Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 24 - PDSS
8 BULAN kemudian…


ALEX melompat tinggi dengan berita yang baru diterimanya. Proposal yang diemelkan kepada pihak pengurusan Hotel Princess telah diterima baik oleh pihak pengurusan di sana. Ini semua jasa baik Hendry Liu yang memberitahu bahawa kawan baru dikenalinya di Malaysia telah memaklumkan bahawa pihak Hotel Princess sedang mencari pengurusan baru bagi menguruskan coffee kafe yang ada di situ.

Cofee kafe yang ada di situ mengalami masalah kewangan dan tidak dapat beroperasi lagi. Sejak dari mula lagi, Alex memang berminat untuk membuka cawangan Honey Coffee Café di negara Malaysia. Gerak hatinya kuat untuk mengembangkan perniagaan di negara yang beriklim khatulistiwa itu.

Alex sendiri telah menghubungi kawan Hendry Liu yang berada di Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut akan prosedur yang diperlukan jika ingin menjalankan perniagaan di Malaysia. Perbualan telefon Alex dengan Hendry Liu 2 bulan yang lalu benar-benar membuatkan Alex tersenyum lebar.

“Alex, aku mahu beritahu berita baik!” ujar Hendry Liu termengah-mengah.

“Apa berita baiknya. Cuba kau cakap perlahan-lahan. Aku di kafe ni.” jawab Alex serius.

“Kau mahu berniaga di Malaysia?” soal Hendry Liu dengan nada tinggi.

“Berniaga di Malaysia? Maksud kau?” soal Alex semula kepada Hendry Liu. Alex seperti tidak dapat menangkap maksud sebenar yang ingin disampaikan.

“Kawan aku di Malaysia beritahu Hotel Princess memerlukan pengurusan baru bagi menguruskan coffee café yang ada di situ.” ujar Hendry Liu bersungguh.

“Betul ke ni?” soal Alex seperti tidak percaya.

“Betul, aku tak main-main. Kau cuba hantar proposal kepada Hotel Princess tu. Nanti aku emelkan maklumat yang lengkap untuk membantu proposal kau tu.” Hendry Liu bersemangat ingin membantu rakan baiknya mengembangkan sayap di luar negara.

“Okay, aku tunggu. Malam ini juga aku akan sediakan maklumat yang diperlukan. Terima kasih Hendry.” Alex mematikan perbualan telefon. Dia akan mencuba yang terbaik untuk menyediakan proposal yang diminta oleh Hotel Princess.

Mata Alex tidak jemu membaca email daripada pihak pengurusan Hotel Princess.

‘Akhirnya impian aku untuk berniaga di Malaysia tercapai juga.’ Alex bermonolog sendirian. Dia mengenggam tangannya tanda puas!.




RANIA menongkat kepalanya. Jari jemari tangan kanannya laju memusingkan sebatang pen. Fikirannya ligat memikirkan sesuatu.

“Hah! Rania, buat apa tu?” sergah Zaidah dari belakang. Rania hanya membatukan diri langsung tidak memberikan sebarang reaksi.

Zaidah mencembekkan mukanya.

“Rania, aku tanya ni… kau tak nak cakap dengan aku ke?” ujar Zaidah seolah merajuk. Dia mengambil kerusi lalu duduk di sebelah Rania.

“Kenapa ni… macam orang sedang runsing saja?” tanya Zaidah prihatin.

Rania masih mendiamkan diri.

“Rania, kau okay ke?” soal Zaidah lagi seperti tidak puas hati kerana pertanyaannya tidak dilayan oleh Rania.

“Aku okay.” jawab Rania malas. Jari jemarinya masih ligat memusingkan pen.

“Mana okaynya. Aku tak percaya. Beritahulah aku, apa yang merunsingkan kau ni.” ujar Zaidah risau dengan keadaan Rania. Jarang dia melihat Rania sebegitu. Kebiasaannya Rania ceria dan suka berbual dengannya.

“Eemm… aku tak ada mood.” keluh Rania perlahan.

“Kenapa tak ada mood, cerita lah pada aku.” pujuk Zaidah lagi. Matanya tepat memandang wajah Rania yang kelihatan sugul.

“Dato’ Kamil.” jawab Rania lemah.

“Dato’ Kamil? Kenapa dengan Dato’ Kamil?” soal Zaidah ingin sangat mengetahui.

“Kau runsing disebabkan Dato’ Kamil?” Zaidah tidak puas hati.

“Ya, Dato’ Kamil sudah melampau. Aku tak tahu apa salah aku sampai dia buat aku macam ni.” ujar Rania dengan nada tinggi. Wajah Zaidah berubah.

“Apa yang Dato’ Kamil dah buat pada kau? Beritahu lah aku.” Zaidah mendesak Rania supaya berterus-terang agar dia boleh membantu.

“Baru saja Encik Haikal beritahu, yang aku tidak perlu dimasukkan dalam projek “Mahligai Perkahwinan”. Itu adalah idea asal aku. Aagh!!!” jerit Rania membuatkan Zaidah membulatkan mata. Dahi Zaidah berkerut.

“Tapi kenapa Dato’ Kamil singkirkan kau dari projek tu?” soal Zaidah dengan nada kecewa.

“Itu yang aku bengang!” Rania mengetap bibirnya.

“Aku sendiri tidak tahu mengapa aku disingkirkan, sedangkan projek tu aku turut terlibat sejak dari mula lagi. Bila sudah mahu selesai, senang-senang saja aku disingkirkan!” bentak Rania. Nafasnya turun naik dengan cepat.

Zaidah memegang bahu Rania, “Kau sabar Rania. Ini mesti ada sesuatu tak kena ni.” ujar Zaidah cuba menenangkan Rania kawan baiknya di Hotel Princess.

“Tak, aku tidak boleh bersabar lagi. Aku tahu Dato’ Kamil memang tak suka kan aku. Tapi ini idea aku, suka-suka saja singkirkan aku!” jawab Rania tidak puas hati.

“Kenapa kau cakap yang Dato’ Kamil tak sukakan kau?” Zaidah pelik dengan kenyataan yang diluahkan oleh Rania.

“Aku sudah mula perasan sejak aku balik bercuti dari Korea lagi.” Rania terus menyandarkan badannya di kerusi.

“Eih, dah lama tu. Aku masih tak faham mengapa Dato’ Kamil tak suka kan kau. Bukannya kau ada buat perkara yang melanggar peraturan Hotel Princess ke apa.” Zaidah sokong kata-kata Rania. Zaidah jadi hairan mengapa perkara itu perlu berlaku sedang kan sebelum ini Dato’ Kamil okay sahaja dengan Rania termasuk dirinya sendiri.

So, sekarang apa yang kau nak buat?” soal Zaidah kepada Rania kelihatan cemas. Zaidah tahu Rania seorang pekerja yang bagus di marketing department. Walaupun jawatannya hanya Assistant Executive Marketing namun kebolehannya tidak boleh dipertikaikan.

“Encik Haikal suruh aku bersabar. Katanya dia akan cuba slow talk semula dengan Dato’ Kamil supaya aku dikekalkan dalam team projek “Mahligai Perkahwinan”.” ujar Rania lemah seperti tidak bersemangat.

“Kalau Encik Haikal dah kata begitu, kau tunggu hasil perbincangan mereka. Aku yakin Encik Haikal akan sokong dan membantu kau dalam projek ini.” pujuk Zaidah. Tangannya memegang tangan Rania yang agak panas.

“Kalau Dato’ Kamil tetap mahu singkirkan aku, macam mana?” soalan Rania itu membuatkan Zaidah terdiam seketika. Zaidah pun terfikir perkara yang sama, jika Dato’ Kamil tetap dengan keputusannya. Menyingkirkan Rania daripada turut serta dalam projek besar di Hotel Princess.

“Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Insya-ALLAH, semuanya akan okay. Kau bersabar dan doa kan yang baik-baik.” Zaidah memberi Rania kata semangat dan pengaruh positif walaupun dia tahu Rania bukan gadis yang lemah semangat.

“Aku cuma perlu bersedia jika perkara itu berlaku. Aku tidak mahu orang lain dengan mudah menjatuhkan aku tanpa ada alasan yang munasabah.” ujar Rania berapi-api. Wajahnya merona merah.

“Tiada siapa yang mahu jatuhkan kau. Sudah 2 tahun kau bekerja di sini, aku rasa semuanya puas hati dengan kerja kau selama ini.” Zaidah masih cuba memujuk Rania yang dilihat mula tidak dapat mengawal emosi orang muda.

“Itu kata kau, Zaidah. Walaupun aku tidak pernah berbuat salah dengan orang di sini tapi hati manusia siapa yang tahu. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.” luah Rania. Dia puas berfikir jika ada sesiapa di Hotel Princess yang pernah memusuhi dirinya.

“Itu hanya andaian kau saja. Aku yakin tiada sesiapa pun yang memusuhi kau. Cuma dalam kes ini aku lihat Dato’ Kamil seperti ada sesuatu yang mahu dijauhkan daripada kau. Cuba kau fikirkan baik-baik.” Hasut Zaidah bersungguh kepada Rania. Zaidah tidak mahu Rania menjadi kambing hitam atau digunakan orang atas kepentingan diri sendiri.

“Eemm… aku sudah tak boleh nak fikir lagi. Kepala aku sudah buntu. Sejak tadi aku duduk memikirkan perkara ini. Kerja atas meja ni pun aku tak buat apa pun lagi. Berita buruk ini benar-benar membuatkan aku hilang mood untuk terus bekerja hari ni.” Rania mengeluh panjang. Tudung biru yang dipakai mula sengit sedikit akibat tangan Rania yang tidak boleh diam.

“Zaidah, kau ada perasan ke apa-apa yang berlaku sejak aku bercuti di Korea?” ujar Rania sambil memegang kedua tangan Zaidah. Mata Rania tepat memandang wajah Zaidah.

“Setahu aku, tidak ada apa yang pelik berlaku. Cuma yang aku pernah beritahu kau bahawa Dato’ Kamil mengamuk kerna kau tidak datang bekerja selama seminggu.” Zaidah teringat kembali akan situasi tegang di office semasa ketiadaan Rania.

“Sebelum dia mengamuk, ada apa-apa yang dicarinya daripada aku?” soal Rania berminat dengan kisah itu. Zaidah mengerutkan dahi cuba mengingati kembali apa yang berlaku semasa itu.

“Eiks, aku hanya ingat itu saja. Dato’ Kamil mengamuk kerna kau tak di office. Selain itu, aku tidak ingat langsung! Maafkan aku Rania.” ujar Zaidah tepat ke arah Rania. Keluhan panjang dilepaskan oleh Rania. Tangannya dilepaskan daripada tangan Zaidah. Rania tersandar lesu di kerusinya.

“Sakit kepala aku memikirkan perkara ini. Takkan lah disebabkan aku bercuti seminggu Dato’ Kamil mula tak suka kan aku. Tak masuk akal lah alasan itu. Aku percaya mesti ada perkara lain yang membuatkan Dato’ Kamil berkelakuan begitu.” Rania mula membetulkan tudungnya yang sengit sedikit.

“Sudah lah tu. Jangan difikir sangat sampai sakit kepala. Kita tunggu dan lihat saja apa yang akan berlaku selepas ini. Moga perjumpaan Encik Haikal dengan Dato’ Kamil positif.” Zaidah memberi solusi kepada Rania yang mula memegang dokumen di atas mejanya.

“Itu lah, aku pun malas mahu fikir lagi. Cukup lah aku sakit kepala tadi. Aku mahu sambung buat kerja. Thanks Zaidah dengar masalah aku.” Rania mengucapkan terima kasih kepada Zaidah yang tidak jemu mendengar keluhan dan masalah yang dihadapinya.

“Sama-sama kasih. Kita kan kawan baik, jika kau rasa sakit aku pun terasa sakit tau!” gelak Zaidah membuatkan Rania turut tertawa. Suasana sudah mula berubah menjadi ceria.

“Meriah nampaknya di sini. Kerja banyak tapi masih ada masa untuk berbual-bual.” suara Selina membuatkan Zaidah dan Rania serentak menoleh ke belakang.

“Berbual sekejap pun tak boleh ke? Aku tahu lah kau duduk di situ tak siapa yang mahu berbual dengan kau.” perli Zaidah kepada Selina yang memandang mereka dengan pandangan cemburu.

“Sekejap apa nya! Sudah setengah jam kau berbual dengan Rania. Aku nampaklah dari tempat aku, tak payah nak berbohong!” Tinggi nada suara Selina membuatkan telinga Rania sakit mendengarnya.

“Kenapa kau ni sakit hati lihat Zaidah berbual dengan aku?” Tiba-tiba Rania menyampuk perbualan mereka. Wajah Selina dipandang tajam.

“Aku sakit hati? Tolong lah aku tak ada masa mahu rasa sakit hati dengan orang macam kau!” jawab Selina dengan nada sombong.

“Memang patut Dato’ Kamil singkirkan kau dari projek ‘Mahligai Perkahwinan’” ujar Selina dengan nada perli. Selina tersenyum sinis. Mendengar kalimah itu daripada mulut Selina membuatkan Rania bingkas bangun daripada kerusinya.

“Apa kau kata? Aku patut disingkirkan. Cuba kau ulang sekali lagi.” Rania mencabar Selina. Zaidah berasa gerun melihat Rania bertindak begitu. Dia segera memegang badan Rania supaya gadis itu tidak menyerang Selina yang tidak mahu beredar dari situ.

“Kau tu memang patut disingkirkan, faham!” Selina dengan sengaja menyebut semula kalimah tadi dengan sebutan yang jelas.

“Kau ni memang cari pasal dengan aku!” Rania meluru ke arah Selina, namun Zaidah terlebih dahulu memegang Rania dengan kuat.

“Sudahlah tu Rania, jangan layan Selina. Bawa bersabar!” pujuk Zaidah kepada Rania yang merona merah wajahnya. Zaidah tahu Rania sedang marah dan emosinya tidak boleh dikawal.

“Kau dengan Zaidah sama saja!” perli Selina. Dia terus berlalu dari situ meninggalkan Zaidah dan Rania yang masih tidak berganjak dari ruang kerja Rania.

“Duduk Rania. Cuba bawa bertenang. Selina tu memang mulut celupar.” ujar Zaidah perlahan seolah memujuk Rania yang kelihatan sungguh tertekan dengan situasi tegang tadi.

“Malu aku Zaidah. Selina memandang rendah pada aku.” Rania menekup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Zaidah hanya mendiamkan diri. Tangannya tidak lepas daripada memegang bahu Rania.

Tidak sampai 5 minit, Rania bingkas bangun daripada kerusinya. Mata Zaidah tidak lepas memandang Rania.

“Kau mahu ke mana?” soal Zaidah cemas sekali. Dia turut bingkas bangun.

“Aku mahu ke ambil wuduk.” tenang sahaja suara Rania.

“Betul ke ni kau mahu ambil wuduk?” soal Zaidah inginkan kepastian.

“Iya, aku mahu buang semua hantu setan dalam badan aku ni. Aku perlukan ketenangan.” jawab Rania bersahaja. Tangannya mula mengambil pencuci muka di dalam laci.

“Kau mahu ikut aku tak?” pelawa Rania kepada Zaidah yang tidak berkelip pandangan matanya.

“Tak apa, aku tak mahu kencing lagi.” jawab Zaidah jujur.

“Dokumen yang aku perlukan semalam tu, kau tolong emelkan semula. Aku sudah ter delete.” ujar Rania tersenyum.

“Dokumen yang mana satu? Aku lupa lah.” soal Zaidah ingin tahu dokumen yang diperlukan oleh Rania. Walaupun mereka berlainan department namun mereka saling ada kaitan dalam urusan kerja.

“Dokumen yang ada senarai namamereka yang berminat untuk menghantar proposal Coffee Café di Hotel Princess.” Rania cuba mengingatkan Zaidah dokumen penting itu. Rania perlu menyemak terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Encik Haikal. Itu tugasan yang telah diberikan oleh Encik Haikal yang masih lagi out-station sejak semalam.

“Eem… yang itu! Okay, sekejap lagi aku emel semula. Kali ni kau jangan delete lagi sudah lah.” Perli Zaidah kepada Rania yang kelihatan ayu berbaju kurung moden.

“Ya, kali ini aku akan simpan baik-baik dokumen tu. Sorry ya, menyusahkan kau.” ujar Rania perlahan seolah orang yang bersalah di muka pengadilan.

“Aku okay aja la. Sudah, cepat pergi ambil wuduk sebelum hantu setan bertambah banyak dalam badan kau tu!” usik Zaidah sambil tertawa. Rania turut tertawa.





WAJAH Dato’ Kamil masam mencuka sahaja sebaik sahaja bertembung dengan Rania.

“Assalammuaikum Dato.” sapa Rania mesra kepada Dato’ Kamil walaupun sebenarnya ringan sahaja mulut Rania mahu berbicara panjang.

“Waaikumussalam.” jawab Dato’ Kamil dengan endah tak endah. Matanya memandang ke arah lain dan bukan ke arah wajah Rania. Tersentak Rania dibuatnya! Dia mengetap bibir.

“Angin apa yang melanda Dato’ Kamil pagi ni? Lihat aku macam orang asing!’ Rania memusingkan badannya lalu memandang ke arah kelibat Dato’ Kamil yang semakin hilang dari pandangan matanya.

‘Aku sapa pun salah. Eikss…’ rungut Rania sendirian.

Previous: Bab 23 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez