Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 01 - PDSS

PELUH mula membasahi baju yang dipakai oleh Rania. Kakinya mula sakit akibat berjalan jauh untuk ke hostel Yellow Brik. Tempahan bilik hostel masih kuat digenggam erat. Matanya tepat ke arah wanita Korea yang kelihatan muda di hadapannya.

Wanita itu hanya tersenyum. “Mohon maaf, bilik di hostel kami telah penuh sejak seminggu yang lepas. Kami terpaksa memenuhi permintaan pelancong yang datang awal.”

“Apa?” keras suara Rania mendengar penjelasan wanita itu.

Kepalanya digaru. Tangannya digengam kemas. Kepalanya mula sakit apabila mendengar maklumat yang baru didengar.

“Saya datang dari jauh dan telah menempah bilik di sini! Awak faham tak?” jerit Rania. Matanya mula merah.

Wanita Korea itu tertunduk dan membatukan diri. Banyak mata yang memerhatikan perbincangan hangat antara mereka. Suara dan bisikan jelas didengari oleh Rania.

“Apa tengok-tengok ni. Ini bukan wayang gambar!” dengus Rania kepada pasangan daripada negara Thailand.

“Tak masuk akal!” Rania menumbuk kaunter pertanyaan hostel itu. Wajahnya diraup dengan tangan. Dengan keras Rania mengambil semula kertas tempahan bilik dan sempat menjeling tajam ke arah wanita itu yang tidak mampu untuk tersenyum lagi seperti mula-mula dia menjejakkan kaki di hostel Yellow Brik.

“Saya akan buat aduan terus kepada pengurus hostel Yellow Brik!” dengus Rania lagi. Bibirnya terjuih. Kakinya mula melangkah longlai ke arah pintu utama.

Tiba-tiba Rania berpaling semula dan berkata keras, “Saya akan beritahu seluruh dunia dalam facebook supaya pelancong tidak datang lagi ke hostel yang teruk dan mungkir janji!” .

Jarinya ditunjuk terus ke arah wanita yang bertugas ketika itu. Pintu utama hostel Yellow Brik dihempas kuat. Dadanya berombak cepat. Rania melangkah longlai tanpa arah tuju. Matanya terus memandang ke depan tanpa ada perasan teruja lagi. Rania mendongakkan kepalanya ke langit. Lama.

“Langit yang gelap tanpa ada bintang.” hatinya berbisik.

“Aduh!” Terpacul perkataan itu dari mulut Rania. Lengannya dilanggar oleh seorang pemuda Korea. Mata Rania membulat ke arah lelaki itu.

Sorry!” pemuda itu berkata dan menundukkan sedikit kepalanya. Rania tergamam bila lelaki itu menundukkan kepala tanda mohon maaf. Rania hanya mampu melemparkan senyuman kepada pemuda itu. Rania mengosok perlahan lengannya.

Rania meneruskan perjalanan di kawasan yang dikelilingi dengan kedai pakaian tradisional Korea yang lebih dikenali sebagai hanbok. Jam tangannya menunjukkan jam 10.45 malam waktu Korea.

“Argh!!! Hari sudah malam, mahu menginap di mana ni.” Rania bermonolog sendirian. Dia terduduk mencangkung. Kepalanya tertunduk. Badannya mula mengigil akibat kesejukan dan angin malam. Rania membatu seketika.

Rania merenung kasut baru yang tersarung dikakinya. Kasut itu dibeli khas dari Kuala Lumpur untuk dibawa bersama mengembara di negara Korea yang mempunyai empat musim utama.

“Ciss! Apa punya perkhidmatan mereka tawarkan. Kalau aku tahu, taubat tidak mahu menempah hostel Yellow Brik itu lagi. Serik!.” Dia bermonolog sendirian. Ditolehnya ke belakang melihat sebuah kafe yang tertera nama “Honey Coffee Cafe”.

Belakang badan dan pinggangnya mula sakit. Mata Rania mula bergerak ke kiri dan ke kanan. Pemuda-pemudi Korea yang lalu di hadapannya melihat Rania dengan pandangan yang pelik, melihat dari atas ke bawah kelibat Rania yang berdiri kesejukan di stesen subway Hangsung University. Asap putih mula kelihatan sebaik sahaja Rania bernafas. Tangannya dimasukkan terus ke dalam poket baju panas. Terasa hangat apabila tersentuh pek heater yang dibawa bersama.

“Kalaulah Zaidah datang sekali tentu seronok aktiviti backpacking ni. Ahh… Zaidah! Kenapa kau sakit waktu ni!” dengus Rania kuat.

Sementara itu…

Sepasang mata asyik memerhati Rania dari dalam “Honey Coffee Café”. Wanita dihadapannya sungguh pelik dan berbeza daripada wanita Korea yang biasa dilihat. Seorang wanita yang membawa beg sandang dan ditanggannya mengengam peta. Dia kelihatan panik dan mencari sesuatu. Sudah setengah jam dia melihat wanita itu berdiri kesejukkan.

“Siapa wanita cantik itu? Kenapa dia keseorangan di waktu malam begini?” bisik hati Alex. Tanpa disedari kaki Alex melangkah laju. Dengan nekad, Alex memberanikan diri untuk berjumpa dengan wanita itu.

Anyoung haseyo (hello)” ucap Alex.

“Mohon maaf, boleh saya bantu Cik?” Alex datang mendekati Rania yang termangu-mangu sendirian.

Rania terlompat kecil mendengar suara lelaki dari belakangnya. Jantungnya berdegup kencang.

Lelaki Korea di depan matanya direnung tajam.“Tidak ada apa-apa. Terima kasih.” balas Rania acuh tidak acuh.

“Cik berasal dari mana?” lelaki itu berusaha untuk membantu Rania yang mula menjauhkan diri daripadanya.

“Kuala Lumpur.”

“Maksud saya Malaysia.” balas Rania dengan malas.

“Oh, saya tahu. Satu Malaysia.” Alex menambah.

“Ya, satu Malaysia. Macam mana tuan tahu tentang itu?” Rania mula berminat.

“Suhu di luar ini sejuk. Ayuh, masuk ke dalam kafe.” Alex mempelawa Rania yang dilihat kesejukkan. Tanpa membantah, Rania mengekori Alex masuk ke dalam kafe. Sebaik sahaja mereka berdua duduk di sebuah meja bulat, Alex menghulurkan tangannya.

“Nama saya Alex.”

“Saya Rania.” Tangan kanannya diletakkan di dada.

“Cik seorang muslimah?” tanya Alex. Tangannya ditarik semula.

“Ya, saya seorang muslimah. Bagaimana tuan tahu tentang itu?” soal Rania kehairanan.

“Cik memakai tudung di kepala.” Alex tersenyum.

Menu minuman diserahkan kepada Rania. “Cik mahu minum apa?”

Cappicuno.” balas Rania ringkas.

“Makanan?” soal Alex lagi.

Rania hanya mengelengkan kepala. Sebaik sahaja pelayan kedai mengambil pesanan, Alex menghulurkan sebuah kertas kosong kepadanya.

“Kertas kosong ini untuk apa?” terbeliak mata Rania.

“Perancangan Rania di Korea. Maksud saya di Seoul khususnya.” bersahaja Alex bertutur.

Mata Rania terkebel-kebel ke arah Alex. “Maksud kamu?”

“Saya pasti Rania adalah seorang pelancong yang bersendirian di sini.”

Rania mengelengkan kepala. “Siapa yang kata?” getus Rania.

“Sayalah siapa lagi.” Alex ketawa menampakkan barisan gigi putih.

Rania turut ketawa. Banyak mata yang memandang ke arah mereka berdua.

“Saya lihat Rania amat tertekan semasa pertama kali kita bersua.” Alex memulakan perbualan serius.

Rania tersenyum. “Ya, memang saya amat tertekan tadi. Tempat penginapan saya dibatalkan di saat akhir.” bahunya terjengket sedikit.

Seorang lelaki pelayan kopi tiba dengan dua buah cawan. “Ini coffee dan cappucino. Selamat menikmati!”

Tanpa membuang masa, Rania terus mengambil cawan yang berisi cappucino. Mata Rania terpejam rapat sebaik sahaja air cappucino itu masuk ke dalam rongga tekaknya. “Erm… sedapnya!”

“Rania kesejukkan. Suhu pada waktu malam adalah lebih sejuk. Walaupun sekarang musim bunga, namun anginnya tetap sejuk.” penjelasan Alex membuatkan Rania terdiam.

“Rania perlukan sarung tangan.” Alex terus mengambil beg sandangnya. Sepasang sarung tangan kulit dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Rania.

“Untuk saya?”

“Ya, untuk Rania.”

Rania menolak. “Tidak perlu, saya akan beli nanti.”

Alex tersenyum. “Rania tidak perlu kembalikan kepada saya. Anggap sahaja ianya hadiah daripada seorang lelaki Korea yang baik hati.”

Rania menundukkan sedikit kepalanya sambil tersenyum. “Terima kasih.”

“Rania mengembara seorang diri di Seoul?” soal Alex.

“Ya, seorang diri. Asalnya berdua tetapi pada saat akhir kawan saya menarik diri daripada turut serta.” kata Rania lemah.

“Jadi, malam ini Rania mahu bermalam di mana?” soal Alex dengan nada bimbang.

“Kalau tiada tempat menginap, Rania boleh ikut saya.” pelawa Alex.

Rania terkesima mendengar ayat daripada lelaki Korea yang baru dijumpainya sebentar tadi.

“Uhuk, uhuk!”

“Ikut awak?” Rania terkejut mendengar pelawaan itu.

“Saya tinggal di kondominium. Jangan risau, kondominium saya ada 4 bilik.” Alex tersenyum. Rania terpesona!

“Selepas kita minum, kita pulang ke kondominium saya.” Alex menghabiskan sisa minuman Coffee.

Rania tersedar dan menelan air liurnya. Jantungnya mula berdegup kencang!

“Mohon maaf, saya perlu ke tandas sebentar.” Rania berdiri dan terus menuju ke arah tandas. Kakinya melangkah laju.

Di dalam tandas…

Rania memegang kepalanya dan berjalan ke kiri dan ke kanan. Dia merenung tajam cermin tandas yang dihias cantik dengan sebuah pasu orkid. “Lelaki playboy rupanya! Hah, matilah aku!” Rania memegang wajahnya yang putih.

“Bila sampai di Korea, jangan buat muka cantik pada lelaki Korea. Awak tu cantik dan tinggi lampai. Lelaki mana yang tidak terpikat! Buat muka sombong campur bengis sikit supaya turun sikit darjah kecantikan. Ingat tu!!!” bebelan Zakiah mula terbit di mindanya.

“Macam mana nak lari daripada Alex?” Rania menyoal dirinya sendiri.

“Menghilangkan diri daripada lelaki itu? Tapi macam mana? Tentu dia akan nampak aku jika lalu dihadapannya.” Rania berkata sendirian di hadapan cermin tandas.

“Tidak boleh jadi, aku harus cari jalan untuk lari daripada lelaki playboy itu!” Rania mengenggam kuat tangannya.

Sebaik sahaja Rania keluar, dengan pantas dia mengambil beg sandangnya.

“Mohon maaf, Alex. Saya terpaksa keluar, kawan saya sedang tunggu. Jumpa lagi.”

Alex memandang Rania dengan mata membulat dan terkasima.

“Rania, tunggu!” jerit Alex.

Previous: Prolog - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez