Bab 16


Fahni memandu kenderaannya dengan cukup laju. Hairul Jazmi yang duduk disebelahnya hanya mampu mencengkam erat pemegang yang ada diatas kepala sambil mulutnya sesekali membaca doa. Sesekali dia memandang Fahni yang begitu fokus dengan pemanduannya.

“Boleh tak bawa slow sikit?” pinta Hairul Jazmi. Seluruh kakinya terasa kejang.

“Tak,” jawab Fahni ringkas. Kedua tangannya tetap erat memegang stereng. Lagaknya tidak ubah seperti pemandu terlatih di litar Sepang. Dengan lincah dan cepat, dia memotong setiap kenderaan yang ada dilaluannya.

“Ya Allah, Kau selamatkanlah nyawaku. Aku masih belum rasa nak mati lagi,” ujar Hairul Jazmi. Fahni hanya diam sebelum melepaskan keluhannya seketika kemudian.

“Bawa kereta pun lembab,” rungut Fahni apabila sebuah lori memandu perlahan dihadapannya.

Melihat satu ruang kosong dibahagian kanan, Fahni pantas memecut laju. Hairul Jazmi kembali merasa tegang. Kali ini kedua kakinya diangkat naik keatas kerusi. Bulu romanya berdiri tegak apatah lagi melihat speedometer kenderaan yang sudah mencapai 160km sejam.

Lampu isyarat yang bertukar merah membuatkan Fahni terpaksa memperlahankan kenderaannya. Apatah lagi dengan kehadiran seorang dua pegawai polis trafik yang sedang berkawal disitu. Silap haribulan dirinya akan ditahan dan disaman. 

“Pandai pula kau berhenti rupanya,” sindir Hairul Jazmi. Kedua kakinya kembali diturunkan. Peluhnya dilap dengan tisu.

Fahni hanya diam. Matanya tidak lari dari terus memandang polis trafik yang sedang mengawasi kesesakan lalu lintas. Otaknya mula berfikir untuk mencari jalan agar dirinya dalam kembali memandu kenderaannya.

Entah bagaimana dia mendapat satu idea. Pantas kepalanya dipaling memandang Hairul Jazmi. Hairul Jazmi mula merasa dengan pandangan aneh Fahni.

“Kau apahal tengok aku macam tu?” tanya Hairul Jazmi. Pelbagai persoalan mula timbul datu persatu.

“Aku nak kau tengok tu,” ujar Fahni. Dia menunjuk keluar tingkap.

“Apa?” Hairul Jazmi menurut. Dia menjenguk keluar dari tingkap yang sudah ditinted dengan warna hitam. Namun tiada apa yang menarik hatinya. Dan sebaik sahaja dia ingin berpaling, dia terlebih dahulu dipukul dari belakang pada belakang tengkuknya.

Dengan hanya satu pukulan kuat, Hairul Jazmi pengsan tidak sedarkan diri. Fahni hanya tersenyum nipis gembira dengan kerjasama Hairul Jazmi. Tidak menunggu lama, dia menurunkan cermin kenderaannya dan memanggil salah seorang dari anggota polis yang bertugas.

“Tolong, tolong!”

Seorang pegawai polis trafik segera menghampiri Fahni yang meminta tolong.

“Kenapa ni encik?” tanya pengawai polis yang dikenali dengan nama Ghani seperti yang tertera di lencananya.

“Kawan saya pengsan. Saya nak bawa dia ke hospital,” beritahu Fahni. Sesekali dia menggerakkan Hairul Jazmi.

“Pengsan? Kenapa pula dia pengsan? Awak nak main-main dengan saya ke?”

“Kenapa pula saya nak main-main? Cubalah encik tengok sendiri. Tadi dia kejang, lepas tu pengsan.”

Pegawai polis itu berpusing menghampiri pintu tempat Hairul Jazmi duduk. Fahni hanya diam membiarkan pegawai polis itu memeriksa Hairul Jazmi. Jauh didalam hati, dia berharap pegawai polis itu mahu memberinya ruang untuk dia pergi.

“Kawan awak ke ni?” 

“Ya, dia kawan saya. Kawan satu office.”

“Kenapa dia pengsan?”

“Sebenarnya dia ni ada sawan, jadi entah macamana pula dia kejang lepas tu pengsan. Jadi kalau boleh saya nak minta ruang untuk jalan dulu dan bawa dia kehospital.”

“Baiklah kalau macam tu. Tapi bawa kenderaan jangan laju-laju ya?”

Fahni pantas mengangguk. Dengan wajah yang gembira, dia tersenyum lebar. Dia melihat pegawai polis tersebut meminta pemandu yang lain untuk memberi ruang pada dirinya.

Dengan semua kebohongannya, dia akhirnya berjaya mendahului jauh kehadapan. Senyumannya diukir benar-benar puas seolah dia memenangi anugerah berprestij.


Ain Farhah diam tidak bersuara. Sudah hampir sejam dia ditinggal dan dalam waktu itu jugaklah dia tidak dibenarkan keluar dari dalam kenderaan. Kedua tangannya yang diikat dibahagian belakang begitu menyukarkan dirinya untuk bergerak, apatah lagi dengan mulutnya yang sudah disoletep ketat.

Rasa panas akibat haba yang terkurung mula membuatkan Ain Farhah kehilangan udara. Nafasnya terasa sempit. Hendak meronta, bagaikan tidak berguna apabila ikatan tangannya begitu kemas. Wajah dan badannya kini basah oleh peluh. Perutnya turut terasa pedih dengan ketiadaan makanan.

Cermin yang sudah ditinted dengan warna hitam yang tebal membuatkan dia tidak dapat dilihat oleh orang awam yang ada diluar kenderaan tersebut. Dia mencuba untuk menendang pintu kenderaan tersebut namun gagal.

Ain Farhah memandang interior dalaman kenderaan Proton Saga tersebut. Dengan rasa panas yang semakin dirasai, dia mencuba untuk memikirkan cara agar dapat melarikan diri. 

Setelah befikir beberapa ketika, dia akhirnya mendapat satu idea. Dia mula membalikkan belakang badannya mengadap kearah pintu. Jari jemarinya diarahkan untuk membuka pintu. Namun semuanya gagal. Pintu kenderaan tersebut tetap tidak terbuka. Keluhan panjang dilepaskan. Barulah dia ingat jika orang suruhan ibunya sudahpun mengunci kenderaan tersebut sebelum pergi meninggalkannya.

Ain Farhah semakin lemah. Kedua belah matanya mula layu. Udaranya semakin menipis. Akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri. Namun dia pasrah. Dia pasrah jika dia harus pergi dalam keadaan sedemikian rupa.


Pak Othman mula merasa tidak tenteram. Hatinya diusik rasa tidak tenang bagaikan ada sesuatu perkara buruk yang akan berlaku. Bayangan wajah anaknya Ain Farhah mula memunculkan diri disetiap pelusuk fikirannya. Makanan yang dihidang Jennifer sama sekali tidak diusiknya. Seleranya untuk makan pantas hilang.

Jennifer datang dengan sepinggan tembikai ditangannya. Wajah Pak Othman dipandangnya.

“Jennifer...”

“Ya?”

“Nanti kamu bawa saya ke satu tempat ya?” pinta Pak Othman. Jennifer mengerutkan dahi.

“Nak kemana?”

“Nanti saya beritahu alamatnya. Kamu makanlah dulu, lepas tu bersiap.”

 Pak Othman menolak kerusi rodanya masuk ke sebuah lagi bilik tidurnya. Jennifer mengerutkan dahinya. Kepalanya yang tidak gatal mula digaru. Sikap Pak Othman membuatkan dirinya dihimpit tanda tanya.

Jennifer menarik sebuah kerusi. Nasi pantas dikaut masuk kedalam pinggan. Sayur campur dengan ikan merah ditarik menghampirinya. Rezeki yang sudah terhidang tidak mampu untuk ditolaknya.


Jennifer membelok masuk ke perkarangan sebuah rumah yang nampak usang dan hampir roboh. Wajah Pak Othman dipandang seketika sebelum kembali melemparkan pandangannya kerumah tersebut.

“Rumah siapa ni?” tanya Jennifer.

Pak Othman tidak menjawab. Dengan perlahan, dia keluar dari dalam kenderaan Mazda hadiah dari anak tirinya. Jennifer turut keluar dan membantu Pak Othman.

Tanpa menggunakan kerusi roda, Pak Othman melangkah dengan perlahan sambil dibantu Jennifer. Satu persatu kakinya diatur melangkah menuju ke rumah yang tampak usang dan suram.

Salam diberi dengan suara yang agak lantang. Jennifer mula melilau. Namun rumah tersebut hanya terlihat sepi. Tak ada seorangpun yang keluar dari dalam rumah tersebut. Tidak untuk bekas isterinya mahupun anaknya.

“Tak ada orang pun,” ujar Jennifer.

“Tak apa, kita tunggu sekejap. Mungkin mereka pergi ke kedai,” ujar Pak Othman. Dia melangkah menghampiri sebuah pangkin yang ada dibawah pohon mangga.

“Ini rumah siapa sebenarnya?” tanya Jennifer lagi. Dia turut duduk disebelah Pak Othman.

Pak Othman hanya tersenyum nipis. Jennifer melepaskan keluhannya. Jawapan yang dinanti bukanlah sebuah senyuman.

Selang beberapa minit menunggu, mereka dihampiri oleh seorang lelaki dengan motorsikal kapcainya. Pak Othman mengecilkan matanya cuba untuk mencari tahu. Lelaki itu seolah dikenalinya.

“Othman!”

Pak Othman seolah tersedar sebaik mendengar suara tersebut. Senyumannya kini lebar. Lelaki yang bermotor itu turun menghampirinya dengan kelam kabut.

“Kau ke tu Hussein?” Pak Othman meminta kepastian.

“Akulah ni Othman. Lama aku tak nampak kau,” Pak Hussein memeluk erat rakannya itu.  Segala kerinduannya dilepas.

“Kau pergi mana selama ini Man? Risau betul aku dengan kau,” sambung Pak Hussein.

Pak Othman hanya tersenyum. Dia menjemput rakannya untuk duduk berbual di pangkin. Pak Hussein hanya menurut. Seklias dia memandang Jennifer.

“Man, Man. Risau betul aku dengan kau tau. Tiba-tiba je kau hilang. Dah tu tak pernah pula nak hubungi aku ke, hantar WhatsApp ke?”

“Aku okay je Sein. Maaflah kalau aku buat kau risau,” balas Pak Othman. Sapu tangan kecil dikeluarkan dari dalam poket seluarnya lalu dilap pada dahinya.

“Eh, Man. Itu siapa? Bini baru kau ke?” tanya Pak Hussein separuh berbisik. Mulutnya dimuncungkan mengarah kearah Jennifer.

“Ish kau ni. Bukanlah. Ini pembantu aku. Namanya Jennfier,” sangkal Pak Othman pantas.

“Hai pak cik,” Jennifer mengangkat tangannya melambai. Pak Hussein hanya mengangguk memberi hormat.

“Sein, kau tahu tak kemana mereka pergi?” Pak Othman menukar topik perbualan.

“Siapa?”

“Siapa lagi? Orang rumah nilah. Ke mereka dah pindah.”

“Entahlah Man. Aku sendiri pun susah nak cakap. Aku tegur, mereka marah balik dengan aku. Mereka suruh aku supaya jangan masuk campur,” keluh Pak Hussein. Riak wajahnya tampak kecewa.

“Kenapa ni Sein? Mereka ada buat sesuatu yang tak baik ke?”

“Aku bukan apa Man. Nanti kalau aku cerita, kau kata aku buruk-burukkan mereka pula.”

“Tak apalah Sein. Lagipun Roliah bekas bini aku. Aku tak ada hak pun nak masuk campur urusan dia. Tapi aku nak tahu juga tentang anak aku, apa khabar dia? Dia sihat ke tidak?”

Pak Hussein menaik nafas yang panjang. Wajah rakannya dipandang. 

“Si Roliah semakin teruk Man. Hampir setiap malam dia akan bawa kawan dia tidur disini. Pernah sekali aku menegur, kau tau apa yang berlaku? Dilemparnya aku dengan botol minuman keras Man. Nasib aku ni pandai bersilat, nak mengelak botol tu. Kalau tak entah dah arwah dah aku.”

“Astaghfirullahalazim... Sanggup dia buat macam tu Sein?” Pak Othman terkejut. Jennifer yang mendengar turut melopong. Dia tidak menyangka jika Pak Othman pernah mempunyai isteri sebelum ibu Fahni.

“Itu masih okay lagi Man. Dulu aku datang sini nak ajak ke surau buat kenduri, tak pasal-pasal dia keluar bawa pisau. Tak naik tekanan darah aku. Daripada aku dikerat macam kambing, bagus aku blah,” cerita Pak Hussein lagi.

“Habis tu macamana dengan anak aku?”

“Anak kau? Erm... Aku bukannya nak samakan anak kau dengan si Roliah tapi aku pernah lah juga nampak anak kau balik dengan seorang lelaki. Lelaki tu aku nampak macam anak orang kaya. Ada kereta, pakaian pun mahal.”

Pak Othman diam. Kata-kata rakannya membuatkan dia malu dengan perlakuan kedua wanita itu. Seribu satu penyesalan mula muncul.

“Tapi kau jangan risaulah Man. Anak kau takkan ikut jejak langkah Roliah. Walaupun dia balik dihantar lelaki tapi tak pernah pula aku nampak lelaki tu masuk kedalam rumah. Dan walaupun lelaki tu nampak kaya, dia seolah ada rasa hormat yang sangat tinggi. Kau faham kan maksud aku?”

“  Kau yakin ke Sein?”

“Man, walaupun aku ni tak ada kena mengena dengan kau, tapi dengan Ain aku dahpun anggap macam anak aku sendiri. Dari apa yang aku tengok, dia tak seperti ibunya. Kalau kau nak tahu, dia pernah jalan kaki setiap hari dari rumah ke tempat kerjanya. Dan aku pun beri motorsikal cabuk aku dengan dia tapi itulah dia tak nak terima.”

“Akhirnya, dia memaksa untuk beli motor tu. Nak tak nak aku terpaksa bersetuju walaupun aku tak berniat nak jual motor tu dengan dia,” sambung Pak Hussein.

Pak Othman mengesat air matanya yang jatuh. Hatinya luluh pabila mendengar cerita tentang anaknya yang sudah beberapa tahun ditinggalkannya. Bukanlah niatnya untuk tidak membawa Ain Farhah bersamanya ketika itu tapi maklum saja, dia sendiri terpaksa hidup mengemis sehinggalah dia bertemu dengan arwah ibu Fahni yang sanggup menerimanya tanpa memandang rupa.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.