Bab 7

Satu demi satu baju dilipat dengan rapi. Ain Farhah benar-benar telah berazam untuk berubah. Dia tidak lagi mahu bekerja dengan sikap yang dulu, sering datang lewat dan mencuri tulang. Kali ini dia mahu berubah. Dia sudah berjanji untuk bekerja bersungguh-sungguh dan menyimpan duit gajinya.

“Ain,” satu suara menegurnya dari belakang. Pantas dia menoleh, rupanya rakan sekerja Fatin yang menegur.

“Kenapa?”

“Ada orang nak jumpa. Dia tunggu diluar,” beritahu Fatin. Telunjuknya turut naik dan mengarah ke luar kedai.

“Siapa? Lelaki?”

“Tak. Perempuan,” balas Fatin.

“Perempuan? Siapa ya? Dia ada beritahu nama tak?”

Fatin hanya menggeleng. Ain Farhah pantas mengucapkan terima kasih. Kerjanya mula ditinggal. Dengan penuh tanda tanya, dia melangkah keluar namun sebaik dia memandang empunya diri, dia terkejut.

“Apa mak buat dekat sini?” tanya Ain Farhah terus. Kehadiran ibunya seolah sudah diketahuinya.

“Erm... Mak nak pinjam duit.”

“Pinjam duit? Mak, Ain baru seminggu kerja. Mana Ain ada duit.”

“Kamu jangan tipu mak. Mak tahu kamu ada duit simpanan. Tolonglah, mak perlukan duit ni,” Puan Roliah mula merayu. Tangan anaknya dicapai namun Ain Farhah kembali menarik tangannya.

“Mak, Ain dah kata yang Ain tak ada duit.”

 “Kamu nak menipu mak ye? Mak tahu lelaki tu ada beri kamu duit,” Puan Roliah mula mengeluarkan senjatanya.

“Apa yang mak merepek ni? Lelaki mana pula yang nak beri duit pada Ain ni?”

“Fahni. Mak tahu dia ada beri kamu duit? Mana duit tu?” Puan Roliah mula meraba kedua poket anaknya. Ain Farhah mula rimas. Dia menepis kedua tangan ibunya yang liar merabanya.

“Mak, Fahni cuma pinjamkan duit. Hujung bulan Ain tetap kena bayar,” beritahu Ain Farhah.

“Kamu jangan nak menipu mak Ain!” Puan Roliah sudah mula meninggikan suaranya. Beberapa orang yang lalu lalang mula memandangnya.

“Mak, Ain tengah kerja sekarang dan Ain tak ada duit. Kalau mak nak duit, mak pergi cari kerja,” ujar Ain Farhah. Hatinya mula sakit dengan perlakuan ibunya.

“Hei, kamu sedar tak apa yang kamu kata ni? Mak ni mak kamu tau. Kamu sebagai anak harusnya menyediakan semua makan dan minum mak termasuk kehendak mak.”

“Hah? Kenapa pula Ain yang kena buat macam tu? Jadi sekarang mak nak kata yang Ain perlu balas budi mak sebab lahirkan Ain? Macam tu?”

Satu tamparan hinggap diwajahnya. Fatin yang menjenguk keluar bersama beberapa orang rakannya turut terkejut. Mereka tidak menyangka jika rakan baru mereka mempunyai kehidupan yang teruk.

Puan Roliah berlalu setelah mendengus kasar. Hatinya panas dengan apa yang didengarnya. Ain Farhah sama sekali enggan menuruti kehendaknya. Duit seolah menjadi benda utama yang lebih berharga dari anaknya. Dan kerana duit jugalah, dia menjadi sedemikian rupa. Dia tidak peduli akan anak tunggalnya. Baginya Ain Farhah adalah mesin yang harus digunakan untuk memberi duit kepadanya.

Ain Farhah memegang pipinya yang berbekas merah. Air matanya perlahan menitik turun. Tingkah ibunya yang semakin melampau mula membuatkan hatinya bertambah benci. Hatinya semakin meronta untuk membenci ibunya. 


Pak Othman hanya mampu merenung keluar dari balkoni biliknya. Beberapa ekor burung yang bertenggek didahan pokok menjadi hiburannya. Hatinya terhibur mendengar kicauan burung yang merdu seolah memanggil anaknya. Dalam pada masa yang sama, dia juga teringat akan anak perempuannya. Ain Farhah, itulah nama anak perempuannya yang sudah lima tahu tidak ditemuinya. Dia sudah tidak tahu apakah khabar anaknya itu.

“Ayah...”

Pak Othman menoleh sebaik mendengar suara Fahni dari belakang. Air mata yang bertakung dikesat dengan sapu tangan kecil yang sering dibawanya. Dengan perlahan dia memusingkan kerusi rodanya memandang Fahni yang datang dengan sepinggan kek roll kegemarannya.

“Makanlah. Fahni beli di tempat kesukaan ayah,” ujar Fahni. Sebuah sudu diberikan kepada ayahnya.

“Terima kasih Fahni. Kamu tak makan sekali?”

“Tak apalah yah. Ayah makanlah.”

Pak Othman hanya mengangguk. Sedikit kek roll kesukaannya dicicipinya. Fahni hanya mengukir senyuman melihat ayahnya. 

“Ayah... Fahni nak kata sesuatu boleh tak?” 

“Apa dia Fahni? Kamu nak sambung belajar ke?” Pak Othman meneka dan Fahni hanya tertunduk dan menggeleng. Dia risau jika ayahnya tidak akan bersetuju.

“Habis tu kalau tak sambung belajar, kamu nak apa? Kamu nak kembangkan kerja kamu lagi ke?”

“Bukanlah ayah... Fahni tak terfikir pun tentang itu.”

“Dah tu?”

“Fahni terfikir nak kahwinlah...”

Pak Othman terkejut. Wajah anak tirinya dipandang dengan mata tidak berkelip. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dikatakan Fahni.

“Kahwin bukannya benda untuk dibuat main Fahni. Kamu kan baru habis sekolah. Takkan dah terfikir nak kahwin?” Pak Othman berkata dengan lembut. Baginya, Fahni masih tidak bersedia untuk melangkah kealam rumah tangga.

“Fahni bukannya apa... Fahni cuma...”

“Fahni, ayah bukannya tak setuju kalau kamu nak kahwin awal tapi kalau boleh mantapkan diri dahulu dengan semua pengetahuan tentang alam rumah tangga. Tak guna berkahwin awal hanya kerana takut wanita yang kamu cintai akan jatuh cinta dengan lelaki lain. Walaupun lewat kalau dah tertulis dia jodoh Fahni, Fahni tetap akan dapat wanita tu,” tenang Pak Othman menasihati. Dia tidak mahu anak tirinya itu salah sangka dengan apa yang dimaksudkannya.

“Tapi kalau kamu tetap nak berkahwin, itu terpulang kamu. Ayah hanya mampu nasihat dan selebihnya ditangan kamu. Lagipun kamu lelaki, boleh je membuat keputusan tanpa bertanya ayah,” sambung Pak Othman.

Fahni hanya tersenyum nipis. Walaupun dia boleh berkahwin tanpa dihadiri keluarga, tapi dia tidak mahu membelakangi Pak Othman. Dia tetap mahu berbincang dan meminta pendapat ayah tirinya itu.

“Jadi siapa wanita yang nak sangat kamu kahwini tu? Mesti dia cantik kan?”

“Apalah ayah ni. Itu pun nak tahu...” Fahni mula tertunduk malu. Pak Othman tersenyum.

“Ayah harap wanita yang kamu suka tu baik macam arwah ibu kamu. Susah senang bersama. Jangan jadi macam perkahwinan pertama ayah, harus berpisah walaupun ayah tak rela,” nasihat Pak Othman lagi.

“InsyaAllah ayah. Fahni akan pastikan isteri Fahni nanti akan sebaik arwah ibu. Tapi Fahni tak janji tau. Yalah, manusia mana ada yang sempurna. Fahni sendiri tak mungkin sebaik ayah,” balas Fahni. Senyumannya diukir lebar memperlihatkan lesung pipitnya.

Pak Othman turut tersenyum lebar. Kek roll kembali dicicipi dengan penuh nikmat. Hembusan angin yang bertiup membuatkan keduanya hanyut dalam perasaan. Fahni memikirkan Ain Farhah sementara Pak Othman pula memikirkan anak perempuannya yang juga adalah Ain Farhah.


Dengan pantas, siang bertukar menjadi malam. Cahaya panas matahari mula diganti dengan sinaran bulan yang sejuk. Namun hati Ain Farhah masih tetap sama. Dia masih tidak dapat menerima perlakuan ibunya siang tadi. Dia dipermalukan ditempat kerjanya. Wajahnya menjadi ingatan orang awam yang lalu lalang.

Langkahnya terhenti sebaik sedar ada seseorang sedang berdiri menghalang laluannya. Dengan perlahan, dia mengangkat kepala namun senyumannya tidak terbit seperti selalu. Rakannya Hairul Jazmi hanya dipandang dengan tidak bersemangat.

“Kau okay ke?” tanya Hairul Jazmi. Dia mula tertanya-tanya dengan apa yang berlaku pada Ain Farhah.

Ain Farhah tidak menjawab. Dia kembali mengorak langkah maju kehadapan meninggalkan Hairul Jazmi. Mulutnya seolah kaku untuk menjawab. Semangatnya juga hilang.

Hairul Jazmi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia turut mengorak langkah membututi Ain Farhah dari belakang. Namun baru sahaja kakinya melangkah beberapa tapak, Ain Farhah tiba-tiba rebah.

Dengan pantas Hairul Jazmi meluru kearah rakannya. Kepala Ain Farhah dipangku. Pipi rakannya turut ditepuk berharap Ain Farhah akan sedar.

“Ain, bangun! Kau tak apa-apa ke?” tanya Hairul Jazmi. Dia mula panik. Beberapa orang awam mula menghampiri memberi bantuan.


Ain Farhah membuka matanya perlahan. Silau lampu berwarna putih yang tegak dimatanya membuatkan dia mengangkat tangan dan menutup wajahnya. Dia mula tertanya-tanya akan keberadaannya. Seingatnya, dia dalam perjalanan balik kerumah.

Aku kena culik dengan alien ke? Ain Farhah bertanya didalam hati.

Tangan kirinya perlahan diangkat dan dia terkejut sebaik memandang ada sebuah hos kecil yang melilit ditangannya. Perlahan dia melepaskan keluhannya. Barulah dia sedar jika dirinya berada disebuah hospital, bukan diculik makhluk asing seperti yang difikirkannya diawal tadi.

Pintu yang ditolak membuatkan Ain Farhah turut menoleh ingin tahu. Seorang doktor dan jururawat pantas melemparkan senyuman sebaik melihat Ain Farhah yang sudah sedar.

“Selamat malam Ain. Macamana? Dah rasa semakin membaik?” tanya Dr. Ilham lembut. Rakan jururawatnya hanya diam mencabut hos kecil yang ada ditangannya.

“Okaylah sikit,” jawab Ain Farhah. Dia masih tertanya-tanya dengan apa yang berlaku. Dia ingin tahu mengapa dirinya berada dihospital.

“Macamana saya boleh ada disini? Siapa yang bawa saya?” tanya Ain Farhah. Dr. Ilham yang sedang menulis sesuatu diatas failnya berhenti sejenak.

“Erm... Kalau tak salah saya, namanya Hairul. Dia beritahu kalau awak pengsan ditengah jalan.”

“Hairul? Dia dimana sekarang?”

“Tak tahu pula. Mungkin sekejap lagi dia datang. Awak berehatlah dulu. Sejam lagi, saya akan datang dan periksa awak,” balas Dr. Ilham. Dia keluar dari dalam wad bersama pembantunya kembali meninggalkan Ain Farhah.

Dengusan kasar dilepaskan Ain Farhah. Geram benar hatinya akan Hairul Jazmi. Telefonnya yang ada diatas meja kecil disebelahnya pantas dicapai. Dia mahu menghubungi Hairul Jazmi.

“Hello,” Hairul Jazmi menjawab dihujung talian.

“Kau dimana sekarang?” tanya Ain Farhah. Dia kini duduk diatas katil.

“On the way nak jenguk kau. Kau dah okay ke?”

“Okay kepala hotak kau! Yang kau bawa aku ke hospital kenapa? Macamana aku nak bayar bil hospital nanti? Nak aku bayar dengan daun kering?” marah Ain Farhah.

“Eh, sepatutnya kau bersyukur tau. Kalau aku biar je tadi, silap haribulan kau bangun bukan dihospital tau. Mungkin kau sedar waktu dalam kubur. Kiri kanan nampak tulang, padan muka.”

“Kau nak mati ke? Bagus kau datang sekarang juga.”

“Ye. Aku datanglah ni. Tak pandai sabar betul,” balas Hairul Jazmi. 

Ain Farhah memutuskan panggilan telefon. Dia tidak kuasa melayan rakannya itu. Dia kembali merebahkan badannya keatas katil. Siling bilik wadnya dipandang. Entah mengapa dia mula teringat akan ayahnya.

Ayah dekat mana sekarang ya? Kalau ayah ada, mesti ayah akan sentiasa temankan Ain. Mesti ayah akan usap dan belai rambut Ain sekarang. Nak harapkan ibu? Jangan harap. Silap haribulan, dirinya dikatakan sedang meminta perhatian walaupun hakikatnya dia tidak minta sedemikian rupa.


Pak Othman batuk kecil. Sapu tangannya digunakan menutup mulut. Dadanya terasa sakit. Nafasnya mula termengah-mengah. Air mineral mula diteguk perlahan. Penyakit tibi yang dihidapinya bagaikan merobek nyawanya sedikit demi sedikit.

Tiba-tiba wajah anak perempuannya terlintas difikirannya. Entah mengapa hatinya meronta merindui anaknya.  Ingin saja dia balik menemui anaknya namun sumpahnya pada bekas isterinya membuatkan dia terpaksa mematikan niatnya. Rindunya kembali dipendam jauh didalam hati.

Peti televisyen yang ada didalam biliknya ditutup dengan menggunakan alat kawalan jauh. Perlahan dia merebahkan badan tuanya diatas tilam empuk bagai kapas itu. Selimut tebal turut ditarik menutup separuh badannya. Cermin mata berbentuk bulat juga ditanggalkan dan diletakkan diatas kepala.

Mata cuba dipejam namun rasa mengantuk tidak muncul. Pak Othman melepaskan keluhannya. Ingatannya pada anaknya tetap enggan hilang.

Pergaduhan bersama bekas isteri membuatkan dia terpaksa pergi. Dirinya dituduh menjalin hubungan dengan wanita lain. Yang paling parah apabila dirinya dikatakan mengidap HIV. Hati siapa yang tidak hancur apabila isteri yang disayangi bertindak berani menuduh suami sedemikian rupa.

Rasa sabarnya akan karenah isterinya membuatkan Pak Othman menceraikan isterinya dengan talak tiga. Dia tidak lagi sudi untuk hidup berumah tangga dengan Roliah yang sering mencari salahnya. Boleh dikatakan setiap hari dirinya akan dimaki hamun tanpa peduli akan syurga yang harus dicarinya dikemudian hari.

Pak Othman kembali menutup matanya. Peristiwa pahit itu dibuangnya jauh-jauh. Dia tidak mahu mengingat kejadian tersebut. Baginya, Roliah telah mati. Mati dari terus hidup dalam hatinya. Yang tinggal hanyalah rasa rindu pada anaknya dan dia berharap anaknya tidak akan seperti bekas isterinya.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.