Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 21 - PDSS
DATO’ Kamil merenung jauh ke arah luar hotel. Matanya tidak berkelip memandang suasana sibuk di situ. Tiba-tiba pintunya diketuk orang, Dato’ Kamil segera menoleh.

“Masuk!” Dato’ Kamil bersuara.

Haikal muncul di depannya.

“Hah, Haikal. Mari duduk sini.” Pelawa Dato’ Kamil kepada Haikal yang mempamerkan senyuman. Tanpa membantah Haikal terus duduk setentang dengan Dato’ Kamil.

“Macam mana dengan marketing hotel untuk bulan ini?” soal Dato’ Kamil dengan wajah serius.

Dia memerlukan maklumat yang terkini bagi memastikan Hotel Princess tetap menjadi pilihan pengunjung.

“Saya ada bawa maklumat untuk bulan April. Sehingga ke hari ini, hanya meningkat 5% sahaja daripada bulan lepas. Ini maklumat lengkapnya.” Haikal menghulurkan laporan kepada Dato’ Kamil yang rambutnya sudah bertompok-tompok putih.

Mata Dato’ Kamil terus fokus kepada maklumat yang diperolehinya. Dia mengelengkan kepala perlahan. Melihat itu Haikal menelan air liur.

“Kenapa hanya 5% sahaja meningkat. Bukan ke marketing department telah membuat promosi baru di Internet?” soal Dato’ Kamil terus memandang tepat ke wajah Haikal yang masih muda lagi usianya.

“Betul tu Dato’, marketing department telah melancarkan promosi baucer diskaun di SPA Hotel Princesssekiranya menginap di sini.” jelas Haikal dengan wajah serius.

“Awak fikir semua orang yang menginap di sini gemar dengan SPA? Tidak semua pengunjung yang mempunyai minat yang sama. Saya fikir pihak hotel perlu mencari sesuatu aktiviti atau projek yang boleh diterima oleh semua pengunjung yang datang ke sini.” ujar Dato’ Kamil sambil memegang jangutnya yang sedikit.

“Saya setuju dengan idea Dato’.” balas Haikal akan penambahbaikan yang diberikan oleh Dato’ Kamil.

“Saya mohon masa diberikan kepada saya untuk menyiapkan projek yang baru bagi memberikan impak yang tinggi kepada Hotel Princess.” Haikal mencari persefahaman dengan Dato’ Kamil. Dia tahu akan wawasan jauh Dato’ Kamil dalam bidang perniagaan yang telah dibina sejak 15 tahun yang lalu.

“Baik, saya tunggu kertas cadangan daripada team awak.” ujar Dato’ Kamil penuh mengharap.

“Saya mahu satu projek yang ada kaitan dengan aktiviti keluarga pengunjung.” Dato’ Kamil menambahkan lagi syarat projek baru yang perlu difikirkan oleh team Haikal nanti.

“Satu lagi, saya mahu tahu tentang Rania. Dia pergi bercuti ke luar negara awak tahu ke?” soal Dato’ Kamil dengan wajah yang kurang senang.

“Rania? Ya, dia bercuti selama 5 hari di Korea Selatan. Memang dia ada mengisi permohonan cuti secara online untuk saya luluskan. Mengapa tiba-tiba Dato’ bertanya tentang Rania? Ada yang tidak kena ke?” soal Haikal dengan sedikit cemas apabila nama Rania keluar daripada mulut Dato’ Kamil.

“Mengapa awak bagi dia bercuti? Sedangkan prestasi Rania dalam kerja tidak bagus.” Perli Dato’ Kamil.

Haikal menelan air liurnya lagi. Terasa sakit pula kerana tekaknya kering.

“Maafkan saya Dato’. Sebenarnya saya kurang jelas dengan maksud sebenar Dato’ tentang Rania.” ujar Haikal perlahan memohon pengertian daripada Dato’ Kamil supaya berterus-terang sahaja dengannya supaya dia jelas dengan apa yang ingin disampaikan.

“Semasa Rania bercuti, dan awak pula out station. Hanya tinggal pembantu admin sahaja di bahagian awak. Kenapa macam tu? Sepatutnya tidak boleh dua-dua tiada di pejabat. Bahagian awak adalah satu bahagian yang terpenting di dalam hotel ini. Ingat tu!” Dato’ Kamil sudah mula meninggikan suaranya. Haikal semakin kecut perut dibuatnya.

“Saya hanya out-station di Melaka dan Johor Bahru. Rania pula dia sudah merancang sejak akhir tahun lepas lagi untuk bercuti di Korea.” Haikal memberikan penjelasan. Dia sungguh berharap Dato’ Kamil memahami dan menerima alasan itu.

Sebaliknya berlaku apabila Dato’ Kamil memusingkan kerusinya ke arah dinding kaca yang lutsinar.

“Awak tidak boleh ikutkan sangat kehendak Rania. Dia boleh saja menunda perancangan cutinya tu!” Tinggi nada suara Dato’ Kamil.

“Tapi Rania sudah booking tiket kapal terbang dan guesthouse di sana. Saya tidak mahu merosakkan perancangannya yang telah diatur sejak tahun lepas lagi.” ujar Haikal seolah membela akan tindakan Rania.

Dato’ Kamil memusingkan semula kerusinya, dia memandang tepat ke wajah Haikal.

“Itu semua alasan. Awak beriya sangat membela Rania ni, awak ada apa-apa ke dengan dia?” soalan maut itu membuatkan wajahnya bertukar menjadi pucat. Dia sungguh tidak sangka dengan soalan itu akan terpacul daripada mulut Dato’ Kamil.

“Eh? Saya dengan Rania hanya antara majikan dan staf sahaja tidak lebih dari itu. Dato’ pun tahu kan yang saya sudah ada kekasih.” jawab Haikal dengan berhati-hati. Dia tidak mahu Dato’ Kamil mula memandang rendah akan kewibawaan dan kerja Rania di marketing department.

“Saya tanya sahaja. Yang awak gabra semacam sahaja kenapa pula.” balas Dato’ Kamil dengan senyuman sinis.

Haikal hanya tersenyum pahit. Mengapa pula tiba-tiba hari ini Dato’ Kamil menunjukkan kurang senang akan Rania?. Sesuatu telah berlaku antara Rania dan Dato’ Kamil di luar pengetahuan dia. Haikal hanya mendiamkan diri.

“Saya mahu awak buat laporan projek baru minggu depan. Saya beri awak tempoh seminggu sahaja. Saya mahu awak dan Rania berbincang untuk satu projek yang terbaik untuk keuntungan hotel. Sudah, itu sahaja.” ujar Dato’ Kamil seolah-olah memberi kata dua kepadanya. Haikal menganggukkan kepala dan akur dengan arahan yang diterima. Dia bingkas beredar dari office mewah Dato’ Kamil.

Sebaik sahaja Haikal keluar dari biliknya, Dato’ Kamil membuka lacinya dengan perlahan. Matanya memandang sekeping foto seorang wanita yang pernah disayangi dalam hidupnya. Hampir 10 minit, Dato’ Kamil menatap foto itu.

Kring… kring… kring.

Telefon di atas meja Dato’ Kamil berbunyi.

Dia segera menutup lacinya dan terus menjawab panggilan telefon itu.

“Ya, Dato’ Kamil bercakap. Oh! Datuk Seri Michael, apa cerita pagi ni?” soal Dato’ Kamil dengan nada yang ceria.

“Boleh saja. Saya pun akan hadir di mesyuarat tersebut. Macam biasa saya akan tetap sokong Datuk Seri bila ada undian nanti. Baik, tak ada masalah. Saya akan maklumkan dengan yang lain. Datuk Seri jangan risau, mereka pun akan sokong penuh.” Dato’ Kamil berborak panjang dengan pemanggil yang bernama Datuk Seri Michael.

“Baik, esok petang kita jumpa di tempat biasa. Jumpa esok ya Datuk Seri.” Dato’ Kamil menamatkan perbualannya.

Dia tersenyum lebar, seolah mendapat durian runtuh. Datuk Seri Michael mempunyai pengaruh yang agak besar dalam melobi penganjuran yang akan dibuat di Hotel Princess. Sebelum ini, Datuk Seri Michael banyak memberinya peluang untuk mengadakan acara besar di Hotel Princess yang bertaraf 5 bintang. Dia tersandar di kerusi empuknya. Senyuman Dato’ Kamil semakin lebar.




RANIA leka menjirus pokok bunga ros yang ditanam oleh Mama. Kelihatan pokok-pokok itu hidup segar dan ada yang sudah berbunga. Hatinya girang melihat keindahan dan kecantikan bunga ros yang hidup subur di laman rumah.

“Rania, ada panggilan telefon!” jerit Mama dari arah dapur.

Rania menoleh dan menganggukkan kepala. Pili air segera ditutup. Dia berjalan laju ke arah ruang tamu di mana dia meletakkan telefon pintarnya sebelum memulakan tugasan menyiram pokok bunga.

Selipar yang dipakainya berbunyi kuat akibat langkah kaki Rania yang cepat. ‘Siapa pula yang telefon pagi-pagi ni?’ hatinya berbisik.

Rania membetulkan rambutnya yang berjurai di dahinya.

‘Fareed?’ soal Rania sendirian sebaik sahaja melihat ada 3 missed call dari Fareed.

‘Ada apa Fareed call pagi ni?’

Jam hiasan di atas meja menunjukkan jam 9.00 pagi. Rania hanya memandang sahaja nama Fareed. Belum sempat dia berbuat apa-apa tiba-tiba SMS masuk. Rania terus membacanya.

Assalam Rania, sedang buat apa? Hari ini free tak?Jom temankan Fareed shopping. Balas SMS ini kalau sudah baca. Fareed tunggu.

Rania hanya tersenyum membaca SMS daripada Fareed.

“Amboi, baca SMS pun sudah tersenyum lebar. Belum jumpa lagi.” Tiba-tiba Furqan muncul di depannya. Furqan tersenyum nakal ke arahnya.

“Siapa tu kak? Furqan nak jumpa dengan bakal abang ipar.” usik Furqan membuatkan Rania tersenyum sipu.

“Akak senyum pun tak boleh. SMS ini kelakar. Itu sebab akak senyum bila membacanya. Ni awal bersiap mahu ke mana?” Rania mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu Furqan bertanya lebih tentang lelaki yang memberinya SMS tadi.

“Aik, Furqan tanya tentang bakal abang ipar tapi akak tanya Furqan pulak. Ini saja mahu tukar topik perbualan kan?” perli Furqan.

Tangannya mencapai sepasang kasut kegemarannya. Rania menjengkelkan matanya kepada Furqan.

“Pagi-pagi sudah bercakap bakal abang ipar ni. Sudah ada calonnya ke?” suara Mama dari belakang membuatkan Rania memejamkan mata dan berkerut dahinya. Furqan hanya menjengketkan kedua bahunya apabila Mama terdengar perbualan mereka.

“Siapa nama bakal abang ipar Furqan tu?” soal Mama ingin tahu.

Rania memegang tangan Mama.

“Mama jangan layan sangat dengan soalan Furqan tu. Dia sengaja cari modal mahu kena kan Rania pagi-pagi ni.” jawab Rania tenang.

Dia tidak mahu Mama mengetahui akan kewujudan Fareed.

“Furqan tanya perkara yang baik kan Ma. Bukan nak cari modal ke apa.” balas Furqan tidak mahu kalah dengan kakaknya yang lebih tua 2 tahun darinya.

“Tak ada apa la Ma.” Pujuk Rania kepada Mama yang kelihatan sungguh berminat dengan perbualan mereka.

Tiba-tiba mata Rania memandang sesuatu yang dikenali.

“Ma, scarf tu tak perlu basuh.” Rania segera mengambil scarf yang berwarna merah daripada bakul yang dibawa oleh Mama.

Scarf tu macam sudah kotor. Mama pungut sekali.” ujar Mama hairan dengan tingkah-laku Rania.

Scarf tu tak kotor Ma. Biar Rania yang basuh sendiri.” pujuk Rania.

Tangannya mengenggam erat scarfitu.

“Mama nengok, kak Rania bersungguh tak mahu basuh scarf tu. Ini mesti pemberian boyfriend!” usik Furqan membuatkan mata Rania membulat besar.

Mahu kena Furqan ni, tak habis-habis mahu mengenakan aku pagi-pagi ni.

“Mama jangan dengar cakap Furqan. Ada saja yang dikenakan Rania sejak dari tadi.” Rania membela dirinya daripada terus dikenakan oleh Furqan. Mulutnya dimuncungkan.

“Furqan, sudah la tu. Asyik nak mengusik Rania. Nanti bila sudah mula semester baru tahu!” Mama mula membebel dengan perangai Furqan yang suka sangat mengusik Rania. Mereka berdua ni tak boleh berjumpa ada sahaja yang digaduhkan. Gaduh adik-beradik, menceriakan hidup Mama dan Papa.

“Iya lah, nanti bila Furqan sudah mula masuk kuliah semester baru mesti Furqan rindu mahu usik kak Rania. Mesti boring!” jelas Furqan. Wajahnya sedikit kecewa.

“Ma, Rania naik atas. Mahu tukar baju. Kain ni sudah basah.” Rania sengaja memberi alasan supaya dapat lari dari situ.

Dia terus menaiki anak tangga. Mama dan Furqan hanya melihat dengan pelbagai persoalan.

“Ma, lihat kak Rania tu. Tadi tersenyum baca SMS, lepas tu ambil scarf tak bagi basuh. Sah, kak Rania ni ada menyorokkan sesuatu dari kita.” ujar Furqan sambil memeluk bahu Mama.

“Mama pun hairan dengan perangai Rania sejak dia balik dari Korea. Pelik, sebelum ini pantang baju kotor sikit sudah dimasukkan sekali untuk dibasuh. Ini tidak, sanggup dia ambil semula dari bakul baju kotor.” Mama mengelengkan kepala melihat apa yang berlaku.

Rania segera membuka kipas angin di atas mejanya. Dia terus mengambil scarf tadi, diajukan scraf tersebut ke arah pusingan kipas supaya scarf itu cepat kering. Setelah 10 minit melakukan aktiviti itu, Rania memegang scarf itu dengan berhati-hati. Tanpa disedari, dia mencium scarfitu. Dia tersenyum lebar. Bau minyak wangi Alex masih ada di scarf itu. Rania merebahkan tubuh badannya di atas katilnya. Lega yang amat kerana bau minyak wangi itu tidak hilang. Pasti Alex telah memakai minyak wangi yang mahal kerana baunya masih ada lagi.

Rania memandang Mr. Teddy Bear, dia bangun semula lalu memakaikan Mr. Teddy Bear dengan scarfpemberian Alex. Kini, Mr. Teddy Bear kelihatan sungguh kacak lagi bergaya macho, bisik hati Rania.

“Jangan nakal-nakal ya Mr. Teddy Bear. Rania tak suka Mr. Teddy Bear melihat wanita lain. Ingat tu!” Rania berkata sendirian.

Dicubitnya hidung Mr. Teddy Bear sambil tergelak. Mr. Teddy Bear dipeluk erat. Tiba-tiba Rania menghentikan perlakuannya, pelukan dengan Mr. Teddy Bear dileraikan perlahan. Kakinya melangkah ke arah laci. Diari Lelaki Dari Langit terus dibuka perlahan. Helaian demi helaian diselak perlahan. Tarikh akhir dia menulis adalah 2 hari yang lepas. Satu keluhan berat dihembuskan. Pen hitam segera diambil lalu tangannya laju mencatat sesuatu.

Hai, Diariku sayang. Sihatkah kamu?

Aku sihat namun ada sesuatu yang membuatkan aku tiba-tiba merasa satu perasaan yang sedih ketika ini. Jangan tanya aku apa dia, kerna aku sendiri pun tidak tahu apa yang menyebabkan ianya berlaku. Psst… scarf Alex masih tetap wangi walaupun nyaris-nyaris mahu dimasukkan ke dalam washing machine. Alhamdulillah, aku sempat selamatkan.

Sudah hampir sebulan aku meninggalkan bumi Seoul dan lelaki handsome itu. Alex! Apa khabar agaknya dia di sana. Pasti dia sedang berbahagia dengan Yoonah dan baby mereka. Kenapa aku jadi begini, tetap masih ingatkan Alex walaupun dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai! Aku sendiri tidak pasti mengapa hingga ke hari ini aku masih ingat akan Alex. Mungkin aku perlukan masa yang agak lama untuk melupakan Alex dalam hidup aku. Mesti kau fikir aku ni bodoh kerna masih ingat akan Alex. Ya, kau boleh kata kan apa sahaja. Aku tak kisah, kerna aku sendiri pun tidak ada jawapan bagi menjawab soalan kau itu. Bila agaknya semuanya akan berakhir?

Rania berhenti menulis. Dia menoleh ke belakang melihat Mr. Teddy Bear. Rania menutup Diari Lelaki Dari Langit dengan cermat. Dia maju ke arah Mr. Teddy Bear, Rania memeluk semula Mr. Teddy Bear dengan penuh perasaan seolah-olah melepaskan rindu yang pasti kepada seseorang yang pernah membuatnya tersenyum!

Previous: Bab 20 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez