Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 20 - PDSS
RANIA segera mengambil sebungkus roti Gardenia dan semangkuk aiskrim coklat. Dia memasukkan ke dalam bakul yang disediakan. Bakul barang tersebut diangkut perlahan, dia menuju ke kaunter pembayaran. Purse berwarna hitam diambil daripada beg tangannya. Matanya fokus kepada jumlah harga bayaran yang perlu dibayar.

“Semuanya RM8.30, kak.” ujar pembantu jualan di kedai 24 jam yang berhampiran dengan kawasan perumahan Rania. Tanpa berlengah Rania menyerahkan not RM100 kepada pembantu jualan tersebut.

“Akak tak ada duit kecil ke?” soal pembantu jualan itu dengan penuh pengharapan.

Rania segera membelek semula isi purse jika ada not RM10.

“Maaf dik, akak tak ada duit kecil. Ini sahaja yang akak bawa.” luah Rania dengan jujur.

“Biar saya bayarkan.” Tiba-tiba seorang lelaki yang memakai spek mata hitam menghulurkan bantuan. Melihat itu Rania segera menghalang.

“Eh, tak apa tuan. Saya akan…” belum habis Rania habis berkata lelaki itu berkeras untuk membayarnya. Pembantu jualan itu tersenyum sahaja dan menerima bayaran tersebut dengan senang hati. Rania hanya mampu melihat.

“Ini barang awak.”

Lelaki itu menyerahkan beg plastik kepada Rania. Segera Rania menerimanya dengan penuh hormat.

“Terima kasih tuan. Sekejap ya, saya pergi tukar duit di kedai sebelah.” ujar Rania bersungguh kepada lelaki yang baik hati itu.

“Cik tidak perlu bayar semula. Anggap sahaja saya yang belanja awak hari ini.” jawab lelaki itu dengan senyuman yang tidak dari bibir.

“Tapi… saya tidak boleh menerima macam ini sahaja. Tuan buat saya serba salah.” luah Rania perlahan.

“Begini sahaja Cik. Jika Cik rasa serba salah untuk menerimanya. Saya cadangkan Cik boleh belanja saya minum di kafé sebelah.”

Lelaki itu memberikan cadangan kepada Rania. Dia segera membuka spek mata hitam lalu tersenyum lebar kepada gadis dihadapannya. Melihat wajah sebenar lelaki itu membuatkan mata Rania membulat seolah tidak percaya. Di depannya seorang lelaki yang pernah dikenali.

“Fareed!” luah Rania perlahan namun jelas kedengaran di telinga lelaki itu. Senyuman lelaki itu semakin lebar.

Seketika kemudian,

“Pandai ya, kena kan Rania! Perangai tak pernah nak berubah.” gelak Rania.

Fareed hanya tersengih namun amat gembira kerana akhirnya dapat bertentang mata dengan gadis yang dirinduinya sejak pulang ke Malaysia.

“Fareed tak buat apa-apa lah. Cuma tolong Rania bayar saja.” Fareed turut gelak dengan insiden sebentar tadi. Berkesan juga lakonannya di depan Rania. Sebaik sahaja dia melihat kereta Rania keluar dari rumah, dia terus mengekori kereta Rania dari belakang.

“Tak buat apa-apa konon. Kenapa tak terus tegur Rania?” soal Rania ingin tahu. Dia tak sangka akan berjumpa dengan Fareed, pelajar seniorsemasa belajar di universiti. Walaupun mereka berlainan fakulti namun mereka saling mengenali kerana selalu terlibat dengan aktiviti Persatuan Keusahawanan Universiti.

“Saja nak tunjuk gentleman pada seorang gadis Malaysia. Hahaha…” gelak Fareed lagi.

Rania turut tergelak.

Gentleman? Iyalah, orang baru pulang ke Malaysia.” perli Rania membuatkan Fareed gelak sakan mendengar kata-kata Rania.

“Malaysia tetap di hati Fareed walaupun tinggal di sana 2 tahun. Fareed masih suka makanan dan gadis Malaysia.” usik Fareed kepada Rania yang kelihatan ceria. Mereka sudah terputus hubungan sejak Fareed melanjutkan pelajaran sarjana di Universiti Birmingham, United Kingdom.

“Alhamdulilah, Malaysia bangga ada anak bangsa macam Fareed.” usik Rania sambil meneguk baki minuman air epal.

“Kenapa tak beritahu Fareed mahu pulang ke Malaysia?” soal Rania tepat memandang wajah Fareed yang tidak banyak berubah. Wajahnya tetap nampak bersih, misai yang ada sedikit menonjolkan personaliti lelaki yang berkaliber lagi matang.

“Sejak di UK lagi, Fareed sudah maklumkan tapi Rania senyap sahaja. Fareed fikir Rania sengaja mahu buat surprise di airport.”

“Itu nombor lama. Hampir setahun Rania gunakan nombor handphone yang baru. Yang asal sudah hilang.” Rania memberitahu situasi sebenar apa yang berlaku.

“Oh patutlah tidak dapat. Rupanya Rania sudah gunakan nombor lain. Beri Fareed nombor yang baru.” Fareed segera mengeluarkan telefon pintarnya untuk menyimpan nombor baru Rania. Tanpa membantah, Rania segera memberitahu Fareed nombor handphone yang digunakan sekarang.

“Sekarang Rania buat apa?” soal Fareed. Dia tersandar di kerusi kayu yang disediakan oleh pemilik kafé.

“Kerja di Hotel Princess sejak graduasi.”

“Ooh, bila Rania mahu kawin?” tiba-tiba Fareed menukar topik perbualan.

Rania membulatkan matanya.

“Kenapa buat muka macam tu. Fareed tanya bila mahu kawin?” ujar Fareed sebaik sahaja melihat reaksi Rania sebentar tadi. Dalam fikirannya dia mahu tahu status terkini gadis di depannya sama ada sudah ada calon suami atau lelaki yang bertahta di hati.

“Insya-ALLAH, tahun ini. Jika tak ada tahun ini, tahun depan.” selamba sahaja Rania menjawab soalan Fareed. Dia mula rimas bila soalan perkahwinan diajukan.

“Siapa calon suami Rania?” soal Fareed sedikit gusar bila mendengar jawapan tadi.

“Seorang lelaki.” pendek sahaja jawapan Rania. Dia tersenyum nakal. Mendengar itu, Fareed terus duduk tegak dan memandang tepat ke wajah Rania.

“Memanglah lelaki tapi siapa dia? Fareed kenal ke?” soal Fareed tidak puas hati.

“Lelaki yang sangat bertuah. Lelaki yang sudi menerima Rania seadanya. Baik dan buruk diri Rania.” Fareed semakin tidak puas hati dengan jawapan daripada mulut Rania. Mahu sahaja dia merobek hati Rania untuk mengetahui lelaki yang bertuah itu.

“Rania tidak ada someone special kan?” tiba-tiba terpacul soalan itu daripada mulut Fareed yang tidak sabar untuk mengetahui.

“Buat masa ini tak ada lagi. Kawan-kawan biasa adalah. Kenapa Fareed banyak sangat tanya ni. Macam ejen perisik saja.” Gelak Rania membuatkan Fareed turut tergelak. Namun dalam hatinya bersorak sakan kerana dia mempunyai peluang cerah untuk memiliki hati gadis itu.

“Fareed di UK bukan sahaja belajar mechanical engineering namun belajar ilmu perisikan. Jangan main-main dengan Fareed.” Gertak Fareed membuatkan Rania tergelak semula.

“Okaylah Fareed. Rania mahu balik ni, nanti Mama risau pula tak balik-balik lagi pada hal hanya beli 2 barang sahaja.” Rania berhenti ketawa.

“Oh, okay. Semalam dapat bunga ros tak?” soalan Fareed membuatkan Rania tersenyum.

“Fareed yang hantar bunga ros tu? Rania fikir lelaki misteri mana yang beri bunga ros.” usik Rania.

“Lelaki misteri? Lelaki macho yang hantar. Jenuh Fareed cari kedai bunga segar di Kuala Lumpur ni.” Fareed bercakap seolah merajuk dengan kata-kata Rania.

“Terima kasih atas kiriman bunga tu. Cantik!” ucap Rania membuatkan Fareed tersenyum sipu.

“Rania suka tak bunga tu?” soal Fareed ingin tahu akan penerimaan gadis itu akan bunga ros yang dihantar melalui kedai bunga yang agak jauh dari rumahnya.

“Suka. Suka sangat, memenuhi citarasa Rania. Kawan-kawan Rania semuanya puji akan pengirimnya yang pandai memilih bunga ros yang Rania suka.” jawab Rania teruja. Dia memang menyukai akan bunga ros tidak kira warna apa asalkan bunga ros sudah boleh menambat hati wanitanya.

“Nanti Fareed bagi lagi. Biar meja Rania penuh dengan bunga ros.” usik Fareed galak mengenakan Rania.

“Rania, okay aja. Orang nak bagi kita terima sahaja. Rania gerak dulu ya. Sudah lambat ni.” Rania bingkas bangun dan berlalu dari situ.

Fareed mengangguk, matanya tidak lepas menatap kelibat itu hilang daripada pandangan matanya.

“Rania, gadis yang perlu aku miliki!” bisik hati Fareed.



SUASANA Honey Coffee Café agak tenang kerana 2 jam lagi operasi kafé akan tamat. Alex sibuk menyemak semula senarai bahan yang perlu dibuat pesanan lagi bagi mengelakkan kehabisan stok. Sebagai seorang pemilik kafe, dia perlu mengambil tahu hal operasi kafe termasuk bahagian teknikal. Kafe itu ditubuhkan atas minatnya yang mendalam akan minuman yang berasaskan kopi.

Alex terus ke ruang pelanggan untuk meninjau pelanggan yang masih ada. Hatinya turut gembira bila melihat wajah-wajah ceria yang sedang menikmati kopi.

Tiba-tiba matanya tertarik kepada sepasang pasangan daripada negara Arab. Wanita itu memakai tudung. Hatinya terus teringatkan akan Rania. Gadis yang sentiasa memakai tudung di kepalanya. Masih ingatkah Rania akan dirinya di Seoul?. Alex sungguh merindui dengan wajah itu. Suara dan gelak tawanya. Alex tidak sanggup melihat lama wanita Arab itu, hatinya akan bertambah sakit kerana menanggung rindu. Dia meraup wajahnya perlahan.

“Masih teringatkan Rania?” suara wanita membuatkan Alex segera menoleh. Aah! Yoonah lagi. Alex memalingkan wajahnya ke arah pelanggan yang lain.

“Wanita bertudung, terus kau teringatkan Rania kan?” Yoonah melabuhkan punggung di sebuah kerusi yang agak jauh dari pelanggan yang lain. Alex mendiamkan diri.

“Kau sudah sihat ke?” soal Yoonah tepat memandang ke wajah Alex. Dia tersenyum sinis.

“Kau perlu menyibukkan diri daripada terus mengingati Rania. Dia di Malaysia langsung tak ingatkan kau. Entah-entah dia sedang berseronok dengan boyfriend.” Hasut Yoonah. Dia masih tetap berusaha mengagalkan sebarang rancangan Alex untuk berhubung dengan Rania. Biar kisah mereka akan tamat. Selepas itu, Yoonah akan menambat semula hati Alex kembali kepadanya.

“Aku tahu menguruskan diri aku sendiri. Tak payah kau mahu mengingatkan. Kau mahu minum air kopi ke?” soal Alex sebagai menghormati Yoonah sebagai pelanggan kafe.

“Tak perlu, aku datang mahu ajak kau ke parti anniversary kawan kita.” ujar Yoonah. Dresspendek yang dipakainya memang sesuai dengan tubuh badannya yang ramping.

“Aku lihat keadaan. Jika aku ada masa, aku akan datang. Nanti aku beritahu.” jawab Alex acuh tak acuh. Sebenarnya dia malas mahu ke parti semenjak Rania pulang ke Malaysia. Entah! Dia pun tidak pasti apa yang telah berlaku terhadap dirinya.

“Mereka sangat berharap kau dapat datang. Nanti kita boleh pergi bersama-sama.” pujuk Yoonah tidak putus asa.

“Aku harap sangat kau dapat melupakan Rania. Dia sudah tidak ada lagi di Seoul. Kau pun tidak menghubunginya. Anggap sahaja ianya hanya memori indah.Yang berlalu jangan dikenangkan. Kau perlu meneruskan hidup.” ujar Yoonah memberi nasihat. Alex hanya membatukan diri. Matanya hanya melihat pasangan Arab tadi berlalu meninggalkan kafe.

“Aku okay dan kau tidak perlu risau. Hati aku yakin bahawa suatu hari nanti aku dan Rania pasti akan berjumpa lagi. Cuma masa sahaja yang akan menentukannya. Aku pasti!” luah Alex dengan mata yang penuh berharap. Kuala Lumpur dan Seoul bukannya jauh sangat hanya 5 jam sahaja perjalanannya dengan menaiki pesawat. Alex akan terus berusaha mencari Rania.

“Kau jangan layan sangat perasan kau tu. Aku tahu kau memang suka Rania. Ya, jujur aku pun senang dengan Rania sepanjang kami berkenalan. Namun, aku tahu Rania mempunyai pendiriannya sendiri dalam soal hati dan perasaan. Aku lihat Rania tu seorang penganut Islam yang taat pada agamanya.” Yoonah mula berlakon seolah menyokong Alex dalam diam. Dia perlu menukar strategi supaya Alex tidak menjauhkan diri daripadanya gara-gara gadis yang bernama Rania.

“Ya, aku memang suka dan mencintai Rania. Walaupun aku tahu yang kami berlainan agama dan bangsa namun aku tidak dapat menolak hati aku daripada terus mencintainya. Perkenalan kami singkat tapi aku sudah jatuh cinta dengannya sejak dari mula lagi kami berjumpa. Rania benar-benar telah membuatkan hati aku untuk bercinta lagi.” luah Alex perlahan.

Menyirap Yoonah mendengar luahan hati Alex. Nampak gayanya Alex benar-benar sudah anggau mencintai Rania. Sakit hati Yoonah mendengarnya.

“Ya, cinta itu universal. Tidak kira warna kulit, pangkat dan bangsa. Aku tak salahkan kau mencintai Rania Cuma aku bimbang perasaan cinta kau itu sementara sahaja. Mungkin sebulan dua nanti kau akan dapat melupakan Rania. Aku percaya, masa akan membantu menyelesaikan masalah kau.” pujuk Yoonah lagi. Dalam hatinya dia menyumpah seranah akan Rania kerana disebabkan Ranialah Alex jadi begini.

“Terima kasih Yoonah kalau kau faham apa yang aku sedang alami sekarang ni.”

“Okay, Alex. Aku mahu pulang. Kau kalau jadi sertai parti tu beritahu aku. Kita boleh pergi bersama-sama. Aku tidak ada teman untuk parti tu.” Bingkas Yoonah dari kerusi. Dia terus meninggalkan Alex.




SEBAIK sahaja Alex selesai mandi, dia berehat di sofa kesukaannya yang berwarna putih. TV dipasangkan. Matanya tepat memandang sebuah buku kecil berwarna merah iaitu alquran mini milik Rania yang telah tertinggal di airportsejak sebulan yang lalu. Alex mengambil lalu menciumnya. Alquran berbahasa Inggeris itu dibaca terjemahan ayatnya dengan khusyuk. Dia ingin sangat mengetahui mengapa Rania suka membacanya walaupun sedang bersiar-siar. Rania tetap akan meluangkan masanya membaca walaupun hanya 5 minit sahaja.

Alex mula membaca ayat terjemahan itu sejak hari pertama alquran itu ditinggalkan di airport. Sangat mudah untuk membaca terjemahan tersebut. Ayat-ayat di dalamnya banyak bercerita tentang kisah manusia, nabi dan hari akhirat. Semuanya itu menarik minat Alex untuk terus membaca. Dia seolah-olah berasa Rania turut membaca bersama dengannya.

Sebelum tidur, seperti biasa Alex akan melihat foto-foto Rania bagi melepaskan rindunya. Sungguh dia amat merindui wajah mulus Rania. Walaupun sehingga kini dia tidak mengetahui isi hati Rania yang sebenarnya namun dia berpuas hati kerana telah meluahkan rasa cinta dan sayang kepada Rania.

Tiba-tiba Alex teringatkan sesuatu, dia bingkas bangun daripada perbaringannya di sofa. Ada sesuatu barang yang tidak dipulangkan kepada Alex iaitu jam tangan! Ya, jam tangan yang diberikan kepada Rania sebagai tanda mohon maaf dengan insiden memalukan di rumah Yoonah.

Alex tersenyum sendirian kerana dia pasti jam tangan itu kini berada bersama Rania di Malaysia. Jam tangan itu sungguh bertuah berbanding jambangan bunga ros yang telah ditinggalkan dan seutas rantai ditolak mentah oleh Rania.

“Saya ada sebab tersendiri mengapa saya tidak boleh menerima hadiah kamu ini.”

“Kenapa Rania?” soal Alex cemas.

“Bagi saya, semuanya ini tidak masuk akal! Saya tidak bersedia untuk menerimanya.” luah Rania dengan tegas. Kata-kata Rania itu masih jelas diingatan Alex.

Rantai itu tetap disimpan baik. Alex yakin satu hari nanti rantai itu akan dipakaikan di leher Rania. Dia sendiri yang akan memakaikan. Alex tidak sabar mahu menunggu saat-saat itu. Saat indah, Alex melayan perasaannya.

Dia tersenyum sendirian. Foto Rania didakapkan di dadanya. Matanya mula layu, dia berharap dapat bermimpi bertemu kekasih hati, Rania!

Previous: Bab 19 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez