Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 23 - PDSS

FAREED melihat jam tangannya lagi. Baru jam 10.00 pagi, lambat lagi untuk bertemu dengan Rania. Hari ini Rania telah bersetuju untuk menemaninya membeli buku di MPH. Sebenarnya Fareed cuba untuk memenuhi kesukaan Rania iaitu baca buku. Ikutkan Fareed sendiri, dia lebih suka untuk menonton wayang namun dia tahu Rania pasti menolak jika diajak ke situ. Fareed terpaksa akur dengan kegemaran gadis itu.

“Kenapa ni Fareed gelisah semacam saja?” Puan Munnah memandang Fareed dengan kehairanan.

Fareed tersenyum.

“Mak ni, nampak saja apa yang Fareed buat.” jawab Fareed tertawa kecil. Puan Munnah memegang peha anak lelaki tunggalnya.

“Mak lagi tadi perasan yang Fareed sekejap lihat jam tangan, sekejap lihat telefon, sekejap lihat jam tangan lagi. Kenapa ni Fareed?” Puan Munnah mendesak ingin tahu. Kebelakangan ini Puan Munnah melihat Fareed ceria semacam. Bila ditanya tentang kerja, Fareed jawab baik sahaja.

“Mak nak tahu ke?” soal Fareed pula kepada Puan Munnah.

“Mestilah mak mahu tahu.” pantas Puan Munnah menjawab. Matanya tepat memandang ke arah Fareed yang saling tak tumpah wajahnya seperti arwah suami.

“Fareed ada temujanji tengahari nanti. Fareed janji dengan kawan jam 11.00 pagi. Lambat sungguh rasanya masa ini bergerak.” ujar Fareed. Wajahnya ceria bila menyebut temujanji.

“Temujanji atau dating ni?” asak Puan Munnah.

“Apa-apalah mak.” Fareed tersengih lebar menampakkan giginya.

Dating rupanya. Kenapa tidak ajak dia datang ke rumah sekejap. Jumpa mak.” Puan Munnah mengukir senyuman. Fareed kini sudah layak ke fasa mendirikan rumahtangga. Sungguh cepat masa berlalu. Puan Munnah sedar yang anak lelaki tunggalnya sudah bersedia untuk menikah dengan gadis pilihan hati.

“Awal lagi. Fareed tidak mahu terburu-buru takut dia terkejut pula. Mak sabar ya, bila dia sudah bersedia dan setuju Fareed janji akan bawa dia berjumpa dengan mak. Mak banyakkan sabar untuk melihat bakal menantu!” usik Fareed sambil tergelak besar.

Puan Munnah turut tertawa mendengar kata-kata daripada Fareed. Sempat lagi Fareed membuat lawak.

“Mak yang tak sabar atau Fareed sendiri yang tidak sabar mahu nikah?” duga Puan Munnah sambil tersenyum.

“Mak ni buat Fareed rasa malu saja.” Wajah Fareed merona merah bila diperli tidak sabar mahu menikah. Fareed sendiri merasakan dia sudah bersedia untuk bergelar seorang suami. Dia kini sudah bekerja dan menyimpan wang untuk persiapan perkahwinan. Fareed sendiri yakin Rania adalah gadis yang tepat untuk menjadi suri dalam hidupnya.

“Hah, kalau mahu nikah. Cepat-cepat berbincang dan bawa jumpa dengan mak. Lagi cepat jumpa mak, lagi cepat Fareed nikah.” ujar Puan Munnah memberikan galakkan.

“Iyalah, mak. Fareed akan bawa dia secepat yang mungkin. Mak pasti suka dengan bakal menantu yang Fareed bawa nanti.” jawab Fareed teruja.

“Siapa nama dia?”

“Rania.” jawab Fareed sambil tersenyum penuh makna.

“Rania? Seperti mak pernah dengar nama itu.” Puan Munnah mengerutkan dahinya.

“Mestilah mak pernah dengar. Puteri Rania daripada negara Jordan kan?” usik Fareed membuatkan mata Puan Munnah membulat besar.

“Rania milik Fareed ni bukan seorang puteri tapi hanya orang biasa!” Fareed menyambung lagi perihal Rania.

“Mak pernah berjumpa dengan Rania semasa Fareed belajar di universiti. Semasa itu majlis konvokesyen, Rania datang dengan keluarganya. Mak ingat tak?” Fareed cuba menjelaskan kepada Puan Munnah akan Rania yang dimaksudkan.

“Rania itu bukan anak perempuan Encik Zulkaenaen ke?” teka Puan Munnah.

“Tepat sekali. Rania itulah. Mak suka kan?” jawab Fareed dengan girang. Kerjanya akan mudah jika Puan Munnah sudah kenal.

Puan Munnah hanya mendiamkan diri. Dia menelan air liurnya. Rania itu anak kepada pasangan yang cukup dikenalinya, Zulkarnaen dan Noraidah. Nama Noraidah membuatkan hatinya berdegup kenyang. Noraidah yang pernah membuatkan dirinya menangis!

“Mak, kenapa ni?” soalan Fareed membuatkan Puan Munnah tersedar daripada khayalannya.

“Mak, teringatkan seseorang.” ujar Puan Munnah perlahan. Fikirannya sudah mula melayang memikirkan Rania yang bakal menjadi menantunya sendiri. A’ah perkara ini tidak akan terjadi!

“Mak teringatkan siapa? Kenapa muka mak berubah ni.” soal Fareed cemas dengan perubahan Puan Munnah. Fareed terus memegang bahu mak.

“Mak tidak apa-apa. Mak mahu masak. Fareed balik awal jangan lama sangat dating tu.” jawab Puan Munnah mengingatkan Fareed.

“Mak mahu masak apa hari?” Fareed mengalihkan perbualan mereka. Dia sengaja tidak menjawab bahagian dating dengan Rania tu. Kalau boleh dia mahu lama bertemu dengan Rania.

“Mak masak yang simple. Fareedkan mahu keluar.” perli Puan Munnah.

“Tapi malam nanti Fareed mahu makan di rumah.” pantas Fareed menjawab.

“Mak tahu. Mak masak sikit, nanti malam mak masaklah lagi. Petang ni pun mak mahu ke surau ada ceramah agama.” Puan Munnah segera menamatkan perbualan dengan anaknya. Tiba-tiba kepalanya berdenyut-denyut.

“Mak hati-hati drive. Fareed tak lama di luar. Sebelum pukul 6.00 petang, Fareed sudah ada di rumah. Mak jangan risau.” Fareed bingkas bangun dan mencium tangan Puan Munnah dengan penuh kasih sayang.

Puan Munnah hanya melihat Fareed keluar dari rumah dengan pandangan yang penuh makna. “Fareed menyukai Rania? Aku tidak akan biarkan perkara ini berlaku!” bisik hati Puan Munnah. Dia tersandar lemah di sofa.




RANIA segera menutup pintu kereta Fareed lalu memakai tali pinggang. Sepasang mata asyik melihat kelibat Rania menaiki sebuah kereta Honda Civic yang dipandu oleh seorang lelaki.

“Awal hari ini? Kata jam 11.00 pagi. Sekarang baru jam 10.45 pagi.” ujar Rania sambil memandang Fareed yang mula memandu ke arah destinasi KLCC.

“Fareed sudah tersiap awal. Malas mahu tunggu di rumah. Tu, yang datang awal.” jawab Fareed sambil tersenyum. Sekali sekala dia memandang Rania yang manis memakai skirt labuh. Sesuai dengan tubuh badan Rania yang tinggi lampai.

“Rania terpaksa cepat-cepat bersiap bila Fareed SMS kata sudah sampai di rumah.” ujar Rania seperti tidak puas hati kerana Fareed tiba awal di rumahnya.

Sorry, Fareed tidak mahu terlewat. Tak sangka pula tersampai awal di rumah Rania. Jangan marah ya.” usik Fareed kepada Rania yang memandang ke luar.

“Tak marah cuma Rania rushing sikit! Fareed kena belanja Rania lunch sebab awal sangat.” usik Rania kepada Fareed yang segak memakai spek mata hitam.

No problem, small matter!” spontan Fareed menjawab. Fareed tersengih bila Rania berkata begitu.

“Fareed mahu beli buku apa? Sebelum ni Fareed jarang mahu ke kedai buku.” soal Rania. Dia agak muskil dengan Fareed yang mahu mengajaknya keluar untuk membeli buku.

“Entah, Fareed pun tak tahu mahu beli buku apa. Nanti bila sudah sampai di sana baru Fareed boleh beli.” jawab Fareed dengan tersenyum. Mahu sahaja dia berkata kepada Rania, beli buku adalah alasan sahaja. Yang penting dia mahu keluar berjalan dengan Rania.

“Macam itu pulak.” perli Rania. Sebelum ini, Fareed pernah mengajaknya menonton wayang filem terbaru namun Rania menolak. Sejak di zaman universiti lagi dia jarang pergi ke panggung wayang. Rania lebih suka menonton drama Korea berbanding filem yang lain.

Seketika kemudian, mereka berdua melangkah masuk ke dalam kedai buku MPH. Keadaan agak ramai dengan orang yang mencari bahan bacaan. Rania melihat ke arah rak buku popular. Matanya tertarik untuk melihat lebih dekat akan buku-buku tersebut.

“Rania, mahu cari buku apa?” soal Fareed di sebelahnya.

Rania menoleh Fareed dengan pandangan aneh.

“Bukan Fareed ke yang mahu cari buku.” soal Rania sambil tersenyum.

Fareed memegang rambutnya.

“A’ah, Fareed mahu cari buku. Lupa pula.” Fareed menggarukan kepalanya. Dia memandang ke arah lain. Sebenarnya dia malu.

“Fareed mahu cari buku apa biar Rania tolong carikan.” Rania menawarkan diri membantu Fareed yang kelihatan blur ketika itu. Kedai buku MPH adalah salah satu kedai buku favorite Rania sejak di zaman universiti lagi.

“Fareed perlukan buku motivasi yang sesuai dengan kerjaya sekarang. Bukan pelajar di universiti sahaja yang perlukan buku, orang yang bekerja macam Fareed pun perlu membaca buku.” ujar Fareed sambil memegang sebuah buku agama.

“Rania ni bukan tergolong dalam mereka yang bekerja ke?” usik Rania membuatkan Fareed tersenyum.

“A’ah lupa lah. Rania pun wanita berkerjaya dan sudah boleh kawin.” spontan Fareed menjawab. Rania mengerutkan dahi bila perkataan ‘boleh kawin’ keluar daripada mulut Fareed.

“Kenapa Rania pandang Fareed macam tu? Takutlah.” Fareed berlalu ke arah bahagian rak buku motivasi. Rania mengelengkan kepala melihat kelakuan Fareed.

“Banyak sangat buku motivasi ni. Tak tahu Fareed mahu pilih yang mana. Rania tolong pilihkan.” Rungut Fareed sambil mengaru kepalanya. Rania di sebelahnya ditoleh sekilas.

“Memanglah banyak. Ada buku motivasi yang ditulis oleh pengarang dalam dan luar negara. Fareed suka baca karya siapa?” soal Rania ingin tahu. Tangannya mula membelek buku motivasi di depannya.

“Fareed tidak kisah, asalkan Fareed suka dan banyak dapat manfaat bila membacanya.” Fareed turut membelek buku yang dipamerkan di rak buku motivasi.

“Buku ini okay tak? Think & Grow Rich karya Napoleon Hill. Rania sudah baca, best!” Rania menunjukkan buku tersebut kepada Fareed.

“Yang lain ada tak?” Fareed meletakkan semula buku itu ke tempat asal setelah membaca sinopsis buku tersebut. Rania mencari buku yang lain pula.

“Hah, buku ni pun best juga! Rich Dad, Poor Dad. Penulisnya Robert T. Kiyosaki. Cuba Fareed baca sinopsisnya.” Rania menghulurkan buku tersebut kepada Fareed.

“Menarik tapi tak sampai tahap mahu beli lagi.” Fareed ketawa.

Rania turut tertawa.

“Oh, mahu beli buku pun ada tahap ke tahap ya.” Tangan Rania memegang sebuah buku. Segera dihulurkan kepada Fareed.

The Magic of Thinking Big. Judulnya menarik, tapi sekarang ni Fareed sudah ada fikiran yang jauh ke hadapan. Buku yang lainlah.” keluh Fareed.

Rania sudah mula bosan kerana buku yang dicadangkan semulanya ditolak oleh Fareed.

“Fareed mahu buku yang macam mana sebenarnya. Semuanya tidak berkenan.” rungut Rania dengan wajah yang masam. Melihat itu, Fareed segera mengalihkan perhatian Rania.

“Entah, Fareed rasa semua buku ini bagus. Cuma tak tahu mahu beli yang mana satu. Rania jangan rasa stress pulak!” Fareed tertawa melihat riak wajah Rania sebentar tadi.

“Macam mana tak stress, Fareed sendiri tak tahu buku apa yang mahu beli. Hah! Buku ini pun best, Rania sudah baca. Mesti Fareed suka.” Rania menunjukkan sebuah buku yang sederhana tebal yang berjudul How to Win Friends & Influece People karya Dale Carnegie.

“Buku yang lain lah. Banyaknya buku motivasi terkenal Rania sudah baca. Bila masa Rania baca?” soal Fareed ingin tahu.

Fareed kagum dengan gadis itu yang sudah banyak membaca buku motivasi.

“Bila Rania ada masa lapang, Rania baca. Lagi pun Papa suka baca buku motivasi jadi di rumah ada banyak koleksi buku motivasi. Tak payah nak beli lagi.” Rania tersenyum.

“Fareed laparlah. Rania tak lapar ke?” ujar Fareed sambil memegang perutnya. Rania hanya tersenyum.

“Lapar jugak tapi Fareed belum beli satu buku pun.” Rania bersetuju dengan Fareed. Sudah jam 1.15 petang patutlah Fareed kata lapar.

“Okay, Rania pilih satu saja buku. Ini yang last!” arah Fareed kepada Rania supaya memilih satu buku untuk dibeli.

“Rania pilih buku ini. Harap Fareed suka.” Rania menghulurkan sebuah buku yang bertajuk Who Moved My Cheese?”. Fareed membelek dan membaca sinopsisnya.

Rania hanya memerhati dengan suspen. Dalam hatinya berharap sangat Fareed bersetuju untuk membeli buku itu.

“Karya Dr. Spencer Johnson. Agak menarik buku ni.” Fareed membelek depan, belakang dan isi buku berkenaan.

“Okaylah, Fareed beli buku ni.” ujar Fareed perlahan. Mahu sahaja Rania melompat tinggi kerana akhirnya Fareed berkenan dengan buku yang dipilihnya.

“Alhamdulilah, akhirnya pilih juga satu buku.” perli Rania.

Fareed hanya tersenyum dan berlalu ke kaunter pembayaran.

“Rania, tidak mahu beli buku untuk diri sendiri?” soal Fareed semasa melihat staf kedai MPH membungkus buku tersebut. Rania mengelengkan kepala.

“Untuk hari ini, tidak ada. Mungkin lain kali Rania akan beli buku.” jawab Rania.

“Jom, Rania kita gi lunch. Rania mahu makan apa?” soal Fareed setelah menerima bungkusan beg kertas.

“Rania tidak kisah. Rania ikut Fareed saja.”

“Kalau macam tu, kita gi makan pizza boleh tak?” soal Fareed tepat memandang Rania di sebelahnya.

“Okay!” Rania bersetuju dengan cadangan Fareed.

Sebaik sahaja, mereka melintasi sebuah kedai yang menjual buku agama. Fareed menyuruh Rania menunggunya di luar kedai buku agama.

“Fareed mahu beli barang sekejap.” Fareed berlari ke dalam kedai buku tersebut.

Rania hanya menganggukkan kepala. Kakinya melangkah di hadapan kedai buku agama yang menjual pelbagai barang. Dari dinding kaca, mata Rania meninjau-ninjau buku yang dipamerkan di situ.

Tiba-tiba matanya melihat sesuatu yang sangat dekat dengannya. Alquran mini yang pelbagai warna dipamerkan di situ. Rania terus teringat akan alquran mini berwarna merah hati yang ditinggalkan di Incheon International Airport.

Rania rindu sekali untuk membaca ayat-ayat alquran dengan menggunakan alquran mini. Sejak alquran mini tiada di sisinya, Rania menggunakan alquran yang lain sebagai pengganti. Alquran mini banyak memori indah bersamanya. Rania menarik nafas panjang. Kesal dengan apa yang berlaku. Moga alquran mini yang ditinggalkan tidak disia-siakan dan orang yang membacanya akan mendapat hidayah serta keberkatan.

Rania pasti alquran itu berada di tangan Alex. Dia berharap sangat alquran itu disimpan baik oleh Alex.

“Itu buku apa?” soal Alex kepada Rania yang mengeluarkan sebuah buku daripada beg sandangnya.

“Ini bukan buku tapi kitab alquran. Orang Islam berpegang kepada ajaran yang disampaikan di dalamnya.” jawab Rania sambil membuka zip kaver alquran tersebut.

“Ooh.. macam kitab Bible bagi kami penganut Kristian. Tapi kenapa kamu bawa sekali ke Seoul?” soal Alex ingin tahu, matanya tidak lepas daripada melihat kitab tersebut yang dipegang erat oleh Rania.

“Sebagai peneman saya. Bila saya bawa dan baca ayat alquran ini, saya akan berasa tenang, dilindungi dan sentiasa ingat akan ALLAH.” Rania masih memegang alquran tersebut.

“Kamu mahu baca? Alquran ini menggunakan terjemahan dalam bahasa Inggeris.” pelawa Rania kepada Alex yang kelihatan berminat dengan alquran mini yang Rania bawa bersama.

“Tak apa, kamu boleh baca. Saya tidak mahu menganggu.” jawab Alex dengan mengelengkan kepalanya.

“Rania, jom!”

“Rania?” suara Fareed membuatkan Rania tersedar daripada ingatannya terhadap alquran mini.

“Kenapa ni Rania? Macam orang teringatkan sesuatu.” ujar Fareed ingin tahu. Sejak dari dalam lagi Fareed memerhatikan Rania asyik memandang pameran kitab alquran mini dengan khusyuk. Sehinggakan Fareed di sebelah Rania pun tidak disedari.

“Tak ada apa-apa. Rania suka lihat alquran mini yang berwarna-warni tu. Cantikkan?” jawab Rania sambil memandang beg plastik yang digenggam oleh Fareed.

“Itu apa?” soal Rania kepada Fareed.

“Ada barang yang mak Fareed suruh belikan. Alang-alang sudah tiba di sini, Fareed belikan sekali. Jom, perut Fareed sudah lapar ni.” ujar Fareed membuatkan Rania turut menuju ke arah restoran pizza yang berada di tingkat bawah.

Sementara itu ada sepasang mata yang sejak dari tadi memerhatikan pasangan ini dengan rasa meluat dan iri hati. Wajahnya mencuka masam.

“Kak Selina, cepatlah pilih baju.” ujar adik perempuan Selina.

“Akak tak jadi pilih! Jom balik, akak dah tak ada mood mahu shopping!” jawab Selina dengan wajah yang ketat. Adik perempuan Selina hanya memerhatikan perangai Selina dengan rasa geram.

Previous: Bab 22 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez