Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 12 - PDSS

USAI solat subuh, Rania segera mengemaskan barang-barangnya. Rakan sebiliknya sudah keluar seawal 6.30 pagi yang lalu menuju ke Everland yang terletak di Yongin-si, Gyeonggi-do. Tangannya laju memasukkan dokumen dan barang yang mahu dibawa bersama untuk melawat istana Gyeongbokgung.

“Eh, mana pula passport aku?” Rania baru sedar passport nya tiada di dalam beg. Hatinya mula berdebar-debar. Itu dokumen yang paling penting, kalau hilang mati lah aku tidak boleh balik ke Malaysia. Macam mana boleh hilang dan aku tidak sedar langsung. Dia terduduk di atas katil, nafasnya di tarik dalam.

“Tak boleh jadi ni. Aku kena fikir baik-baik di mana aku letakkan.” Matanya dipejam rapat cuba berfikiran tenang dan mengingati semula di mana kali terakhir dia letakkan passport nya.

“Hah! Apartment Yoonah!” Rania mula teringat kali terakhir dia meletakkan passport di atas meja kecil di bilik yang didudukinya. Ya, dia pasti passport itu tertinggal di apartment Yoonah. Dia perlu bergegas ke apartment Yoonah untuk mengambil semula passport nya. Beg sandang terus dicapai, lalu dia terus keluar dari bilik guesthouse.

Seketika kemudian, Rania terpacak di pintu apartment Yoonah. Tangannya segera menekan loceng pintu. Syukur dia masih ingat lagi lokasi apartment Yoonah. Dalam diam dia berdoa, Yoonah masih belum keluar dan passport nya ada di sini. Tidak sampai 1 minit, wajah bersih Yoonah muncul di depannya.

Annyong hasimnika? (Apa khabar?)” ucap Rania dengan membongkokkan sedikit badannya sebaik sahaja Yoonah membuka pintu apartmentnya.

Cal cineyo (Baik-baik saja).” balas Yoonah sambil tersenyum manis. Rania dipelawa masuk. Mata Rania tertancap melihat sepasang kasut lelaki di bahagian tempat letak kasut. Namun dia tidak endahkan lalu membuka kasutnya dengan cermat.

“Maaf menganggu awak di awal pagi ini. Sebenarnya saya mencari passport. Saya agak mungkin tertinggal di bilik yang saya menginap tempohari.” jelas Rania kepada Yoonah yang kelihatan baru bangun tidur.

“Rania, awak duduk di sini dulu. Biar saya yang cari dan ambilkan.” pinta Yoonah. Mendengar hasrat Rania, terus Yoonah masuk ke bilik yang pernah diduduki oleh Rania. Dalam fikirannya sudah berjalan satu perancangan yang perlu dilaksanakan. Inilah masa yang sangat sesuai. Yoonah tersenyum sendirian.

Sambil duduk di sofa, Rania membelek majalah hiburan dalam bahasa Korea. Ada beberapa aktor dan penyanyi yang dikenali ada di dalam majalah itu. Tidak sampai 5 minit, Yoonah muncul semula dengan passport di tangannya. Rania segera bangun melihat passportnya ada dengan Yoonah.

“Ini passport awak. Simpan baik-baik ya.” nasihat Yoonah kepada Rania.

“Alhamdulillah, sudah jumpa semula passport saya. Kamsa hamnida (Terima kasih).” ucap Rania sambil mencium passport antarabangsanya.

“Selepas ini awak mahu ke mana?” soal Yoonah melabuhkan punggungnya di sebelah Rania.

“Istana Gyeongbokgung.”jawab Rania pendek.

“Semalam awak ke mana?” soal Yoonah buat-buat tidak tahu cerita sebenar.

“Pulau Nami dan Namsan Tower.”

“Rania seorang sahaja ke sana?”

“Tidak, saya dan Alex. Kebetulan Alex datang dan mahu menemani saya bersiar-siar di Pulau Nami dan Namsan Tower.” jawab Rania. Banyak pula soalan daripada Yoonah pagi ni.

“Alex memang seorang pemuda yang baik melayan pelancong seperti awak. Oh ya, awak tahu kan yang Alex adalah boyfriend saya. Pasti Alex tidak beritahu.” Yoonah tergelak kecil membuatkan hati Rania tiba-tiba sakit. Panas telinganya.

“A’ah, tak. Alex tidak beritahu saya tentang hal itu. Jangan risau, saya dan Alex tiada hubungan istimewa. Kami sekadar teman dari 2 negara sahaja.” jawab Rania dengan tenang. Dalam fikirannya mula berputar-putar, dan wajah Alex mula terbayang. Tidak sangka Alex dan Yoonah ni sepasang kekasih. Patutlah Alex suruh aku menumpang menginap di apartment Yoonah. Rupa-rupanya mereka mempunyai hubungan istimewa. Dasar lelaki playboy! Layan dan mengayat aku bagai lidah tiada tulang. Semuanya ikhlas konon!. Bencinya aku dengan Alex!. Aku sudah dapat agak apabila dia mahu bagi aku rantai mahal. Mahu pikat aku lagi sedangkan sudah ada kekasih.

“Rania, awak okay ke? Wajah awak nampak pucat.” ujar Yoonah dengan nada simpati. Tangannya mula menyentuh tapak tangan Rania. Mahu mengetahui suhu badan Rania sama ada sihat atau sebaliknya.

“Mungkin saya letih dan tidak cukup rehat. Itu sebab wajah saya pucat.” Rania memberi alasan. Mood pagi telah lenyap dan hilang sebaik sahaja mendengar pengakuan Yoonah tentang Alex. Terasa mendung berarak di dalam hatinya.

“Awak kena jaga kesihatan. Jika tidak nanti awak akan jatuh sakit.” nasihat Yoonah prihatin akan dirinya.

“Saya akan jaga diri. Baiklah saya mahu pergi. Terima kasih atas passport.” jawab Rania lemah.

“Sama-sama. Harap awak akan gembira di sini. Jika ada masalah boleh hubungi saya.” ujar Yoonah bersungguh. Bahu Rania ditepuk mesra.

Tiba-tiba, kelibat Alex muncul di ruang tamu tanpa berbaju. Rambutnya basah. “Rania? Kamu buat apa di sini!” ujar Alex dengan nada tinggi. Dia sungguh terkejut melihat Rania berada di apartment Yoonah pagi ini.

Mata Rania membulat besar. Adakah dia bermimpi? Alex di rumah Yoonah dengan keadaan begitu. Biar betul aku lihat Alex di sini! Sungguh tidak percaya dengan lelaki seperti Alex sanggup meluahkan rasa sayang padanya sedangkan ada hubungan dengan Yoonah.

Suasana agak tegang ketika itu. Yoonah segera menuju ke arah Alex dan memeluk erat tubuh Alex. Walaupun Alex menolak, namun Yoonah tetap berbuat demikian. Sakit mata Rania melihat insiden yang tidak diduga itu.

“Rania datang mahu ambil passport nya yang tertinggal di dalam bilik.” ujar Yoonah memberi penjelasan. Yoonah seolah-olah cuba meredakan keadaan yang agak panas antara Alex dan Rania.

“Yoonah, saya mahu balik. Jumpa lagi.” ujar Rania dengan nada tegas. Kakinya laju melangkah ke arah pintu. Melihat itu, Alex segera melepaskan pelukan Yoonah dan berlari ke arah Rania.

“Rania, tunggu! Dengar dulu penjelasan saya!” jerit Alex.

Rania hanya memekakkan telinga. Wajah Alex langsung tidak dipandang. Marah sungguh dia dengan perangai Alex yang berpura-pura tiada kekasih tapi sebaliknya. Dasar lelaki playboy yang suka ambil kesempatan! Aku benci Alex!.

“Rania!!” Alex sempat memegang lengan Rania dengan erat.

“Rania, dengar dulu penjelasan saya. Saya sayangkan kamu. Percaya lah.” ujar Alex dengan termengah-mengah. Wajah Rania dipandang tepat.

“Lepaskan tangan saya! Kamu lelaki yang tidak boleh dipercayai. Saya benci kamu!” jerit Rania dengan nada yang tinggi. Dengan tenaga yang kuat, Rania meleraikan tangannya daripada dipegang oleh Alex.

“Rania!!” jerit Alex. Pintu ditutup kuat. Kelibat Rania hilang daripada pandangannya. Alex meraup wajahnya perlahan. Sesuatu yang berharga telah hilang. Lemah-longlai dibuatnya. Apa yang telah berlaku sebentar tadi benar-benar membuatkan Alex hilang semangat.

Di kejauhan, Yoonah melihat insiden tadi dengan sebuah senyuman yang lebar. Sangat berpuas hati kerana Rania sendiri telah melihat Alex curang dan tidak dipercayai. Rancangannya berjaya dilaksanakan tanpa ada halangan. Ingin sahaja dia menepuk tangan tanda meraih kejayaaan.

“Kenapa tidak beritahu yang Rania datang?” soal Alex kepada Yoonah yang mula mengemaskan bekas minuman di meja. Yoonah mendongak, “Aku sendiri pun tidak tahu. Tiba-tiba saja dia muncul. Kenapa?” balas Yoonah endah tak endah.

“Aah… Rania sudah salah faham dengan aku.” dengus Alex kuat. Dia segera masuk ke dalam bilik untuk menukar pakaian. Penjelasan perlu diberikan kepada Rania. Dia pasti Rania sudah salah faham dan berfikir bukan-bukan akan dirinya. Malam tadi dia mabuk teruk. Yoonah yang membawanya balik ke apartment walaupun sudah ditegah berbuat demikian. Kenapa lah aku minum sampai mabuk. Selepas itu aku tidak sedarkan diri. Aku pasti tiada apa-apa yang berlaku antara aku dan Yoonah malam tadi. Kepalanya masih lagi sakit penangan minuman alkohol.

Sementara itu, Rania melangkah panjang menuju ke stesen subway. Matanya mula bertakung dengan air mata. Perasannya benar-benar sakit umpama ditikam dengan benda tajam. Perit sekali!. Sebaik sahaja dia ternampak bangku segera dia melabuhkan punggungnya di situ. Matanya lurus memandang ke hadapan, dia tidak mengendahkan orang ramai yang lalu-lalang di hadapannya. Tidak sangka Alex sanggup berbuat demikian. Bermalam di apartment Yoonah dan mereka sebenarnya kekasih. Kenapa lah aku lembab sangat untuk mengetahuinya dari awal. Kalau aku tahu sudah tentu aku tidak akan bersiar-siar dengan Alex selama 3 hari!. Wajahnya diraup perlahan. Air matanya di seka dengan tisu.

“Sekejap… kenapa lah aku menangis kerana Alex, dia bukan kekasih aku pun. Entah-entah dalam tidak sedar aku menyayangi Alex. Gila! Macam mana boleh jadi seperti ini. Alex memang suka pada aku. Dan aku pula tidak tahu perasaan sebenar aku, namun setelah melihat kejadian tadi aku berasa sakit hati dan cemburu yang amat.” Rania mengelengkan kepalanya sendiri cuba menafikan apa yang bermain di fikirannya.

“Baik, tidak kira aku jatuh cinta dengan Alex atau sebagainya yang penting sekarang Alex itu playboy dan lelaki curang. Aku sudah tidak boleh mempercayainya lagi. Noktah.” Rania bermonolog sendirian. Kakinya di pandang sepi, lain yang aku nak lain pula aku dapat bila datang ke apartment Yoonah. Tuhan nak tunjukkan sesuatu pada aku siapa sebenarnya Alex. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini berlaku. Dia perlu segera beredar dari situ bimbang Alex akan mencarinya.

Train subway muncul di depannya, kakinya melangkah lemah. Dia menuju ke istana Gyeongbokgung. Dalam masa 10 minit, Rania sudah tiba ke stesen Gyeongbokgung. Aura istana mula kelihatan kerna sebaik sahaja dia melangkah keluar terpapar Seoul Metro Art Centre yang kelihatan seperti Balai Seni Lukis Negara. Cantik sungguh hiasan dan karya seninya namun Rania tidak lagi teruja untuk meneruskan perjalanannya.

“Aku tidak boleh jadi bodoh. Kecewa dan menangis hanya untuk lelaki playboy macam Alex! Aku harus sedar dan bangun dari rasa kecewa. Mesti berani hadapi kenyataan.” Rania bermonolog sendirian.

“Aargh…” jerit Rania sebaik sahaja bahunya dilanggar oleh seorang wanita Korea.

Sorry.” ujar wanita itu. Dia menyentuh bahu Rania sekiranya ada yang tercedera.

Its okay.” balas Rania dengan senyuman kelat. Ini semua salah aku sendiri duduk di tengah-tengah laluan orang lalu-lalang. Rania segera mencari tempat duduk untuk menenangkan perasaan sakit hatinya yang masih lagi tidak hilang.

“Hah, Alex!” Kelibat Alex di hadapannya membuatkan Rania kaku seketika. Matanya tepat memandang ke wajah itu. Namun, Alex buat tidak kenal dengan Rania yang berada di depannya. Sebentar kemudian seorang wanita Korea datang memaut lengan Alex dan mereka melangkah ke arah istana Gyeongbokgung.

“Laa… itu bukan Alex tapi lelaki lain yang wajahnya hampir sama. Badan lelaki itu agak berisi berbanding dengan Alex kurus dan tinggi lampai. Fuh! Lega bukan Alex yang sebenar.” bisik hatinya.

Entah-entah Alex akan mencari aku di sini. Semalam aku sudah beritahu dia perancangan mahu datang ke istana Gyeongbokgung. Tidak boleh jadi ni, aku mesti segera beredar dari sini. Tak pasal-pasal dia datang mahu jumpa aku. Mesti Alex akan datang, aku yakin dia akan ke mari. Tanpa berlengah, Rania terus menaiki subway yang muncul tepat pada masanya.

Di dalam subway yang bergerak pantas, Rania sempat berfikir untuk terus ke Namdaemun Market iaitu tempat shopping yang popular di kalangan pelancong seperti dirinya. Agendanya di Seoul perlu diteruskan walau apa pun yang berlaku.

Sementara itu, Alex sudah siap memakai baju dan segera keluar daripada apartment Yoonah. Dalam fikirannya, dia mahu mencari Rania secepat yang mungkin. Lokasi istana Gyeongbokgung dituju. Dia pasti Rania akan datang ke situ kerna semalam sudah diberitahu. Harap sangat Rania masih ada lagi di sana. Subway dinaiki, hatinya sangat tidak tenteram. Dia sungguh cemas dan lemas dengan apa yang telah berlaku. Adakah Rania akan mendengar penjelasannya lalu percaya dan memaafkannya. Aah… macam-macam persoalan yang timbul di minda sedarnya. “Cepatlah train ni sampai ke istana Gyeongbokgung. getus hati lelakinya.

Sepuluh minit kemudian, Alex tiba di stesen Gyeongbokgung. Dia melangkah panjang, mahu berjumpa dengan Rania wanita yang disayangi. Aah.. mana satu yang harus aku tuju. Muzium King Sejong atau istana Gyeongbokgung, Alex buntu untuk membuat keputusan. Di situ ada 2 tempat yang harus dilawati oleh pelancong. Sekarang ini, Alex tidak tahu Rania sudah berada di muzium King Sejong atau di istana Gyeongbokgung. Rambutnya diraup perlahan. Dia benar-benar tidak boleh berfikir, Alex takut kehilangan Rania. Sungguh! Alex menarik nafas panjang. Sekarang ni waktu melawat dan pelancong agak ramai yang datang pasti ianya sukar untuk menjejaki Rania.

Muzium King Sejong atau istana Gyeongbokgung, mana dulu lokasi yang aku mahu tuju. Alex mengaru-garu kepalanya. Matanya meliar melihat sekeliling. Tidak sampai 1 minit, Alex sudah membuat keputusan, muzium King Sejong akan dituju terlebih dahulu dalam misi mencari Rania. Sebaik sahaja Alex memasuki muzium matanya merayau mencari kelibat Rania. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Dia terus menuju ke bahagian depan tatkala terlihat kelibat gadis bertudung biru yang sedang asyik menulis Hanguel alphabet iaitu tulisan Korea. Gadis itu hanya menundukkan kepala, tekun menulis namanya sendiri di atas sehelai kertas.

“Rania?” sapa Alex perlahan kepada gadis itu, serta-merta gadis itu mendongakkan kepala dan terkejut.

Sorry, wrong person.” jawab gadis itu dengan senyuman. Aargh… salah orang rupanya. Bukan Rania!

Sorry.” ujar Alex perlahan dan menundukkan kepalanya sedikit tanda mohon maaf. Wajahnya merona merah menahan rasa malu. Alex meneruskan langkahnya di sekeliling muzium, di depannya ada The Story of King Sejong Exhibition Hall yang seluas 3,200 meter persegi yang dibahagikan kepada 9 seksyen iaitu bahagian artistik, militant, politik dan sebagainya. Di mana lagi aku mahu mencari. Alex terfikir tidak mustahil Rania sedang menikmati filem pendek 4D Admiral Yi Sunshin di Multimedia Auditorium yang disediakan di situ. Alex membuat keputusan untuk tunggu di pintu keluar auditorium. Tangannya laju sahaja menyentuh telefon pintar. Dia mahu menyemak sekiranya ada sebarang SMS daripada Rania. Namun hampa, tidak sebarang berita daripada Rania.

Setelah 15 minit berlalu dan wajah Rania tiada kelihatan, Alex mengikut gerak hatinya menuju ke istana Gyeongbokgung yang terletak 500 meter sahaja daripada muzium itu. Usai membayar harga tiket KRW3,000 mata Alex memandang seluas pandangan sebaik sahaja berada di kawasan istana Gyeongbokgung yang dikhabarkan seluas 10,000 meter per segi atau lebih kurang 50 kali luas padang bola! Agak mustahil untuk ketemu Rania. Istana Gyeongbokgung merupakan istana terbesar antara 5 istana tradisional utama di Korea Selatan.

“Apa lah malang nasibku hari ini. Rania nampak aku di apartment Yoonah dalam keadaan yang mengaibkan. Mesti Rania fikir yang aku bersama Yoonah malam tadi dan menganggap aku lelaki curang! Kalau lah aku boleh mengundurkan masa.” keluh Alex sendirian.

Dia melangkah masuk ke kawasan istana, kelihatan ramai pelancong daripada pelbagai bangsa yang datang ke situ. Ada kumpulan-kumpulan pelancong yang mengikuti ketua kumpulan dengan mengibarkan bendera pakej perlancongan mereka. Matanya pantas mencari gadis yang bertudung biru di mana-mana sahaja dia melangkah. Agak jarang mahu jumpa kumpulan atau orang perseorangan yang bertudung seperti Rania.

Alex mula memasuki kawasan balairong utama istana yang tidak membenarkan pengunjung masuk. Para pengunjung hanya dibenarkan melihat daripada luar sahaja. “Takkan lah Rania mahu melawat tempat ini. Aku mesti cari Rania di kedai cenderahati. Rania mesti akan singgah membeli fridge magnet.” Selama 3 hari dia bersama Rania, dia perasan yang Rania suka kan fridge magnet bagi setiap tempat yang dikunjungi.

Sebaik sahaja Alex menjejakkan kaki di kedai cenderahati, dia terus bertanyakan kepada gadis yang bertugas di situ. Namun, semuanya hampa kerana mereka tidak perasan sangat pengunjung yang membeli cenderahati kerana bilangan mereka yang ramai dan pelbagai bangsa. Alex terduduk dan menung seketika. Nafasnya tercunggap-cunggap.  Kakinya sakit.

“Oh, Rania di mana kah kamu berada? Jangan jauhkan diri kamu dari aku.” bisik hati lelakinya.

Alex tidak berputus asa, dia menuju Gyeonghoeru Pavillion iaitu bangunan Gyeonghoeru yang terletak di atas pulau buatan manusia dan dikelilingi tasik. Sangat indah! Matanya menangkap kelibat seorang gadis yang bertudung sedang membelakanginya. Gadis itu asyik mengambil gambar dengan menggunakan kamera DSLR. Rania! Alex pasti itu gadis yang di cari. Dia berlari anak ke arah gadis itu.

“Rania!” teriak Alex membuatkan semua orang di situ memandangnya dengan pandangan aneh dan terkejut. Gadis itu turut menoleh. Wajah Alex merona merah dan panas, gadis itu bukan Rania yang di cari tetapi gadis lain. Dia segera memalingkan muka dan berlalu dari situ dengan muka yang tebal kerana silap orang.

Alex terus mara ke bahagian pintu gerbang utama istana sebaik sahaja mendengar pengumuman bahawa sebentar lagi akan diadakan Royal Guard Changing Ceremony. Dia berharap Rania akan hadir ke situ untuk menyaksikan perarakan pengawal diraja Dinasti Joseon yang ditugaskan menjaga pintu Gwanghwamun.

Pengunjung berlari anak ke situ termasuk dirinya. Orang lain berlari mahu melihat perarakan diraja tapi aku pula mahu mencari orang. Alex meninjau dan melihat sekeliling akan kelibat Rania namun sehingga selesai perarakan wajah Rania tidak juga muncul. Suasana kembali normal berbanding sebentar tadi yang agak bising dengan keterujaan pengunjung. Pasti pengunjung gembira kerna dapat melihat pengawal istana yang berkostum warna-warni persis pengawal istana di zaman dinasti Joseon.

“Mana lagi aku mahu cari Rania.” luah Alex perlahan. Alex terus berjalan dan kali ini dia nekad untuk bertanya kepada staf yang bertugas di Sumunjang Costume Experience yang menyediakan perkhidmatan percuma kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba pakaian rasmi pengawal diraja atau hanbok. Istilah hanbok merujuk kepada pakaian tradisional rakyat Korea.

Wanita yang bertugas tadi hanya mengelengkan kepala sebaik sahaja Alex menunjukkan gambar Rania di dalam telefon pintarnya. “Adakah Rania tidak datang ke sini? Atau aku sahaja yang tidak ketemu Rania?.” Wajah hansome nya di raup perlahan. Hatinya gelisah. Fikirannya buntu. Pengunjung lain teruja sungguh dengan memakai kostum tradisional, sedang kan aku berasa sedih. Rania sayangku, di manakah dikau? Sungguh, aku bersalah dengan gadis yang bernama Rania!

Previous: Bab 11 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez