BAB 23
Pak Othman memeluk anaknya erat. Kubur arwah Fahni ditatap penuh sayu. Kehilangan Fahni benar-benar meruntun jiwa. Ain Farhah tidak mampu untuk melepaskan Fahni. Itulah satu-satunya lelaki yang memahami dirinya selain ayahnya. Lelaki itu jugalah yang mengajar dirinya agar tidak lupa diri, mengajarkan dirinya erti sebuah kehidupan.
Pak Othman mengesat air matanya yang jatuh. Dia sendiri tidak menyangka jika anak lelakinya itu yang akan pergi dahulu darinya.
“Ain, sedekahkanlah Al-Fatihah,” ujar Pak Othman. Dia meleraikan pelukan anaknya.
Ain Farhah menurut. Selesai menyedekahkan Al-Fatihah, dia menyiram air bunga keatas pusara Fahni. Air matanya tetap tidak berhenti keluar membasahi wajahnya.
“Terima kasih Fahni. Terima kasih sebab hadir dan beri saya senyuman. Dan terima kasih juga sebab jaga ayah dengan baik. Saya takkan lupakan pengorbanan awak,” luah hati Ain Farhah. Batu nisan yang tertulis nama Fahni digosoknya.
Fatin datang tidak lama kemudian. Disisinya ada Hairul Jazmi yang turut menziarah dengan sebelah kaki yang masih berbalut duduk diatas kerusi roda. Keduanya tidak menyangka jika selama ini ayah Ain Farhah dijaga baik oleh Fahni.
“Ain,” tegur Fatin. Dia menghampiri rakannya dan memeluk erat. Belakang badan turut digosok perlahan.
“Kuatkan semangat ya?” Ain Farhah hanya mengangguk.
“Ain, maafkan aku...”
Ain Farhah angkat kepala. Wajah bersalah Hairul Jazmi dipandangnya sebelum perlahan kepalanya mengangguk.
“Aku benar-benar rasa bersalah. Aku tak sepatutnya buat macam tu dengan Fahni. Aku...”
Hairul Jazmi tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Dia sebak. Dia seolah merasa bersalah. Dia bersalah kerana telah menyebabkan Fahni menjadi buruan polis. Air matanya mula tumpah.
“Dahlah Hairul. Fahni dah pun maafkan kau,” balas Ain Farhah. Air matany dikesat dengan hujung tudung.
“Aku benar-benar rasa berdosa Ain... Kalau aku tahu, aku takkan buat macam tu dengan Fahni. Aku berdosa.”
“Hairul, setiap makhluk yang bernyawa pasti ada dosa. Dan sebab dosa itulah, kita kena berhati-hati dimasa akan datang. Fahni dah pun maafkan kau. Begitu juga dengan aku.”
Hairul Jazmi mengangguk. Sehelai sapu tangan yang dibawa dilap kewajahnya.
Ain Farhah kembali memandang pusara Fahni. Dia tidak lagi menangis meraung seperti tadi.
“Fahni, mungkin kita tiada jodoh di dunia ni. Tapi insyaAllah, suatu hari nanti saya akan bersatu dengan awak. Bersatu dengan keluarga dan bina kehidupan yang lebih baik.”
Pak Othman menggosok belakang anaknya. Sesekali dia mengangguk. Dia tidak menyangka jika Allah telah menyatukan kedua anaknya. Itulah rahsia Allah, tiada siapa yang tahu.
Ain Farhah mengukir senyuman gembira. Nafas panjang dihela. Batu nisan Fahni dilepas perlahan. Dia bangun, memapah ayahnya yang lemah. Kini dia sudahpun menemui syurga ayah. Ya, walaupun dia sudah menemui syurga ayah, namun syurga arwah ibunya tetap dikenangnya.
Dengan langkah yang perlahan, dia beralih ke kubur arwah ibunya. Walaupun arwah ibunya sudah berbuat jahat pada dirinya, dia tetap berhasrat untuk menyedekah dan mendoakan ibunya. Baginya, ibu adalah ibu yang terbaik baginya. Tiada apa yang dapat diganti dengan kasih seorang ibu.
TAMAT