Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 19 - PDSS
ENJIN kereta dimatikan. Fareed memerhatikan banglow sederhana mewah kepunyaan ayah Rania. Hari ini ada 2 buah kereta. Salah satu kereta itu sungguh dikenali. Kereta Rania yang berwarna putih.

Rania telah ada di rumah! Bagaimana aku mahu memberitahu Rania bahawa aku ingin berjumpa dengannya. Fareed menggaru kepalanya yang tidak gatal. Entah-entah Rania tidak ingat siapa aku, nanti buat malu saja. Satu keputusan diambil, Fareed akan bertemu Rania di Hotel Princess pada hari Isnin. Dia pasti Rania akan masuk bekerja.

“Mengapa tak nak masuk? Dalam rumah tu semuanya manusia tak ada harimau pun.” ujar Rania kepada Fareed yang menolak untuk singgah ke dalam rumah Rania.

“Insya-ALLAH, lain kali saja.” jawab Fareed pendek.

Matanya hanya memandang Rania keluar dari keretanya setelah terserempak dengan Rania di pusat membeli-belah. Dia yang menawarkan diri untuk membantu Rania. Ingatannya masih jelas akan peristiwa 2 tahun yang lalu sebelum dia berangkat ke luar negara untuk menyambung pengajiannya.

Kring… kring… kring…

“Waikumussalam. Ada apa mak?” soal Fareed kepada Puan Munnah.

“Fareed kat mana sekarang? Tolong mak boleh.” soal Puan Munnah sambil membetulkan kedudukannya di kerusi makan.

“Fareed kat luar ni. Mestilah boleh untuk mak, apa sahaja Fareed boleh buat.” jawab Fareed sambil tersenyum.

“Ambil baju? Kedai baju yang kat mana tu mak?” soal Fareed ingin mengetahui lokasi sebenar kedai baju yang dimaksudkan oleh Puan Munnah.

“Oh kat Ampang, okay Fareed akan ambilkan.” jawab Fareed setelah Puan Munnah memberitahu alamat lengkap kedai tersebut.

Mata Fareed tidak lepas melihat rumah Rania semula. Dia pasti akan masuk ke rumah itu setelah bertemu Rania semula pada hari Isnin nanti. Moga segalanya berjalan lancar, doa Fareed dalam hati.




RANIA masuk ke pejabat dengan hati yang berdebar-debar dan teruja. Pagi ini dia sampai awal ke pejabat, dia mahu ambil mood dulu sebelum memulakan tugas. Ole-ole dari Korea disimpan elok di dalam lacinya yang ada 3 lapis.

“Wah, orang Korea sudah masuk kerja!” teriak Zaidah teruja.

Segera dia peluk Rania dengan hati yang gembira kerana melihat kawan baiknya selamat tiba di Malaysia.

“Macam mana Korea, okay tak kat sana?”

“Mestilah okay!” Rania tidak melepaskan pelukan Zaidah. Mereka berpelukan erat kerana lama tidak berjumpa.

“Kau ada belikan ole-ole yang aku kirimkan tu?” ujar Zaidah mula mencari-cari beg plastik di atas meja Rania.

“Ada. Jangan risau, pasal kau aku pasti beli. Sekejap aku ambilkan.”

Rania terus membuka lacinya. Beg kertas berwarna merah diambil lalu diserahkan kepada Zaidah yang teruja menunggunya.

“Alhamdulilah, dapat juga ole-ole dari Korea walaupun tak pi sana. Terima kasih Rania. Eh, lupa pulak… kamsa hamnida.” ujar Zaidah ceria.

Rania hanya tersenyum melihat gelagat Zaidah yang mencuit hatinya.

“Ceritalah apa yang best kat sana, aku nak tahu. Kau hanya story yang best-best saja tau!” gertak Zaidah kepada Rania yang selesa duduk bersandar di kerusinya.

“Aku duduk di sana 5 hari, jadi banyak sungguh cerita yang aku ada. Kau mahu dengar yang mana satu?” jawab Rania dengan gaya seorang boss.

“Cerita yang best saja. Senang cerita, kau ada jumpa lelaki Korea yang handsome tak?” soal Zaidah dengan mata yang galak.

Mendengar soalan yang berkaitan lelaki yang handsome, jantung Rania berdebar-debar. Fikirannya melayang, dia teringatkan Alex. Lelaki yang sinonim dengan handsome.

“Wei, Rania aku tanya bab lelaki handsome kau sudah diam. Apa cerita ni? Beritahulah aku, kau ada berkenalan dengan lelaki Korea yang handsome kan? Duga Zaidah kepada Rania yang mula berubah wajahnya.

“Mana ada aku berkenalan dengan lelaki handsome. Biasa-biasa saja. Aku paling suka pergi Pulau Nami. Cantik tempat tu!” Rania mengalihkan perhatian Zaidah kepada topik yang lain pula.

“Memang cantik, aku tengok daripada video yang kau hantar tu pun sudah nampak teruja mahu pergi ke sana. Siapa yang rakamkan video tu?” soal Zaidah ingin tahu.

Rania menelan air liur. Macam mana aku nak terangkan kepada Zaidah. Adakah aku nak cerita tentang Alex?. Rania mula berfikir-fikir.

“Ada seorang oppa yang baik hati mahu tolong aku.” jawab Rania tanpa memperkenalkan Alex.

Zaidah hanya menganggukkan kepala.

“Rania, nanti kita sambung cerita lagi. Oh ya, kalau Dato’ Kamil panggil kau tentang ke mana kau menghilang selama seminggu yang lepas. Kau pandai-pandailah menjawab ya.” ujar Zaidah sambil tersengih macam kerang busuk.

“Iya, jangan risau. Pandailah aku menjawabnya. Jam 9.30 pagi nanti kita sarapan sama-sama ya.”

Rania mula mengalihkan kerusinya di meja yang berukuran empat segi tepat.

“Assalammuaikum semua. Hah, Rania! Mana kau menghilang?” suara Asraf membuatkan Rania tersenyum.

Asraf terus menuju ke meja Rania.

“Aku bercuti ke Korea. Kau rindukan aku ya.” usik Rania sambil tersengih.

Tangannya sibuk mengambil sesuatu daripada beg plastik berwarna hitam.

“Mestilah aku rindukan Puteri Rania yang cantik. Korea? Laa kenapa tak beritahu aku… boleh aku kirim barang.”

Asraf memuncungkan bibirnya.

“Aku tak mahu kecoh-kecoh. Nah, ole-ole dari Korea!” ujar Rania sambil menghulurkan ketip kuku yang ada patung gadis Korea yang memakai hanbok.

“Wah cantik! Terima kasih Rania. Ingat juga kau kat aku ya. Hihihi…” gelak Asraf membuatkan Zaidah turut tertawa.

“Rania tu selalu ingatkan kau, cuma kau aja yang tak perasaan.” usik Zaidah dari meja sebelah.

“Bila masa pula aku tidak ingatkan Rania? Tolong sikit, aku kalau pergi mana-mana tak pernah lupakan kau orang berdua.” jawab Asraf tenang.

“Aku tahu, kau pasti ingatkan kami. Tu sebab kami sayangkan kau lelaki tunggal kat bahagian kita ni.” gelak Rania.

Zaidah turut tertawa.

“Ehem.. ehem…” suara wanita daripada belakang membuatkan semuanya menoleh. Selina!

“Meriahnya di sini, bising macam pasar. Oo.. Rania? Kau sudah masuk kerja, ingatkan sudah berhenti kerja.” Perli Selina sambil berlalu menuju ke arah tandas.

Panas telinga Rania mendengar sindiran tajam Selina.

“Kau jangan ambil hati dengan cakap Selina. Mulut dia memang laser, tak sayang mulut. Pagi-pagi sudah buat orang naik angin.” Zaidah bersuara turut menjeling ke arah Selina.

“Selina asyik tanya kau sejak tak ada kat office. Biasalah perangai dia tu, tak boleh lihat orang gembira sikit. Ada aja modalnya! Geram aku!” sampuk Asraf dengan memek muka menyampah.

“Sudah, jom kita mula bekerja. Nanti waktu rehat kita sambung cerita lagi.”

Rania meleraikan perbalahan antara mereka. Masing-masing beredar menuju ke meja untuk memulakan tugasan. Di atas meja Rania ada beberapa dokumen yang perlu diselesaikan.

“Hai, Rania! Macam mana dengan Korea, mereka tidak jadi perang kan?” suara lelaki itu membuatkan Rania segera mendongak.

“Oh, Encik Haikal. Korea Selatan masih lagi aman.” Rania tersenyum.

“Ini ole-ole untuk Encik Haikal.” Rania menghulurkan sebuah beg plastik kecil kepada Encik Haikal yang hampir 10 tahun bekerja di Hotel Princess.

“Terima kasih. Susahkan you aja. Rania, sekejap lagi masuk bilik I kita ada discussion sikit.” Arah Encik Haikal membuatkan Rania mengangguk tanda terima arahan.

Rania bergegas ke arah tandas sebaik sahaja perutnya mula memulas-mulas minta dibuang.

“Oopss… assalammuaikum Dato’’!” spontan sahaja Rania menyapa Dato’ Kamil yang baru masuk office. Rania hampir terlanggar Dato’, syukur dia sempat mengelak.

Dato’ Kamil memandang Rania atas bawah dengan wajah yang serius!

“Ada pula hari ini.” ucap Dato’ Kamil dengan sinis.

Menyirap Rania mendengar perkataan yang keluar daripada mulut Dato’ Kamil. Rania hanya mengangguk tanda hormat kepada ketuanya. Dato’ Kamil terus berlalu meninggalkan Rania. Sebaik sahaja Dato’ Kamil beredar dari situ, Rania terus bergegas masuk ke tandas.




“RANIA jom keluar, aku belanja. Hari ini aku baik hati.” Tegur Asraf yang sudah berdiri di sebelah Rania yang leka membuat kerja. Banyak dokumen yang bertimbun di atas mejanya.

“Sudah pukul 1.00 ke?” Rania segera melihat jam tangannya.

“Ya la, sudah masuk waktu rehat.”

“Jom, kita lunch pizza. Hari ini aku teringin mahu makan pizza. Rasanya sudah lama aku tidak makan pizza. Cepatlah, aku sudah lapar ni!” gertak Asraf kepada Rania yang kelam-kabut mencari beg tangannya di dalam laci.

“Iya, aku tahu. Perut aku pun lapar juga ni. Rindu mahu makan dengan kau. Zaidah kau tak ajak ke?” ujar Rania sambil memandang tepat wajah Asraf yang berwajah Chinese look. Asraf menepuk dahinya yang jendul.

“Ya ALLAH, aku lupalah.” jawab Asraf dengan rasa cemas.

“Kau tak ajak pun aku mahu ikut sekali. Aku tak kisah!” tiba-tiba Zaidah bersuara dari belakang.

Sejak dari tadi Zaidah memasang telinga.

“Eiks… aku belum ajak lagi kau sudah lebih-lebih pula. Macam mana mahu jadi wanita pujaan lelaki Malaya?” usik Asraf kepada Zaidah yang sudah bersedia untuk sertai mereka.

“Aku tidak mahu jadi wanita pujaan lelaki Malaya, aku mahu jadi wanita pilihan lelaki soleh… boleh?” pantas Zaidah menjawab dengan senyuman nakal.

“Berangan saja lebih, ada hati mahu cari lelaki soleh.” Asraf mencembekkan muka kepada Zaidah yang suka memakai make-up yang agak tebal.

“Suka hati akulah, dah itu impian aku…” jawab Zaidah tidak mahu kalah.

“Sudah-sudah, bila kita nak gerak ni.. masa berjalan. Nanti nak order, nak makan saja sudah ambil masa. Jom kita pergi, bertekak di sini perut aku yang sakit nanti.” Rania meleraikan pertikaman lidah 2 sahabat baiknya.

Selepas 30 minit mereka berada di kedai Pizza, tiba-tiba Asraf menjerit,

“Alex!!”

Mendengar nama itu spontan Rania menoleh ke arah tepi mereka. Asraf mengamit tangan kepada seorang pemuda. Kelibat pemuda itu mara ke arah mereka yang duduk di sebuah meja empat segi. Jantung Rania berdegup kencang! Betul ke Alex dari Korea yang muncul ketika ini?

“Alex!! Ini akulah Asraf, kawan satu course masa belajar di UPM.” Sapa Asraf kepada lelaki muda yang bergaya metro. Lelaki itu hanya mengerutkan dahi.

“Asraf lalat, ingat tak lagi?” ujar Asraf bersungguh kepada lelaki itu.

Rania melepaskan nafas lega sebaik sahaja melihat wajah lelaki yang bernama Alex itu. Syukur, bukan Alex dari Korea tapi kawan Asraf. Kenapalah aku berdebar sangat bila mendengar nama Alex? Sakit sungguh dibuatnya bila orang lain sebut nama Alex. Nama itu aku tidak mahu dengar di Malaysia.

“Asraf kumpulan lalat! Aku fikir siapa mamat yang jerit tadi! Kau buat apa di sini?” Lelaki itu menjawab sambil bersalam dengan Asraf.

“Hah, ingat pun kau! Ingatkan sudah lupa. Aku kat sini untuk makanlah takkan untuk shopping pulak.” Tempelak Asraf kepada lelaki tadi.

“Hahaha.. kau masih seperti yang dulu. Tak abis berlagak macho kan? Sorry Asraf, aku tidak boleh borak lama. Awek aku sedang tunggu tu. Kau bagi nombor telefon nanti kita sembang panjang ya.” Mereka saling bertukar nombor telefon dan lelaki itu berlalu dari situ.

Bye bye. Jangan lupa call aku!” jerit Asraf lagi. Sakit telinga Rania kerana suara Asraf yang agak kuat.

“Siapa tu?” soal Zaidah berminat.

“Kawan aku masa belajar di UPM.” Selamba saja Asraf menjawab.

Tangannya menyambung semula menikmati pizza yang telah dihidangkan.

Handsome kawan kau tu.” ujar Zaidah teruja.

Mendengar itu, Asraf segera meletakkan garpu di pinggannya.

“Jangan nak mengatal ya, kawan aku tu sudah ada awek. Kau tak dengar tadi?” ujar Asraf serius.

“Aku baru cakap handsome. Aku tak cakap pun mahu berkenalan dengan dia atau minta nombor telefon.” jawab Zaidah tenang. Dia memang mudah tertarik dengan lelaki yang berwajah handsome. Zaidah meminati lelaki yang dianugerahkan TUHAN dengan wajah yang handsome.

“Iyalah tu. Kau saja mahu sembunyikan agenda sebenar kan? Hahaha…” Asraf tertawakan Zaidah. Rania turut tertawa mendengar usikan Asraf.

“Pandailah kau buat cerita. Aku tak ada agenda tersembunyi langsung. Kau saja mahu perli aku kan?” ujar Zaidah seolah terasa hati dengan kata-kata Asraf.

Rania segera memegang bahu Zaidah.

“Janganlah terasa hati, Asraf tu saja sakat kau. Sebenarnya dia sendiri yang ada agenda yang tersembunyi. Betul tak Asraf?” Rania memancing perhatian Asraf.

Wajah Asraf segera berubah. Dia menelan air liur.

“Aku pulak yang ada agenda. Eiks… tak sesuai lah!” pantas Asraf menjawab. Tiba-tiba dia terasa badannya panas. Dia segera minum air fresh Oren. Rania hanya tersenyum melihat telatah Asraf.

“Rania, kenapa kau macam orang takut je bila aku panggil kawan aku tadi? Kau kenal Alex ke?” soalan Asraf membuatkan Rania tidak berselera untuk makan lagi.

Dia memandang Asraf sambil mengelengkan kepala.

“Aku tidak pernah jumpa pun kawan kau tu.” Rania segera menundukkan kepala dan menikmati garlic bread yang masih berbaki.

“Habis tu muka kau semacam saja aku nengok? Kau sorokkan sesuatu dari kami ya? Kau ada kawan lelaki yang bernama Alex kan?” Asraf cuba mengumpan Rania dengan soalan itu.

Rania memandang wajah Asraf dengan berkerut dahinya.

“Beritahulah kami, siapa Alex tu? Boleh kami berkenalan.” sampuk Zaidah turut menyokong kata-kata Asraf.

“Eiks… mana ada aku sorokkan. Aku tak ada kawan nama Alex pun.” Rania bersuara gementar.

Dia bimbang tidak dapat mengawal dirinya daripada bercerita kisah Alex dan dia di Korea sepanjang 5 hari di sana. Biar kisah mereka hanya Rania dan Alex sahaja yang tahu.

“Sejak balik dari Korea ni, aku nengok kau macam sedih je. Ini mesti ada apa-apa yang telah berlaku di sana.” usik Asraf tepat memandang wajah cantik Rania.

“Aku letih dan tak cukup tidur. Bukannya aku sedih ke apa.” Rania menjawab dengan berhati-hati supaya Asraf tidak menyoalnya lagi.

“Rania letih. Kau ni saja mahu serkap jarang. Jom kita beredar. Lagi 10 minit masa rehat sudah tamat.” ujar Zaidah seolah-olah memahami apa yang dirasakan oleh Rania ketika itu.

Fuhh!! Lega, akhirnya mereka bersurai dan tiada lagi soalan-soalan maut daripada mereka. Rania mengelap peluh yang menitik di wajahnya.




SEBAIK sahaja Rania tiba di mejanya, matanya terlihat sejambak bunga ros segar. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan jika ada orang yang menghantarnya.

“Wahh!!! Rania dapat bunga!” jerit Asraf membuatkan Rania memberi isyarat diam dengan jari telunjuknya.

“Siapa yang bagi bunga ni?” soal Zaidah kepada Rania yang kelihatan terkejut.

Rania membelek jambangan bunga itu. Dia mencari kad atau nota daripada pengirimnya.

“Aku pun tak tahu. Bunga ni ada di atas meja.” ujar Rania perlahan.

“Ini mesti boyfriend Rania yang bagi.” Asraf meneka sambil tersengih.

Rania masih membelek jambangan bunga ros yang cantik lagi segar.

“Aku mana ada boyfriend. Siapa yang bagi ni?” soal Rania kepada dirinya sendiri.

Akhirnya tangannya tersentuh sekeping kad kecil berwarna putih. Segera diambil lalu dibaca.


Hai Rania,

Bunga ros pengganti diri.

Aku sungguh merinduimu.

-lelaki misteri


“Misteri la sangat! Kau kenal tak Zaidah?” soal Asraf kepada Zaidah yang leka membaca catatan nota itu.

“Hah? Aku tak kenal. Tanya Rania lah.” jawab Zaidah sambil membelek jambangan bunga ros.

Rania mengerutkan dahi. Dia cuba memikirkan siapakah gerangan lelaki yang memberinya bunga ros khas untuk dirinya.

“Siapa lelaki misteri ni Rania?” soal Asraf menyibuk ingin tahu.

“Entah, aku sendiri tidak tahu siapa lelaki ni.” jawab Rania lemah.

“Lelaki misteri macam aku pernah dengar. Tapi di mana ya?” sampuk Zaidah sambil memegang dagunya.

“Cubalah kau ingatkan baik-baik. Kawan sekolah ke, kawan universiti ke atau kawan adik lelaki kau ke.” Asraf memberi cadangan kepada Rania yang kelihatan gelisah kerana tidak dapat mengetahui identiti sebenar lelaki yang bernama lelaki misteri.

“Okay, aku cuba ingatkan kembali kawan lelaki yang bernama lelaki misteri.” Luah Rania perlahan memohon pengertian daripada Zaidah dan Asraf supaya memberi ruang kepadanya untuk bersendirian ketika itu.

Rania terduduk. Ingatannya melayang kepada lelaki yang bernama Alex!. Jambangan bunga ros yang ditinggalkan di Incheon International Airport. Rania pasti Alex mengambil semula jambangan bunga ros itu.

Hatinya tiba-tiba sebak.

Previous: Bab 18 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez