Fahni menggigit bibirnya menahan rasa sakit. Seorang lelaki bernama Ah Peng tetap tenang mengeluarkan serpihan peluru dari dalam bahunya. Mengeluarkan peluru dari dalam daging merupakan hal yang biasa baginya.
Peluh kini membasahi wajah dan seluruh badan Fahni. Dia bagaikan bermandi peluh. Peluru yang tertanam dibahunya seolah enggan keluar. Rasa sakit semakin dirasainya apabila penjepit masuk kedalam dagingnya.
“Okay, sudah keluar,” ujar Ah Peng. Butir peluru diletak diatas sebuah mangkuk.
Fahni menarik nafas lega. Badannya terasa lemah. Dia kehilangan darah dan tenaga. Dibiarkannya lelaki itu membubuh ubat dan membalut bahunya sebelum dia keluar menemui Ain Farhah dan Hairul Jazmi yang menunggu diluar bilik.
“Kau okay?” tanya Ain Farhah sebaik melihat Fahni keluar dengan mengenakan sehelai tshirt longgar. Hairul Jazmi hanya diam.
“Aku okay. Kau pula macamana?” tanya Fahni kembali. Ain Farhah hanya mengangguk.
“Kau sedar tak apa yang kau buat tadi? Kalau ada orang rakam dan beri pada polis macamana? Habislah masuk penjara. Aku tak nak masuk penjara,” Hairul Jazmi mula membebel. Dia benar-benar tidak menduga jika lelaki seusia Fahni sudahpun memiliki senjata api.
“Kau jangan risau. Kalau masuk penjara pun aku takkan bawa kau,” jawab Fahni tenang. Dia mencapai sebuah gelas dan menuang air teh hijau sebelum diteguknya perlahan.
“Tak bawa aku kau kata? Eh, kau tahu tak aku boleh dikira bersubahat tau. Dah terang-terang aku dengan kau.”
“Anggap sajalah aku culik kau. Habis cerita.”
Hairul Jazmi mendengus kasar. Fahni seolah tidak bersikap matang difikirannya.
“Awak berehatlah dulu. Esok pagi kita akan balik,” sambung Fahni. Ain Farhah hanya mengangguk membiarkan Fahni kembali masuk kedalam biliknya.
Fahni menutup pintu biliknya. Telefon pintarnya yang ada diatas katil dicapai. Dia mahu menghubungi ayahnya.
Rasa sakit dibahunya ditahan. Ini bukanlah kali pertama dirinya ditembak. Sejak habis sekolah dia sudah terlibat dengan ahli kongsi gelap tanpa pengetahuan ibunya. Dan bila ibunya meninggal, dia mengambil keputusan untuk berhenti dari terus bergaul dengan ahli kongsi gelap.
Senjata api jenis Glock 19 yang ada diatas meja dipandang seketika. Itulah hadiah pertama yang diberikan ketuanya pada dirinya. Dan dari itulah dia dilatih untuk menembak dan membunuh orang.
“Hello Fahni.”
Lamunan Fahni lantas terhenti sebaik mendengar suara ayahnya dihujung talian.
“Ayah okay ke?” tanya Fahni. Dia bersikap santai walaupun hakikat sebenarnya dia sedang menahan rasa sakit.
“Ayah okay Fahni. Kamu ke Thailand buat apa?”
“Fahni ada urusan kerja sikit ayah. Tapi entah macamana, kerja tu tertangguh pula. Esok Fahni akan balik,” jawab Fahni.
“Kamu hati-hati ya Fahni? Jangan bawa kereta laju sangat,” pesan Pak Othman.
“Ya ayah. Ayah berehatlah. Esok Fahni akan belikan ole-ole.”
“Tak payah susah-susahlah Fahni. Ayah tak perlukan apa-apa pun.”
“Yalah. Ayah berehatlah. Esok Fahni call lagi.”
Fahni memutuskan panggilan telefonnya. Dia mengigit bibirnya. Luka dibahunya kembali terasa seolah mengigit.
Puan Roliah melemparkan beg tangannya ke dinding. Hatinya membuak marah pada Fahni. Lelaki itu sering saja menganggu rancangannya. Kini dia terpaksa membuat rancangan baru. Dia terpaksa untuk mencari lelaki lain yang mahu menjadi budak suruhannya.
“Kau tengoklah nanti. Aku akan pastikan kau mati didepan aku,” dengus Puan Roliah kasar. Matanya tampak berapi.
Sekotak rokok dikeluarkan dari dalam poket seluarnya. Sebatang rokok dihisap dengan rakus. Dirinya tidak ubah seperti perokok tegar walaupun dia baru saja berjinak dengan rokok sejak beberapa bulan yang lalu.
Telefonnya tiba-tiba berdering. Dia bangun dan mencapai telefonnya. Nama Murad tertera di skrin telefon memaksanya untuk pantas mencari alasan untuk setiap pertanyaan lelaki itu.
“Hello.”
“Kau dimana ni? Bila aku nak habis menunggu ni?” tanya Murad.
“Kau sabarlah sekejap. Kau sendiri tahu tak, ikan yang segar memang susah nak ditangkap. Kau tenang je. Sampai di Thailand, aku akan call kau,” jawab Puan Roliah. Kedua kakinya dinaikkan diatas meja.
“Itulah yang kau selalu cakap bila aku call? Kau fikir aku tak ada kerja ke nak dibuat selain menunggu kau ni? Kalau tak dapat beritahu tak dapat, jangan buat aku tertunggu-tunggu.”
“Murad, kau kenal aku kan? Aku Roliah lah. Aku takkan mungkir janji. Kau tetap akan kahwin dengan Ain.”
“Kau jangan nak main-main dengan aku ya Roliah? Kau dah janji dan kau kena tunaikan janji kau. Kalau tak kau kena bayar balik duit aku dua kali ganda,” Murad kembali mengingatkan Roliah. Dia tidak mahu dirinya ditipu apatah lagi dia sudahpun memberi wang tujuh puluh ribu pada Roliah.
“Okay... Aku ingat semua tu. Tak payah kau nak ulang banyak kali. Kau tetap akan dapat Ain walaupun lambat. Tapi aku yakin kau takkan rasa kesal dengan penantian kau. Malah kau akan dapat lebih nanti dimalam pertama kau,” balas Puan Roliah sambil tersenyum lebar.
“Aku akan tunggu.”
Murad memutuskan panggilannya. Puan Roliah hanya tersenyum bagaikan angau. Difikirannya terbayang akan betapa seronoknya Murad sebaik dia dikahwinkan dengan anaknya. Dan dia dapat membayangkan betapa bahagianya dirinya. Dia tidak lagi perlu bekerja mencari wang malah dia boleh meminta terus dari anaknya yang sudah menjadi isteri Murad yang juga seorang peniaga berjaya.
Ain Farhah tidak mampu untuk melelapkan matanya. Ingatannya sentiasa membayangkan wajah ayahnya. Dia tidak menyangka jika dirinya akan diperlakukan sedemikian rupa. Dirinya ditinggal tanpa sebarang khabar. Sudah lima tahu dia tidak mendengar khabar ayahnya. Ayah yang sudah hilang dari matanya.
Dengan perlahan dia bangun dan duduk melunjur. Selimut dibiarkan membungkus kakinya. Rasa sejuk dirasainya keluar dari alat penghawa dingin. Pantas tangannya mencapai alat kawalan jauh. Penghawa dingin itu ditutup.
Perlahan keluhan dilepaskan. Dia menggosok badannya yang terasa sejuk. Jika tadi dia memikirkan ayahnya, kini dia mula beralih memikirkan Fahni. Tindakan berani Fahni mula menimbulkan tanda tanya pada dirinya. Dia juga ingin tahu siapakah Fahni yang sebenarnya.
Tidak mahu dihimpit dengan teka teki, Ain Farhah keluar dari dalam biliknya menghampiri bilik yang menempatkan Fahni. Namun baru sahaja tangannya naik ingin mengetuk pintu, dia dikejutkan dengan satu deheman dibelakangnya. Pantas dia menoleh.
“Tak tidur lagi?” tanya Fahni. Ditangannya ada sebotol mineral bersaiz besar.
“Tak... Saya tak boleh tidur,” jawab Ain Farhah.
“Biasalah tu. Awak berehatlah.”
“Fahni, saya nak tanya sesuatu.”
Fahni yang hendak melangkah kembali berhenti. Wajah Ain Farhah dipandangnya.
“Pasal?”
“Kita duduk dulu,” Ain Farhah meminta Fahni untuk duduk. Sebuah kerusi ditarik mengadap meja bulat. Fahni hanya menurut. Botol air diletakkan diatas meja.
Sebaik duduk, Ain Farhah melepaskan keluhannya. Dia mengumpulkan keberaniannya untuk bertanya terus pada Fahni.
“Awak nak tanya apa?”
“Erm... Saya nak tahu awak siapa sebenarnya? Macamana awak boleh ada senjata api?”
Fahni diam. Dia mula mencari jawapan untuk pertanyaan wanita itu.
“Awak pembunuh ke?”
“Hah?” Fahni terlihat sedikit terkejut.
“Habis tu macamana orang semuda awak boleh ada pistol? Takkanlah awak polis pula?”
“Saya ahli kongsi gelap,” jawab Fahni berterus terang. Ain Farhah sedikit tergamam. Dia tidak menyangka jika lelaki tampan dan berlesung pipit dihadapannya merupakan ahli kongsi gelap perangkap pemungut hutang.
“Ahli kongsi gelap? Jadi yang tadi tu?”
“Dia kawan saya. Namanya Ah Peng. Dulu dia pun sama macam saya tapi sekarang dah berhenti,” terang Fahni lagi.
Ain Farhah menekup mulutnya. Dia benar-benar terkejut.
“Tapi itu semua dulu. Sekarang saya dah tak jadi ahli kongsi gelap. Lepas ibu saya meninggal, saya terus berhenti,” sambung Fahni lagi.
“Tapi macamana awak boleh mempunyai pistol?”
“Ketua saya yang bagi. Katanya saya ada semangat yang baik untuk membunuh orang.”
“Jadi dah berapa ramai yang awak bunuh?”
Fahni diam. Dia mencuba untuk mengingat namun hampa. Dia hanya mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu berapa banyak nyawa sudah dicabutnya.
“Awak jangan risaulah. Saya takkan bunuh awak.”
Fahni bangun dari kerusinya. Botol air mineral kembali dicapai sebelum melangkah masuk kedalam biliknya meninggalkan Ain Farhah.
Ain Farhah masih terkaku keras. Dia sama sekali tidak menyangka jika lelaki yang selama ini baik dengannya adalah seorang bekas ahli kongsi gelap. Pantas saja dia cekap menggunakan senjata api, rupanya dia telah diajar bagaimana hendak membunuh orang dengan hanya satu tembakan tepat.
Dalam diam, Hairul Jazmi mendengar dari balik pintu. Dia sendiri terkejut dengan pengakuan Fahni. Budak juvana yang dianggapnya liar rupanya memang mempunyai kisah hitam dibaliknya.
Telefonnya dicapai dan dia mula menghubungi seseorang. Dengan nada yang perlahan, dia bercakap dengan jelas dan teratur. Satu persatu butiran diberitahu. Sesekali matanya meliar risau ada lubang yang digunakan untuk mengintipnya.