Bab 15


Fahni terkejut sebaik menyedari pintu apartmentnya terbuka luas. Beberapa buah pasu pecah dan berhambur seolah ada pergaduhan yang berlaku. Terbuntang matanya sebaik memandang sekujut tubuh. Beg plastik yang dibawanya dilepaskan serta merta.

Fatin mengerang kesakitan. Kepalanya dipegang. Fahni ada didepan matanya.

“Kenapa ni? Mana Ain?” tanya Fahni. Dia melihat ruang apartmentnya yang bersepah seolah dimasuki kawanan gajah.

“Mak Ain bawa Ain,” beritahu Fatin. Dia menyandar lemah pada tiang dimeja makan.

“Macamana mereka tahu tempat ni?”

“Maafkan saya... Mereka ugut saya jadi saya terpaksa beritahu. Mereka ugut nak bunuh saya.”

Fahni mengelus kasar. Dia benar-benar tidak menduga jika Puan Roliah masih berkeras untuk mendapatkan Ain Farhah. Dia bingkas bangun, kerusi yang sudah terbongkang ditendang. Fatin sedikit terkejut namun dia faham mengapa Fahni bersikap demikian.

“Apa nak buat sekarang? Nak telefon polis ke?” tanya Fatin. Dia bangun dengan perlahan.

“Polis tak perlu tahu tentang ini. Awak baliklah, biar saya yang uruskan semua ni,” jawab Fahni. Dia berlalu kearah sebuah meja berlaci yang ada disebelah peti televisyen.

Laci meja dibuka dan Fatin terkejut besar sebaik melihat sepucuk pistol Glock 19 dikeluarkan Fahni. Dia tidak menyangka jika lelaki itu menyimpan senjata api. Serta merta bulu romanya meremang. Kedua kakinya menggeletar ketakutan.

“Apa yang awak nak buat?”

Fahni menyimpan senjata tersebut di balik jaketnya. Fatin dipandangnya dengan mata tidak berkedip. Dari pandangan tersebut, Fatin dapat merasakan kemarahan Fahni namun tidak pula dia mahu bertanya lebih banyak.

“Saya akan cari mereka. Awak baliklah berehat. Dan satu lagi, jangan beritahu polis.”

Fatin hanya mengangguk. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan selain memandang Fahni yang berlalu pergi keluar dari apartment tersebut. Fatin melepaskan keluhannya. Seumur hidup, inilah kali pertama dia termasuk akan permasalah keluarga rakannya.


Fahni memandu kenderaan Hondanya dengan pantas. Earphone disumbat masuk ke telinga kanannya seraya menghubungi Ain Farhah walaupun dia tahu yang akan menjawab panggilan adalah Puan Roliah.

Apa yang disangka benar-benar berlaku. Panggilan tersebut diangkat oleh Puan Roliah. Namun Fahni tidak terkejut.

“Hello Fahni,” ujar Puan Roliah sedikit tertawa. Ain Farhah yang disebelahnya hanya menjeling.

“Macamana dengan plan sebelum ni?” tanya Fahni. Dia nampak tenang.

“Plan? Plan yang mana?”

“Bukannya kau dah janji takkan ganggu Ain lagi? Dah lupa ke?” Fahni kini bersikap tidak formal. Jika sebelum ini dia memanggil Puan Roliah dengan panggilan mak cik, kini dia bertutur dengan panggilan aku dan kau.

“Oh, sorry... Aku betul-betul lupa...”

“Oh ya, terima kasihlah ye sebab jaga Ain untuk aku. Tak sia-sia aku biarkan dia dengan kau,” sambung Puan Roliah. Tangannya membelai rambut anaknya namun Ain Farhah menepis kasar.

“Kau cuba nak main-main dengan aku?”

“Main? Tak adalah. Lagipun buat apa aku nak bermain dengan kau. Kau tu cuma seorang budak kecil. Seorang budak kecil yang masih berhingus,” ejek Puan Roliah.

Fahni mendengus kasar. Jauh didalam hati, dia bersumpah untuk membunuh wanita tua itu.

“Oh, lupa nak beritahu. Lusa, Ain nak kahwin. Tapi maaf aku tak dapat beri kad undangan. Maklumlah, majlis tertutup. Hanya keluarga terdekat yang datang,” beritahu Puan Roliah lagi.

“Mak, dahlah tu,” ujar Ain Farhah. Dia mencuba untuk merampas telefon tersebut namun lelaki berbadan besar pantas menghalang. Kedua tangannya kembali dicengkam kuat sebelum diikat dengan tali.

“Maaflah Fahni. Mungkin sampai disini saja perbualan kita ni.”

“Dengar ya perempuan tua, kau takkan dapat lari jauh dari aku. Aku tetap akan cari kau,” ujar Fahni.

“Wow... Takutnya. Terpulanglah Fahni. Aku tak takut. Kau carilah aku sampai bilik hotel, aku takkan lari. Malah aku mungkin akan menunggu kau tanpa ada sehelai baju di badan,” balas Puan Roliah sedikit berfikiran kotor. Gelak tawanya kedengaran dihujung kata.

Kata-kata Puan Roliah membuatkan Fahni meludah tanpa air liur. Dia geli dengan apa yang dituturkan wanita tua itu.

Puan Roliah bertindak memutuskan panggilan tersebut. Wajah Ain Farhah yang masam mencuka dipandangnya dengan ceria. Dia benar-benar gembira kerana berjaya mengenakan Fahni yang jauh berbeza dari usianya.


Jennifer terkejut sebaik mendengar kata-kata Fahni. Suaranya terdengar tegas namun tetap tenang. Dalam diam, hatinya bertanya mengapakah Fahni ingin ke Thailand pada hari itu juga tanpa singgah ke rumah dan memberitahu sendiri pada ayahnya. Tapi dia hanyalah pekerja, hanya mampu mengangguk dan berjanji untuk menjaga Pak Othman.

“Tuan janganlah risau. Kalau ada apa-apa, saya akan cepat-cepat telefon tuan,” janji Jennifer. Tangan kanannya turut diangkat seolah berikrar.

“Okay. Kalau ayah tanya, beritahu saya ada urusan kerja.”

“Okay.”

Fahni memutuskan panggilannya. Jennifer mendengus kasar. Dia tidak sedar jika Pak Othman ada dibelakangnya. Dan sebaik dia berpusing, dia terkejut. Hampir saja dia menjerit dan mengeluarkan sumpah seranah.

“Fahni ke tadi tu?” tanya Pak Othman. Dia menggerakkan sedikit kerusi rodanya menghampiri Jennifer.

“Ya, tuan kata dia nak ke Thailand hari ni juga,” angguk Jennifer. Telefon pintarnya kembali disimpan di poket bajunya.

“Ke Thailand? Ada dia beritahu dia ke sana buat apa?”

“Erm... Katanya ada urusan kerja. Tapi dari apa yang saya perasaan tuan nampak lain. Dia macam ada masalah.”

Pak Othman diam sejenak. Dia bagaikan bersetuju dengan kata penjaganya itu. 

“Jadi bila dia balik?” tanya Pak Othman lagi namun Jennifer hanya mengangkat bahunya. Dia sendiri tidak tahu bila majikannya itu pulang. Hendak bertanya khuatir pula dia dikatakan penyibuk.

“Tak apalah. Pandailah dia jaga diri,” sambung Pak Othman dan sekali lagi Jennifer hanya mengangguk bersetuju. Dihampirinya Pak Othman sebelum menolak kerusi rodanya menuju ke halaman depan rumah.


Hairul Jazmi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya benar-benar kusut. Dia mencuba untuk fokus pada kerjanya tapi bayangan wajah Ain Farhah sentiasa muncul. Perasaannya juga mula bergelora tidak tenang seolah ada sesuatu perkara buruk yang sedang terjadi.

Hamid memandang Hairul Jazmi sekilas. Sebiji gula-gula mentos dikeluarkan dari dalam laci dan dihulurkan kepada rakannya.

“Kau kenapa sebenarnya? Masih dengan masalah adik  kau ke?” tanya Hamid. Kerjanya mula ditinggalkan.

“Aku pusinglah bro. Kepala aku ni rasa nak meletup! Ikutkan hati, nak je aku mengamuk tak tentu pasal dekat sini,” jawab Hairul Jazmi. Rambutnya mula dicekak kasar.

“Bagus kau report polislah Hairul. Perkara macam ni bukan boleh main-main. Lagipun adik kau dah hilang hampir seminggu, jadi tak salah kalau kau nak minta bantuan polis. Mungkin mereka boleh membantu.”

“Tapi aku nak kata apa? Susahlah aku nak cakap.”

“Susah apanya? Daripada kau kusut macam ni, bagus kau share masalah kau dengan pihak berkuasa. Lagipun mereka dah memang terlatih  tak macam kita, nak cari kunci hilang pun macam kucing hilang anak,” balas Hamid panjang lebar.

Hairul Jazmi mendengus kasar. Cadangan rakannya bukan tidak mahu diterimanya namun pihak polis pasti tidak akan melayan kehendaknya untuk mencari Ain Farhah yang tidak mempunyai hubungan keluarga dengannya. Dirinya dengan Ain Farhah hanyalah sekadar kawan sekolah.

“Macamana? Kalau kau rasa kekok, aku boleh temankan,” Hamid menghulurkan bantuan namun Hairul Jazmi pantas menolak.

“Tak apalah. Biarlah aku cari jalan penyelesaian aku dulu. Dalam sehari dua ni kalau dia tak balik, baru aku akan lapor polis.”

“Lah, kau nak tunggu sampai bila lagi?”

Hairul Jazmi diam. Kepalanya sedikit digeleng. Hamid hanya mampu melepaskan keluhannya. Sebagai kawan, dia tahu bahawa perkara tersebut tidak boleh dipaksa namun dia juga tahu jika hal sedemikian rupa tidaklah seharusnya dipandang ringan.

Komputer yang ada didepan mata kembali dipandang. Dia mencuba untuk kembali fokus namun matanya teralih pada telefon pintarnya yang berdering. Tertera akan satu nombor yang tidak dikenali. Dia mencuba untuk mengingat jika dia pernah memberikan nombor telefonnya pada seseorang.

Atas rasa ingin tahu, panggilan tersebut dijawab. Namun sebaik dia mendengar pemilik suara empunya nombor tersebut, dia spontan bangun. Hamid yang bekerja disebelahnya terkejut. Begitu juga dengan beberapa orang pekerja yang lain.

“Hei, budak juvana! Macamana kau boleh ada nombor aku?” marah Hairul Jazmi.

“Aku nak kau turun sekarang dan jumpa dilobi,” ujar Fahni lalu mematikan panggilannya.

Hairul Jazmi tergamam seketika. Dia bagaikan tidak percaya betapa kurang ajarnya Fahni yang dengan begitu santai memutuskan panggilannya dan menyuruhnya untuk turun ke bawah. Ikutkan hati, mahu saja dia melemparkan telefonnya itu ke dinding. Hatinya mendidih geram.

“Aku turun sekejap,” beritahu Hairul Jazmi pada Hamid. 

Dengan pantas dia meninggalkan tempat duduknya dan menuju ke lif. Tidak sampai tiga minit, dia sudah pun berada dilobi. Matanya meliar mencari budak juvana yang begitu menyakitkan hatinya. Penumbuknya sudah pun digenggam.

Setelah puas melilau, akhirnya matanya tertuju pada Fahni yang sedang menyandar tenang di kenderaan Hondanya. Dengan langkah yang pantas, dia menghampiri Fahni.

“Kurang ajar betul kau ni kan? Main suka hati bapak kau je tutup telefon? Apa kau ingat aku ni abang kau?” marah Hairul Jazmi namun Fahni hanya mencebik.

“Dah habis dah?”

“Bertuah kau ni!” Hairul Jazmi bertindak mahu memukul namun Fahni pantas menepis dan mengait tangan Hairul Jazmi. Ilmu taekwandonya digunakan dengan tangas. Kini, tangan Hairul Jazmi dikepit dibelakang memaksa dirinya untuk menjerit kesakitan.

“Lepaskan! Sakitlah bongok!”

“Sakit ke?”

“Bagus kau lepaskan. Patah nanti tangan aku,” ujar Hairul Jazmi. Dia mencuba untuk mencapai Fahni namun gagal.

Melihat Hairul Jazmi yang sudah mula kesakitan, akhirnya Fahni melepaskan. Dia sempat menolak Hairul Jazmi agar sedikit menjauh darinya.

Hairul Jazmi menggosok lengannya dan pergelangannya yang terasa sakit. Dipandangnya Fahni dengan rasa tidak puas hati. Ini kali kedua dia dipermalukan oleh budak yang lebih muda darinya.

“Kau nak apa sebenarnya?” tanya Hairul Jazmi.

“Pasal Ain...”

“Hah, baru aku nak tanya! Ain mana? Kau mesti tahu dia kemana kan? Bagus kau beritahu aku dimana kau sembunyikan Ain? Kalau kau cuba untuk menipu, aku patah-patahkan tulang kau,” potong Hairul Jazmi.

Fahni diam. Bebelan dan pertanyaan Hairul Jazmi dibiarkan sehingga berhenti. Dengan lagak yang santai dia kembali menyandar pada keretanya dengan kedua tangan disilang memeluk tubuh.

“Eh, budak! Aku tanya kau ni. Boleh pula kau buat santai?”

“Dah habis ke? Asyik nak membebel bila masa aku nak jawab?” tanya Fahni kembali.

 Hairul Jazmi mencebikkan bibirnya. Jelingannya turut dilempar kearah Fahni. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengunci mulutnya seketika dan membiarkan anak muda itu menjawab pertanyaannya.

“Ain kena bawa dengan Puan Roliah ke Thailand. Puan Roliah nak kahwinkan Ain dengan kawan dia.”

Hairul Jazmi diam. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Mana mungkin Ain Farhah tidak akan memberitahunya apa-apa jika dia ingin berkahwin.

“Kau biar betul? Kenapa pula dia nak kena kahwin di Thailand?” tanya Hairul Jazmi.

“Ain sebenarnya kena jual.”

“Hah? Kena jual? Kau biar betul? Jangan buat cerita ya? Silap haribulan, berdarah mulut kau aku kerjakan,” ugut Hairul Jazmi namun Fahni hanya diam. Sedikitpun dia tidak gentar dengan ancaman Hairul Jazmi.

“Nak percaya atau tidak itu terpulang kau. Aku datang sini cuma nak beritahu kau. Lagipun kau tu kawan Ain, nak tak nak aku terpaksa bagitau. Dahlah, aku nak gerak dulu.”

“Eh, kau nak kemana tu?” Hairul Jazmi cuba menahan Fahni untuk masuk kedalam kereta.

“Thailand,” jawab Fahni ringkas.

“Aku ikut!”

Fahni mengerutkan dahinya. Dia bagaikan terkejut dengan kata-kata Hairul Jazmi yang mahu mengikutinya.

“Kau kan kerja?”

“Ahhh... Kerja bila-bila masa pun boleh buat. Sekarang kau hantar aku balik rumah, aku nak packing barang,” jawab Hairul Jazmi sekaligus memberi arahan.

Tidak menunggu persetujuan Fahni, Hairul Jazmi masuk kedalam kenderaannya.  Nombor telefon Hamid dihubungi dan pantas memberitahu rakannya agar menceritakan apa yang berlaku. 

“Kau call siapa?” tanya Fahni sebaik masuk kedalam kenderaan Hondanya. Dia melihat Hairul Jazmi baru sahaja selesai menghubungi seseorang.

“Kawan. Aku minta cuti seminggu.”

Fahni hanya mendengus. Enjin kenderaan dihidupkan sebelum memandu keluar dari tempat letak kenderaan.  Masing-masing membisu bagaikan tidak saling mengenali. Hanya lawak dan celoteh penyampai radio yang terdengar memenuhi ruang dalam kenderaan.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.