Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 11 - PDSS
ALEX bingung dengan apa yang berlaku. Hatinya sungguh kecewa akibat tindakan Rania menolak pemberian hadiah daripadanya. Kenapa Rania tidak seperti gadis yang lain, mudah menerima hadiah yang mahal. Rania, kamu gadis yang berjaya membuatkan hati ini berdebar lagi disakiti. Apa yang kamu telah buat sehingga aku berasa dunia ini mahu terbalik! Hatinya terasa bagai ditikam bertubi-tubi dengan pisau. Sungguh sakit! Ditangannya digenggam erat sebotol soju yang sejuk. Pengunjung semakin ramai yang datang ke kedai makanan yang turut menjual minuman alkohol. Kepala Alex mula sakit. Badannya mula berasa panas akibat banyak minum soju sejenis minuman alkohol yang popular di Korea.

“Kenapa kau ni bodoh?” kata Yoonah dengan meletakkan secawan soju di hadapannya. Hatinya panas melihat Alex meracau menyebut nama Rania. Gadis muslim yang berasal dari negara Malaysia.

“Aku tidak bodoh, suka hati aku la mahu suka Rania.” balas Alex dengan rasa geram.

“Apa pula tidak bodoh. Kau suka dengan seorang gadis yang belum tentu suka dengan kamu.” Perli Yoonah dengan nada cemburu.

“Aku tidak kisah Rania suka dengan aku atau tidak. Yang penting aku mahu dia menerima hadiah daripada aku. Itu sahaja, sangat mudah untuk melakukannya.” luah Alex sambil meneguk secawan soju.

“Hati seorang gadis bukan mudah dibeli dengan sebuah hadiah. Rania tu pun sama, bodoh menolak hadiah yang mahal. Kalau aku, sudah lama aku terima dengan senang hati.” ujar Yoonah sambil membetulkan kedudukannya di kerusi bulat.

“Itulah bezanya antara kau dengan Rania.” sampuk Alex.

“Hentikanlah kerja sia-sia ini. Lupakan Rania.” hasut Yoonah. Dia mahu Alex melupakan Rania dan mahu mereka kembali menjalin hubungan sebagai kekasih semula. Semenjak mereka berpisah sejak setahun yang lalu, dia masih belum menjumpai lelaki yang baik dan handsome seperti Alex.

“Mana aku boleh lupakan Rania begitu sahaja. Walaupun 3 hari kami bersama, aku jatuh cinta dan semakin sayang dengannya.” tutur Alex dengan sebutan yang tidak jelas.

“Itu bukan cinta tapi kau tertarik dengan kecantikan Rania kan?” balas Yoonah cuba memesongkan perasaan cinta Alex kepada Rania. Hampir 3 tahun dia mengenali Alex, mana mungkin Alex mudah jatuh cinta dengan gadis yang berlainan bangsa dan agama. Sama sekali tidak mungkin itu berlaku!

“Mula-mula aku sangka disebabkan kecantikan aku tertawan. Namun, setelah aku cuba untuk melupakan Rania baru aku sedar yang ianya bukan kerna kecantikan tapi personaliti Rania sendiri yang tiada pada gadis lain.”

“Kau pasti akan dapat melupakan Rania setelah dia pulang ke tanahairnya. Aku yakin, rasa cinta itu akan beransur hilang.” Yoonah turut meneguk soju yang dihidangkan di depannya.

“Tidak mungkin aku dapat melupakannya begitu sahaja.” Alex tersedu akibat banyak minum soju.

“Sedarlah, Rania itu berbeza agama dengan kau. Dia muslim dan kau Kristian.” ujar Yoonah lagi cuba merenggangkan hubungan mereka. Walaupun Yoonah sendiri telah diberitahu oleh Alex bahawa dia bukanlah seorang penganut agama Kristian yang selalu datang ke gereja pada setiap hari ahad.

“Itu masalah kecil. Aku akan cari jalan penyelesaiannya.” balas Alex dengan badan yang terhuyung-hayang.

“Masalah kecil. Itu masalah besar. Cuba sedar sikit. Kau mahu masuk Islam semata-mata mahu kan Rania?” tempelak Yoonah dengan nada yang tinggi.

“Apa salahnya aku memilih agama Islam kalau aku mahu kawin dengan Rania. Aku tahu lah apa yang mahu buat. Semua itu aku akan uruskan. Kau jangan sibuk dengan hal aku!” balas Alex dengan nada tinggi membuatkan Yoonah terkejut. Matanya membulat.

“Aku akan pastikan Rania menjadi milikku tidak kira apa caranya.” kata Alex dengan penuh yakin.

“Terfikir tak kau akan ibu kamu di Busan. Pasti mereka terkejut dengan gadis pilihan kau. Sudah lah sekarang ni duduk berjauhan. Kalau sudah kawin pasti kau akan tinggal di Malaysia.” Yoonah mula mencari agenda untuk membuatkan Alex berfikir dua kali sebelum nekad mencintai Rania. Masih sempat lagi untuk mengubah situasi ini daripada terus menjadi realiti.

“Seperti yang aku kata tadi. Aku akan uruskan dengan baik semua itu.” jawab Alex lemah.

“Terpulang, itu urusan kamu dengan dia. Aku tidak mahu masuk campur. Yang pasti cubaan kau tidak akan berjaya.” Perli Yoonah lagi. Dia sendiri hairan dengan apa yang telah berlaku dengan Alex sejak bertemu dengan Rania. Hanya 3 hari sahaja pertemuan mereka. Namun, secepat itu hati Alex terbuka untuk mencintai seorang gadis yang berbeza budaya dan agama. Dalam diam,Yoonah mengakui Rania seorang gadis yang cantik dan lemah lembut tidak seperti dirinya.

“Suka hati kau lah mahu cakap apa. Aku tidak kisah.” ujar Alex, kepalanya semakin berpusing dan matanya mula kabur. Yoonah hanya tersenyum simpul melihat Alex tersungkur di atas meja akibat banyak minum soju. Dalam kepalanya dia mempunyai perancangan khas untuk Alex dan Rania. Senyumannya semakin melebar dan menakutkan bagi sesiapa yang melihat.



TELEFON pintarnya segera disentuh, Rania terus mencari semula video yang telah dirakamkan di Pulau Nami siang tadi. Dia mahu hantar kepada Zaidah yang berada di Kuala Lumpur. Itu perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja dia merebahkan diri di atas katil. Usai menghantar video tersebut, pintu bilik di ketuk orang. Rania bingkas bangun dan ingin mengetahui siapa gerangannya. Terpacul 3 orang gadis warga Indonesia yang setiap satu membawa beg sandang. Mungkin mereka ini lah yang dimaksudkan oleh Kim Mun Seon, staf guesthouse yang bertugas malam ini.

“Ada 3 orang gadis dari Indonesia yang akan menginap di bilik yang sama dengan anda.” kata Kim Mun Seon yang memakai spek mata bulat sesuai dengan wajah bulatnya. Rania teringat kembali perbualan mereka sebaik sahaja tiba di guesthouse sejam yang lalu.

Segera pintu dibuka, sebuah senyuman mesra dilemparkan kepada tetamu yang baru tiba.

“Assalammuaikum. Mari masuk, apa khabar? Saya Rania dari Kuala Lumpur.” Tangannya dihulurkan tanda bersaudara.

“Saya Tuti. Ini Femil dan Vina dari Indonesia.” balas Tuti yang nampak berusia sikit daripada Femil dan Vina. Mereka saling bersalaman dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

“Maaf, kami lewat tiba. Tersesat tadi mencari guesthouse ini.” ujar Femil sebaik sahaja beg sandangnya diletakkan di atas katil bawah.

“Tidak mengapa. Saya belum tidur lagi. Saya pun baru balik dari Namsan Tower.” Rania beramah mesra dengan teman sebiliknya.

“Oh ya, kami pun mahu ke sana nanti. Bila pulang ke KL?” sampuk Vina yang ayu bertudung coklat.

“Cantik tempat itu. Insya-ALLAH hari jumaat pulang ke KL.” balas Rania sambil mengemaskan sedikit barangnya yang berselerak.

“Kamu boleh simpan beg dan kasut di almari ini.” Rania segera menunjukkan almari yang dimaksudkan tadi.

“Besar juga ya bilik ini. Kami fikir kecil aja bila melihat di dalam website.” gelak Vina yang sedang membuka kasut.

“Bilik ini selesa untuk 4 orang dalam satu masa. Oh ya, kita tidak dibenarkan memasak di dalam bilik ini. Hanya boleh gunakan microwave di ruang lobi guesthouse sahaja.” beritahu Rania kepada kenalan yang baru tiba dari Jakarta, Indonesia.

“Iya, kami hanya gunakan instant rice.” balas Femil sambil membuka tudung di kepalanya.

“Kamu rasa sejuk tak sejak berada di Seoul?” soal Tuti ingin tahu.

“Ya, sejuk. Pernah satu hari suhunya mencecah 2 celcius. Saya tetap memakai long john dan stokin walaupun berada di dalam bilik.” jawab Rania sambil gelak.

“Rania, nama kamu bagus. Saya jadi teringat pada Puteri Rania dari negara Jordan.” puji Vina membuatkan Rania tersipu malu.

“Sesuai loh dengan orangnya cantik banget!” sampuk Tuti membuatkan mereka semua ketawa.

“Terima kasih. Ada saja kamu ni. Kamu semua berehat ya.” balas Rania dengan rendah diri.

“Aku lapar ni.” ujar Vina sambil memegang perutnya. Wajahnya amat berharap permintaannya dipenuhi.

“Kita makan dulu. Kemudian mandi dan solat.” Tuti memberi cadangan kepada teman-temannya. Mereka kelaparan dan letih kerana berjalan agak jauh dari stesen subway.

“Sipp.” balas Femil dan Vina serentak. Rania hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka.

“Rania, ayuk makan sekali. Kami ada bawa makanan dari Indonesia. Harus di cuba!” ujar Tuti dengan loghat pekat Indonesia.

“Terima kasih. Saya sudah makan. Berapa hari kamu di Seoul?” soal Rania ingin tahu itenari sahabat baru dari negara jiran.

“3 hari aja. Kemudian mahu ke Pulau Jeju.” jawab Femil yang bertubuh kecil di kalangan mereka.

“Pulau Jeju? Wah, bestnya!” Rania teruja mendengar perkataan Pulau Jeju yang merupakan destinasi yang popular di kalangan pelancong dalam dan luar Korea.

“Ayuh dong ikut aja kami.” pelawa Tuti sambil tersenyum manis. Rania mengelengkan kepala.

“Lain kali saja. Lawatan kali ini hanya di Seoul, insya-ALLAH jika ada rezeki dan umur yang panjang mahu ke Pulau Jeju pula. Doa kan ya.”

“Esok kamu semua mahu ke mana?” soal Rania ingin tahu. Melihat cara pemakaian dan pertuturan jelas menunjukkan mereka ini anak orang kaya di Indonesia dan masih belajar di universiti. Rania membuat penafsiran sendiri.

“Kita mahu ke Everland!” ujar Femil teruja. Yang lain menganggukkan kepala tanda setuju.

“Wow, Everland! Tempat menarik tu!” balas Rania turut teruja mendengarnya. Dalam itenari, esok adalah hari untuk berkunjung ke Istana Gyeongbokgung.

“Esok kamu mahu ke mana? Jika kamu mahu turut sekali ke Everland boleh aja. Tapi perlu keluar awal pagi, kami mahu berseronok di sana.” Tuti mempelawa Rania sekali.

“Eem… tidak mengapa. Esok saya mahu ke Istana Gyeongbokgungdan setelah itu mahu shopping. Saya masih belum berkesempatan shopping lagi. Jika ke Everland perlu seharian di sana. Lagi pun saya tidak mahu ganggu kamu bertiga bergembira di sana.” balas Rania memberitahu perancangannya esok hari.

“Oh ya, saya ada bawa serunding dari Malaysia. Cubalah rasa, sedap dimakan sama roti atau nasi.” Rania terus mengambil bekas serunding lalu diserahkan kepada Tuti yang sudah membuka bekalan makanan yang dibawa.

“Wah, serunding! Sedap loh, aku pernah makan. Kawan aku dari KL bawa semasa di UI.” sampuk Vina teruja.

“UI?” soal Rania dengan wajah bercelaru.

“Oh, UI itu Universitas Indonesia.” balas Vina sambil ketawa menampakkan gigi yang putih. Rania turut tersenyum mendengar jawapan itu.

“Ini serunding apa ya?” soal Vina ingin tahu.

“Serunding daging. Kamu suka?” ujar Rania turut teruja kerna Vina pernah makan serunding dari Malaysia.

“Iya aku suka. Ini ada kerepek pisang cheese dari Bandung. Kamu pernah rasa?” sebuah plastik dihulurkan kepada Rania. Dengan perlahan Rania membuka bekas plastik tersebut. Nampak macam sedap! Satu kerepek terus makan.

“Sedap! Ini firt time saya rasa. Kalau saya ke Bandung, mahu beli kerepek ini.” ujar Rania teruja. Memang kerepek ini lain daripada kerepek di Malaysia. Ianya dipotong memanjang dan disalut dengan tepung.

“Datang aja. Itu kampung aku.” Vina bersuara.

“Kampung Vina di Bandung? Pasti seronok ya. Ramai orang Malaysia suka datang shopping dan bercuti di sana. Saya juga mahu ke situ satu hari nanti.” Rania meluahkan impiannya. Bandung merupakan destinasi luar negara yang mahu dikunjungi selagi hayatnya masih ada.

“Jika mahu datang, beritahu aku dulu. Nanti aku boleh temankan jalan-jalan di sana.” ujar Vina dengan mesra. Terasa mereka mudah bergaul walaupun baru sahaja berkenalan.

“Insya-ALLAH, boleh saja. Nanti beri alamat dan no. handphone untuk saya hubungi kalian sekiranya mahu datang ke Indonesia pula.”

“Ini kali pertama kamu semua datang ke Korea?” soal Rania.

“Iya, semuanya kali pertama. Rania?” soal Tuti kembali.

“Iya, sama seperti kamu.” balas Rania bersahaja.

“Kamu semua makan ya, saya mahu berehat dan tidur.” Rania segera mengundurkan diri daripada mereka yang sudah mula menikmati makanan yang di bawa.

“Okay, selamat berehat dan sweet dream ya.” usik Vina yang suka tersenyum sejak tadi.

Sebaik sahaja Rania meletakkan kepalanya di bantal empuk, fikirannya mula terfikirkan Alex! Aah… kenapa pula wajah itu muncul waktu ini. Masih kuat lagi di ingatannya akan wajah muram Alex sebaik sahaja rantai mahal itu dikembalikan semula. Rania nekad untuk tidak menerimanya kerana bisikan hatinya kuat mengatakan bahawa dia tidak perlu menerima hadiah semahal itu daripada seorang lelaki yang tidak diketahui hati budinya. Matanya dipejam rapat.

“Rania, sebenarnya saya sayang pada kamu. Saya mahu kamu sebagai kekasih.” ujar Alex perlahan namun jelas kedengaran di telinga Rania. Jantung Rania berdegup kencang dan badannya panas mendengar kalimah sayang daripada seorang pemuda Korea. Mana mungkin dia dapat menerima Alex secepat itu, walaupun pemuda itu telah banyak membantunya di Seoul. Entah dia masih keliru dengan perasaannya dan perlakuan Alex. Segalanya pantas berlaku tanpa dirancang.

Kelibat Alex dengan senyuman menawan muncul semula, membuatkan matanya terbuka semula. Jantungnya berdegup kencang bila wajah Alex muncul di fikiran. Apa yang sudah berlaku pada dirinya. Tujuannya datang ke Seoul hanya untuk bercuti dan menjejakkan kaki di tempat yang menarik. Itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Jam tangannya sudah menunjukkan jam 11.00 malam, macam mana aku mahu tidur ni. Dia bingkas bangun, matanya melilau mencari sesuatu di atas katilnya. Rania terus mengambil diari Lelaki Dari Langit. Rambut panjangnya diikat untuk keselesaan menulis. Pen hitam diambil dan tangannya mula mencatat sesuatu.

Hari ke-3 di Seoul

Hai, diariku sayang. Apa khabarmu?

Aku masih menginap di Kimchi Myeondong Guesthouse. Layanan di sini semuanya baik dan mesra. Pejam celik sudah 3 hari aku di Seoul. Hari untuk pulang ke KL semakin dekat. Ada 2 destinasi utama aku hari ini iaitu Pulau Nami dan Namsan Tower. Psst…mahu tahu dengan siapa? Tepat sekali jawapan tu, dengan jejaka handsome Korea siapa lagi jika bukan Alex! Sungguh tak sangka Alex muncul seawal pagi kerna mahu temankan aku bersiar-siar di Pulau Nami.

Jangan jelous ya, lelaki handsome bersamaku di Pulau Nami yang terkenal dengan drama Winter Sonata. Terlepas rasa kempunan aku, nasi Dosirak telah berjaya aku nikmati. Lain kali aku mahu datang ke sini lagi bersama suami tersayang. Bila tu, entah aku sendiri pun tidak tahu. Doakan jodoh yang terbaik buat diriku. Amin. Bertuah betul aku kali ni, terima hadiah daripada budak kecil berbangsa Korea. Sungguh mengujakan! Dan aku tidak sangka di Pulau Nami ada tempat musolla. Nampak sangat di situ banyak orang Islam yang mengunjunginya.

Destinasi kedua adalah Namsan Tower yang memang sangat romantik bagi pasangan kekasih. Namsan Tower best untuk aku yang mahu melihat pemandangan bandar Seoul dan Myeongdong di waktu malam. Sungguh cantik dan sejuk amat! Sampaikan aku tidak tahan dengan angin sejuk tu. Psst… malam ini sesuatu telah berlaku. Aku tidak tahu nak kata aku gembira atau sebaliknya namun aku akhirnya membuat keputusan untuk menolak hadiah mahal daripada Alex. Walaupun kata Alex, dia ikhlas namun naluri wanitaku kuat mengatakan jangan terima hadiah itu. Maka aku menolak dan sedikit kesal pun ada. Iyalah, rantai mahal tu dan dapat free tapi aku tolak. Hahaha… jangan gelakkan aku ya. Aku bukan gadis yang mudah dikaburi dengan intan berlian atau permata yang mahal. Aku adalah aku, tidak memandang semua itu hanya memandang ketampanan hati budi seorang lelaki. Kejam kah aku kepada Alex yang banyak menolong aku sepanjang berada di Seoul?. Secepat ini kah Alex jatuh cinta dan menganggap aku sebagai kekasih. Adakah aku turut kecewa dan bersedih dengan apa yang Alex rasa?. Moga Tuhan sentiasa bimbing dan bersama denganku.

Rania segera menutup diarinya dengan keluhan yang berat. Matanya terpejam rapat.

Previous: Bab 10 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez