Ain Farhah melepaskan keluhannya. Dia tidak pasti adakah dia harus keluar bekerja atau hanya duduk diam di apartment milik Fahni itu. Dia risau jika ibunya ada menunggunya ditempat kerja. Silap haribulan, dia akan kembali dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki seusia ayahnya itu.
Ketukan di pintu rumah membuatkan dirinya tersedar dari lamunannya. Dengan pantas, dia menapak ke pintu dan membuka. Dia melihat Fahni berdiri didepan rumah sambil menjinjing beberapa bungkus plastik berwarna putih.
“Awak okay hari ni?” tanya Fahni sambil melangkah masuk kedalam rumahnya. Beberapa bungkusan plastik diletakkan diatas meja makan.
“Okay.”
“Hari ni tak payah awak masuk kerja ya? Nanti saya beritahu dengan majikan awak yang awak akan berhenti,” ujar Fahni dan Ain Farhah tersentak.
“Berhenti?”
“Ya, mungkin saja mak awak akan datang ke tempat kerja awak dan kembali paksa awak. Untuk keselamatan, awak duduk saja dirumah ni.”
“Tapi...”
“Ini telefon baru awak. Kalau ada apa-apa, call saya,” potong Fahni. Dia mengeluarkan sebuah telefon pintar dari dalam kocek bajunya dan diletakkannya diatas meja.
Ain Farhah hanya diam. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia tidak pasti samada dia harus berterima kasih atau sebaliknya.
“Erm... Macamana kalau mak saya cari awak? Mesti dia akan bawa kawan-kawan dia untuk cari saya,” Ain Farhah menyatakan kerisauannya. Dia kenal benar akan sikap ibunya itu.
“Awak jangan risaulah. Saya dah pun beritahu guard dibawah. Dan saya yakin ibu awak takkan mampu rampas awak dari saya,” balas Fahni tenang.
Ain Farhah perlahan mengangguk kepala. Hatinya merasa sedikit tenang walaupun jauh didalam hati, dia masih risau dengan apa yang akan berlaku. Dia yakin ibunya pasti akan menemuinya.
“Apa sebenarnya yang mak awak nak ya?”
“Maksud awak?” Ain Farhah mengerutkan dahinya.
“Yalah. Malam tadi dia call saya, dia beritahu kalau saya nak kahwin dengan awak, saya kena bagi lima puluh ribu dengan dia,” beritahu Fahni. Kerusi yang tersusun dimeja makan ditarik sebelum duduk.
“Apa? Lima puluh ribu?” Ain Farhah terkejut dan Fahni hanya mengangguk.
“Dah gila ke? Sampai hati mak buat macam ni dengan saya?”
“Maaflah kalau saya bertanya tapi betul ke dia tu mak awak? Setahu saya seorang ibu takkan sanggup jual anak sendiri pada orang lain.”
Sebuah kerusi yang ada perlahan diduduki. Dia benar-benar tidak menyangka akan sikap ibunya yang sanggup memberinya pada orang lain hanya kerana duit. Air matanya mula menitik jatuh. Dia benar-benar sedih.
Fahni mencapai sekotak tisu yangada diatas meja lalu dihulurkan pada Ain Farhah. Hatinya terusik melihat air mata yang jatuh. Bayangan ibunya yang sudah meninggal perlahan diingati.
Kenderaan Honda Accordnya yang berwarna putih susu meluncr laju membelah jalan raya. Dia mahu menemui rakan Ain Farhah yang bernama Fatin. Lagipula dia berfikir bahawa Ain Farhah akan lebih selesa mengeluarkan isi hatinya pada rakan sejantinanya.
Selesai memarkirkan kenderaanya, dirinya terkaku seketika. Anak matanya tertuju pada Puan Roliah yang sedang berbual dengan dua orang lelaki berbadan besar. Dari apa yang diperhatikannya, dia yakin bahawa dua orang lelaki berbadan besar itu merupakan orang suruhan Puan Roliah.
Fahni membatukan diri. Matanya tetap tertuju pada Puan Roliah dan orang suruhannya.
Setelah berbincang beberapa ketika, kedua lelaki itu mula berpecah. Seorang ke kiri dan seorang ke kanan sementara Puan Roliah pula duduk disalah sebuah bangku yang ada ditepi jalan. Dan kesempatan itu diambil Fahni untuk menghampiri Puan Roliah. Tidak dilupakan, pistol Glock 19 miliknya disembunyikan dibalik jaketnya.
Puan Roliah terkejut sebaik sedar Fahni telah duduk disebelahnya. Baru sahaja dia ingin membuka mulut memanggil orang suruhannya, Fahni terlebih dahulu mengeluarkan muncung pistolnya.
“Jeritlah kalau rasa nak mati,” ujar Fahni tenang. Puan Roliah kini pucat lesi.
“Tolong... Aku belum nak mati lagi,” dengan suara yang bergetar, Puan Roliah merayu. Kedua tangannya nampak menggigil ketakutan.
“Apa yang kau nak sebenarnya?”
“Hah?”
“Cari Ain kan?” Puan Roliah mengangguk pantas.
“Tak payahlah cari Ain lagi. Dia tak nak balik,” sambung Fahni. Sekilas dia memandang Puan Roliah dan melemparkan senyuman.
“Dia kena balik. Dia kena ikut aku. Aku mak dia.”
“Mak? Mak apa sampai sanggup jual anak sendiri? Monyet pun takkan beri anak dia pada orang lain,” balas Fahni.
“Tolonglah. Beritahu aku Ain ada dekat mana. Aku perlukan dia sekarang.”
“Kenapa aku perlu beritahu kau Ain ada dekat mana?”
“Ain kena ikut dengan aku sekarang. Bakal suami dia dah menunggu,” ujar Puan Roliah.
“Jadi bagaimana dengan aku? Kau sendiri dah janji untuk berikan Ain pada aku dan sebagai balasan aku akan bagi kau lima puluh ribu.”
Puan Roliah terdiam. Dia tidak menyangka jika Fahni seoraang anak muda yang pengingat dan menagih janji. Perlahan keluhan dilepaskan.
“Apa kata kalau aku bagi kau seratus ribu?” sambung Fahni. Terbuntang mata Puan Roliah sebaik telinganya mendengar perkataan seratus ribu itu.
“Macamana?”
“Aku bagi kau seratus ribu dan aku nak kau jangan ganggu Ain Farhah lagi.”
“Okay, tapi aku nak sekarang.”
Puan Roliah bersetuju. Dia sudah tidak sabar untuk membelanjakan wang yang banyak itu. Pelbagai khayalan mula bermain difikirannya.
“Okay, sekarang kau pergi. Pastikan orang kau juga tak ada,” arah Fahni.
Puan Roliah menurut. Telefon pintarnya dikeluarkan dari dalam beg tangannya menghubungi kedua lelaki suruhannya itu.
Fahni bangun. Dia mengorak langkah menghampiri kenderaannya. Sebuah buku cek dikeluarkan. Dengan pantas dan tanpa berfikir panjang, dia menulis nilai yang ingin dikeluarkan sebelum diberikan kepada Puan Roliah.
“Terima kasih,” ujar Puan Roliah. Helaian cek itu dihidu dengan kuat.
Fahni hanya tersenyum nipis. Buku cek itu kembali dimasukkan kedalam kenderaannya. Puan Roliah yang berlalu dengan gembira dipandangnya dengan penuh rasa simpati. Siapa sangka jika cek yang diberikannya pada Puan Roliah itu adalah cek palsu.
Puan Roliah bersembunyi dibalik sepohon pokok. Dia melihat Fahni sedang berbual dengan Fatin, rakan sekerja anaknya. Walaupun dia sudah berjanji untuk tidak menganggu Ain Farhah, namun dia masih tidak berpuas hati. Baginya Ain Farhah harus tetap mengikuti kehendaknya.
Dia melihat Fatin mengangguk. Seribu satu persoalan muncul difikirannya. Dia ingin tahu dimanakah lelaki itu menyembunyikan anaknya.
Fatin masuk kedalam kedai tempatnya bekerja sebelum kembali keluar dan menghampiri kenderaannya. Fahni turut sama berbuat kemudian, dia memandu kenderaannya dan membiarkan Fatin mengikutinya dari belakang. Dan kesempatan itu juga diambil Puan Roliah. Tangannya pantas menahan sebuah teksi yang kebetulan lewat.
“Ikut kereta putih tu,” ujar Puan Roliah menunjuk kearah kenderaan Fahni. Pemandu teksi itu hanya mengangguk.
“Cepat sikit, jangan sampai lepas,” sambung Puan Roliah.
Telefon pintarnya yang ada didalam beg tangan dikeluarkannya. Jari jemarinya pantas menari menghubungi orang suruhannya. Dia mahu kedua lelaki itu menyusulnya sebaik dia mengetahui keberadaan anaknya.
Hampir dua puluh minit berlalu, akhirnya Fahni menyimpang masuk kesebuah apartment. Fatin mengejar dari belakang. Puan Roliah pula berhenti diluar. Dengan pantas dia membayar tambang teksi dan keluar bersembunyi dibalik tembok.
Disini ke dia sembunyikan Ain? Puan Roliah bertanya didalam hati. Dia mengintai dari celah pagar, cuba mencari tahu. Dia melihat Fatin mengikut Fahni ke lif.
“Puan buat apa disini?”
Puan Roliah terkejut sebaik dia menoleh. Didepannya berdiri seorang security guard yang lengkap berpakaian seragam sedang memandangnya dengan penuh tanda tanya.
“Puan pencuri ke?” tanya pengawal keselamatan itu lagi.
“Hei, jaga mulut tu sikit ya? Orang cantik macam ni takkanlah nak mencuri pula? Saya tengah tunggu kawan saya ni,” balas Puan Roliah. Dia sengaja merapikan rambutnya.
“Tunggu kawan?” Pengawal itu seolah tidak percaya.
“Ya, tunggu kawan. Dia tinggal disini.”
“Maaflah tapi siapa nama kawan puan tu?”
Puan Roliah menelan air liurnya. Dia mula buntu. Otaknya pantas bekerja. Dia tidak tahu nama siapa yang harus digunakannya.
“Puan?”
“Nama dia Fahni. Mesti awak kenal dengan dia kan?”
Pengawal itu mengerutkan dahinya. Dia bagaikan tidak percaya jika anak muda yang begitu dikenalinya mahu berkawan dengan seorang wanita tua yang mengaku muda.
“Hei, jangan tengok saya macam tu ya? Walaupun saya nampak tua, tapi saya masih bergetah,” ujar Puan Roliah tenang.
Apa kena dengan perempuan tua ni? Dah nyanyuk kot. Getus hati pengawal keselamatan itu. Hanya senyuman sumbing yang terukir.
“Boleh saya masuk tak?”
“Masuk? Maaf, saya tak boleh benarkan orang luar masuk kedalam kawasan apartment ni. Apatah lagi puan nak berjumpa dengan Encik Fahni.”
“Tapikan saya kawan dia.”
“Kalau macam tu, biar saya tanya dulu dengan Encik Fahni. Kalau dia bersetuju, barulah saya boleh lepaskan puan untuk masuk,” balas pengawal tersebut.
Puan Roliah mendengus kasar. Rancangannya untuk mengetahui keberadaan kediaman Fahni gagal. Mahu tidak mahu, dia terpaksa pergi tapi tidak bermaksud dia akan melepaskan anaknya.
“Boleh saya tahu nama puan?” tanya pengawal itu sebaik melihat Puan Roliah hanya diam seolah memikirkan sesuatu.
“Tak apalah, saya pergi dulu.”
Pengawal keselamatan itu hanya menggelengkan kepalanya. Dia tidak sangka ada wanita yang masih berpenampilan muda berbanding usianya. Jauh didalam hati, dia berdoa agar Puan Roliah dibukakan pintu hati untuk mendalami agama.
Ain Farhah pantas memeluk rakannya. Air matanya turut menitik turun membasahi bahu Fatin. Dia benar-benar tidak mempunyai semangat. Hatinya berkecai teruk dan tidak dapat diselamatkan. Dia tidak kuat untuk menahan perasaan seorang diri.
Fatin mengusap rambut rakannya. Dibiarkannya Ain Farhah menangis di bahunya. Walaupun dia baru mengenali Ain Farhah, dia dapat merasakan bahawa Ain Farhah adalah seorang wanita yang baik walaupun jauh didasar hati, seribu satu masalah terkumpul menyiksa jiwa.
Fahni hanya diam. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Baginya, seorang wanita akan lebih bersikap terbuka bersama rakan sejenisnya.
“Apa yang berlaku sebenarnya?” tanya Fatin sebaik tangisan Ain Farhah reda.
Ain Farhah diam. Dia masih tidak tahu bagaimana hendak memula kata. Wajahnya basah akibat air mata. Tisu yang ada bagaikan tidak dapat mengeringkan air matanya.
“Bawa bertenang Ain... Tarik nafas dalam-dalam,” ujar Fatin. Ain Farhah hanya menurut.
“Mak Ain bercadang nak kahwinkan Ain dengan seorang lelaki,” Fahni memberitahu.
“Kahwin?” Fatin terkejut.
“Ya Fatin. Mak nak aku kahwin dan aku sedikitpun tak kenal dengan lelaki tu. Mak nak kami berkahwin di Thailand,” ujar Ain Farhah.
“Dan sebagai ganjaran, dia nak duit dari lelaki tu,” sambung Fahni.
“Duit? Macam dah nak menjual anak namanya.”
“Aku tak nak Fatin... Aku tak nak kahwin dengan lelaki tu. Aku tak nak dijadikan tempat untuk menampiaskan nafsu.”
“Ain, jangan cakap macam tu... Lagipun kau dah selamat sekarang. Fahni dah pun tolong kau. Kau janganlah risau,” Fatin menggosok bahu Ain Farhah.
“Tapi aku yakin mak aku takkan duduk diam. Dia mesti akan cari aku walaupun apa cara sekalipun.”
“Kau tak lapor pada polis?”
Ain Farhah tersentak. Wajah Fatin dipandangnya. Sedikitpun dia terfikir untuk melaporkan perbuatan ibunya pada pihak berkuasa. Baginya itu seperti membuka aib keluarga sendiri.
“Tak...Tak mungkin aku akan lapor pada polis.”
Fatin diam. Tidak mungkin dia akan memaksa Ain Farhah untuk melaporkan hal tersebut pada pihak polis. Walaupun dia berkehendak sedemikian rupa, namun dia tahu keputusan ada ditangan rakannya.
“Awak tidurlah disini malam ni,” ujar Fahni menukar topik perbualan.
“Baiklah.”
“Saya balik dulu, kalau ada apa-apa call saya.”
“Terima kasih Fahni,” ujar Ain Farhah dan Fahni hanya mengangguk. Dengan pantas dia keluar dari rumah tersebut. Satu mesej dari security guard yang berkawal di bawah menarik perhatiannya.