Bab 20

Fahni mendengus kasar. Dia masih merasa sedikit pusing sebaik sedar dari pengsannya. Dengan perlahan, dia menoleh ke tepi dan melihat Ain Farhah sedang tidur. Ditempat duduk belakang, ada Fatin yang juga tertidur keletihan akibat memandu jauh.

Baju tshirtnya yang ditanggalkan dari badannya kembali dicapai. Perlahan dia keluar dari kereta. Tanpa menutup pintu, dia bergerak ke belakang kenderaan duduk mencangkung di tepi longkang yang kering tanpa air.

Kepalanya yang masih terasa pusing membuatkan dia memicit kepalanya perlahan. Dia mencuba untuk bertenang sambil berharap dirinya akan kembali membaik. Dengusan demi dengusan dilepaskan. Jika tadi tangannya dikepala, kini dia meraup wajahnya. Seolah ada satu keluhan yang dikeluarkannya.

Ain Farhah tersedar dari tidur tatkala ada angin sejuk yang mencengkam tubuhnya. Dia sedikit terkejut dengan ketiadaan Fahni di tempatnya. Matanya liar mencari Fahni sebelum akhirnya terhenti di belakang kenderaan. Dia melihat Fahni duduk ditepi longkang.

“Awak buat apa diluar ni?” tanya Fahni sebaik sedar akan kehadiran Ain Farhah yang keluar dari dalam kereta.

Ain Farhah duduk disebelah Fahni. Pertanyaan Fahni tidak dijawabnya.

“Apa yang awak nak buat sekarang?” tanya Ain Farhah.

“Entah. Saya tak tahu,” jawab Fahni sambil menggeleng. Dia sendiri buntu.

Ain Farhah diam seketika. Langit yang dipenuhi dengan bintang ditatapnya. Satu pemandangan yang cukup indah untuk dilepaskan.

“Awak nak tahu tak kenapa bulan masih satu?” tanya Ain Farhah. Fahni hanya diam. Dia turut mengangkat wajahnya memandang bulan yang cantik memantulkan cahaya.

“Kenapa?”

“Sebab bulan setia. Walaupun dia dikelilingi dengan bintang yang cukup cantik, tapi dia tetap memilih untuk setia.”

“Apa yang awak mengarut ni? Bulan mana boleh berkahwin dengan bintang,” Fahni tersenyum geli hati.

“Siapa kata? Sedangkan manusia sendiri berkahwin dengan makhluk jin, apatah lagi bulan dan bintang? Mungkin saja mereka boleh bersatu.”

“Manusia dengan jin benda yang berbeza. Walaupun ada dialam yang lain, tapi keduanya masih tampak serupa. Jin boleh je menyerupai manusia,” balas Fahni pula.

Ain Farhah hanya tersenyum. Dia merasa sedikit gembira melihat senyuman yang muncul diwajah lelaki itu. Dan entah mengapa dia mula belajar untuk menyintai Fahni.

“Awak nak tahu tak Ain? Bila awak cerita pasal bulan dan bintang ni, teringat pula saya dengan ayah. Mesti dia sedang tunggu saya sekarang.”

“Ayah?”

“Dia ada penyakit tibi,” beritahu Fahni. Dia tidak lagi berahsia akan sakit ayahnya pada Ain Farhah.

“Maafkan saya,” Ain Farhah bersimpati namun Fahni hanya mengukir senyum.

“Awak mesti ada ayah kan?”

Ain Farhah diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan Fahni. Pantas air matanya menitik turun. Dan dengan pantas juga dia mengesat air matanya.

“Awak tak apa-apa?”

“Ya, saya okay. Mestilah saya pun ada ayah. Ayah saya adalah ayah yang paling sempurna di muka bumi ni. Tapi sayang, saya tak tahu ayah saya ada dimana. Sejak ayah bercerai dan mak, saya tak lagi tahu ayah ke mana. Dia hilang tanpa sebarang jejak,” cerita Ain Farhah.

“Awak tak tanya dengan mak awak?”

“Nak tanya macamana? Bukannya awak tak kenal mak saya macamana,” balas Ain Farhah. Fahni hanya mencebik.

“Tak apalah. Awak anggap je ayah saya macam ayah awak. Bila ada masa nanti saya bawa awak jumpa dia,” ujar Fahni. Dirangkulnya bahu Ain Farhah rapat kebadannya. Ain Farhah hanya tersenyum.


Masa berlalu dengan cukup pantas. Antara sedar atau tidak, sudah hampir sejam setengah mereka duduk diluar kenderaan. Dengan bersilingkan langit yang dipenuhi dengan kerdipan bintang, mereka asyik dengan pemandangan alam. Cuaca yang semakin sejuk membuatkan keduanya semakin rapat.

“Awak tak rasa sejuk ke?” tanya Fahni. Dipandangnya Ain Farhah yang hanya memakai tshit berlengan pendek.

“Sejuk juga,” jawab Ain Farhah. Dia sudah mula memeluk tubuh.

“Pergilah masuk dalam kereta.”

“Tak naklah,” Ain Farhah menggeleng.

“Kenapa? Tak takut ke duduk dengan saya? Saya ni jahat tau. Ahli kongsi gelap,” ujar Fahni namun Ain Farhah hanya tersengih.

“Jahat tak apa janji awak tak gatal,” balas Ain Farhah.

“Eh, siapa kata saya tak gatal? Saya lelaki tau.”

“Yalah tu...”

“Amboi, berani ya? Saya cium awak nanti, baru tahu,” ugut Fahni namun Ain Farhah hanya tersenyum.

“Ciumlah kalau awak berani. Saya yakin awak takkan...”

Belum habis ayat Ain Farhah, Fahni bertindak menciumnya. Ain Farhah terkejut namun tidak pula dia bersikap kasar. Ciuman Fahni seolah tidak menaikkan kemarahannya.

“Kan saya dah kata? Saya berani cium,” ujar Fahni. Dia mengukir senyuman melihat wajah polos Ain Farhah.

Ain Farhah terdiam kaku. Dia tidak lagi bersuara. Dan melihat Ain Farhah yang diam, Fahni bertindak sekali lagi. Namun dia lebih bersikap tenang. Dia membiarkan Ain Farhah turut merasakan cumbuannya. Keduanya bagaikan hanyut dalam permainan.


Fatin terkejut sebaik tersedar dari tidurnya. Matanya liar mencari kelibat Fahni dan rakannya yang hilang dan tidak berada didalam kereta. Namun baru sahaja dia ingin membuka pintu kenderaan, matanya terhenti akan sesuatu yang ada didalam kenderaannya. Setelah diamati, rupanya Fahni dan Ain Farhah tidur bersama didalam kenderaan miliknya, berpeluk antara satu sama lain.

Fatin mengetuk tingkap kenderaannya dengan kasar. Hatinya berbuih marah melihat rakannya yang asyik berpeluk dengan Fahni yang bukan muhrimnya.

“Ain, kau keluar sekarang,” ujar Fatin sebaik Ain Farhah sedar dari tidurnya.

“Fatin...”

Ain Farhah keluar dengan tergesa-gesa. Rambutnya yang mengerbang dirapikan dengan pantas.

“Apa yang kau buat ni Ain?” tanya Fatin.

“Buat apa? Aku tidur je dikereta kau,” jawab Ain Farhah. Fahni yang sudah sedar turut keluar dari kereta.

“Tidur? Eh, kau nak mengotorkan kereta aku ke? Kau dengan Fahni kan belum muhrim?” 

“Hah? Mana ada aku buat apa-apa.”

Fatin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ain Farhah seolah enggan faham akan maksudnya. 

“Kenapa ni?” tanya Fahni. Matanya digosok perlahan.

“Tak ada apa. Lepas ni nak kemana?”

“Erm... Balik.”

“Okay. Ain akan ikut aku,” ujar Fatin. Ain Farhah mengerutkan dahi.

“Okay,” Fahni bersetuju. Baginya Ain Farhah akan lebih selamat jika bersama Fatin.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi. Awak balik dengan dia dulu, saya ikut dibelakang,” potong Fahni. Fatin mengangguk.

Mahu tidak mahu, Ain Farhah terpaksa menurut. Fatin pantas menariknya masuk kedalam kenderaan meninggalkan Fahni.


Puan Roliah kini mempunyai rancangan yang baru. Dia mahu mengumpan Ain Farhah. Kini dia tahu dimana bekas suaminya tinggal. Dan dia yakin jika rancangannya itu akan berjaya mengumpan Ain Farhah masuk keperangkapnya.

Ibu jarinya rancak menari diatas skrin menghubungi orang suruhannya yang baru. Dia mahu orang suruhannya bernama Roslan menculik Pak Othman yang dikatakan sedang hidup mewah hasil kekayaan isterinya.

“Roslan, aku nak kau culik lelaki tu. Tapi kau jangan apa-apakan dia. Tunggu sehingga aku datang,” ujar Puan Roliah.

“Okay bos!”

Puan Roliah tersenyum lebar. Murad juga sudah dimakluminya agar berkahwin dengan anaknya ditempat lain. Dia tidak lagi mahu membuang masa untuk membawa anaknya pergi ke Thailand.


Jennifer menjerit sebaik sepucuk pistol dihalakan kearahnya. Baju yang ingin dijemurkan spontan terlepas ditangannya. Kedua kakinya lemah. Seumur hidup, itulah kali pertama dia dihalakan muncung senjata api sedemikian rupa.

“Mana Othman?” tanya Roslan kasar.

“Si... Siapa Othman? Aku... Tak kenal,” jawab Jennifer tergagap-gagap. 

“Kau nak kepala kau pecah ke? Baik kau beritahu aku dimana Othman sekarang,” ugut Roslan. Dia semakin mendekatkan hujung pistolnya.

“Okay... Okay... Aku beritahu... Dia ada di hospital...”

“Hospital? Buat apa?”

“Ambil ubatlah bodoh!”

Jawapan Jennifer membuatkan Roslan menghentakkan pistolnya tepat dikepala Jennifer. Jennifer rebah dilantai tanah.

“Celaka punya pembantu rumah! Boleh pula kau kata aku bodoh!” Herdik Roslan. Tubuh kaku Jennifer sempat diludahnya.

Roslan mengorak langkah. Hatinya begitu hampa sebaik mengetahui mangsa culiknya ada di hospital. Namun malang tidak berbau, apabila telinganya mendengar suara Pak Othman yang sedang memanggil Jennifer.

“Ada rupanya orang tua ni? Ceh, mati-mati aku ditipu! Tak guna punya perempuan,” sumpah Roslan lagi. 

Dengan kaki yang panjang, dia masuk kedalam rumah tanpa membuka kasut. Matanya liar mencari susuk tubuh Pak Othman yang hendak diculiknya. Senjata api tetap setia ada ditangannya. Risau juga jika lelaki tua sedar akan dirinya dan bertindak untuk mengeluarkan senapang gajah dan dalam diam membidiknya.


Pak Othman melepaskan keluhannya. Dia tertanya-tanya kemana perginya pembantunya itu. Sudah jenuh mulutnya memanggil nama Jennnifer namun wanita berdarah campuran Filipina dan Malaysia itu masih tetap tidak memunculkan diri.

“Kemana pula dia ni?” Pak Othman bertanya dalam hati. 

“Jennifer... Oh Jennifer...”

Pak Othman mengangkat wajahnya sebaik sedar ada seseorang berdiri di pintu biliknya. Namun sebaik dia memandang empunya badan, dia terkejut. 

“Awak ni siapa?” tanya Pak Othman.

“Jangan nak banyak tanya. Sekarang aku nak kau bangun dan ikut aku,” pinta Roslan. Pistolnya dihalakan kearah Pak Othman.

“Nak kemana? Mana Jennifer?”

“Boleh tak jangan banyak tanya? Eii, silap haribulan, aku tembak juga kau ni nanti.”

Melihat keseriusan Roslan, Pak Othman terpaksa menurut. Dengan bantuan tongkat, dia bangun dengan kedua kaki yang menggeletar menghampiri kerusi roda.

Roslan mengetap bibirnya kasar. Hatinya mendidih geram melihat betapa perlahannya lelaki tua yang harus diculiknya itu. Tidak mahu membuang masa, dia mencapai kerusi roda dan menuntun Pak Othman.

“Terima kasih,” ujar Pak Othman sengaja menyakat lelaki bersenjata api itu.

“Bongok! Kau fikir aku suka tengok kau lembab macam ni? Menyakitkan hati betul. Entah mengapalah si Roliah suruh aku culik kau. Macam tak ada orang lain,” rungut Roslan. Dia menolak kerusi roda Pak Othman keluar dari rumah.

“Siapa? Roliah?” Pak Othman terkejut. Dia bagaikan tidak terasa asing dengan nama itu.

“Kau tak payah nak sibuklah. Dah tua pun masih lagi nak tanya itu ini,” balas Roslan.

Pak Othman hanya mendiamkan diri. Diluar rumahnya, dia dililit beberapa kali sebelum dibawa masuk kedalam kenderaannya. Dia sempat melihat Jennifer terbaring diatas permaidani rumput.


Hairul Jazmi merenung siling wadnya. Hatinya memanas mengenangkan Fahni yang mempunyai nasib lebih baik darinya. Ain Farhah yang seharusnya menjadi miliknya kini semakin jauh dari genggamannya. Wajah Puan Roliah yang datang mengejeknya juga membuatkan hatinya mendidih marah.

Seorang doktor yang datang memeriksa mematikan lamunan dan amarahh Hairul Jazmi. Senyuman palsu diukir.

“Macamana hari ni? Dah okay?” tanya Dr. Hukmin mesra. Dia mula memeriksa tekanan darah dan nadi Hairul Jazmi sebelum menulis sesuatu diatas fail yang dibawanya.

“Okay sikit,” jawab Hairul Jazmi.

Dr. Mukmin mengangguk. Hos kecil yang menghubungkan urat dan kantung beg yang tergantung diperiksa sebelum disuntik dengan cecair seolah ubat. Hairul Jazmi hanya diam.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.