Seperti yang dijanjikan, Hairul Jazmi datang tepat pada masanya. Ditangannya ada sebuah kotak bercorak bunga berwarna merah. Dia ingin memberikan hadiah tersebut pada Ain Farhah. Dia bertekad untuk meluahkan rasa hatinya pada rakannya itu. Dia tidak mahu wanita yang disukainya jatuh ke tangan lelaki lain apatah lagi lelaki berlesung pipit yang dilabelkan sebagai budak juvana.
Ain Farhah hanya mengelus kecil. Kakinya terasa berat untuk melangkah menemui Hairul Jazmi. Ikutkan hati, dia tidak mahu kemana-mana. Semnangatnya hilang.
“Kau tak sihat ke Ain?” tanya Fatin, rakan sekerjanya yang begitu mengambil berat akannya. Ain Farhah hanya tersenyum nipis.
Fatin meletakkan belakang tangannya didahi Ain Farhah. Ain Farhah hanya membiarkan.
“Tak pula kau demam. Kenapa ni Ain? Kalau ada masalah ceritalah dengan aku?” ujar Fatin. Sebuah kerusi ditarik lalu duduk bersebelahan Ain Farhah.
“Aku okay...”
“Jangan nak tipulah Ain. Kalau okay, takkan kau macam ni? Nampak macam tak bersemangat je? Kau gaduh dengan mak kau lagi ke?”
Ain Farhah melepaskan keluhannya. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang sedang bermain difikirannya ketika itu.
“Kau ada ayah tak?” tanya Ain Farhah setelah sekian lama. Wajah Fatin dipandang.
“Mestilah ada. Kenapa kau tanya soalan macam ni?”
“Untung kau kan Fatin. Ada ayah. Tak macam aku, tak tahu ayah aku ada dekat mana.”
Fatin diam seketika. Dia akhirnya faham mengapa rakan sekerjanya itu berkata sedemikian rupa. Barulah dia tahu jika rakannya itu menjadi mangsa keluarga.
“Kenapa kau tak cari?”
“Aku memang nak cari tapi aku tak tahu nak mula dari mana. Nak tanya dengan mak, kau sendiri dah tahu bagaimana sikap dia dengan aku,” ujar Ain Farhah panjang lebar.
Fatin mula bersimpati. Dia tidak menyangka nasib yang menimpa rakan sekerjanya itu. Dan entah mengapa terdetik dihatinya untuk membantu.
“Nak tak kalau aku tolong kau?”
Ain Farhah mengangkat wajahnya memandang Fatin. Dia bagaikan tidak percaya bahwa ada seseorang yang ingin membantunya mencari ayahnya yang sudah menghilang.
“Habis kerja nanti, kita mulakan pencarian,” ujar Fatin bersemangat.
“Tapi nak cari dimana?”
“Ada tak mak cik atau pak cik kau sekitar sini? Maksud aku, kau boleh tanya keluarga mak cik atau pak cik kau. Manalah tahu ayah kau ada beri alamat tempat tinggal dia,” terang Fatin.
Ain Farhah mula berfikir. Dia mencuba untuk mengingat kembali ahli keluarganya yang lain.
“Ya, aku ingat. Aku ada mak cik sebelah mak. Mungkin dia boleh tolong kita.”
“Baguslah. Kau masih ingat jalan rumah dia kan?” tanya Fatin dan Ain Farhah pantas mengangguk. Senyuman lebarnya diukir tanda gembira. Dia semakin tidak sabar untuk menemui ayahnya.
“Terima kasih tau Fatin. Kaulah kawan baik aku,” Ain Farhah memeluk rakan barunya itu. Fatin hanya membalas pelukan rakannya itu. Dia gembira melihat rakannya yang kembali ceria dan bersemangat. Namun siapa sangka, rupanya dia telah menjadi anak yatim kira-kira sebulan yang lalu dimana ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Dan kini dia berhasrat untuk membantu rakannya dalam mencari ayahnya kerna dia tahu, ibu bapa merupakan perkara nombor satu.
Senyuman Hairul Jazmi perlahan hilang sebaik melihat seorang lelaki yang tidak disukainya muncul. Fahni, lelaki yang digelarnya budak juvana kini berada didepan kedai tempat Ain Farhah berkerja. Tidak mahu rancangannya batal, dia menghampiri lelaki itu.
“Kau buat apa dekat sini?” tanya Hairul Jazmi. Fahni terkejut. Dia tidak menyangka Hairul Jazmi turut berada disitu. Sebuah kotak berbalut bunga dipandangnya seketika sebelum kembali tersenyum seolah mengejek.
“Aduhai, tak sangka sekarang masih ada lagi lelaki yang balut hadiah dengan corak bunga,” ejek Fahni terang. Hairul Jazmi mengetap bibir.
“Eh, baik kau balik sekarang.”
“Kenapa aku nak balik? Kau bukannya abang aku,” jawab Fahni pantas. Dia menolak Hairul Jazmi ke tepi dan masuk ke dalam kedai tersebut.
Kurang ajar punya budak! Dia tak tahu ke kalau aku ni juara silat. Getus Hairul Jazmi tidak berpuas hati. Dia turut melangkah masuk ke dalam kedai.
Ain Farhah yang asyik berborak dengan Fatin tidak perasan akan kehadiran Fahni dan Hairul Jazmi. Sesekali mereka ketawa kecil sebelum akhirnya terkejut dengan satu bunyi yang agak kuat. Setelah diperhatikan, barulah mereka sedar jika Hairul Jazmi telah menolak Fahni sehingga jatuh bersama beberapa buah patung.
“Hairul! Fahni! Apa yang kamu buat ni?” tanya Ain Farhah. Keduanya dipandang meminta penjelasan. Fatin turut terkejut. Apatah lagi dengan beberapa orang pekerja yang lain.
“Kenapa awak tak keluar?”
“Keluar?” Ain Farhah baru teringat akan janjinya pada Hairul Jazmi. Perlahan dia melepaskan keluhannya. Dia benar-benar terlupa.
“Sorry, aku lupa.”
“Lupa? Wei, aku dah macam orang tak betul tunggu diluar tau,” Hairul Jazmi mula mengomel. Dalam pada masa yang sama Fahni bangun dan merapikan pakaian formalnya. Dia sempat menjeling kearah Hairul Jazmi.
“Ain, ikut saya sekarang,” pinta Fahni pula.
“Eh, bagus kau balik. Nanti mak dengan ayah kau mencari,” potong Hairul Jazmi. Dia tidak mahu menyerahkan Ain Farhah pada lelaki itu.
“Kamu berdua ni kalau tak berhenti bergaduh tak boleh ke?” Ain Farhah kini berang. Fahni dan Hairul Jazmi diam.
“Ain... Apa kata kau bincang diluar? Nanti pelanggan lari,” nasihat Fatin. Ain Farhah mula sedar. Pantas dia keluar dari kedai diekori dengan Fahni dan Hairul Jazmi.
Diluar kedai, masing-masing mendiamkan diri. Ain Farhah sudah menyilangkan tangan memeluk tubuh. Hatinya mendidih geram.
“Apa hal sangat yang awak nak jumpa saya ni?” tanya Ain Farhah terlebih dahulu pada Hairul Jazmi.
“Erm... Boleh tak kalau kita berbincang berdua je?” pinta Hairul Jazmi. Dia menjeling kearah Fahni.
“Kenapa pula? Tak boleh cakap depan-depan ke?”
Hairul Jazmi mengeluh. Fahni pula tersenyum mengejek.
“Takkanlah aku kena cakap depan budak juvana ni?” Hairul Jazmi tidak berpuas hati.
“Siapa budak juvana?” Fahni mencelah. Dipandangnya Hairul Jazmi dengan tajam.
“Nak sambung gaduh lagi ke?” kali ini Ain Farhah mula memotong. Dia tidak lagi sanggup menahan lebih lama. Karenah kedua lelaki itu benar-benar memberi tekanan pada dirinya.
“Nak kemana?” tanya Fahni sebaik melihat Ain Farhah masuk kedalam kedai.
“Nak sangat bergaduh kan? Pergilah, nak bergaduh sampai mati pun aku tak kisah,” jawab Ain Farhah.
Fahni dan Hairul Jazmi terkaku kali ini. Masing-masing kehilangan idea untuk bertemu dengan Ain Farhah.
Puan Roliah melemparkan beg tangannya ke dinding. Dia marah. Dia tidak menyangka wangnya habis dalam satu malam. Bukan habis angkara sikap boros dan berfoya-foyanya tapi marah akan lelaki India yang ditidurinya malam tadi. Dia tidak sedar jika lelaki itu telah mengambil kesemua duitnya dikala kelalaiannya. Kini dia bingung, dia tidak tahu dimana lagi dia harus mencari duit untuk kelangsungan hidupnya.
Telefon Puan Roliah berdering. Pantas dia menjawab setelah melihat nama rakannya Julie tertera di skrin telefonnya.
“Ya Julie?”
“Babe, malam ni kau nak job tak? Ada seorang lelaki yang perlukan servis,” ujar Julie.
“Siapa?”
“Erm... Kalau tak salah namanya Salleh. Alah, dia kata dia pernah dengan you jadi dia nak you lagi.”
“Salleh?” Puan Roliah cuba untuk mengingat.
“Macamana babe? Kau nak tak? Kalau tak nak, job kau biar aku yang ambil.”
“You jangan nak main-main ya? Okaylah, beritahu dengan dia yang aku sanggup tapi dengan satu syarat.”
“Syarat? Sejak bila you pandai bersyarat ni?” Julie ketawa kecil namun Puan Roliah tetap serius.
“I nak dia bagi payment tiga kali ganda.”
“Tiga kali ganda? Okay... Nanti I beritahu dengan dia,” Julie memutuskan panggilan telefonnya.
Puan Roliah mendengus kasar. Sebuah kerusi rotan diduduki dengan kasar. Sekotak rokok Dunhill turut dicapai. Asap putih mula kelihatan keluar dari mulutnya yang agak berbau. Kedua kakinya diangkat tinggi dan diletakkan diatas meja. Dari lagaknya, dia bagaikan seorang wanita berumur 30-an walaupun hakikatnya, umurnya sudah pun mencecah 52 tahun.
Puan Roliah kembali mencapai telefonnya. Jari jemarinya yang panjang dihiasi dengan kuku berwarna merah pantas menari di atas skrin telefonnya. Dia ingin menghubungi Fahni. Niatnya tidak lain, ingin meminjam duit lagi.
“Fahni, ini saya.”
“Mak cik nak apa?” tanya Fahni dihujung talian.
“Mak cik ada tawaran untuk kau,” ujar Puan Roliah sambil tersenyum.
“Tawaran? Tawaran apa?”
“Kau nak sangat dengan Ain, anak aku kan?”
Fahni mengerutkan dahinya. Dia tidak faham dengan apa yang dikatakan wanita tua itu.
“Apa yang mak cik nak sebenarnya ni? Kalau mak cik nak duit lagi, saya memang tak boleh pinjamkan lagi. Lagipun bank kekurangan duit sekarang,” ujar Fahni.
“Apa yang kau mengarut ni?” Puan Roliah menurunkan kakinya. Belakang badannya ditegakkan.
“Habis tu apa yang mak cik nak?”
“Aku kahwinkan kau dengan Ain dan sebagai balasan aku nak 50 ribu,” tanpa menunggu lama Puan Roliah berterus terang.
Gila ke orang tua ni sampai nak jual anak sendiri? Fahni berkata didalam hati. Dia tidak menyangka wanita tua itu sanggup menjual anaknya sendiri demi keseronokannya.
“Macamana?”
“Mak cik ni memang jenis jual anak ke?” tanya Fahni.
“Siapa kata aku jual dia? Lagipun dia dah besar, dah boleh berkahwin, jadi tak salah kalau aku nak kahwinkan dia dengan siapa pun.”
“Mak cik, kahwin ni bukan benda main-main tau dan saya yakin Ain takkan bersetuju,” balas Fahni.
“Aku tak perlukan persetujuan dia. Macamana? Kau nak atau tak? Kalau tak nak, masih banyak lelaki yang nak kahwin dengan anak aku.”
Fahni diam. Dia kehilangan kata-kata. Nasib Ain Farhah kini terletak ditangannya. Hendak bersetuju, dia risau jika Ain Farhah akan salah sangka. Kalau ditolak, Ain Farhah akan menjadi mangsa lelaki rakus diluar sana.
“Beri saya tempoh sehari. Esok saya akan bagi jawapan,” ujar Fahni lalu memutuskan panggilan tersebut. Dia buntu. Fikirannya bercelaru.
Puan Roliah tersenyum puas hati. Dia kembali menyandarkan badannya ke kerusi rotannya. Rokok yang kini tinggal separuh kembali dihisapnya.