Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 17 - PDSS
Bab 17

ALEX
tidak lepas memandang wajah Rania di depannya. Setiap inci raut wajah bujur itu dilihat dengan penuh rasa sayang. Bila lagi dapat menatap wajah gadis yang dicintai ini setelah pulang ke tanahairnya.

Perlakuan Alex membuatkan Rania berasa tidak selesa. Mahu saja dia berkata, “Apa pandang-pandang ni ada hutang?” kepada Alex yang duduk setentang dengannya.

Rania sengaja memilih bangku yang berlainan di dalam AREX (Airport Railroad Express) subway. Walaupun dijangkakan perjalanan ini mengambil masa yang agak cepat iaitu hanya 43 minit sahaja, namun bagi Rania ianya seperti kura-kura bergerak.

Dia hanya menjeling Alex yang duduk berhadapan dengannya. Rania mahu sahaja menutup muka dengan scarf yang dipakainya. Sungguh rimas ditenung seperti itu. Panahan anak mata Alex sungguh tajam dan menikam-nikam kalbu Rania.

Perkhidmatan AREX ini sungguh kondusif dan dihias dengan objek yang moden. Ianya sangat sesuai dihubungkan dengan Incheon International Airport iaitu tumpuan pengunjung dalam dan luar negara yang datang ke Seoul, Korea Selatan.

Selain AREX, disediakan juga perkhidmatan Seoul Metropolitan Subway, airport limousine buses dan teksi kepada orang ramai mengikut kehendak dan budget masing-masing. Rania sendiri tidak mahu kelam-kabut dan terlambat ke airport, maka AREX menjadi pilihan utamanya.

Leher Rania mula berasa sakit kerana asyik memandang ke arah kiri sahaja.

“Ini tidak boleh jadi, aku harus berpindah kedudukan daripada terus berhadapan dengan Alex yang tak faham-faham mahu pandang benda lain.” rungut Rania dalam hatinya.

Rania segera bangun sebaik sahaja seorang ahjussi (pak cik) turun di sebuah stesen. Dia terus beralih tempat duduk dan melabuhkan punggungnya di situ. Suka hati aku mahu duduk di mana. Bukan ada nombor pun. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Rania terus memandang ke arah luar dengan hati yang tenang.

Alex menoleh sekilas ke arah Rania dan mengelengkan kepala. Dia bengang dengan tindakan spontan Rania yang beralih tempat duduk.

Alex meraup perlahan wajahnya kerana tidak dapat menatap Rania sepanjang perjalanan ini. Di sebelah Rania ada seorang gadis dan sebelahnya pula seorang pemuda. Mungkin ini pasangan kekasih, Alex meneka sendiri. Rania sengaja menukar tempat duduk supaya aku tidak boleh memandangnya lagi. Licik gadis ini!

Alex semakin resah kerana sebentar lagi mereka akan sampai ke Incheon International Airport. Masa untuk berpisah semakin hampir. Jam tangannya tepat menunjukkan jam 5.15 petang. Dia tahu flight Rania pada jam 8.00 malam. Telinganya curi-curi dengar daripada 3 orang gadis tadi.

Pintu keluar AREX terbuka automatik sebaik sahaja pengumuman daripada suara rakaman wanita yang mempunyai versi bahasa Inggeris dan bahasa Korea sampai ke cuping telinga para penumpang.

Rania bingkas bangun dan menonong keluar meninggalkan Alex di belakangnya. Terkedek-kedek Alex mengekori langkah Rania yang laju sejak dari tadi, sepertinya hanya ada 20 minit sahaja lagi untuk check-in luggage.

“Rania! Kenapa ribut semacam saja ni. Flight kamu jam 8.00 malamkan? Masih sempat lagi.”

Alex memberitahu Rania yang seolah tidak menghiraukan dirinya di sisi.

Rania tidak menjawab langsung. Alex mengjengketkan bahunya tanda mengalah.

“Beg tarik kamu ada bersama saya. Jadi, jalan macam biasa saja.” gertak Alex kepada Rania.

Mendengar itu, Rania pantas menoleh ke arah beg tarik yang dipegang kemas oleh Alex.

“Saja Alex ini mencari alasan supaya aku jalan perlahan. Menyesal aku beri dia bawa beg tarik.” desis Rania perlahan.

“Lagi tadi saya tidak dengar suara kamu. Tekak kamu sakit ke? Kalau sakit sempat lagi saya belikan ubat.” usik Alex membuatkan Rania mendengus kuat.

Rania mengetap bibirnya yang tidak bergincu.

Alex terhibur dengan riak wajah Rania begitu, masih kekal cantik! Fuhh…

“Tekak saya tak sakit. Kalau tidak saya sudah batuk-batuk.” jawab Rania dengan nada keras.

Matanya menoleh ke tempat lain.

“Suara kamu kedengaran elok saja. Tidak sakit.” perli Alex lagi dengan senyuman nakal.

“Kamu larat lagi ke untuk berjalan, jika tidak kita boleh gunakan perkhidmatan Electric Cart secara percuma.” pelawa Alex kepada Rania. Electric Cart disediakan untuk membawa penumpang dan bagasi di dalam kawasan airport.

Jambangan bunga ros tetap berada di tangan Rania, Alex melihatnya dengan rasa bangga. Pasti orang sekeliling melihat mereka sebagai sepasang kekasih yang romantik walaupun berlainan bangsa.

“Saya masih bertenaga lagi untuk berjalan.” ujar Rania dengan nada keras.

“Kamu check-in dulu, kemudian kita pergi minum bersama.” Alex memberi cadangan kepada Rania yang melilau melihat keadaan airport yang bersih, cantik, mesra pengguna dan moden.

Tidak menghairankan airport ini mendapat pengiktirafan kali ke-8 sebagai Anugerah ASQ (Airport Service Quality). Manakala pada tahun 2013, Incheon International Airport menyambut ulang tahunnya yang ke-12.

Rania hanya membisu.

Sebaik sahaja mereka sampai di bahagian check-in departure, Rania terus beratur. Tidak sampai 25 minit, urusan tersebut selesai.

Rania terus ke arah bangku yang disediakan di situ. Tanpa disuruh, Alex terus melabuhkan punggungnya di sebelah Rania.

“Ayuh, kita pergi minum sebelum kamu berlepas.” ujar Alex dengan wajah yang mengharap.

“Saya tidak haus, saya hanya mahu duduk di sini.” jawab Rania dengan wajah endah tak endah. Alex risau melihat situasi tegang itu.

“Jika kamu tidak haus, kamu boleh temankan saya minum.” pantas Alex memberi alasan.

“Apa kata kamu belikan saya minuman itu.” ujar Rania memberi cadangan.

Alex mengangukkan kepala.

“Okay juga. Kamu mahu minum apa?” soal Alex kepada Rania yang tidak betah duduk di atas bangku.

Cappuccino.” pendek sahaja jawapan Rania.

Alex terus bangun dan menuju ke booth coffee yang terletak agak jauh dari tempat duduk mereka.

“Kamu tunggu saya di situ ya.” pesan Alex dari jauh. Rania hanya menganggukkan kepalanya.

Sebaik sahaja kelibat Alex hilang dari pandangan, Rania bingkas bangun dan berlari anak menuju ke bahagian departure. Tiket penerbangannya digenggam erat. Langkahnya semakin panjang.

Tiba-tiba Alex merasakan sesuatu tertinggal, dia segera berpusing lalu menuju semula di tempat tadi. Sebaik sahaja dia sampai di situ, tiada kelibat Rania. Alex cemas.

Jambangan bunga ros dan beg kertas tetap ada di situ. Ke mana Rania menghilangkan diri? Mungkin ke tandas? Mungkin juga berjalan-jalan melihat keadaan di situ? Atau Rania menghabiskan duit Korea Won? Alex membuat pelbagai andaian sendiri.

Punggungnya dihenyak keras di bangku. Dia mengigit jari. Alex berasa sesuatu yang buruk telah terjadi. Alex membatukan diri seketika.

Matanya melilau ke kiri dan ke kanan mencari kelibat Rania. Alex terus nekad untuk beredar dari situ. Beg kertas dan jambangan bunga ros segera diambil. Langkah kaki Alex segera ke arah departure.

Seperti yang dijangka, dari jauh Alex melihat figura Rania yang sedang memberi passport dan tiket untuk masuk.

Alex terus berlari pantas.

“Rania!!!” jerit Alex sekuat hatinya. Semua orang di situ memandang ke arah Alex.

Telinga Rania menangkap bunyi seseorang memanggil namanya dari belakang. Bila di toleh, Alex sedang berlari laju ke arahnya! Melihat itu Rania terus bergegas masuk ke pintu masuk departure. Tidak sempat dia mengucapkan kamsa hamnida kepada staf wanita yang bertugas menyemak tiket penerbangannya tadi.

Fuhh… Rania menarik nafas lega. Hah, dia sudah selamat berada di dalam kawasan untuk berlepas. Dia terus beratur untuk menunggu train ke lokasi penerbangan antarabangsa.

“Rania!” Alex mengeluh panjang tatkala melihat Rania telah meninggalkan dia secara tiba-tiba tanpa ada sebarang bicara.

Alex tidak menghiraukan orang di sekeliling yang berbisik-bisik dan memandangnya dengan penuh tanda tanya. Staf wanita di bahagian pintu masuk departure hanya memerhatikan Alex dengan rasa simpati. Dia hanya menundukkan kepala seolah memohon maaf kerana orang lain tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan penumpang yang mahu berlepas.

Alex tergamam. Wajahnya diraup perlahan. Dia sungguh kecewa dengan tindakan Rania meninggalkan dirinya tanpa ada sebarang pesanan. Tidak mungkin lagi dia akan berjumpa dengan seorang gadis yang telah berjaya mengetuk jiwa lelakinya untuk bercinta lagi.

“Rania, sampai begini sekali kamu membenci aku!” Alex bermonolog sendirian.

Hatinya sungguh sedih, semuanya gagal. Dia hanya membatukan diri di bangku yang disediakan di situ. Anak matanya hanya memandang ke hadapan seperti orang kematian isteri. Sugul! Hampir sejam Alex membatukan dirinya. Fikirannya kosong melayang entah ke mana.

Sementara itu,

Rania hanya memerhatikan para penumpang daripada pelbagai bangsa dan negara di situ. Walaupun penerbangan waktu malam, namun masih banyak pelancong dalam dan luar yang menggunakan perkhidmatan kapal terbang.

Jari Rania ligat melipat-lipat kecil sehelai kertas kosong. Walaupun berjaya melarikan diri daripada Alex namun hatinya berasa tidak selesa dengan tindakan yang telah dilakukan sebentar tadi.

Beg sandang Rania diletakkan di sisi. Matanya tepat memandang ke depan. Dia masih setia menunggu pengumuman penumpang dibenarkan memasuki perut pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Mengapalah masa sangat perlahan.” bisik hati Rania.

Kertas yang dilipat-lipat tadi semakin lunyai dibuatnya. Rania tidak sabar mahu meninggalkan kota metropolitan, Seoul. Dia mahu segera melupakan kisah Alex dan Yoonah yang benar-benar membuatkan hatinya sakit bak dihiris dengan pisau.

“Maafkan aku Alex, terpaksa berbuat begini. Aku tidak boleh melihat wajah kamu, pasti aku akan teringat tentang Yoonah dan baby kamu. Aku tidak mahu terlibat lagi dengan kamu semua. Aku mahu tutup buku. Noktah.” Rania bermonolog sendirian. Matanya dipejam rapat.

“Assalammuaikum, mana kawan Korea awak?” tiba-tiba seorang wanita Melayu menyoalnya. Wanita yang layak digelar kakak itu terus duduk di sebelah Rania. Dia turut membawa bersama seorang anak lelaki yang berusia dalam lingkungan 6-7 tahun.

“Waaikummussalam. Kawan Korea?” Rania menyoal semula tanda tidak mengerti dengan pertanyaan tadi.

Dia hanya tersenyum simpul.

“Laa, kawan awak yang bawa jambangan bunga ros tadi tu. Awak berdua bergaduh ke?” soal wanita itu dengan penuh minat. Matanya tepat memandang wajah Rania yang bersih daripada jerawat dan jeragat.

“Eem… Oh, tidak. Kami tidak bergaduh. Saya yang tergesa-gesa masuk tadi kerana fikir sudah lambat rupanya belum lagi. Jam saya rosak.”

Rania sungguh terkejut dengan penjelasan yang diberikan oleh wanita itu. Sungguh, banyak mata yang melihat insiden tadi antara dia dengan Alex di kawasan pintu departure. Aah malunya!

“Iya ke? Akak fikir awak bergaduh. Sampaikan terjerit-jerit lelaki itu panggil. Namun kamu buat tidak endah sahaja.” luah wanita itu lagi.

“Kawan awak tu handsome. Macam artis Korea!” ujar wanita itu dengan penuh teruja.

Rania hanya tersenyum lebar.

“Iya kak, kawan saya tu memang handsome macam artis Korea tapi akak tak tahu perangai buruk dia. Playboy! Saya benci kat dia! Aargh…” dengus Rania dalam hati.

“Awak sudah lama kenal dengan dia ke?” soal wanita itu membuatkan Rania tidak selesa kerana asyik bercerita tentang Alex.

“Kami baru berkenalan.” balas Rania perlahan. Dia tiada mood mahu bercerita tentang Alex.

“Siapa namanya?”

“Alex.” jawab Rania malas.

“Alex? Humm… memang sesuai dengan orangnya. Baru kenal, biar betul?” Mata wanita itu terbeliak besar.

Rania tersenyum pendek.

“Banyak tanyalah kakak ni. Tak habis-habis tentang Alex. Ingatkan sudah tak dengar lagi nama Alex di sini. Eish…” Rania bermonolog sendirian.

“Bertuah sungguh kamu dapat berkenalan dengan lelaki Korea macam itu. Sudahlah handsome, romantik pula tu. Sorry ya akak ni banyak pula bertanya.” Wanita itu ketawa sendirian.

Rania turut tertawa.

“Bukan bertuah kak tapi bala yang saya dapat! Akak tak tahu apa yang dia telah buat kepada saya sebelum ni.” Ungkapan itu tidak terluah daripada bibir mungil Rania.

“Kamu tidak menyesal ke meninggalkan Alex macam tu? Kesian pula akak lihat wajah muram dia. Uh, tak sanggup akak ingatkan wajah handsome Alex jadi pucat.” ujar wanita itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

Rania mengetapkan bibirnya. Panas sahaja telinganya mendengar kata-kata itu.

“Insya-Allah kak, Alex tidak apa-apa. Semuanya di luar kawalan saya.” ujar Rania dengan alasan yang sengaja direka-reka.

“Susah tau, mahu berjumpa dengan lelaki yang macam tu. Kalaulah suami akak macam Alex, alangkah bahagianya hidup ini.” ujar wanita itu dengan penuh teruja.

Rania hanya mendengar. Tanggannya mula merayap membetulkan tudung kepalanya.

“Akak suka lihat kamu berdua. Amat sepadan! Kamu suka Alex tak?” soal maut itu membuatkan Rania sekilas menoleh wanita itu dengan wajah yang berkerut seribu.

“Ibu, adik nak kencing. Tak tahan ni.” Tiba-tiba anak lelaki wanita itu merengek. Tangannya erat memegang tangan ibunya.

“Masa ni pula mahu kencing. Tadi ibu cakap kata tak mahu.” Wanita itu membebel kepada anaknya lalu segera beredar menuju ke arah tandas.

“Sekejap lagi kita sambung ya…” ujar wanita itu sempat memberi pesanan kepada Rania.

Anak mata Rania mengekori pergerakan kedua anak-beranak itu.

“Fuhh.. syukur dia sudah beredar. Tak ada lagi soalan tentang Alex.” Rania menarik nafas lega.

Tanpa berlengah lagi, dia bingkas bangun dan mencari tempat duduk yang lain. Akhirnya Rania melabuhkan punggungnya di sebelah seorang gadis belasan tahun yang datang bersama keluarganya.

Masih ada 1 jam lagi untuk masuk ke dalam perut pesawat. Rania sudah tidak sabar lagi untuk menjejakkan kaki di Kuala Lumpur. Pinggangnya sudah mula sakit kerana duduk agak lama di bangku.

Rania sudah letih mahu berjalan-jalan di sekitar kawasan itu. Semua orang membuat pelbagai aktiviti; ada yang berbual-bual sakan, ada yang asyik melayan gajet di tangan, ada yang tertidur dan sebagainya.

Dia mahu berehat-rehat di sini.

“Baca al-quran lagi bagus.” bisik hati kecil Rania.

Tangannya segera membuka beg sandang lalu mencari kitab tersebut. Namun, bayangan al-quran berwarna merah itu masih tidak kelihatan. Sudah puas Rania membelek-belek isi kandungan di dalam beg sandangnya.

“Mana pula al-quran ni?” Rania memegang mulutnya. Otaknya ligat berputar cuba mengingati kembali kali terakhir dia meletakkan al-quran mini.

“Beg kertas!!” luah Rania perlahan. Tiba-tiba dia teringat akan beg kertas yang ditinggalkan di atas bangku tadi.

“Ya ALLAH, al-quran tertinggal dalam beg kertas! Kenapalah aku tidak bawa sekali beg kertas tu tadi. Aargh…” Rania membebel dalam hatinya.

Al-quran mini itu merupakan al-quran kesayangannya yang di bawa ke mana-mana jika berada di luar rumah. Bila ada waktu terluang Rania akan membaca al-quran tersebut. Sudah menjadi tabiatnya sejak 5 tahun yang lalu semenjak dia menghadiri sebuah bengkel ‘Al-Quran Peneman Sehidup Semati’.

Fikiran Rania buntu. Tidak tahu untuk bertindak apa-apa.

“Dengan siapa aku mahu berhubung untuk mengambil al-quran tersebut. Ya ALLAH, bantu aku.” Doa Rania dalam hati.

“Hah, Alex!” Tiba-tiba nama itu muncul di fikirannya.

Rania tangkas membuka semula beg sandangnya. Dia mencari sehelai kertas yang pernah diberikan oleh Alex kepada dirinya.

Setelah 2 minit berlalu, Rania menutup semula beg sandangnya dengan lemah. Dia hampa kerana tidak menjumpai kertas tersebut. Wajahnya berubah muram seperti mendung di siang hari. Mungkin ini akibatnya aku meninggalkan Alex tanpa mengucapkan apa-apa kalimah. Rania mengeluh panjang.

“Ya ALLAH, bantu aku… moga Alex tidak membuang beg kertas tersebut.” Rania berharap dan terus berdoa dalam diam.

Pengumuman daripada syarikat penerbangan Air Asia membuatkan Rania tersentak.

Kini masa yang ditunggu telah tiba, para penumpang yang menuju ke Kuala Lumpur dibenarkan masuk ke dalam perut pesawat. Rania bingkas bangun. Beg sandangnya terus disandangkan di bahu. Kaki Rania melangkah perlahan seolah-olah ada sesuatu yang tertinggal di bumi Seoul.

Sebaik sahaja Rania melabuhkan punggung di kerusi yang berhampiran tingkap, dia terus melihat ke arah luar pesawat. Gayanya seperti mengintai di sebalik celah-celah pokok. Suasana sudah gelap. Rania terus menutup semula tingkap tersebut.

Syukur di sebelahnya tiada orang yang duduk. Dia mahu bersendirian dan melayan perasaannya ketika ini. Rania tidak mahu sesiapa yang menganggunya. Perjalanan yang dijangka mengambil masa 5 jam ini pasti akan membuatkan Rania sempat tidur sebelum tiba di Kuala Lumpur pada jam 1.00 pagi nanti.

Dalam tidak sedar, Rania membuka beg sandangnya. Dia mengeluarkan Diari Lelaki Dari Langit dengan cermat. Pen dipegang rapi. Helaian demi helaian diselak dan mula berhenti di sebuah halaman mukasurat.

Hari ke-5 di Seoul,

Hai, Diariku sayang. Bagaimana keadaanmu? Aku kini berada di atas awangan menuju pulang ke Malaysia. Hari perpisahan akhirnya tiba juga. Psst… ada berita yang mengemparkan! Yoonah mengandungkan anak Alex! Bagai nak pitam aku rasa bila saja Yoonah beritahu aku berita gembiranya namun berita duka bagi aku. Kenapalah Alex masih menganggu dan menagih cinta aku sedangkan dia sudah ada tanggungjawab kepada Yoonah. Sungguh aku benci dengan lelaki playboy seperti Alex! Aku tidak sangka dalam pertolongannya ada sesuatu yang dimahukan dari aku.

Kisah pengembaraan ke Seoul ini banyak menganggu emosi aku gara-gara lelaki yang bernama Alex! Bayangkan jika aku tidak bertemu dengan Alex, pasti aku balik ke Malaysia dengan tenang sekali. Namun, aku pasrah dengan semua ini. Pasti ada hikmahnya daripada ALLAH untuk aku. Ada sesuatu yang lebih baik dan indah sedang menunggu aku di Kuala Lumpur!

Rania memejamkan matanya rapat-rapat. Ada manik-manik jernih yang mengalir perlahan di pipi mulusnya. Pesawat A380 terus gagah membelah awan menuju ke destinasi.

Sementara itu,

Alex mendongak ke langit yang gelap tanpa rasa jemu. Dia pasti Rania sudah berada di awangan menuju ke tanahairnya. Jiwanya kosong dan badannya tidak bermaya. Perpisahan yang menyakitkan hati! Berlaku dalam suasana yang hambar.

“Rania, apa salahku sampai begini kamu tergamak lakukan?” desis Alex lemah.

Jambangan bunga ros yang sepatutnya berada bersama Rania terus diambil. Alex terus mencium bunga ros itu dengan penuh perasaan. Fikirannya melayang teringatkan wajah ayu Rania yang sedang tersenyum kepadanya. Alex tidak mahu senyuman manis Rania hilang dari memorinya.

Anak mata Alex beralih pula ke beg kertas yang ditinggalkan oleh Rania. Dia membuka dengan perlahan. Sebuah al-quran mini yang berwarna merah dipegang dan dibelek perlahan. Lama Alex melihat al-quran itu, tanpa disedari Alex mencium perlahan seperti mana dia pernah melihat Rania mencium al-quran itu.

Alex mendongak semula ke langit yang tiada berbintang, al-quran itu didakap di dada bidangnya. Rania, walau ke mana sahaja engkau terbang tinggi. Bunga ros dan al-quran ini adalah kenangan terindah yang akan disimpan baik sampai bila-bila. Walaupun kamu tidak sudi menerima bunga ros ini, namun aku pasti satu hari nanti kamu akan menghargainya. Aku akan tetap mengingati dan terus menagih cintamu yang suci. Rania, kamu membuatkan malamku ini suram tanpa sebarang cahaya. Alex merenung kosong.

Previous: Bab 16 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez