartmentnya.

“Ada apa yang menarik?” Yoonah bertanya kepada Rania yang mula membuka baju panasnya.

“Semuanya menarik. Pandai kamu mengubahsuai apartment ini.” Rania memuji kemahiran Yoonah.

“Terima kasih. Saya banyak tiru daripada majalah.” Yoonah ketawa besar.

“Oh!” Rania turut ketawa bila mendengar jawapan daripada Yoonah.

“Macam mana Rania boleh kenal dengan Alex?” soal Yoonah membuatkan Rania terdiam.

“Hah? Kenal Alex?” Rania terkejut dengan soalan itu.

“Sepanjang perkenalan kami, setahu saya Alex jarang membantu wanita yang tidak dikenalinya. Terutamanya kamu yang datang daripada budaya, negara dan agama yang berbeza.” jelas Yoonah hairan.

Rania tersenyum. “Itu kena tanya Alex sendiri. Saya tiada jawapan bagi soalan itu.” balas Rania.

“Oh, saya pasti akan tanya Alex esok! Kamu berehat dan tidur ya. Anggap sahaja seperti rumah kamu sendiri.” Yoonah menghulurkan sekeping kain selimut tebal untuk dibuat lapik tidur.

“Rania…” tiba-tiba Yoonah memegang tangannya erat. Matanya tepat memandang Rania.

“Saya mohon bantuan dengan Rania. Berhati-hati dengan Alex!”

“Selamat malam.” Yoonah berlalu pergi dari biliknya.

“Selamat malam juga. Kamsahamnida (Terima kasih banyak) Yoonah.” Rania membalas mesra.

Rania segera membaringkan dirinya di atas kain selimut tebal itu. Matanya terpejam rapat dan bibirnya mengukir senyuman penuh makna. Terima kasih TUHAN!

Beg plastik kecil yang diberikan oleh Alex segera dibuka. Terdapat sekeping sticker yang berbau herba. “Ini macam koyok jika di Malaysia.” bisik hatinya. Sticker itu segera ditanggalkan pembalutnya dan terus Rania menampalnya di buku lali kakinya. Mata Rania merayau melihat sekeliling bilik yang sederhana besarnya. Ada foto pemandangan dan sebuah rak buku.

Rania merebahkan dirinya di atas jubin yang hangat. Ahh, selesanya! Matanya melirik ke kanan. Beg sandangnya diambil lalu dibuka dengan cermat. Sebuah diari kecil yang berukuran separuh kertas A4 diselak perlahan. Sebatang pen hitam dipegang dan Rania mula menulis. Tumpuannya hanya kepada lembaran diari.

Hari Pertama Di Seoul

Diariku sayang,

Impian sejak 2 tahun yang lalu kini menjadi kenyataan. Aku sanggup berlapar untuk simpan duit ke Korea. Akhirnya aku berjaya! Terima kasih TUHAN. Ya, kini aku menjejakkan kaki di bumi Korea. Alhamdulillah, TUHAN lindungi aku. Hostel Yellow Brik yang menyakitkan hati. Tempahan daripada tahun lepas sia-sia sahaja aku buat. Buang masa! Tidak mengapa, pasti TUHAN mempunyai perancangan yang lebih baik untuk aku di sini. Berfikiran positif ya Rania!

Lelaki Dari Langit muncul tepat pada waktunya. Alex! Pemuda Korea yang tampan dan baik hati. Memang sesuai aku gelarkan Lelaki Dari Langit.

Pelik! Mengapa Yoonah beri amaran pada aku tentang Alex. Siapa sebenarnya Alex?

Previous: Bab 01 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez