Bab 21


Didalam kenderaan, Ain Farhah hanya mendiamkan diri. Sesekali dia tersenyum melemparkan pandangan keluar tingkap. Kucupannya bersama Fahni seperti menjadi memori yang manis buat mereka berdua.

Fatin pula mencebik tidak berpuas hati. Jauh didalam hati, dia berharap agar rakannya itu tidak terjerumus lebih jauh dalam perbuatan yang tidak diredhai. Walaupun hanya tidur berpelukan, tetapi jiwanya sebagai seorang muslim berkecamuk. Senyuman dan sengihan Ain Farhah bagaikan belati yang menghiris hatinya.

“Ain...”

“Erm?” Ain Farhah menoleh. Wajah rakannya dipandangnya.

“Aku tahu kau baru je kenal dengan aku tapi sebagai rakan aku tak nak kau berdosa.”

“Apa maksud kau Fatin?”

“Ain... Aku sayang kau tau. Hanya kaulah kawan aku...”

“Fatin... cakaplah terus terang.”

“Aku tahu Fahni dah selamatkan kau dari mak kau tapi aku harap kau boleh buat batas. Jangan hanya kerana dia buat baik, kau harus balas dengan cara macam tu. Masih banyak cara lain yang boleh kau balas,” ujar Fatin lebar.

“Aku tahu Fatin... Aku tahu aku tak seharusnya macam tu...”

“Aku bukannya apa Ain... Aku tegur kerana aku sayang kau. Aku tak nak kau korbankan maruah hanya kerana nak membalas budi pada Fahni. Kau kena ingat, dia lelaki yang masih bukan muhrim.”

“Ya... Aku minta maaf Fatin... Aku tahu aku salah,” Ain Farhah mengaku akan kesalahannya.

“Dan kau kena ingat, setiap dosa kau masih akan menjadi tanggungan ayah kau. Selagi kau belum berkahwin, ayah kau tetap akan menjadi pertanyaan. Kau faham kan maksud aku? Berkawan boleh, tapi jangan sampai terlebih.”

Ain Farhah diam. Nasihat rakannya mula menyedarkannya. Dia tidak menyangka jika perbuatannya itu membuatkan ayahnya terpaksa menanggung dosanya. Nikmat yang dikecapinya rupanya menjadi dosa buat ayahnya.

Perlahan air matanya menitik turun. Dia kini sedar jika dia telah membuatkan ayahnya menjadi korban. Fatin melepaskan keluhannya. Entah mengapa dia merasa bersalah.

“Ain...”

Fatin mencapai tangan Ain Farhah. Digenggamnya erat menenangkan  rakannya.

“Aku berdosa Fatin... Aku tak sedar... Aku terikut nafsu,” rintih Ain Farhah.

“Dahlah Ain. Yang lalu biarkan berlalu. Akan datang, jangan diulangi. Aku harap kau boleh melawan hasutan syaitan. Malam tadi mungkin kau ada berbuat salah dan aku harap malam ini dan malam esok, kau takkan melakukannya lagi...”

Ain Farhah mengangguk. Hatinya berasa cukup berdosa. Jauh didalam hati, dia berdoa memohon keampunan. 


Fahni mendengus kasar. Panggilan Puan Roliah begitu menyakitkan hatinya. Telefon yang asyik berdering sengaja tidak dijawab. Dia tidak mahu hatinya mendidih berang.

Bunyi beep yang pendek memberi isyarat jika ada mesej yang masuk. Dengan hanya sebelah tangan yang memegang stereng, Fahni membaca mesej tersebut.

Hei Fahni, cuba teka? Aku dekat mana sekarang? Nak jumpa tak? Kita boleh borak dalam bilik.

 “Celaka punya perempuan! Dah tua pun masih tak sedar diri nak menggatal,” dengus Fahni kasar. Mesej tersebut dibiarkan tidak dibalas.

Sekali lagi bunyi beep kedengaran. Kali ini mesejnya agak panjang.

Orang selalu kata, lelaki yang jual mahal biasanya power bila diatas katil. Entah mengapa aku teringin pula hendak mencuba. Agak-agaknya bila ya? Tapi jangan risau, aku akan setia menanti. Menanti tuan punya badan datang menyerah diri.

Fahni mengetap bibirnya geram. Telefon pintarnya hampir saja dilempar keluar dari tingkap kenderaan. Namun dia pantas teringat akan ayahnya. Jika telefon itu dibuang, bagaimana sang ayah ingin menghubunginya? Mahu tidak mahu, dia mencuba untuk bertenang. Mesej berbaur lucah dari Puan Roliah pantas dibuang jauh-jauh. Dia tidak mahu mengenangkan wanita tua yang tidak mahu mengaku tua itu.

Mengenangkan ayahnya, dia pantas mengerakkan ibu jarinya menghubungi ayahnya. Namun Pak Othman tidak menjawab. Fahni mula berteka teki. Ayahnya tidak akan pernah tidak menjawab panggilannya.

Jari jemarinya mula mendail nombor Jennifer. Hatinya mula berdegup tidak tenang. Seolah ada sesuatu yang berlaku tanpa pengetahuannya.

Jawapan yang sama tetap diterimanya. Pak Othman mahupun Jennifer, keduanya tetap tidak menjawab panggilannya. Fahni semakin tidak keruan. Seumur hidup, itulah kali pertama keduanya tidak menjawab panggilannya.

Fatin yang sedang memandu terkejut sebaik melihat kenderaan Fahni memotong kenderannya dengan cukup laju. Begitu juga dengan Ain Farhah. Keduanya dilanda tanda tanya namun masing-masing tidak mempunyai jawapan. Pecutan laju Fahni benar-benar membina teka teki yang rumit.

“Dia nak kemana?” ujar Fatin.

“Kita ikut je,” balas Ain Farhah.

“Kau gila. Aku paling laju pun 80km sejam. Itu aku rasa mahu terbang sampai 160km sejam. Dua kali ganda laju dari apa yang aku bawa sekarang.”

Ain Farhah melepaskan keluhannya. Mana mungkin dia akan memaksa Fatin untuk mengejar Fahni dan melampaui batasnya. Mahu tidak mau dia hanya mampu melihat dari jauh, memandang kenderaan  Fahni yang semakin menghilang jauh kehadapan.


Malam sudah pun mengganti siang. Fahni juga sudah sampai di rumahnya. Rumah yang gelap tanpa sebarang cahaya mengejutkannya. Blackout kah? Dia tertanya-tanya.

Terbuntang biji matanya sebaik melihat pembantu rumahnya terbaring diatas rumput. Dengan pantas dia meluru kearah Jennifer. Pipi ditepuk berharap wanita kacukan itu sedar. 

“Adoi...”

Jennifer memegang kepalanya yang terasa sakit. Fahni yang ada didepannya membuatkan dia sedikit terkejut.

“Eh, tuan dah balik?”

“Mana ayah? Kenapa gelap ni? Blackout ke? Tu, pintu terbuka?” Fahni bertanya dengan bertubi-tubi. Telunjuknya juga naik mengarah ke muka pintu yang terbuka luas.

“Ayah? Ayah siapa? Ayah saya ke? Dia di kampung,” jawab Jennifer. Dia seolah masih separuh sedar membuatkan Fahni menenyeh kepalanya.

“Sakitlah!”

“Aku tanya betul-betul ni? Kenapa aku call kau tak jawab? Kenapa kau tidur diluar ni?”

Jennifer tiba-tiba menjerit. Baru dia teringat jika dirinya tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki bersenjatakan pistol. Namun semuanya menjadi gelap sebaik sahaja dia lelaki itu menghentak kepalanya dengan pistol.

“Kau dah kenapa? Sawan?”

“Tadi ada seorang lelaki datang. Dia pakai pistol. Dia tanya mana ayah tuan Fahni tapi saya tipu dia. Saya kata ayah tuan Fahni ke hospital,” beritahu Jennifer. Fahni mengerutkan dahi.

“Lelaki berpistol? Siapa?”

“Manalah saya nak tanya dia siapa!”

“Okay, sekarang mana ayah?”

Jennifer bangun. Dia melangkah masuk kedalam rumah dan menghidupkan suis. Rumah yang tadi gelap kini terang diterangi lampu. Bilik tidur Pak Othman yang terletak ditingkat bawah dihampiri.

“Tak ada,” ujar Jennifer sebaik dia membuka pintu bilik. Kelibat Pak Othman tidak kelihatan.

Fahni mengetap bibirnya kuat. Kehilangan ayahnya mula memberi tekanan padanya. Pelbagai bayangan muncul satu persatu. Dia mencuba untuk meneka siapakah yang bertindak berani merampas ayahnya dari dirinya.

“Biar saya call polis,” ujar Jennifer. Dia bergerak menghampiri telefon rumah.

“Jangan! Biar aku je yang selesaikan semua ni,” halang Fahni. Dia kembali mengorak langkah masuk kedalam biliknya, menukar pakaian dan kembali keluar.

“Tuan nak kemana?” tanya Jennifer apabila melihat majikannya yang ingin keluar.

“Kau duduk je diam-diam dirumah. Ada sesiapa call minta wang tebusan, suruh dia berhubungan dengan aku,” perintah Fahni.

Jennifer diam mengangguk. Dia hanya mampu memandang majikannya berlalu pergi meninggalkannya. Pintu rumah yang terbuka luas perlahan ditutup. Kehilangan Pak Othman turut mencemaskannya. 


Kenderaan yang dipandu Fahni meluncur laju dijalan raya. Namun tujuannya tidak diketahui. Dia berlegar-legar berpusing di sekitar ibu kota. Tidak habis dengan masalah bersama Puan Roliah, kini dia menerima satu lagi masalah. Kehilangan ayahnya begitu menyakitkan hatinya.

Telefonnya tiba-tiba berdering. Fahni capai telefon. Kenderaan yang dipandu diparkir di tepi jalan. Dia terkejut ada sebuah rakaman dihantar padanya. Didalam rakaman tersebut, terlihat ayahnya yang duduk dililit tali. Disebelahnya ada seorang lelaki memakai topeng berwarna hitam.

“Ayah!”

Air mata Fahni hampir gugur sebaik melihat rakaman tersebut. Hatinya mendidih geram. Dia tidak sanggup melihat ayahnya yang diperlakukan seperti seekor binatang. Jauh didalam hati, dia bersumpah untuk membunuh lelaki itu. Dia bersumpah untuk mencari tahu siapakah lelaki yang menculik ayahnya itu.

Beep ringkas tanda mesej masuk. Fahni pantas membaca.

Aku tak perlu kata banyak. Datang ke alamat yang aku beri. Dan aku harap kau tak datang bersama pihak polis. Datang bersama mereka akan buatkan lelaki tua ni mati. Kau anak dia? Datanglah peluk sekuat hati. Sebelum peluru menembus kepala, datang dan temuilah untuk kali yang terakhir.

Fahni mengetap bibirnya geram. Mesej dari lelaki itu membuatkan marahnya semakin berapi. Dia bagaikan gunung berapi yang hendak meletup.

“Sial!” Sumpah Fahni.

Stereng kenderaan dipukul sekuat hati. Dia menjerit berang. Hatinya benar-benar panas. 


Puan Roliah datang tidak lama kemudian. Roslan yang asyik bermain telefonnya terkejut akan kehadirannya. Pantas dia menunjukkan jalan masuk kedalam sebuah gudang terbiar dimana dia mengurung dan mengikat Pak Othman sesuai perintahnya.

“Hei, kau dah beritahu lelaki tu suruh datang dengan anaknya?” tanya Puan Roliah.

“Sudah! Kau jangan risaulah. Aku ni profesional,” jawab Roslan angkuh. Dadanya ditabik tinggi.

“Bagus! Ini upah kau,” Puan Roliah menyerahkan satu sampul berwarna coklat cair. Didalamnya ada wang tunai bernilai sepuluh ribu.

“Jadi mana yang aku minta?” sambung Puan Roliah.

“Nah.”

Roslan menyerahkan sepucuk pistol kepada Puan Roliah. Puan Roliah tersenyum puas hati. Kali ini dia tidak mahu bersikap lembut lagi. Fahni akan dibunuhnya didepan anaknya.

Puan Roliah masuk kedalam gedung. Bunyi detak kasut tumit tinggi yang dipakainya membuatkan Pak Othman mengangkat kepalanya. Dan sebaik bertentang mata, dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Dia tidak menyangka jika dalang dibalik penculikannya adalah bekas isterinya sendiri.

“Kau Roliah?”

Puan Roliah hanya tersenyum nipis. Dengan pakaian yang agak seksi, dia mengelilingi Pak Othman yang terikat.

“Apa yang kau buat ni Roliah? Kenapa kau kena buat aku macam ni?” tanya Pak Othman.

“Nak tahu ke? Ini semua sebab anak kau. Kalau anak kau dengar cakap aku, aku takkan perlu libatkan kau.”

“Anak? Apa maksud kau? Kenapa dengan Ain?”

“Aku nak kahwinkan dia dengan seorang lelaki tapi dia tak setuju. Sekarang dia lari dengan seorang lelaki. Nak tahu siapa lelaki tu? Lelaki tu ada pistol. Dia dah pun tembak mati orang suruhan aku,” beritahu Puan Roliah. Pak Othman terpana.

“Kau jangan nak buat cerita Roliah. Ain takkan buat macam tu. Dia membantah sebab tindakan kau salah. Kau tak boleh mengatur hidup orang lain. Ain ada kehidupan dia sendiri.”

“Kehidupan? Kehidupan apa pula ni? Ain keluar dari perut aku, jadi aku berhak nak tentukan hidup dia macamana. Dan bukannya aku suruh dia melacur. Aku cuma suruh dia kahwin.”

“Kahwin dengan lelaki yang dia tak suka? Kau tak boleh paksa dia Roliah. Dia juga manusia yang ada hati dan perasaan.”

“Arhh! Kau dari dulu sama je. Asyik nak membela je budak tu! Apa, kau fikir dia lahir aku akan lepaskan dia macam tu saja? Dia kena bayar balik. Dia kena berterima kasih dengan aku sebab aku lahirkan dia ke dunia ni.”

“Roliah, bawalah mengucap. Ini bukan kau,” ujar Pak Othman namun Puan Roliah hanya tertawa kecil.

“Mengucap? Kau nak aku mengucap apa? Kau fikir kau dah bersih ke sekarang?” 

“Roliah, aku tahu aku salah tapi jangan kerana kesalahan aku, Ain yang jadi mangsa. Kau beritahu apa yang kau nak, biar aku yang tanggung. Lepaskan Ain.”

“Wah, nak jadi ayah mithali ke?” sindir Puan Roliah. Rambut Pak Othman yang sudah beruban dicekaknya.

“Lepaskan Roliah. Sakit kepala aku,” ujar Pak Othman kesakitan. Namun Puan Roliah tetap dengan egonya. Rambut bekas suaminya semakin digenggam kasar.

“Tak sangka kan? Kau dah jadi orang kaya sekarang. Dapat harta banyak dari isteri baru. Sedangkan aku, kau lupakan macam najis!”

“Roliah, apa yang kau kata ni?” 

Puan Roliah melepaskan genggamannya pada rambut Pak Othman. Dia kembali mengelilingi bekas suaminya.

“Roliah, aku tahu dulu kita pernah berbuat salah tapi aku harap kau lepaskan Ain. Biarlah aku yang menanggung semuanya. Aku tahu kau nak sangat gugurkan kandungan tu tapi bila aku sedar, aku tahu aku tak sepatutnya berbuat kejam pada janin tu sebab tu aku suruh kau simpan.”

“Tolonglah. Biarkan Ain dengan hidupnya sendiri. Ambillah nyawa aku menjadi galang ganti. Lepaskan Ain,” sambung Pak Othman merayu. Air matanya kini turun menitik.

Puan Roliah berhenti. Wajah Pak Othman ditatapnya. Wajahnya mula bertukar sedih namun tidak lama kemudian, dia ketawa. Kata-kata rayuan bekas suaminya bagaikan lawak ditelinganya.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.