Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 14 - PDSS
POSTER K-Pop sudah berada di tangan Rania. Hatinya lega kerana semua barang yang dikirim telah dibeli. Rania sekilas membuat perancangan, balik ke guesthouse  boleh terus packing.

Rambang mata di buatnya bila berada di dalam kedai cenderahati yang menjual pelbagai barangan artis Korea seperti poster, CD, buku bergambar, poskad, dan sebagainya. Semuanya mempunyai gambar artis K-Pop.

Rania tidak mahu berada lama di kedai itu, bimbang dia pula yang terpengaruh untuk membeli lagi. Duit Korean Won ditangannya semakin menyusut.

Alex hanya mendiamkan diri sejak dari tadi. Wajahnya mencuka sahaja. Rania buat tidak tahu dengan perubahan Alex yang berjalan seiring dengannya.

Sekali-sekala ada mata yang menjeling dan memandang mereka dengan pandangan aneh. Mungkin melihat 2 insan daripada berlainan agama dan bangsa berjalan seiring.

Terutamanya Rania menjadi perhatian kerana berjilbab. Kaki Rania mula terasa lenguh akibat banyak berjalan.

“Saya mahu balik.” ujar Rania membuatkan Alex terkejut.

“Kamu tidak mahu beli barang lagi?” soal Alex memohon kepastian daripada Rania.

“Setakat ini cukup. Semuanya sudah saya beli.” jawab Rania sambil mengambil gambar kedai tadi.

“Saya temankan kamu sehingga ke guesthouse. Apa kata kita berjalan kaki bersama-sama.” cadang Alex kepada Rania.

“Saya tak kisah. Itu terpulang kepada kamu.” jawab Rania endah tak endah.

Rania masih dingin dengan aku. Sungguh tidak selesa dibuatnya. Alex hanya mengekori Rania.

“Boleh kamu beritahu saya, apa yang boleh membuatkan kamu memaafkan saya?” soal Alex ingin tahu daripada mulut Rania sendiri.

“Kan tadi saya sudah kata, bahawa kamu tidak pernah buat salah dengan saya.” Rania memalingkan muka daripada menatap wajah Alex.

“Saya tidak percaya. Daripada reaksi kamu, saya tahu yang pagi tadi saya bersalah. Semuanya di luar kawalan saya.” Alex berkata dengan tenang.

“Itu masalah kamu. Saya tidak ada kaitan langsung!” tinggi nada suara Rania. Alex semakin gelisah dengan perkataan itu.

“Kamu ada kaitan dengan saya. Dari semalam lagi saya sudah beritahu kamu bahawa saya sayang dan mencintai kamu. Saya tidak main-main.”

Alex merenung wajah Rania dengan serius.

“Itu bagi kamu.” pendek sahaja jawapan Rania.

“Tapi saya benar-benar serius menyayangi kamu. Percayalah dengan kata-kata saya ini.” Alex berusaha memujuk gadis itu.

“Adakah kamu sudah mempunyai kekasih hati di Malaysia?” Alex cuba meneka.

“Saya tidak mahu menjawab soalan itu.” jawab Rania dengan perlahan.

Jantungnya mula bergerak laju.

“Saya perlu tahu.”desak Alex.

“Kamu tidak berhak mahu tahu tentang hati dan perasaan saya.”

Rania semakin bengang dengan Alex. Cukuplah dengan apa yang berlaku pagi tadi. Dia tidak mahu terganggu lagi dengan insiden Alex dan Yoonah.

Ini pun sudah cukup bagus dia mahu bercakap dengan Alex. Ikutkan hati dan rasa amarahnya mahu saja di membisu dengan Alex. Biar dia rasa!

“Sebelum kamu balik ke Malaysia pada esok hari. Pertama, saya sekali lagi ingin memberitahu bahawa antara saya dan Yoonah tiada hubungan istimewa. Kedua, saya sayang dan mencintai kamu dengan seikhlasnya.” ujar Alex.

Rania memandang ke arah lain, tidak sanggup menatap mata Alex yang sungguh menawan dan boleh cair dibuatnya.

“Ada bantahan?” usik Alex kepada Rania yang hanya membisu sahaja.

“Kamu tidak boleh memaksa saya!” jawab Rania dengan suara yang tinggi.

Alex hampa mendengarnya.

“Habis tu, saya akan berasa bersalah seumur hidup jika kamu tidak maafkan saya.”

Alex menagih simpati daripada Rania yang terus berjalan ke guesthouse.

“Kamu tidak pernah buat salah dengan saya. Maka saya tidak perlu nak memaafkan.” Bergetar suara Rania meluahkan isi hatinya yang terluka.

“Maafkan saya… sepanjang hari ini kamu banyak didesak dengan saya. Ambil masa kamu untuk berfikir dengan tenang. Beritahu saya apa yang kamu tidak puas hati atau marah dengan apa yang saya telah lakukan.”

Alex cuba memancing Rania dengan sikap toleransi dan pendekatan lembut. Dia perlu bersabar dengan karenah gadis ini. Jika terlalu didesak, Alex bimbang menjadi perkara lain pula. Minta dijauhkan!

“Kamu fikirkan elok-elok. Saya tunggu jawapan kamu.”

Alex mengalah dan memberi ruang untuk Rania berfikir sedalam-dalamnya.

Rania hanya mendiamkan diri langsung tidak memberikan sebarang reaksi.

“Jika kamu sudah memaafkan saya, pakailah jam tangan pemberian saya pagi tadi. Saya tetap mahu mengetahui sama ada kamu memaafkan saya atau sebaliknya.”

Alex seolah merayu kepada Sang Bidadari hati.

Seketika kemudian,

“Kita sudah sampai di guesthouse. Kamu rehat dengan secukupnya. Jangan lupa fikirkan tentang kita ya.”

Alex mengingatkan Rania yang sudah tidak sabar mahu masuk ke guesthouse. Rania hanya menganggukkan kepala tanpa sebarang suara atau lambaian mesra seperti sebelum ini. Dia memerhatikan lenggok Rania sehingga hilang dari pandangan matanya.

Ketika itu, hari sudah gelap dan jam tangannya menunjukkan angka 7.45 malam. Angin sejuk membuatkan Alex segera beredar dari guesthouse.

Sebaik sahaja Rania masuk ke dalam bilik, 3 orang teman biliknya sudah pulang dari Everland. Wajah masing-masing kelihatan keletihan namun ceria.

“Awal kamu semua tiba di guesthouse?” soal Rania kepada Tuti yang sedang asyik mengurut kaki kanannya.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Maka ngak perlu ribut sampai ke sini semula. Kamu udah makan malam.” soal Tuti kembali setelah melihat Rania seperti keletihan.

“Makan malam belum lagi. Saya mahu habiskan stok makanan saya. Esok malam saya sudah mahu pulang ke Malaysia.” jawab Rania sambil membuka sweateryang dipakainya.

“Macam mana dengan Everland? Seronok tak?” soal Rania ingin tahu.

“Assikk… rasanya ngak mahu pulang ke sini. Mahu terus-terusan berada di Everland kalau dibenarkan.” Femil bersuara. Matanya nampak layu mungkin tidak cukup rehat dan tidur yang berkualiti.

“Wah, bagus lah tu… Insya-ALLAH, jika saya datang lagi ke Seoul lokasi Everland akan dimasukkan dalam tempat yang wajib dikunjungi.” galak Rania ceria bercerita.

“Hari ni kamu ke mana aja?” soal Vina yang berbaring di katil.

Shopping di Naedaemun Market dan Myeongdong sahaja. Lihat saja di atas katil saya banyak barang yang saya beli. Semua ini saya mahu packing malam ini supaya tidak ada barang yang tertinggal di sini.”

Rania memberitahu teman sebiliknya.

“Assikk… banyak sekali barang yang kamu beli.” ujar Tuti sambil matanya memandang ke arah katil Rania yang penuh dengan beg plastik dan kertas.

“Malam ini kali terakhir kamu bermalam di sini. Esok kamu sudah check-out dan terbang ke Kuala Lumpur.” luah Tuti yang masih mengurut kakinya.

“Itulah, ini adalah malam terakhir saya di sini. Kenapa dengan kaki kamu?” soal Rania tepat memandang ke arah kaki Tuti yang agak berisi.

“Banyak berjalan loh. Aku kalau berjalan terlalu lama memang kakiku akan sakit. Ngak usah khuatir, lepas aku sapu ubat ini Insya-ALLAH sakitnya akan kurang. Esok boleh jalan lagi.” Tuti tertawa girang.

Rania dan yang lain turut ketawa sakan mendengar cerita Tuti yang kelakar orangnya.

“Rania. kamu tulis nama dan alamat di Malaysia pada buku ini. Mudah untuk dihubungi nanti.”

Vina menghulurkan sebuah buku kecil kepadanya. Rania segera mengambil dan mencatatkan maklumat dirinya.

“Ingat ya, hubungan kita bukan setakat di sini sahaja. Insya-ALLAH, kita boleh saling berhubung.” jelas Vina yang masih berbaring kerna keletihan.

Rania tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Dia segera ke katilnya, malam ini sebelum tidur dia mahu mengemas terlebih dahulu barang-barang yang sudah dibeli ke dalam beg tariknya.

“Banyak pula barang yang aku beli ni. Mana aku mahu sumbatkan.” keluh Rania sendirian. Dia menenangkan diri dan berfikir sejenak untuk memastikan barang-barang tersebut di packing sebaik mungkin.

“Wah, cantiknya jam tangan. Kamu beli di mana ya? Mahal ngak?” tiba-tiba suara Vina membuatkan Rania sedikit terkejut.

“Ini kawan yang belikan. Tak tahu dia beli di mana dan berapa harganya.” jawab Rania dengan malas.

Janganlah Vina tanya lebih-lebih lagi tentang jam tangan pemberian Alex pagi tadi.

“Kawan lelaki yang hantar kamu pulang ke guesthouse itu ya? Waduh, bagus banget loh… dapat hadiah daripada lelaki Korea. Kamu saling mengenali ya?” soal Vina lagi seperti tidak puas hati dengan penjelasan tadi.

Rania terkejut bila Vina menyebut lelaki Korea, ini mesti mereka nampak Alex hantar aku tadi.

Eiss… habis lah banyak yang akan ditanya oleh Vina ni.

“Aa’ah lelaki Korea. Kami saling mengenali kerana dia kawan kepada sahabat baik saya.” jawab Rania dengan tergagap.

Dia membohongi Vina akan cerita sebenar, bimbang semakin panjang ceritanya nanti.

“Oh begitu, mantap sekali kamu berdua. Persisnya seperti sepasang kekasih aja aku lihat. Cocok banget!” ujar Vina semakin galak memberi pendapatnya.

Rania hanya tersenyum namun dalam hatinya meminta Vina tidak lagi bercakap tentang Alex.

“Siapa nama dia? Ganteng banget. Wajahnya seperti aku pernah lihat sebelum ini.” ujar Vina sambil memegang kepalanya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Alex. Itu perasan kamu aja.” Rania berkata sambil tergelak.

“Untung kamu dapat berkenalan dengan lelaki Korea yang ganteng. Aku pingin sekali mahu ada pacar seperti Alex.” Vina ketawa besar.

Rania turut tertawa mendengar impian Vina itu.

“Udah Vina, jangan diganggu sama Rania. Dia mahu mengemas barang-barangnya. Kamu ni bikin ganggu aja. Tidur cepat, esok kita mahu menggunakan banyak tenaga.”

Tuti menegur temannya Vina supaya tidak lagi menganggu Rania yang kelihatan sibuk mengemaskan barang.

“Iya mengerti. Maafin aku ya. Aku tidur dulu. Assalammuaikum.” ujar Vina dengan rasa bersalah.

Rania menarik nafas panjang, lega kerana tiada lagi soalan yang berkaitan dengan Alex dan jam tangan itu lagi.

Mata Rania memandang jam tangan itu dengan pandangan kesian lagi terharu. Alex suruh aku berfikir dengan tenang malam ni sebelum memberikan sebarang keputusan. Mana boleh suka-suka beri aku tempoh masa singkat untuk aku berfikir.

Suka hati aku lah mahu berfikir atau tidak, sekarang ni aku langsung tidak boleh berfikir. Kepala aku sedang serabut mahu menyusun barang-barang ni dalam beg tarik. Lepas tu aku mahu berehat dan tidur.

“Banyak lagi ke barang-barang yang mahu di packing. Kamu perlukan bantuan?” tiba-tiba Tuti muncul di sisi katilnya.

Rania terkejut kerna dia fikir semuanya telah tidur akibat keletihan di siang hari.

“Tak perlu. Tinggal sedikit sahaja lagi barang yang perlu dikemas. Kamu masih belum tidur?” soal Rania kepada Tuti yang lengkap dengan pakaian tidurnya.

“Aku ngak boleh tidur. Aku capek banget hari ni. Itu sebab tidak boleh tidur, ikutkan aku memang mahu tidur. Sudah dipaksa mata ni, tapi masih ngak mahu tidur lagi.” luah Tuti dengan suara perlahan bimbang jika bercakap kuat akan menganggu tidur Femil dan Vina.

“Kamu baca saja buku ini atau minum susu supaya cepat mengantuk.”

Rania memberikan cadangan kepada Tuti yang tekun melihatnya mengemaskan barang.

“Bagus juga idea itu. Aku cuba.”

Tuti bergegas meninggalkan Rania keseorangan di katilnya.

“Kamu terus tidur ya selepas selesai packing barang.” ujar Tuti dengan rasa prihatin.

“Iya, sweet dream Tuti.” ujar Rania perlahan kepada Tuti yang sudah berbaring di katilnya.

Hampir jam 11.00 malam, baru Rania selesai mengemas barang-barangnya. Beg tarik diletakkan di tepi supaya mudah dicapai pada esok hari.

Rania menarik nafas lega kerana misinya telah berjaya diselesaikan. Sekarang masa untuk aku menulis diari Lelaki Dari Langit.

Hari ke-4 di Seoul,

Hai, apa khabar diariku sayang? Moga baik-baik saja. Masa sungguh pantas berlalu. Hari ini aku shopping sakan di Naedaemun Market dan Myeondong. Sebelum itu sesuatu yang sedih telah berlaku pada diriku. Sebenarnya aku malas mahu bercerita namun aku perlu luahkan supaya hatiku tenang seperti air sungai yang mengalir tenang.

Psst… Alex telah berlaku curang! Ya, aku tidak berbohong atau mereka cerita. Mata besar aku sendiri yang nampak Alex tidak berbaju dan keluar dari bilik Yoonah. Lepas tu pulak Yoonah cium pipi Alex dengan mesra sekali. Sakit mata aku melihatnya.

Hadiah jam tangan yang diberikan kepada aku langsung tidak dapat memadamkan insiden pagi tadi. Alex bersungguh menyatakan yang aku sudah salah faham. Dia turut mencintai aku. Entah, aku sendiri tidak pasti perasaan aku terhadap Alex. Baiklah, aku tidak dapat menulis lagi bimbang air mataku akan tumpah gara-gara lelaki yang bernama Alex!

Diari segera ditutup perlahan, Rania meletakkannya di sisi.

Dia termenung seketika, akhirnya matanya terpejam rapat. Bunyi dengkuran mula berkumandang di bilik itu.




FAREED memerhatikan rumah Rania dengan tekun. Dia masih ingat lagi lokasi rumah Rania walaupun 2 tahun sudah berlalu. Rumah teres 2 tingkat itu tetap sama kecuali warna catnya sahaja telah bertukar warna hijau pucuk pisang.

Kereta Toyota Vios kepunyaan ayah Rania ada di parkir kereta namun keadaan di rumah itu seperti tiada orang langsung. Fareed membuat telahan. Sudah hampir sejam dia melihat dan menunggu di seberang jalan. Dia berhasrat untuk berjumpa dengan Rania.

Pesanan yang ditinggalkan tempohari langsung tiada maklum balas. Mungkin staf di pejabat Rania lupa untuk memberitahu Rania. Hari ini merupakan hari ke-3, Fareed melakukan aktiviti itu. Dia tetap setia dan tidak jemu menunggu kelibat Rania.

Mana pergi semua orang di rumah Rania ni? Sunyi sepi aja aku tengok. Fareed pasti itu rumah Rania. Ingatannya masih kuat untuk mengingati.

Aku mahu tanya jiran Rania, nanti dia fikir aku penyamun yang merancang untuk merompak rumah Rania. Tapi takkan aku mahu menunggu macam ni saja. Bagaimana rupa Rania sekarang ni, adakah masih cantik seperti 2 tahun lepas?

Matanya masih setia memandang rumah Rania tanpa ada rasa bosan. Fareed tidak sabar untuk melihat Rania. Dia mempunyai hasrat yang besar dengan Rania. Impian hati Fareed yang mengunung tinggi. Hanya seorang gadis yang diburu iaitu si cantik Rania!

Previous: Bab 13 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez