Home Novel Cinta Psst... Dia Suami Saya!
Bab 15 - PDSS
Bab 15

BALKONI
kondominium yang berwarna putih menggamit Alex untuk ke situ. Tangannya memegang secawan air kopi panas, aromanya melimpah ke ruang balkoni kondominium.

Mata Alex asyik memandang panorama indah di malam hari, lampu-lampu neon berselerakkan di mana-mana saja. Sungguh mendamaikan jiwa Alex yang runsing sejak pagi tadi.

Semuanya kerana Rania, gadis Melayu yang menarik hati lelakinya untuk didekati. Bagaikan magnet, Alex sangat teruja untuk lebih mengenali Rania.

Hanya beberapa jam lagi, Rania akan meninggalkan aku sendirian di bumi Korea. Macam mana aku akan menghadapi hari-hari mendatang tanpa Rania di sisi! Alex memejamkan matanya, seolah-olah tidak bersedia untuk menempuh saat itu.

Dia melabuhkan punggungnya di kerusi bulat yang sengaja diletakkan di situ. Ramai teman-temannya memuji akan keselesaan balkoni yang dihias cantik lagi mewah. Kakinya disilangkan. Alex bersandar perlahan.

Cawan air kopi yang berbaki diletakkan di meja sisi. Tangan kanan Alex pantas mengambil telefon pintar, dia mahu melihat foto Rania. Hampir setiap malam dia akan menatap wajah ayu itu sehingga dia terlena sendirian.

Alex cuba memikirkan perancangan untuk esok hari. Bagaimana untuk Rania memaafkan dirinya dan menerima cinta tulus daripada seorang pemuda Korea.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi, nama Yoonah tertera di skrin telefon pintarnya.

“Hello, oppa.. mari kita keluar sekejap. Kita berbual-bual di kedai makanan semalam. Aku sunyi lah.” ujar Yoonah dengan suara yang manja.

“Aku letih. Tak ada mood mahu keluar. Kau ajak lelaki lain temankan.” balas Alex malas.

“Bukan ke kau masih lagi gagal merebut cinta Rania?” teka Yoonah diiringi dengan gelak-tawanya yang kuat.

“Apa masalah kau ni? Sebut nama Rania pula malam-malam ni!” cantas Alex dengan nada tinggi. Tangannya digenggam erat.

“Hahaha… macam aku tidak boleh baca. Kau masih belum tidur sebab memikirkan strategi untuk menawan hati Rania. Oh ya, esok Rania mahu pulang ke Malaysia kan?” Yoonah masih ketawa lagi.

Ianya menyakitkan hati lelaki Alex.

“Suka hati kau lah mahu cakap apa. Kalau tidak ada perkara lain, aku mahu menamatkan perbualan telefon ni.” gertak Alex dengan nada serius.

“Jangan marah Alex. Aku hanya ingin menemani kau malam ini supaya jiwa mu tenang. Aku setia menunggu di apartment.” Yoonah berhenti ketawa. Dia mula bercakap lemah lembut kepada Alex.

“Kan aku sudah beritahu sebelum ini, yang kita sudah tiada apa lagi perhubungan. Ingat tu!” Alex menolak permintaan Yoonah yang tidak masuk akal.

“Itu kata kau, tapi bagi aku kita masih lagi sepasang kekasih yang saling mencintai dan memerlukan.” pujuk Yoonah dengan lenggok suara manja.

“Aku malas mahu bergaduh dengan kau, Yoonah. Mood aku tidak baik hari ni. Jangan ganggu aku!” jawab Alex dengan tegas.

Telinganya sakit mendengar butiran daripada Yoonah yang muda 3 tahun darinya.

“Hahaha… sebelum kau mahu menamatkan perbualan kita, aku mahu beritahu kau sesuatu yang penting!” lagak Yoonah teruja.

“Rania sendiri sudah tahu bahawa antara kita ada hubungan istimewa. Kau adalah kekasih aku. Dan Rania mempercayai kata-kataku. Hahaha.. bye bye. Sweet dream, oppa.” ucap Yoonah dengan rasa bangga.

Berdesing telinga Alex mendengarnya. Bagaikan mahu ditumbuk wajah mulus Yoonah, geram sangat!

Alex termangu seketika. Hatinya panas. Dia mendengus kuat, hatinya sakit bila Yoonah asyik memperlekehkan cintanya kepada Rania.

Yoonah semakin dikenali semakin menakutkan diri Alex. Perempuan ini suka mengambil kesempatan dan berlagak bagus. Menyampah pula aku dengan perangai Yoonah!

Patutlah Rania buat endah tak endah sahaja dengan penjelasan aku, rupanya dia telah dihasut oleh Yoonah sebelum ini. Aku mesti berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan ini sebelum Rania terus menjauhi dan membenci aku.

Alex terus memandang pemandangan malam dengan hati yang kosong!




RANIA menadah tangan memohon ampun dan petunjuk daripada ALLAH supaya hidupnya dirahmati dan urusannya pada hari ini dipermudahkan. Sebuah mini al-quran segera diambil dari atas katil.

Diciumnya dengan penuh kasih sayang, Rania mula membuka lembaran surah al-Waqiah. Suaranya mula bergema di bilik itu, teman-teman yang lain masih asyik diulit mimpi. Hatinya tenang dapat membaca ayat-ayat dari langit.

Pagi ini dia bangun awal, hatinya mula teruja untuk pulang ke Kuala Lumpur bertemu dengan ibu bapa, adik dan teman-teman yang lain.

“Awal kamu bangun pagi ini?” suara Femil dari belakangnya membuatkan Rania terkejut.

Pantas dia menoleh.

“Ya, saya tidak sabar mahu pulang ke Kuala Lumpur!” jawab Rania dengan sebuah senyuman manis.

Femil bingkas bangun daripada perbaringannya. Dia mula menyanggul rambutnya yang agak panjang.

“Iya? Senang sekali aku mendengarnya. Hari esok kami akan meninggalkan Seoul, tak sabar pula mahu ke Pulau Jeju.” ujar Femil sambil mengemas katilnya.

“Hari ini kita akan berpisah. Bila lagi ya kita semua mahu berjumpa?” Rania membuka telekung solat dengan cermat.

“Insya-ALLAH, kita pasti ketemu nanti.” balas Femil. Dia terus menuju ke toilet.

Rania pula bersiap-siap untuk ke lobi guesthouse untuk memanaskan stok nasi segera yang terakhir. Serunding daging dan sambal goreng ikan bilis di bawa bersama. Satu sachet milo 3 in 1 turut di bawa sekali.

Tidak sampai 5 minit, Rania sudah terpacak di lobi guesthouse. Nampaknya dia orang yang pertama sampai ke situ. Pengunjung yang lain tiada kelihatan.

TV Plasma yang disediakan oleh pihak guesthouse segera di on. Dengan cermat Rania masukkan bekas nasi segera ke dalam microwave yang berwarna hitam.

Hello, morning!” suara lelaki membuatkan Rania terkejut.

“Morning.” jawab Rania sebaik sahaja melihat lelaki itu adalah staf guesthouse.

Lelaki itu agak tergesa-gesa membancuh air kopi dan teh untuk pelanggan yang menginap di situ. Tangan lelaki itu ligat mengemaskan bahagian lobi dengan cekap sekali. Sebentar kemudian, dia berlalu pergi meninggalkan Rania seorang diri di situ.

Ting!

Bunyi microwave menandakan nasi segera sudah siap dipanaskan. Tempoh 2 minit sungguh cepat berlalu, air milo sudah tersedia di atas meja. Rania dengan hati-hati membuka nasi segera yang masih panas dengan kedua tangannya.

Nasi itu masih berasap sebaik sahaja penutupnya di buka. Serunding dan sambal goreng ikan bilis segera dimasukkan sekali ke dalam nasi putih itu. Aroma ketiga bahan itu sungguh menyelerakan. Rania mula menikmati hidangan itu dengan penuh kesyukuran.

Masih ada setengah jam lagi untuk Rania bergerak dari guesthouse menuju ke Istana Gyeongbokgung. Kedudukan guesthouse dengan istana tidak jauh. Mata Rania tekun melihat rancangan drama Korea di channel KBS.

Rania merancang mahu ke istana, selepas itu kembali semua ke guesthouse untuk check-out dan mengambil barang-barangnya. Kemudian baru menuju ke Incheon International Airport.

“Mr. Alex! What are you doing here?” perbualan di dalam drama Korea membuatkan hati Rania tersentak. Telinganya sungguh cepat mendengar nama Alex.

Automatik Rania teringat akan pesanan Alex! Rania mula gelisah, Alex memberinya masa untuk berfikir dan memberi jawapan. Sedangkan dia masih kosong dengan sebarang jawapan. Otaknya tidak boleh berfikir, dia sudah rindu dengan Malaysia tempat lahirnya.

Aah! Tidak boleh jadi ni, aku perlu cepat keluar dari sini. Tak pasal-pasal nanti Alex muncul di lobi guesthouse. Mati aku mahu menjawab! Rania segera berkemas dan membuang bekas nasi segera.

Suasana masih awal pagi lagi, Rania memeluk tubuh badan dengan kedua tangannya. Walaupun telah memakai long john namun angin sejuk menyebabkan dia tetap berasa dingin. Rania menutup wajahnya dengan scarf pemberian Alex. Wangian minyak wangi Alex tetap terserlah. Harum dan mengasyikkan!

Jarum jam tangan Rania tepat menunjukkan jam 8.20 pagi. Dia melihat ke kiri dan ke kanan mencari sesuatu yang menarik perhatian matanya. Namun, hampa.

Mata Rania ternampak sesuatu yang lain lagi menarik, papan tanda Sungai Cheonggyecheon!. Tanpa membuang masa, Rania terus membuat keputusan untuk bersiar-siar di sungai Cheonggyecheon yang hanya terletak 200 meter dari guesthouse.

“Wah, cantiknya sungai ni!” teriak Rania seorang diri sebaik sahaja kakinya menjejak laluan pejalan kaki sungai tersebut.

Dia tersenyum lebar, tangannya didepakan lalu matanya dipejamkan. Rania seolah-olah sedang terbang tinggi dengan tenang di tepi sungai Cheonggyecheon.

Beberapa minit kemudian Rania membuka matanya. Air sungai yang mengalir jernih dipandang lama. Walaupun sebelum ini sungai Cheonggyecheon adalah kotor kini 100 % telah berubah wajah. Ada laluan khas untuk pejalan kaki dibina kiri dan kanan.

Sungai sepanjang 6 kilometer ini mempunyai sejarahnya tersendiri, dahulunya dijadikan tempat membuang sampah dan tempat penempatan kaum pendatang setelah berlakunya Perang Korea (1950-1953). Namun, pada tahun 1970-an Cheonggyecheon menjadi salah satu simbol ‘modernisasi’ Korea Selatan.

Sungai Cheonggyecheon dipenuhi dengan tiang konkrit bagi projek pembangunan jalan bertingkat. Maka ianya menyebabkan pencemaran yang teruk di situ.

Akhirnya pada tahun 2003, datuk Bandar Seoul iaitu Lee Myung-bak telah melakukan perubahan revolusioner. Beliau sendiri berhasrat untuk menjadikan bandar Seoul sebagai mesra alam menjadi kenyataan.

“Alangkah bagusnya jika sungai-sungai di ibu kota Malaysia sejernih dan bersih macam sungai Cheonggyecheon ni.. pasti orang ramai suka. Pencemaran udara pun akan berkurangan.” desis Rania sendirian.

Air sungai yang jernih itu menjadi inspirasi kepada Rania supaya tidak ada yang mustahil jika sesuatu yang buruk boleh berubah menjadi sesuatu lebih baik lagi bermanfaat jika bertindak dengan sistematik.

Rania tekun merakamkan pemandangan yang indah lagi mendamaikan sebagai kenang-kenangan dan bukti transformasi sungai Cheonggyecheon.

“Rania!” suara itu membuatkan Rania pantas menoleh ke belakang mencari siapa yang memanggilnya.

Erk, tiada orang pun! Rania mengarukan kepalanya. Betul ke telinga aku dengar tadi atau aku yang terperasan?.

Sekali lagi Rania menoleh ke belakang, ke kiri dan ke kanan namun tiada sesiapa yang memanggilnya. Hanya ada sepasang warga Korea yang sedang berjalan menuju ke arah stesen subway.

Aku ni banyak sangat berkhayal. Rania tersenyum sendiri. Punggungnya dilabuhkan di atas laluan pejalan kaki di tepi sungai. Dia mengeluarkan bungkusan buah strawberi segar yang baru dibeli sebentar tadi.

“Eemm.. sedapnya! Manis sungguh!” Rania teruja menikmati kesegaran buah strawberi yang agak besar saiznya berbanding strawberi di Cameron Highlands, Malaysia.

Sambil makan strawberi Rania menghiburkan hatinya dengan menyanyikan lagu kesukaannya. Kakinya turut berayun mengikut rentak nyanyian.

“Hai, Rania!” suara wanita jelas kedengaran di cuping telinganya. Kali ini Rania mula sangsi sama ada ianya benar atau khayalan dirinya sendiri.

“Rania, kamu buat apa?” suara wanita itu berkata lagi.

Kali ini Rania terus menoleh ke belakang.

Hah, Yoonah? Biar betul apa yang dilihat ni. Di gosok matanya berulang kali, seolah dia tidak bermimpi di siang hari.

“Kenapa kamu terperanjat melihat saya?” Yoonah terus duduk di sisi Rania tanpa di suruh. Bau minyak wangi yang dipakai oleh Yoonah tersebar di lubang hidungnya yang mancung.

“Mengapa kamu datang ke sini?” Rania menyoal dengan suara yang sedikit bergetar. Dia terkejut melihat kelihat Yoonah.

“Cari Rania. Saya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal pada kamu hari itu.” Yoonah memberikan penjelasan. Dia terus mengambil sebiji buah strawberi yang dihulurkan oleh Rania. Terus dimasukkan ke dalam mulutnya yang comel.

“Ohh… saya fikir ada perkara penting kamu mahu jumpa saya.” ujar Rania dengan perasaan lega.

Buah strawberi masih dikunyah perlahan-lahan. Matanya terus memandang ke arah sungai.

Flight kamu jam berapa?” soalan Yoonah membuatkan Rania berpaling.

“Jam 8.00 malam.”

“Tidak sampai 24 jam lagi kamu akan meninggalkan Seoul. Pasti kamu suka kan?” usik Yoonah dengan senyuman manis.

Rania hanya menganggukkan kepala.

“Iya, saya rindukan Malaysia. Datanglah ke Malaysia, saya akan tunggu.” Pelawa Rania kepada Yoonah yang hanya memakai skirt pendek walaupun cuaca agak sejuk di waktu pagi begini.

Yoonah tergelak kuat.

“Saya akan datang ke Malaysia sekiranya Alex membawa saya ke sana. Oh ya, kalau boleh saya mahu bawa ‘baby’ kami ke Malaysia. Pasti seronok!” ujar Yoonah bersahaja.

Rania terasa ada seketul batu yang seberat 5 kilogram menghempap kepalanya tanpa sempat dielak. Dia bagai mahu pengsan di situ juga apabila mendengar perkataan ‘baby’ kami.

Betul ke telinga aku mendengar perkataan ‘baby’ kami daripada mulut Rania. Aah.. benar-benar menyesakkan nafasku ketika ini. Sesak sekali seolah tidak boleh bernafas!

“Mengapa wajah kamu berubah macam mendengar berita buruk sahaja.” usik Yoonah.

Rania tergamam. Saki-baki strawberi yang ada dalam mulutnya dikunyah perlahan. Rasa manis terus berubah menjadi masam!

“Mengapa, wajah saya pucat ke?” tanya Rania dengan soalan bodoh.

“Iya, pucat sekali. Kamu tidak sihat ke?” ujar Yoonah seolah-olah prihatin lagi mengambil berat akan dirinya.

“Eem… saya tidak cukup tidur dan kurang rehat.” balas Rania lemah.

“Balik Malaysia nanti kamu perlu ambil cuti dan berehat secukupnya.”

“Saya tahu, kamu mesti terkejut bila saya katakan ‘baby’ kami. Sebenarnya Alex pun tidak tahu lagi. Rania, kamu orang pertama yang saya beritahu. Kamu sangat bertuah!” ujar Yoonah dengan senyuman lebar.

“Oh iya ke? Tahniah Yoonah. Kamu bakal dapat title ‘mum’ tidak lama lagi. Saya turut gembira.”

Rania berlagak seolah teruja mendengar berita itu. Kepalanya mula berdenyut-denyut.

“Saya tidak sangka hamil, kami sudah tinggal bersama sejak tahun lepas untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Oh ya, kamu jangan beritahu Alex berita gembira ini. Saya mahu buat surprise kepada Alex semasa kami ada dinner hujung minggu ini.” Yoonah galak bercerita akan hal kehamilannya.

Apa aku ada kisah, Yoonah dan Alex bukan beragama Islam. Mungkin mereka terpengaruh dengan budaya Barat yang mengamalkan bersekedudukan antara lelaki dan wanita sebelum berkahwin.

Rania mengeluh panjang.

“Sebentar tadi saya mencari kamu di guesthouse, namun saya tidak jumpa. Akhirnya kita bertemu di tepi sungai pula. Cantikkan sungai ini, kami di Seoul sangat berbangga dengan transformasi sungai ini daripada sungai yang paling teruk tercemar dan kotor bertukar menjadi sungai yang bersih lagi jernih. Walaupun airnya tidak boleh diminum, namun pencemaran udara dapat dikurangkan di Seoul. Menarik kan?” soal Yoonah kepada Rania yang hanya memandang sepi sungai itu.

Rania hilang fokus.

“Saya sudah jarang ke sini sejak mula bekerja. Kadang-kadang saya dan Alex datang ke sini untuk menyaksikan aktiviti kebudayaan yang diadakan. Sungai ini sebenarnya ada 2 course perjalanan iaitu course 1 yang sepanjang 2.9 kilometer. Sepanjang course 1 akan ada Cheonggyecheon Stream Plaza - Gwangtonggyo Bridge - Samilgyo Bridge (Jongno, Insadong) - Ogansugyo Bridge (Dongdaemun fashion town) - Saebyeokdari (Bridge of Dawn; Gwangjang Market, Bangsan Market) - Supyogyo Bridge. Jika kamu berminat, ianya akan mengambil masa sedikit untuk berjalan ke situ.” penjelasan Yoonah tidak menarik langsung perhatian Rania yang sudah melayang ke tempat lain.

“Jika kamu mahu jalan lagi, untuk course 2 pula sepanjang 2.6 kilometer dan ada Cheonggyecheon Stream Culture Center - Gosanjagyo Bridge - Dumuldari Bridge - Malgeunnaedari Bridge - Ogansugyo Bridge (Dongdaemun fashion town) kalau tidak silap saya. Aktiviti kebudayaan atau keramaian yang berlangsung di sini, selalunya dihadiri ramai pengunjung sama ada dalam atau luar negara. Kamu pasti tidak menyesal jika turut serta.” Yoonah galak menyambung penjelasannya tentang peta perjalanan yang disediakan kepada pengunjung yang datang ke situ.

“Okay Rania, saya mahu pergi bekerja. Saya sangat gembira dapat berjumpa dan berkenalan dengan kamu. Take care and safely journey. Annyonghi gyeseyo (Selamat Tinggal).”

Yoonah menghulurkan tangannya kepada Rania.

“Kamu juga, take care.” balas Rania lemah. Tangan Yoonah disambut mesra.

Mereka saling berpelukan.

Bye bye Yoonah.” ucap Rania sambil melambaikan tangan kepada Yoonah yang sudah berlalu dari situ.

Rania membatukan diri di situ. Fikirannya kosong! Air sungai yang jernih dilihat tanpa ada rasa damai seperti yang dirasakan sebelum ini.

Dia lost dalam dunianya sendiri. Kalimat ‘baby’ kami membuatkan Rania bertambah tidak percaya akan keikhlasan Alex terhadap dirinya. Alex benar-benar telah mempermainkan perasaan wanitanya.

Rania sungguh tidak percaya yang dia terbabit dengan cinta Alex yang penuh dengan kepalsuan dan lakonan. Untuk apa, Alex buat semua ini. Rania sendiri tiada jawapannya.

Bekas strawberi segera dikemaskan lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Rania bingkas bangun. Dia mula mengorak langkah longlai ke perjalanan course 1 di Sungai Cheonggyecheon.

Walaupun dalam perancangan asal peta perjalanan 2 course itu tidak termasuk dalam itenarinya pagi ini, namun Rania nekad mahu menghabiskan masanya di situ. Misi ke Istana Gyeongbokgung dibatalkan.

Berita yang tidak diundang, pagi ini Rania tewas dengan perkataan ‘baby’ kami.

“Tidak sangka sampai ke tahap itu perhubungan antara mereka. Yoonah mengandungkan benih Alex, lelaki playboy!” getus Rania sendirian.

Bibirnya diketap kuat. Tangan kanannya digenggam erat. Matanya mula bertakung dengan butir-butir jernih. Hati Rania seolah-olah ditikam pisau, amat sakit dan pedih sekali!.

Previous: Bab 14 - PDSS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alisyah Alez