Enjin motorsikal dimatikan sebelum pemiliknya turun dan membuka topi keledarnya. Dengan tergopoh-gapah, dia melangkah masuk kedalam kedai buku tempatnya bekerjanya. Langkahnya spontan terhenti sebaik melihat majikannya berdiri memandangnya sambil mencengkak pinggangnya. Air liurnya turut ditelan pantas.
Ain Farhah berdoa didalam hati berharap majikannya tidak akan memecatnya. Sesekali dia menunduk dan mencuba untuk memberi senyuman namun senyumannya segera hilang tatkala melihat renungan majikannya yang tajam seolah ingin menelannya hidu-hidup.
“Jam rosak ke?” tanya Encik Azmir dengan suara yang terkawal. Beberapa orang pengunjung sudah mula memandangnya.
“Tak,” Ain Farhah menggeleng perlahan.
“Motor rosak?”
Sekali lagi Ain Farhah menggeleng. Dia mula tertanya-tanya mengapa majikannya itu banyak tanya.
“Habis tu apa yang rosak sampai awak tak boleh datang kerja tepat waktu?”
Ain Farhah menelan air liurnya. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Mimpi dimana dia bercumbuan dengan Hairul Jazmi membuatkan dia tidak sedar akan waktu. Perlahan dia melepaskan keluhannya.
“Saya tak suruh awak mengeluh Ain,” ujar Encik Azmir.
“Maafkan saya Encik Azmir. Saya janji lepas ni saya takkan datang lewat,” balas Ain Farhah.
“Dah berapa banyak janji awak Ain? Ini dah kali yang kesepuluh awak lambat datang.”
Biar betul? Dia kira dah berapa kali aku lewat datang? Hebat... Dalam hati dia merasa kagum.
“Ain!”
“Saya janji ini kali terakhir saya lewat datang. Kalau lepas ni saya lewat, saya takkan datang terus,” ujar Ain Farhah. Encik Azmir mengerutkan dahi.
“Awak mabuk ke? Awak minum minuman keras ke?”
“Saya? Tak...”
“Habis tu kenapa awak datang hari ni?”
“Nak kerjalah,” jawab Ain Farhah.
“Kerja?”
Ain Farhah mengangguk. Dia mula bingung dengan apa yang dikatakan majikannya. Rambutnya yang jatuh kedepan kembali dirapikan kebelakang.
“Awak baliklah Ain,” ujar Encik Azmir. Ain Farhah semakin hairan. Dia tidak tahu mengapa majikannya itu menyuruhnya balik.
“Kenapa pula? Saya kan kena kerja.”
Encik Azmir memandangnya tanpa sebarang reaksi. Ain Farhah mula menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Awak, saya pecat!”
“Hah? Janganlah macam ni Encik Azmir. Kalau saya tak kerja, saya nak makan apa? Dimana lagi saya nak cari kerja? Tolonglah Encik Azmir, beri saya satu peluang lagi. Saya janji saya takkan datang lewat lagi,” Ain Farhah mula merayu. Tangan majikannya digoncang.
“Dah, tak ada peluang peluang. Dah banyak peluang yang saya bagi tapi awak tetap macam ni. Tetap juga datang lewat. Eh, saya bukannya buka kedai pukul 6 pagi tau sampai awak nak lewat macam ni. Kedai saya buka pukul 9 pagi, tapi itupun awak masih lagi lewat?”
“Encik, maaflah. Saya bukannya sengaja. Lagipun saya...”
“Tak ada lagi alasan. Awak pergilah. Saya boleh cari pekerja yang lagi baik dari awak.”
“Tapi encik...”
“Baliklah. Saya ada banyak kerja ni,” Encik Azmir mendorong Ain Farhah agar keluar dari kedai bukunya. Ain Farhah terpaksa menurut. Dengan berat hati, dia melangkah keluar. Wajahnya masam mencuka seolah lebih masam dari buah lemon.
Hanya keluhan yang mampu dilakukan Ain Farhah. Dia kini buntu. Pekerjaan satu-satunya kini hilang. Dia sudah buntu hendak bekerja dimana. Dengan hanya berbekalkan keputusan SPMnya, mana mungkin dia akan diterima bekerja disyarikat kecil atau besar.
Motorsikalnya yang diparkir ditepi jalan dihampirinya. Rasa kecewanya membuatkan dia menendang badan motorsikalnya namun seraya itu juga dia mengaduh kesakitan. Dia menjengket kakinya lalu duduk dibahu jalan. Fikirannya benar-benar buntu. Wajah ibunya mula menerpa ke ruang fikirannya. Pasti dia akan dimarah lagi.
Drama Filipina ditonton dengan asyik. Ain Farhah tidak sedar jika ibunya, Puan Roliah mula memandangnya dengan tajam. Sebungkus popcorn yang dibelinya disebuah kedai menjadi penemannya. Sesekali dia tersenyum melihat babak romantis yang disiarkan.
“Daripada senyum macam orang gila, lebih baik keluar cari kerja,” sindir Puan Roliah. Ain Farhah hanya diam berpura tidak mendengar.
“Bagus-bagus ada kerja, buat perangai. Kalau kaya tadi tak apalah juga. Ini makan pun susah tapi berlagak macam orang kaya,” sambung Puan Roliah.
Ain Farhah tetap mendiamkan diri. Dia mencuba untuk tetap fokus namun kedua telinganya tetap dapat mendengar sindiran ibunya.
“Hidup dahlah miskin, apapun tak ada. Kita ni kena bekerja kalau nak hidup senang. Duit takkan jatuh dari langit.”
“Mak nak apa sebenarnya? Asyik membebel dari tadi? Tak penat ke?” Ain Farhah akhirnya tidak dapat menahan diri.
“Eh, mak lagi penat tengok kau tau. Daripada kau layan cerita tak senonoh tu, baik kau pergi cari kerja. Apa? Kau fikir mak ni kaya ke sampai nak tanggung kau seumur hidup? Entah-entah tak ada lelaki yang nak dengan kau.”
Ain Farhah mula meradang. Kata-kata ibunya benar-benar menyakitkan hatinya.
“Orang suruh belajar, tak nak. Sekarang dah besar asyik menyusahkan aku!”
“Kalau mak tak nak saya ada dekat sini,beritahu je. Tak payah nak sindir macam tu. Mak fikir saya ni apa? Tunggul?” Ain Farhah kembali melawan. Bungkusan popcorn dihentak pada kerusi rotan yang didudukinya sebelum bangun dan masuk kedalam bilik. Pintu turut dihempas kuat tanda protes.
Beg galasnya dicapai. Begitu juga dengan kunci motorsikalnya. Dia kembali keluar dari biliknya dan melangkah ke pintu utama. Kasut sukannya yang dibeli di kedai bundle disarungkan pada kakinya sebelum naik keatas motorsikalnya dan berlalu pergi.
“Bertuah punya budak!” Getus hati Puan Roliah. Seterika yang digunakan dihentak kuat pada papan penggosok. Geram benar hatinya akan anak tunggalnya itu.
Angin malam yang sejuk bagaikan tidak dapat memadamkan api kemarahan didalam hatinya. Dia kecewa dengan sikap ibunya yang seolah tidak menghargai dan asyik mencari salahnya. Bukanlah niatnya untuk tidak menurut kemahuan ibunya namun apalah daya jika dia sudah tidak berminat hendak menyambung pelajaran selepas tamat SPM.
Ain Farhah memandang laut yang gelap tanpa sebarang cahaya. Yang nampak hanyalah lampu-lampu yang datang dari kapal yang berlabuh ditengah laut. Beberapa couple yang asyik mencari dosa tidak dipedulikan. Dia asyik melayan perasaannya.
“Hai cik adik. Seorang je?”
Seorang lelaki tinggi lampai dengan rambut berwarna putih menghampiri Ain Farhah. Ditangannya ada sebungkus gula-gula. Ain Farhah hanya diam tidak memberi reaksi.
“Hei, kenapa ni? Awak ada masalah? Ceritalah dengan saya, manatahu saya boleh tolong,” ujar lelaki itu lagi. Dengan berani dia merangkul bahu Ain Farhah.
“Baik awak turunkan tangan awak sebelum saya patahkan tangan awak,” arah Ain Farhah. Lelaki itu hanya tersengih tidak gentar. Tangannya tetap berada diatas bahu Ain Farhah.
Melihat lelaki tersebut enggan menurunkan tangannya, Ain Farhah bertindak. Tangan lelaki itu dicapai lalu dipulas dengan kuat. Lelaki yang bernama Haikal itu hanya mampu menjerit dengan kuat. Seluruh urat tangannya terasa seperti disimpul.
“Lepaskan!”
Ain Farhah tidak mengendahkan rayuan lelaki itu. Dia semakin kuat memulas tangan lelaki itu. Hatinya yang tadi berapi kini semakin marak. Api kemarahannya seolah tidak dapat dipadamkan walaupun habis air di lautan.
“Jangan sesekali ganggu saya lagi. Kalau tak, saya akan pastikan tangan awak tercabut.”
“Ya... Okay!”
Ain Farhah melepaskan pegangannya pada tangan lelaki itu. Lelaki tersebut dengan pantas melarikan diri membawa tangannya yang masih terasa sakit. Ain Farhah pantas mendengus. Kepalanya mula berserabut. Rambutnya yang dibiarkan lepas digosok kasar sehingga dirinya nampak berserabut.
Dirinya pantas mengeluarkan telefon pintarnya sebaik mendengar deringan telefonnya. Nama rakannya, Hairul Jazmi tertera di skrin telefon. Pantas dia teringat akan mimpinya namun pantas juga dia menggelengkan kepalanya. Perlahan dia beristighfar.
“Hello.”
“Kau dimana tu?” tanya Hairul Jazmi.
“Yang pasti bukan di hati kau,” jawab Ain Farhah.
“Kau mabuk ke? Nak aku lempang bagi sedar?”
“Bongok! Aku di pantai ni,” beritahu Ain Farhah.
“Pantai? Sah kau mabuk kan? Kau buat apa dipantai malam-malam? Nak bunuh diri ke?”
“Aku datang nak kutip telur penyu.”
“Woi, sekarang bukan musim penyu nak bertelur tau.”
Ain Farhah hanya tersengih. Lawak yang direkanya sendiri sedikit sebanyak menenangkan hatinya walaupun dia tahu lawaknya itu tidak menarik di hati rakannya.
“Kau jangan pergi mana-mana. Aku datang sekejap lagi,” ujar Hairul Jazmi. Panggilannya turut diputuskan ketika itu juga. Ain Farhah hanya mampu melepaskan keluhannya.
Dua puluh minit berlalu dengan pantas. Sedar tak sedar jarum jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Sudah kurang lebih tiga jam Ain Farhah membatukan diri mengadap laut dimalam hari. Badannya yang sejuk hanya mampu dipeluk.
Entah dari mana datangnya, sehelai jaket tiba-tiba membungkus badannya. Ain Farhah pantas menoleh sebaik sedar ada seseorang meletakkan jaket tersebut.
“Boleh tak jangan berperangai gila? Kalau kau demam macamana? Kebal sangat ke kau tu sampai boleh tahan cuaca malam yang sejuk ni?” Hairul Jazmi mula membebel. Secawan kopi panas turut diberikan kepada Ain Farhah.
“Biarlah. Kenapa pula kau yang risau?” balas Ain Farhah. Dia kembali melontarkan pandangannya ke tengah laut.
“Eh, sejak bila aku yang risau? Ada aku kata aku risau? Tak adakan.”
Ain Farhah mencebik. Air kopi panas perlahan dihirup. Badannya yang tadi merasa sejuk kini perlahan hangat.
“Kau ada masalah ke sebenarnya?” Hairul Jazmi menukar topik perbualan. Air kopi panas miliknya turut dihirup perlahan.
“Aku kena buang kerja,” beritahu Ain Farhah.
“Buang kerja? Apa lagi yang kau buat sampai kau kena buang kerja? Kau berskandal dengan majikan kau ke?”
“Amboi mulut, macam dah banyak insurans?”
“Yalah. Dalam setahun, dah berapa banyak kali kau kena buang kerja? Alasannya apa? Lewat datang kerja kan?”
“Aku lewat pun sebab kau juga,” balas Ain Farhah. Hairul Jazmi terkejut.
“Sebab aku? Kenapa pula sebab aku?”
Ain Farhah diam. Dia mula berfikir untuk menceritakan mimpinya pada Hairul Jazmi.
“Hoi, aku tanya ni.” Hairul Jazmi menggamit lengan Ain Farhah.
“Tak ada apalah. Lupakan je...”
Hairul Jazmi mencebik. Dia semakin yakin jika rakannya itu ada menyembunyikan sesuatu. Air kopinya dihirup lagi. Pandangannya turut dilempar ketengah laut yang gelap.