Bab 8

Pak Othman melepaskan keluhannya. Rasa sakit yang dialaminya dibahagian kedua lututnya begitu menyusahkannya. Namun tidak pula dia mahu memanggil pembantunya. Tongkat yang disediakan ditepi katil dicapai lalu dengan tongkat tersebut dia mencuba untuk bangun. Dengan rasa sakit yang semakin dirasai, Pak Othman tetap mengagahkan dirinya untuk bangun. Dia tidak mahu kesulitannya itu turut menyusahkan orang lain.

Pak Othman memegang belakang pinggangnya yang turut terasa sakit. Maklumlah, dia sudah pun berumur 60 tahun pada waktu itu. Dirinya tidak lagi selincah dulu sewaktu dizaman mudanya. Kini hendak bergerak pun dia terpaksa menggunakan kerusi roda. Walaupun jauh didalam hati, dia mahu melangkahkan kaki dan bergerak tanpa bantuan.

Satu demi satu langkah diatur menapak ke hadapan. Tongkat menjadi tempatnya untuk mengimbangi badannya. Pinggangnya bertambah sakit tatkala dia cuba menegakkan badannya. Uratnya bagaikan tertarik dengan kencang.

  Namun baru sahaja dia mahu melangkah setapak lagi, kedua kakinya terasa lemah. Pak Othman jatuh terjelupuk diatas lantai. Dia mengerang kesakitan. Buku lalinya dipegang.

Fahni yang berada dibilik sebelah terkejut sebaik mendengar satu bunyi kuat dari bilik ayahnya. Kot yang ada diatas katil dibiarkan. Dia berlalu keluar menghampiri bilik ayahnya. Tombol pintu dipulas. 

“Ya Allah ayah. Kenapa ni?” Fahni pantas mendapatkan ayahnya. Dipapahnya Pak Othman kembali ke katil.

“Ayah cuma nak jalan-jalan,” beritahu Pak Othman. Pergelangan kakinya terasa begitu sakit.

“Ayah nak jalan ke mana? Kan boleh panggil saya atau pembantu,” balas Fahni. Dia duduk didepan ayahnya dan memegang kaki ayahnya yang sakit. Sesekali Pak Othman mengerang tatkala Fahni cuba mengurut.

“Ayah bosanlah asyik duduk di kerusi roda.”

“Ayah, kan ayah sakit. Doktor sendiri beritahu yang ayah kena kurangkan berjalan.”

“Ya, ayah tahu tapi ayah nak juga gerakkan kaki... Taklah nampak macam orang lumpuh,” ujar Pak Othman. Fahni hanya tersenyum nipis. Dia faham dengan apa yang diinginkan ayah tirinya namun sayang, dia tidak boleh menurutnya. 

“Ayah nak jalan kemana? Biar Fahni ambil cuti dan bawa ayah jalan-jalan.”

“Tak payahlah Fahni. Kamu dah asyik cuti. Nanti pekerja kamu risau pula,” bantah Pak Othman.

“Ayah...”

“Fahni, kamu dengar kata ayah ya? Ayah tahu kamu seorang bos tapi jangan disebabkan kamu adalah bos, jadi kamu boleh bertindak sesuka hati. Berilah contoh yang terbaik untuk pekerja kamu. Waktu kerja, kerja.”

Fahni diam. Perlahan kepalanya diangguk tanda faham. Nasihat ayahnya benar-benar mengingatkannya agar tidak besar kepala.

“Dahlah. Kamu pergilah kerja. Jangan lupa sarapan dulu, nanti perut masuk angin,” sambung Pak Othman. Kakinya ditarik menjauh dari Fahni.

“Ayah tak apa-apa ke?” 

“Fahni, kamu janganlah risau. Kan Jennifer ada? Kalau ayah nakkan bantuan, ayah boleh minta tolong dengan dia,” jawab Pak Othman. Jennifer adalah pembantu rumahnya yang juga bertindak untuk menjaganya.

“Kalau macam tu, Fahni pergi dulu ya? Nanti Fahni cuba cari seorang lagi pembantu untuk ayah.”

“Kenapa nak cari pembantu lagi?” 

“Ayah, takkanlah ayah nak si Jennifer mandikan ayah? Lagipun dia perempuan, tak baik berduaan dengan ayah yang bukan muhrimnya. Silap haribulan, dia akan jadi mak Fahni.”

Pak Othman hanya tersengih. Dia hampir terlupa akan perkara itu. Maklumlah selama ini dia membersihkan badannya sendiri dan sesekali dengan bantuan Fahni. Fahni turut tersenyum. Tangan Pak Othman dicapai lalu disalam sebelum pergi meninggalkan ayahnya.


Ain Farhah terkejut besar dengan apa yang dilihatnya. Botol minuman keras bertaburan diatas lantai diruang tamu rumahnya. Ibunya, Puan Roliah terlihat sedang asyik memeluk seorang lelaki. Bagaikan suami isteri, keduanya nampak tidak kekok. 

Ain Farhah mengucap panjang. Dia benar-benar malu dengan apa yang dilakukan ibunya sendiri. Dia turut malu untuk keluar dan memaperkan wajah pada orang kampung. Dia yakin telinganya akan mendengar hinaan dan cacian penduduk kampung. 

Bukannya dia tidak pernah menegur ibunya, namun setiap kali dia hendak berbuat demikian, dia akan kembali dileteri. Hinaan dan cacian akan keluar dari mulut ibunya. Begitu juga dengan tamparan dan balingan sesuatu benda yang selalu hinggap dibadan dan kepalanya. Mujur saja dia seorang yang agak kebal, jika tidak namanya akan menjadi nama yang paling banyak tertulis di buku rekod hospital. Silap haribulan, namanya boleh tertulis di Guiness World of Record sebagai orang yang sering masuk ke hospital.

Dengan perlahan, dia melangkah menghampiri pintu rumah. Namun entah bagaimana, tiba-tiba dia tersepak akan sebuah botol minuman keras yang berdiri tegak. Botol minuman tersebut tergolek mengeluarkan bunyi yang kuat seraya mengejutkan Puan Roliah dan teman lelakinya yang terlihat seperti lelaki India.

“Woi, apa yang kau buat ni hah?” bentak Puan Roliah. Sebuah bantal dilempar kearah Ain Farhah.

“Mak, apa yang mak buat ni? Siapa lelaki tu?” Ain Farhah tidak menjawab pertanyaan ibunya.

“Kenapa kau nak tahu? Itu bukan urusan kau!”

“Mak, tak baik tau mak buat macam ni? Nanti satu kampung pulau kita mak. Malulah Ain nanti.”

“Malu? Eh? Sejak bila kau pandai malu? Pedulilah dengan apa yang orang nak kata. Ini hidup aku, dan tak ada siapa yang boleh ganggu aku termasuk kau!”

Ain Farhah mengetap bibirnya. Nasihatnya sama sekali tidak diterima pakai ibunya. Dia kembali sakit hati. Apatah lagi dengan jelingan lelaki India yang sama sekali tidak tahu diuntung. Rumah itu dianggapnya bagaikan rumah sendiri. 

“Kau buat apa lagi dekat situ? Pergilah berambus!”

Ain Farhah diam sejenak. Wajah ibunya dipandang meminta simpati namun semakin lama dia memandang, hatinya semakin bertambah sakit. Dan tidak mahu hatinya bernanah, dia keluar dan menghempas pintu dengan kuat. Dia tidak sanggup melihat kemesraan ibunya dengan lelaki bukan muhrimnya itu. Dalam perjalanan air matanya menitik turun.


Pak Hussein yang kebetulan lewat perlahan menghampiri Ain Farhah yang berjalan kaki. Motor tuanya terdengar agak jauh dengan bunyi yang semput. Ain Farhah pantas mengesat air matanya yang sempat tumpah.

“Ain, kamu apa khabar?” tanya Pak Hussein yang juga adalah seorang ketua kampung tersebut.

“Khabar baik pak cik,” jawab Ain Farhah sedikit menunduk. Dia malu untuk memandang lelaki tua yang sudah banyak membantunya itu.

“Tapi kenapa pak cik tengok kamu ni macam sakit. Betul kamu tak apa-apa?”

Ain Farhah hanya mengangguk.  Mulutnya seolah terkunci. Dia hilang kata-kata.

“Mak kamu apa khabar? Dah lama rasanya pak cik tak tengok mak kamu.”

“Erm... Dia sihat je,” jawab Ain Farhah. Dia tidak sanggup untuk memberitahu lelaki tua itu tentang keadaan ibunya yang sebenarnya. Dia risau jika Pak Hussein jatuh pengsan sebaik mendengar ceritanya.  Tidak pasal-pasal lelaki berkopiah putih itu meninggal akibat serangan jantung.

“Saya minta diri dulu ye pak cik. Assalamualaikum,” Ain Farhah meminta diri. Pak Hussein hanya mengangguk seraya menjawab salam. Sejuk hatinya melihat Ain Farhah yang sudah dianggapnya bagaikan anak sendiri. Perlahan wajah rakannya menerpa ke ruang fikirannya.

“Othman, Othman. Anak kamu ni memang berbudi bahasa,” ujar Pak Othman sebelum beredar dengan motorsikal cabuknya.


Ain Farhah beredar dengan pantas. Rasa malunya berbekas diwajahnya. Dia malu untuk bertentang mata dengan ketua kampung itu. Bukan apa, dia tidak selesa jika lelaki tua itu bertanya tentang keluarganya. Apatah lagi jika Pak Hussein bertanya tentang ibunya, entah apa yang keluar dari mulutnya untuk menjawab pertanyaan itu. Sudah pasti mulutnya akan kembali kaku.

Telefon pintarnya tiba-tiba berdering mengeluarkan muzik Faded nyanyian Alan Walker. Langkahnya berhenti. Dia mengeluarkan telefonnya. Tertera nama Hairul Jazmi di skrin. Rasa ingin tahunya mula muncul. 

“Hello.”

“Kau dimana?” tanya Hairul Jazmi. Itulah soalan pertama yang sering ditanyakannya pada Ain Farhah setiap kali menghubunginya.

“Tepi jalan,” jawab Ain Farhah.

“Tepi jalan? Kau buat apa ditepi jalan?”

“Aku nak pergi kerja ni.”

“Owh, nanti tengah jumpa dengan aku boleh?”

“Jumpa kau? Kenapa?” tanya Ain Farhah. Dia kembali mengorak langkah menuju ke simpang besar dimana ada sebuah perhentian bas yang agak usang.

“Adalah. Jangan lupa tau? Jangan pula kau keluar dengan budak juvana tu,” pesan Hairul Jazmi lagi.

“Yalah. Dahlah, aku blah dulu. Bas dah sampai,” Ain Farhah memutuskan panggilan telefonnya. Langkahnya dipercepatkan menghampiri bas tersebut. Dia tidak mahu terlewat lagi.

Sebuah tempat duduk yang kosong pantas diisinya. Perlahan dia menarik nafas lega. Tak perlulah dia berdiri sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerjanya. Namun siapa sangka apabila seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba mengambil tempat kosong yang ada disebelahnya.

Ain Farhah hanya mampu tersenyum nipis walaupun jauh didalam hati, dia mendengus kasar. Hatinya berbisik geram. Niatnya untuk bersendirian tidak kesampaian dengan kehadiran lelaki yang berwajah pecah itu.

“Hai,” lelaki itu menyapa. Dengan wajah yang terpaksa, Ain Farhah hanya tersenyum paksa sebelum kembali melemparkan pandangannya ke luar jendela.

“Saya Razak, awak?”

Ain Farhah tidak menjawab pertanyaan lelaki itu. Dia tidak mahu untuk berkenalan. Moodnya tiada untuk mengenal makhluk bumi yang lain. Yang dia mahu adalah bersendiri tanpa diganggu sesiapa.

“Tak baik tau sombong macam tu. Mana tahu awak jadi isteri saya,” sambung lelaki itu lagi sambil tersenyum miang. Anak matanya sempat melirik Ain Farhah dari atas ke bawah.

“Maaf, tapi tolong jangan ganggu saya,” jawab Ain Farhah. Senyumannya hilang. Yang timbul adalah jelingan tajam.

“Saya ganggu ke? Sorry.”

Lelaki itu mula bertindak berani. Dia sengaja mendekatkan mulutnya ke telinga Ain Farhah. Ain Farhah yang terkejut akan tingkah lelaki itu mula meradang. Dipandangnya lelaki itu dengan wajah yang geram.

“Jaga perangai boleh tak?”

Lelaki bernama Razak itu hanya tersenyum. Teguran Ain Farhah seolah lucu ditelinganya. Ain Farhah mendengus kasar. Dia semakin tidak selesa dengan apa yang berlaku. Kehadiran lelaki itu benar-benar menghilangkan semangatnya. 

Dahlah hitam, muka pecah. Ada hati pula nak berkenalan dengan aku? Silap haribulan keluar pula kepala lelaki ni dari tingkap bas. Getus hati Ain Farhah. Bibirnya turut diketap kuat.

“Nak ikut saya jalan-jalan tak?”

Tanpa diduga, lelaki itu meletakkan tangannya diatas paha Ain Farhah dan meraba. Ain Farhah benar-benar terkejut. Tangan lelaki miang itu ditepis kuat. Satu tumbukan padu juga hinggap diwajahnya. Ya, Ain Farhah bertindak menumbuk wajah lelaki itu dengan tangan kirinya. Dia benar-benar tidak dapat menerima jika dirinya diperlakukan sedemikian rupa. Dirinya bukanlah seorang perempuan murah yang sengaja membiarkan seseorang lelaki merabanya.

Tumbukan kidal itu membuatkan lelaki itu jatuh ke lantai bas. Hidungnya berdarah. Beberapa orang penumpang mula memandang dengan hairan.

“Kau memang lelaki tak guna kan? Lelaki miang!” Herdik Ain Farhah. Dia bangun dan menghampiri lelaki itu. Dia berhasrat untuk memijak lelaki itu. Hatinya mendidih. Dia tidak rela dirinya diperlakukan sedemikian rupa.

Apa yang berlaku membuatkan pemandu bas terpaksa memberhentikan basnya ditepi jalan. Dengan pegangan beberapa orang penumpang yang mencuba untuk menenangkan Ain Farhah, dia merapat. 

“Kenapa ni?” tanya pemandu bas yang dikenali dengan nama Mat Yus. Dia membantu lelaki yang terbaring dilantai bas untuk duduk.

“Dia ni gatal pak cik. Tadi cik ni kata lelaki ni meraba dia,” beritahu seorang lelaki yang juga penumpang.

“Dia tipu je. Mana ada saya meraba dia. Dia yang cuba meraba saya,” balas lelaki itu. Telunjuknya naik mengarah kearah Ain Farhah.

“Apa? Kenapa pula aku nak meraba kau gila? Kau fikir aku ni apa? Pelacur?” Bentak Ain Farhah kembali. Tadi dia diraba kini difitnah pula.

“Eh, kau yang gila. Kau yang meraba aku. Bila aku tolak, kau pergi tumbuk aku. Apahal?” Razak masih membela diri.

“Hoi, kau jangan nak menipu ya? Aku sendiri nampak yang kau meraba cik ni.” Seorang penumpang wanita tiba-tiba bersuara. Dia menjadi saksi ditempat kejadian. Dia melihat bahawa lelaki itu yang meraba bukan seperti yang dikatakan lelaki itu.

Lelaki itu terbungkam. Dia kehilangan kata-kata untuk membela diri. Dengan pegangan penumpang lelaki yang lain, dia dihalau keluar dari dalam bas. Ain Farhah menarik nafas tanda berpuas hati. 


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.