Home Novel Cinta Sayangku, Encik Lavender
Sayangku, Encik Lavender
Alisyah Alez
9/10/2013 21:12:33
1,907
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog - SEL

KENDERAAN banyak pada waktu tengahari. Tiada kesesakan teruk di Bangi. Mikhael memandu keretanya dengan penuh fokus. Dia ingin mencari Kedai Bunga Salina Sayang. Hotel Idaman Qalbu telah melantik kedai bunga itu untuk menyediakan stok bunga segar. Setelah meneliti laporan perkhidmatan yang dimajukan, Mikhael membuat keputusan untuk terus berjumpa dengan Puan Salina bagi membincangkan mutu perkhidmatan.

“Hello, bagi saya alamat penuh Kedai Bunga Salina Sayang.” tegas suara Mikhael kepada setiausaha pejabatnya.

“Baik, saya akan cari alamat itu. Terima kasih.” 

Telefon bimbit dimatikan seketika.

Mikhael sempat menjeling jam tangannya. Masih sempat lagi dia ke kedai bunga Salina Sayang. Jam 5.00 petang Mikhael perlu berada di Hotel Kualiti untuk mesyuarat dengan pengurus besar hotel tersebut.

Jarak kedai bunga Salina Sayang tidak jauh lagi. Hanya 200 meter sahaja akan sampai. Deretan kedai mula kelihatan. Mikhael mencari-cari lot kedai yang menempatkan kedai tersebut.

Sementara itu, Sofia telah berjaya mendapat lesen memandu sebulan yang lalu. Puan Salina cukup gembira dengan khabar itu. Selepas ini, Sofia akan ditugaskan untuk membawa bunga ke syarikat mengikut tempahan pelanggan.

Puan Salina memberikan tugasan baru kepada Sofia. “Hari ini, tugasan luar yang Sofia perlu lakukan adalah menghantar bunga ke syarikat Kami Setia. Hari ini ada majlis perasmian di syarikat itu.”

“Alamat syarikat itu ada di kad ini. Lokasi syarikat ini di pinggir bandar dan tidak ada kesesakan teruk!” ulas Puan Salina seolah mengerti perasaan Sofia.

“Sofia yakin boleh bawa kereta?” Duga Puan Salina sebelum meneruskan kerja yang tertangguh.

Sofia memohon pengertian Puan Salina.“InsyaAllah, boleh. Doakan urusan ini dipermudahkan.”

Puan Salina memberi semangat dan nasihat. “Bawa kereta hati-hati. Jika ada masalah telefon saya.”

“Baik, puan.” Sofia menganggukkan kepala.

“Tempahan bunga saya letakkan di atas meja. Sofia bawa bersama resit penerimaannya.”

Sejambak bunga yang mengandungi bunga ros dan dahlia telah digubah cantik oleh Puan Salina. Bunga itu diletakkan di dalam sebuah bakul yang kecil.

Dengan hati yang girang, Sofia memulakan kerjanya. Tangannya pantas mengambil bakul tadi dan keluar dari kedai bunga.

Kunci kereta digenggam erat. Langkah Sofia panjang. Sebaik sahaja Sofia meletakkan jambangan bunga di bahagian bonet kereta, tiba-tiba dia terlihat seekor kucing sedang melintas jalan. Dihadapannya ada sebuah kereta yang menuju ke arah kucing itu. Tanpa berfikir panjang, Sofia terus berlari untuk menyelamatkan kucing itu.

Mikhael sungguh terkejut apabila tiba-tiba di hadapannya kini ada seorang gadis. Dia segera menekan hon kecemasan!

Sofia terperanjat dan memeluk kucing itu dengan erat! Dia tidak berganjak. Kakinya kaku untuk berbuat demikian. Matanya terpejam rapat!.

Mikhael segera menekan brek kecemasan dan mengelak daripada melanggar gadis itu!

Dumm!!!

Kereta itu melanggar tiang jalan. Mikhael tersungkur ke stering kereta. Kepalanya sakit!. Matanya terjurus kepada perempuan yang masih berada di tengah jalan raya. Gila perempuan ini!. Mikhael segera keluar menuju ke perempuan itu.

“Hoi! Mahu mati cepat, tidak perlu duduk ditengah jalan!” Jerit Mikhael.

Sofia perlahan-lahan membuka matanya apabila mendengar jeritan.

“Miow, miow, miow!” Kucing yang dipegang oleh Sofia ingin melepaskan diri daripada dakapan Sofia.

“Maafkan saya!”

“Saya mahu menyelamatkan kucing ini daripada dilanggar.” ujar Sofia memohon simpati.

“Selamatkan kucing konon!” Marah Mikhael.

“Nyawa awak atau nyawa kucing yang penting?” Soal Mikhael. Dibuka spek mata hitam yang dipakainya.

“Dua-dua nyawa penting.” jawab Sofia berani.

“Saya benar-benar mohon maaf. Saya memang tidak sangka kereta tuan remuk macam ini.” Mata Sofia tertangkap pada bahagian depan kereta pemuda ini yang rosak teruk.

“Senang saja awak cakap maaf. Apa, dengan mohon maaf segala perkara dapat selesai!” Marah Mikhael lagi. Badannya panas.

“Siapa suruh awak bawa laju di kawasan ini?” Soal Sofia pula. Kucing ditangannya dilepaskan. Berlari kucing itu menyembunyikan diri. Kelibatnya hilang di deretan kedai. Orang ramai yang lalu lalang di situ memberhentikan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku.

“Suka hati sayalah, mahu bawa laju atau tidak. Awak siapa mahu menghalang saya!” Tinggi suara Mikhael.

“Ayuh, kita ke balai polis. Semuanya kita selesaikan di sana!” Tegas Mikhael. Dia malas mahu bertekak dan bergaduh dengan perempuan ini diklayak ramai. Imejnya akan jatuh. Dia tidak mahu semua itu berlaku.

“Tapi tuan. Saya tidak bersalah.” Sofia menolak cadangan Mikhael mahu ke Balai Polis.

“Hah! Habis itu, kes ini selesai begini sahaja. Nampak tak kereta saya sudah kemek!” Mikhael memandang Sofia tajam.

“Tapi… bukan salah saya!” Sofia memberontak. Dia bertegas untuk tidak mahu ke Balai Polis bersama lelaki itu.

“Oh, berkeras! Beri saya alamat tempat kerja awak. Saya akan datang ke sana.” Perintah Mikhael. Mukanya diraup dengan tangan. Cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik dengan apa yang sudah terjadi.

Tiba-tiba telefon bimbit Mikhael berbunyi. Segera dijawab oleh Mikhael.

“…Ya, saya akan datang. Cuma saya akan lambat sikit. Beritahu kepada yang lain juga. Suruh Hanif ambil saya di Jalan Permaisuri, Bangi. Kereta saya rosak.” Mikhael memberi arahan kepada setiausahanya di pejabat.

“Nama awak siapa? Kerja di mana?” soal Mikhael bertalu.

“Sofia. Saya kerja di Kedai Bunga Tercantik.” Lemah sahaja Sofia berbicara.

“Bagus! Beri juga nombor telefon bimbit kamu. Senang mahu tuntut ganti rugi nanti!” Balas Mikhael dengan nada suara yang tinggi.

Sofia hanya mendengar dengan hati yang sakit. Pemuda berlagak!. Dengan perempuan pun cakap kasar. Sofia mendengus.

Mikhael mengambil kad yang dihulurkan oleh Sofia.

Sebuah kereta berhenti di tempat mereka. Mikhael mengangkat tangannya kepada pemandu kereta itu. Mikhael memandang Sofia dengan teliti.

“Baik. Kita berjumpa nanti. Hutang mesti dibayar! Ingat itu!” Mikhael menunjukkan jari telunjuknya kepada Sofia.

Mikhael segera masuk ke dalam kereta. Sofia memalingkan muka. Tidak sanggup melibat pemuda itu.

Bibirnya diketap rapat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez