Rancangan yang telah diatur kini dilakukan. Ditemani Fatin, Ain Farhah pergi ke rumah mak ciknya yang juga adalah kakak kepada ibunya Puan Roliah. Fatin memandu kenderaan Vivanya dengan tenang, sesekali mulutnya mengikut lirik lagu yang sedang diputarkan di radionya.
Lain pula halnya dengan Ain Farhah, dia seperti tidak yakin untuk bertemu dengan mak ciknya itu. Lagipula, dia tidak begitu sebulu dengan kakak ibunya itu. Namun dia tetap bersikap tenang, cuba untuk berfikiran positif. Mungkin saja mak ciknya yang dikenali dengan nama Puan Latifah itu sudah berubah sikap dan mahu menerimanya sebagai anak saudaranya.
“Sekarang nak kemana?” tanya Fatin. Dia tidak tahu kemana arah yang harus dilaluinya.
“Masuk kiri,” jawab Ain Farhah. Dia mencuba untuk mengingat kembali.
Fatin hanya menurut. Dia membelok masuk ke sebuah simpang. Kereta Vivanya dipandu perlahan sambil melilau ke kiri dan kanan.
Selang beberapa buah rumah, akhirnya Ain Farhah meminta Fatin untuk berhenti. Fatin hanya mengikut. Sebuah rumah kayu yang dipenuhi bunga dihalaman depan dihampiri lalu diparkir.
“Ini ke?” Fatin sedikit terpegun. Bunga-bunga yang cukup banyak membuatkan rumah tersebut terlihat cantik dengan diterangi lampu-lampu yang sengaja dipasang diluar rumah.
Ain Farhah menelan air liurnya. Dia memberanikan diri. Perlahan dia keluar dari perut kereta. Dengan langkah yang perlahan, dia menghampiri anak tangga. Sesekali dia berpaling melihat Fatin yang menghampirinya.
“Bagilah salam. Mesti mak cik awak terkejut tengok awak,” ujar Fatin. Ain Farhah hanya mampu menelan air liur. Dia tidak yakin sikap mak ciknya akan seperti yang dikatakan Fatin.
Ain Farhah diam beberapa ketika. Dia mencuba untuk mengumpulkan kekuatannya. Akhirnya dia memberi salam, namun tiada siapa yang keluar. Ain Farhah kembali memandang Fatin.
“Tak ada oranglah,” ujar Ain Farhah.
“Habis suara apa dalam rumah tu? Macam bunyi tv je,” balas Fatin.
Ain Farhah dan Fatin serentak menoleh dan mengangkat wajah tatkala pintu rumah dibuka. Berderau darah Ain Farhah sebaik melihat wajah mak ciknya itu. Langkahnya spontan berundur.
“Assalamualaikum mak cik,” Fatin memulakan kata. Senyumannya diukir.
“Kau buat apa disini?” bentak Puan Latifah tiba-tiba. Baru dia sedar akan kehadiran Ain Farhah. Salam Fatin sama sekali tidak dijawab. Matanya tajam memandang anak saudaranya.
“Mak cik...”
“Kau buat apa datang rumah aku? Apa lagi yang kau nak?” Ain Farhah sama sekali tidak diberi peluang untuk menyatakan tujuannya. Fatin terkaku tidak bersuara. Dia tidak menyangka akan sikap kasar mak cik rakannya.
“Baik kau balik sekarang! Aku tak nak tengok muka kau lagi!” Puan Latifah menghalau. Suaranya terdengar kuat dan tegas.
“Mak cik... Saya minta maaf kalau saya ada buat salah tapi...”
Ain Farhah yang merayu membuatkan dia menepis dengan pantas. Anak saudaranya ditolak sehingga jatuh. Fatin pantas membantu rakannya untuk kembali berdiri.
“Aku tak ada anak saudara macam kau. Kau tu bukan keluarga aku. Kau tu kotor! Entah siapa keluarga kau!”
Ain Farhah menitikkan air matanya. Hatinya berkecai hancur dengan apa yang dituturkan ibu saudaranya.
“Kenapa mak cik cakap macam tu? Ibu Ain kan adik mak cik juga,” ujar Fatin.
“Eh, kau jangan nak menyibuk hal keluarga aku! Dia dengan bapa dia sama kotor! Keluar malam pagi baru balik. Entah-entah menjalang ikut bapa dia,” balas Puan Latifah lagi. Dimatanya terlihat api kebencian.
“Saya tak buat macam tu mak cik. Saya kerja,” Ain Farhah mencuba untuk membela diri. Dia tidak pernah terfikir untuk melacurkan diri.
“Kerja? Kerja apa? Kerja ikut jantan?”
“Mak cik... Sumpah saya tak buat semua tu. Dan ayah pun tak buat semua tu.”
“Owh, jadi kau nak kata yang aku ni buat cerita? Macam tu? Eh, mak kau duduk dirumah besarkan kau, tapi apa yang kau balas dengan dia? Ada kau bagi dia duit?”
Fatin mula tidak faham dengan apa yang berlaku. Dari apa yang dilihatnya tempoh hari, ibu Ain Farhah terlihat mewah dengan pakaian dan barang kemas yang dipakainya namun dari apa yang diceritakan Puan Latifah, ibu rakannya hanya duduk dirumah seperti seorang suri rumah.
“Mak cik, saya takkan sanggup buat mak macam tu. Setiap kali gaji saya akan beri mak,” ujar Ain Farhah.
“Kau jangan nak berpura-pura Ain. Mak kau kata kau sedikitpun tak bagi apa-apa dengan dia. Setiap malam kau keluar pagi baru kau balik. Dan setiap hari ada saja lelaki yang hantar kau,” Puan Latifah tetap membela adiknya.
“Sumpah mak cik! Saya tak buat semua tu!”
“Wah, dah berani bermain dengan sumpah ye? Jadi kau nak kata yang mak kau buat cerita?”
Ain Farhah menghampiri ibu saudaranya. Dia merayu agar dipercayai namun Puan Latifah tetap dengan sikap egonya. Dia kembali menolak anak saudaranya. Ain Farhah sekali lagi jatuh tergolek dan tidak sengaja terhantuk pada pasu bunga yang banyak tersusun.
“Bagus kau balik sekarang! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Dan kau jangan datang lagi ke sini.”
Puan Latifah kembali masuk kedalam rumahnya. Pintu dihempas dengan kuat. Ain Farhah kini lemah. Dia tidak menyangka akan sikap mak ciknya itu. Fatin bersimpati. Dia memeluk rakannya memberi kekuatan. Dia sendiri terkejut dengan apa yang didengarnya. Yang pasti dia sudah kenal akan perangai ibu rakannya.
Fahni mundar mandir. Hatinya tidak tenang. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia tidak tahu adakah dia harus menuruti kemahuan Puan Roliah. Fikirannya kusut sehingga dia tidak sedar akan kehadiran Pak Othman yang berkerusi roda.
“Fahni.”
Fahni menoleh. Dihampiri ayahnya.
“Kamu tak apa-apa ke? Ayah tengok kamu macam ada masalah,” ujar Pak Othman tenang. Dia membiarkan anak tirinya menolak kerusi rodanya menuju ke balkoni.
“Tak ada apa-apalah ayah. Cuma ada hal sikit,” jawab Fahni.
“Kamu tak nak cerita dengan ayah?”
Fahni hanya tersenyum nipis. Air kopi dituang kedalam gelas sebelum dihidangkan pada ayahnya. Sebuah kerusi ditarik lalu duduk diatasnya. Pandangannya sempat dialih kearah lain.
“Sebenarnya Fahni ada masalah,” ujar Fahni. Dia masih menunduk. Pak Othman menunggu dengan sabar.
“Fahni tak tahu apa yang harus Fahni buat.”
“Setiap apa yang berlaku mesti ada jalan penyelesaian. Tak ada masalah yang tak dapat diselesaikan,” balas Pak Othman. Gelas berisi air kopi dihirup perlahan.
“Fahni cuma tak yakin.”
“Bawa bertenang Fahni. Allah akan bagi jalan penyelesaiannya. Apa kata kamu minta tolong dengan Allah? Mesti dia akan beri penyelesaian yang terbaik.”
“Entahlah ayah. Fahni akan cuba.”
Pak Othman mengangguk. Air kopinya kembali dihirup perlahan. Angin malam yang bertiup lembut terasa begitu menyegarkan.
Sebuah gelas kaca kini pecah akibat balingan kuat Puan Roliah. Hatinya mendidih dengan bantahan anaknya. Ikutkan hati, mahu saja dia melemparkan lagi pinggan tepat kewajah anaknya itu.
“Mak, dahlah tu. Kenapa mak perlu susahkan saya? Saya penat tau,” ujar Ain Farhah. Dia mencuba untuk bersikap tenang.
“Eh, sejak bila aku susahkan kamu? Kamu tu sepatutnya ikut cakap aku! Aku ni mak kau dan aku berhak atas hidup kau. Kau suka atau tidak, itu terpulang kau. Yang penting sekarang, ialah kau kena kahwin dengan lelaki tu. Dia dah pun setuju nak bagi duit 70 ribu.”
Ain Farhah melepaskan keluhannya. Dia tidak menyangka jika ibunya akan sanggup mengahwinkannya dengan lelaki yang tidak dikenalinya hanya kerana wang. Air matanya seolah tidak lagi bererti. Ibunya tetap dengan keputusannya.
“Mak, mak tak sayang dengan saya ke?” tanya Ain Farhah.
Puan Roliah tidak menjawab. Sebatang rokok dihisap dengan rakus sebelum menghembusnya tepat diwajah anaknya.
“Kenapa aku perlu sayang kau? Kau adalah kesalahan terbesar aku dan aku sepatutnya dengar cakap ayah kau. Kau sepatutnya dah mati,” balas Puan Roliah.
“Apa yang mak cakap ni?”
“Ya, kau lahir tanpa sebarang restu. Kau lahir dikala aku sepatutnya menikmati masa seronok aku.”
Air mata Ain Farhah tumpah. Dia kehilangan kekuatan. Siapa sangka jika dirinya adalah anak luar nikah kedua ibu bapanya. Yang pasti dia tidak seharusnya berbin kan ayahnya.
“Kan bagus kalau aku boleh putar balik waktu. Aku akan tetap lahirkan kau tapi aku akan jual kau.”
“Mak...”
“Kau jangan nak buang air mata kau ya? Esok, kau bangun awal. Kita ke Thailand. Murad akan berkahwin dengan kau disana,” potong Puan Roliah. Dia bangun dari kerusinya dan masuk kedalam bilik. Dia tidak peduli dengan tangisan dan rayuan anaknya, yang penting esok dia akan menerima duit sebesar 70 ribu.
Ain Farhah jatuh terjelupok. Dia benar-benar mati akal. Dia tidak mahu berkahwin. Apatah lagi berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Silap haribulan dirinya akan dijual dan diperdagangkan.
Wajah Fahni tiba-tiba terlintas difikirannya. Beg sandangnya diselongkar mencari telefonnya. Dengan pantas, dia menghubungi lelaki itu.
“Hello,” terdengar suara Fahni dihujung talian.
“Saya nak minta tolong,” ujar Ain Farhah perlahan.
“Kenapa ni? Awak okay ke?”
Ain Farhah bangun dengan perlahan. Dia ingin keluar dari rumah itu. Dia tidak mahu menurut kehendak ibunya. Biarlah dia dipandang hina, yang pasti dia mahu menyelamatkan dirinya.
Namun baru sahaja dia ingin membuka pintu, rambutnya ditarik Puan Roliah dengan kuat. Telefon yang dipegang Ain Farhah terlepas. Fahni yang ada dihujung talian semakin tertanya-tanya. Jeritan dan laungan Ain Farhah terdengar jelas di kuping telinganya.
“Mak, lepaskan saya,” ujar Ain Farhah merayu. Kepalanya terasa sakit dengan tarikan kuat rambutnya.
“Kau nak kemana? Jangan harap kau boleh lari dari aku,” Puan Roliah mengheret Ain Farhah untuk masuk kedalam biliknya.
Ain Farhah mencuba untuk meronta namun Puan Roliah semakin bertindak kasar. Tangannya mula naik kewajah anaknya. Tidak ada sedikitpun rasa kasihan anak anaknya itu.
“Mak...”
“Kau diamlah bodoh! Kau pikir aku tak tahu yang kau nak lari? Jangan harap!”
Ain Farhah yang lemah ditolak masuk kedalam bilik. Sekali lagi Ain Farhah terjatuh dan terhantuk pada bucu mejanya akibat kakinya yang tersadung. Dahinya kembali berdarah ditempat yang sama.
“Mak, tolong Ain mak...”
“Kau diamlah!” Herdik Puan Roliah kuat dari luar pintu. Tangannya lincah mengunci pintu dengan rantai.
“Mak...”
Puan Roliah tidak mempedulikan rayuan dan pertolongan anaknya. Dia bagaikan berhati batu.
Ain Farhah memandang sekeliling biliknya. Tingkap biliknya menjadi tempat untuknya melarikan diri namun siapa sangka jika ibunya lebih bersiap siaga. Diluar, tingkap tersebut telah diletakkan papan.
Dia kembali terduduk. Kepalanya yang sakit dan berdarah membuatkan pandangannya mula berpinar sebelum akhirnya rebah tidak sedarkan diri.