SEKETIKA
kemudian, nafas Rania turun naik dengan cepat. Kakinya sakit setelah berlari
keluar dari Honey Coffee Café. Rania bergegas ke arah stesen subway
Hangsung University. Dia berhati-hati menuruni anak tangga di stesen subway tersebut. Rania segera melabuhkan
punggungnya di bangku yang disediakan untuk pengguna subway sebaik sahaja sampai di tepi landasan subway. Beg sandangnya diletakkan di sebelah kanannya. Matanya
merayau melihat keadaan sekeliling. Hanya ada lima orang Korea sahaja yang
sabar menunggu kedatangan subway.
Krukk..
krukk. Matanya dijeling ke kiri dan ke kanan . Rania segera memegang perutnya.
Moga tiada sesiapa yang mendengar perutnya yang mula berkeroncong.
“Manalah
aku mahu tidur malam ini. Kalau di Malaysia, paling kurang pun boleh tidur di
masjid atau di surau. Ini Korea, umat Islamnya hanya minoriti. Masjid Seoul Central di kawasan
Itaewon jauh dari sini. Ahh, sejuknya Seoul! Macam mana
orang di sini hidup. Sabar ya perut. Nanti kita cari makanan yang halal.” Rania
bermonolog sendirian lagi. Dia menongkat dagu di atas kedua belah pehanya.
Tiba-tiba
bahunya disentuh oleh seseorang. Rania segera menoleh. Seorang lelaki mabuk dalam
lingkungan usia 40-an datang menghampirinya. Lelaki itu
tersenyum dan meracau. Jarinya ditunjukkan ke arah Rania. Walaupun jarak di
antara mereka hanya lima kaki, namun hidung Rania dapat menghidu bau masam
daripada lelaki itu.
“Gorgeous girl!” lelaki mabuk itu terus
menghampiri dan ingin menyentuhnya. Rania tergamam.
“Jangan!”
jerit Rania. Dia segera bangkit dan melarikan diri daripada lelaki itu. Tanpa
sempat melihat ke hadapan, kakinya tersadung di salah satu anak tangga.
“Aargh!!!”
“Rania!!!”
cuping telinga Rania dapat menangkap suatu suara yang pernah dikenalinya.
Rania
segera mendongak ke arah suara itu. “Alex!” terpacul nama itu disebut.
“Rania!
Awak tidak apa-apa?” Alex segera membantu Rania untuk bangun.
“Aargh!
Kaki saya.” jerit Rania.
“Kenapa
dengan kaki awak?” soal Alex cemas.
“Kaki
saya sakit. Mungkin terseliuh agaknya.” balas Rania dengan wajah yang berkerut.
“Awak
boleh jalan ke?” Alex cuba membantu Rania untuk berdiri tegak.
“Boleh
tapi saya mahu duduk sebentar.” keluh Rania. Kakinya dilunjurkan.
“Awak
mahu lari dari siapa? Sampaikan saya pun awak tidak nampak.” soal Alex dengan
wajah yang serius.
“Saya
melarikan diri daripada lelaki mabuk tadi. Maaf, saya tidak perasan awak.”
Rania berkata perlahan dan memandang wajah Alex seolah-olah memohon pengertian
daripadanya.
“Mana
kawan awak yang dimaksudkan tadi?” soal Alex sambil meninjau keadaan
sekeliling.
“Kawan?”
soal Rania pelik.
“Ya,
kawan yang mahu berjumpa dengan awak.” balas Alex.
“Aaa.. kawan
saya tidak jadi datang untuk berjumpa dengan saya.” kata Rania sambil
menundukkan pandangannya.
“Kawan
awak itu tidak wujudkan?” tempelak Alex.
Rania
segera menoleh ke arah Alex. Matanya membulat dan terdiam kelu. Tanpa disangka
Rania membalas, “Awak fikir saya berbohong ke?” suara Rania agak tinggi. Dia
cuba bangun sendiri.
“Awak
mahu ke mana?” soal Alex sebaik sahaja melihat Rania mula marah dengan
pertanyaannya tadi.
“Mahu
cari hotel untuk menginap!” balas Rania dengan wajah yang serius. Dia mula
berjalan perlahan walaupun kakinya terhenjut sedikit.
“Rania
tunggu! Maafkan saya jika soalan tadi membuatkan awak marah. Saya tidak
bermaksud menyakiti hati awak. Cuma saya bimbangkan tentang awak yang bersendirian.”
Alex cuba meredakan keadaan. Wanita di depannya, sudah mula menjauhkan diri
daripadanya.
“Rania,
ayuh ikut saya!” kata Alex serius.
“Kita
mahu ke mana?” soal Rania acuh tidak acuh. Dia sengaja mencari alasan untuk menolak
bantuan Alex.
“Saya
berniat mahu membantu Rania. Mujur saya datang, jika tidak…” Alex cuba
menyakinkan wanita cantik yang datang dari jauh untuk melancong di negaranya.
“Ke
mana kamu mahu membawa saya menginap?” tiba-tiba Rania bersuara setelah
mendengar penjelasan daripada pemuda Korea yang tidak tahu asal usulnya.
“Saya
ada seorang kawan wanita Korea yang tinggal sendirian. Kamu boleh bermalam di
rumahnya sementara menunggu hari esok.”
“Kawan kamu bersetuju menerima saya?” Rania menduga.
“Jangan
risau, saya sudah ceritakan tentang kamu dan dia sedia membantu.” Alex
tersenyum.
Rania
mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa supaya dia tidak ditipu
dengan lelaki ini.
“Ayuh,
kita naik subway. Rumahnya tidak jauh
dari sini.” Alex memberi arahan.
Rania
segera mengikuti Alex masuk ke dalam keretapi laju subway. Setelah 5 minit berlalu, mereka sampai ke stesen subway Hye-hwa.
Seketika
kemudian, mereka berdua keluar daripada stesen subway Hye-hwa dengan menggunakan tangga.
“Hati-hati
Rania, jalan perlahan. Kaki awak terseliuh.” nasihat Alex seperti sudah lama
mengenalinya.
“Fuhh,
sejuknya!” Rania berkata sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di deretan
kedai.
Alex
dengan pantas mengambil scarf di
lehernya. Diserahkan scarf itu kepada
Rania.
“Tidak
mengapa. Saya boleh bertahan!” Rania menolak pemberian scarf Alex.
“Kamu
memerlukan scarf ini. Jika tidak kamu
akan kesejukkan dan sakit.”
Rania
terpaksa mengambil scarf itu dan
disarungkan dilehernya. Dia berasa sedikit hangat dan selesa kerana angin sejuk
tidak menjamah kulitnya. Bau minyak wangi lelaki yang dipakai oleh Alex dapat
dihidu oleh hidung mancung Rania. Bau romantik dan gagah!
Sedang
Rania asyik menghayati perjalanannya, Alex berhenti dan memandang ke arahnya.
“Rania,
awak tunggu sekejap. Saya mahu beli barang di kedai.” kata Alex.
Tidak
sampai 5 minit kemudian, Alex datang dengan sebuah beg plastik kecil
ditangannya.
“Ayuh,
kita hampir sampai ke rumah kawan saya.” Alex tersenyum menampakkan lesung
pipitnya. Aah, kacak sungguh pemuda Korea ni! bisik hati kecil Rania.
Mereka
berdua berjalan seiring menuju ke arah kawasan bangunan kedai yang mula
renggang dengan orang. Akhirnya mereka tiba di sebuah apartment. Pintu rumah yang bernombor 1409 ditekan loceng.
Sementelah
kemudian kelibat seorang wanita muda berbangsa Korea muncul dihadapan mereka
berdua.
“Kenalkan, ini Yoonah Mi Sie.” Alex berkata
kepada Rania.
“Hai
Yoonah. Saya Rania dari Malaysia.” Rania menghulurkan tangannya kepada Yoonah
yang kelihatan muda daripadanya.
“Anyoung haseyo (hello)” kata Yoonah
ramah.
“Ayuh, jemput masuk. Alex telah memberitahu
saya akan kesulitan kamu sebentar tadi. Kamu boleh bermalam di sini sebelum
mencari hostel yang lain.” Yoonah
mempelawa mereka berdua masuk ke dalam apartmentnya.
“Jumpa
esok Rania.” Alex berkata sebaik sahaja Rania melangkah masuk ke dalam apartment.
Rania
mengangguk dan terkesima.
“Sebentar
Rania, ini ubat untuk kaki awak.” Alex menghulurkan beg plastik kecil tadi
kepada Rania.
“Ooh,
hamsameda (terima kasih) Alex.” balas
Rania dengan rasa terharu.
Hiasan
dalaman apartment Yoonah sungguh
kemas dan teratur. Yoonah tersenyum melihat Rania yang leka memerhatikan hiasan
dalaman apartmentnya.
“Ada
apa yang menarik?” Yoonah bertanya kepada Rania yang mula membuka baju
panasnya.
“Semuanya
menarik. Pandai kamu mengubahsuai apartment
ini.” Rania memuji kemahiran Yoonah.
“Terima
kasih. Saya banyak tiru daripada majalah.” Yoonah ketawa besar.
“Oh!”
Rania turut ketawa bila mendengar jawapan daripada Yoonah.
“Macam
mana Rania boleh kenal dengan Alex?” soal Yoonah membuatkan Rania terdiam.
“Hah?
Kenal Alex?” Rania terkejut dengan soalan itu.
“Sepanjang
perkenalan kami, setahu saya Alex jarang membantu wanita yang tidak
dikenalinya. Terutamanya kamu yang datang daripada budaya, negara dan agama
yang berbeza.” jelas Yoonah hairan.
Rania
tersenyum. “Itu kena tanya Alex sendiri. Saya tiada jawapan bagi soalan itu.”
balas Rania.
“Oh,
saya pasti akan tanya Alex esok! Kamu berehat dan tidur ya. Anggap sahaja
seperti rumah kamu sendiri.” Yoonah menghulurkan sekeping kain selimut tebal
untuk dibuat lapik tidur.
“Rania…”
tiba-tiba Yoonah memegang tangannya erat. Matanya tepat memandang Rania.
“Saya
mohon bantuan dengan Rania. Berhati-hati dengan Alex!”
“Selamat
malam.” Yoonah berlalu pergi dari biliknya.
“Selamat
malam juga. Kamsahamnida (Terima kasih banyak) Yoonah.” Rania
membalas mesra.
Rania
segera membaringkan dirinya di atas kain selimut tebal itu. Matanya terpejam
rapat dan bibirnya mengukir senyuman penuh makna. Terima kasih TUHAN!
Beg
plastik kecil yang diberikan oleh Alex segera dibuka. Terdapat sekeping sticker yang berbau herba. “Ini macam
koyok jika di Malaysia.” bisik hatinya. Sticker
itu segera ditanggalkan pembalutnya dan terus Rania menampalnya di buku lali
kakinya. Mata Rania merayau melihat sekeliling bilik yang sederhana besarnya.
Ada foto pemandangan dan sebuah rak buku.
Rania
merebahkan dirinya di atas jubin yang hangat. Ahh, selesanya! Matanya melirik
ke kanan. Beg sandangnya diambil lalu dibuka dengan cermat. Sebuah diari kecil
yang berukuran separuh kertas A4 diselak perlahan. Sebatang pen hitam dipegang
dan Rania mula menulis. Tumpuannya hanya kepada lembaran diari.
Hari Pertama Di Seoul
Diariku sayang,
Impian sejak 2 tahun yang lalu kini
menjadi kenyataan. Aku sanggup berlapar untuk simpan duit ke Korea. Akhirnya
aku berjaya! Terima kasih TUHAN. Ya, kini aku menjejakkan kaki di bumi Korea.
Alhamdulillah, TUHAN lindungi aku. Hostel Yellow Brik yang menyakitkan hati.
Tempahan daripada tahun lepas sia-sia sahaja aku buat. Buang masa! Tidak
mengapa, pasti TUHAN mempunyai perancangan yang lebih baik untuk aku di sini.
Berfikiran positif ya Rania!
Lelaki Dari Langit muncul tepat
pada waktunya. Alex! Pemuda Korea yang tampan dan baik hati. Memang sesuai aku
gelarkan Lelaki Dari Langit.
Pelik! Mengapa Yoonah beri amaran
pada aku tentang Alex. Siapa sebenarnya Alex?