Bab 19


Fahni terkejut besar sebaik Ah Peng masuk kedalam biliknya dengan kelam kabut. Riak wajahnya tampak tidak tenang seolah ada sesuatu yang sedang ditakutkannya. Fahni tertanya-tanya. Matanya sempat melirik ke arah jam dinding yang melekat di dinding kayu biliknya itu.

“Kau kena lari sekarang. Polis ada dibawah,” beritahu Ah Peng. Beberapa perkakasan yang digunakannya untuk mengeluarkan peluru pantas disembunyikannya dibawah sebuah permaidani yang menjadi lapik sekaligus penutup tempat sembunyinya.

“Polis?” Fahni agak terkejut. 

“Ya, polis. Nampak gaya macam ada yang beritahu polis pasal tempat ni. Kau kena pergi sekarang.”

Fahni bingkas bangun dari tempat tidurnya. Pistol Glock 19 miliknya yang ada diatas meja dicapai dan diselitkan di belakangnya ditutup dengan tshirt longgarnya. Pintu bilik dibuka perlahan menjenguk keluar.

Ain Farhah terkejut sebaik melihat Fahni ada didepannya. Selimut yang membungkus dirinya pantas diselak Fahni.

“Kenapa ni?” tanya Ain Farhah.

“Awak kena ikut saya. Ada orang beritahu polis tentang saya,” balas Fahni. Ain Farhah terkejut.

“Beritahu polis?”

“Bukan awak yang beritahu kan?” Fahni memandang Ain Farhah dengan tajam. Tangannya erat memegang lengan Ain Farhah.

“Tak. Bukan saya. Sumpah bukan saya,” geleng Ain Farhah.

“Tapi hanya awak yang tahu siapa saya,” Fahni tetap tidak berpuas hati. Dia masih ingat lagi akan pertanyaan Ain Farhah akan siapakah dirinya.

“Fahni, memang bukan saya. Walaupun awak ahli kongsi gelap, saya takkan lapor awak ke polis. Lagipun awak dah selamatkan saya.”

Fahni mendengus kasar. Dia mencuba untuk mencari tahu siapakah dalang yang bertindak mahu dirinya ditangkap polis. Dan entah bagaimana, dia teringat akan Hairul Jazmi.

“Saya tahu bukan awak yang panggil polis tapi dengar kata saya, saya takkan lepaskan orang yang sanggup tikam belakang saya,” ujar Fahni penuh dengan kemarahan.

Ain Farhah menelan air liurnya. Dia faham benar akan ancaman sinis Fahni. 

“Ikut saya,” Fahni menarik Ain Farhah agar mengikutinya. 

“Macamana dengan Hairul? Kita tak bawa dia?” tanya Ain Farhah.

“Tak.”

“Kenapa tak?”

“Saya rasa awak tahu jawapannya. Dirumah ni hanya ada empat orang. Saya, awak, Ah Peng dan juga dia. Ah Peng takkan sesekali panggil polis. Dan saya tahu awak juga takkan berbuat demikian.”

“Habis tu awak nak tuduh Hairul?”

“Kita tengok dan lihat,” jawab Fahni. 

Dengan penuh senyap, dia keluar dari bilik Ain Farhah. Ain Farhah hanya menurut. Dia tidak menyangka jika Hairul Jazmi sanggup menghubungi polis.

Satu laluan rahsia dilalui Fahni dan Ain Farhah keluar dari rumah kedai dua tingkat itu. Beberapa orang yang asyik melepak tidak dipedulikan. Keduanya tampak bersahaja.

“Masuk dalam kereta sekarang,” pinta Fahni. Kunci kenderaannya diberi pada Ain Farhah.

“Habis awak macamana?”

“Awak jangan risau. Saya akan kembali dalam beberapa minit.”

Ain Farhah menjenguk keluar dari laluan yang dilaluinya. Diluar rumah Ah Peng, dia dapat melihat beberapa orang anggota polis sedang menyoal siasat Ah Peng dan juga isterinya. Dan dia tidak terkejut apabila melihat kehadiran Hairul Jazmi yang sudah pun menghancurkan kepercayaannya. Dia tidak menyangka jika lelaki itu sanggup bertindak sedemikian rupa pada Fahni yang sudah menyelamatkannya dari ibunya.


Hairul Jazmi merasakan perutnya memulas. Setelah meminta izin, dia berlari kearah tandas yang berhampiran. Perutnya seolah ingin meletup. Kentut yang tidak lagi tertahan mula memberi aroma yang begitu busuk. Beberapa orang yang berhampiran pantas menutup hidung sebaik menghidu aroma beracunnya itu.

“Maafkan saya. Emergency case ni,” ujar Hairul Jazmi meminta laluan. Kedua kakinya mula dikepit.

Setelah beberapa ketika, akhirnya Hairul Jazmi menarik nafas lega. Perutnya tidak lagi memulas. Isi perutnya sudahpun dikeluarkan tanpa tersisa sedikitpun. Dengan pantas, dia keluar dari dalam tandas. Dia mahu berkumpul kembali dengan anggota polis yang dihubunginya.

Namun baru sahaja kakinya melangkah beberapa tapak menjauh dari tandas, telinganya mendengar akan sebuah picu ditarik dibelakang kepalanya. Kakinya spontan terhenti. Dengup jantungnya mula laju.

“Nak kemana?” tanya Fahni. Muncung pistolnya yang sudah disambungkan dengan Silencer dihalakan tepat ke kepala Hairul Jazmi.

“Hei, kau jangan berani nak tembak aku ya? Polis ada dekat luar,” ujar Hairul Jazmi cuba menakutkan Fahni namun sayang, Fahni sedikitpun tidak merasa gentar.

“Kenapa kau sanggup telefon polis?”

“Apa? Salah ke? Kau kan ahli kongsi gelap, manusia yang berbahaya. Jadi tak salah rasanya kalau aku call polis. Entah-entah Ain nak kau jadikan hamba.”

“Aku bukannya bodoh macam mak dia,” balas Fahni. Dia semakin mendekatkan muncung pistolnya.

“Dan kenapa pula aku nak jadikan Ain hamba? Daripada dia, baik kau yang jadi hamba aku. Tenaga lebih banyak,” sambung Fahni.

Hairul Jazmi mengetap bibirnya. Kata-kata Fahni menyakitkan hatinya.

“Tak sangka masih ada manusia yang sanggup tikam belakang. Kenapa tak kau call polis waktu aku bawa Ain jalan-jalan? Kau boleh beritahu polis kalau aku culik Ain,” ujar Fahni lagi.

“Kau memang jahanam kan? Sekarang mana Ain?”

“Kenapa kau nak tahu? Rasanya itu bukan urusan kau. Dan aku yakin Ain takkan nak berkawan lagi dengan kau setelah apa yang dia tahu.”

“Kau jangan harap dapat bawa Ain. Kau dengan mak dia sama gila!”

“Wow... Aku sama gila dengan mak dia? Habis kau apa? Tak gila ke? Kalau aku tahu perangai kau macam ni, baik aku bunuh je kau. Tak perlu lagi sibukkan diri,” balas Fahni. Hairul Jazmi semakin sakit hati.

Hairul Jazmi mula terfikir untuk menentang Fahni. Ilmu silatnya dikeluarkan. Dengan pantas dia mengelak dan memaut lengan Fahni. Fahni yang tidak kurang hebatnya pantas melawan. Dia enggan kalah pada Hairul Jazmi. 

Hairul Jazmi bertindak untuk mencengkam bahu Fahni yang luka. Fahni menjerit kesakitan. Bahunya kembali berdarah dan membasahi bajunya.

Fahni yang lebih tangkas segera melepaskan tembakan pada kaki Hairul Jazmi. Hairul Jazmi terduduk. Dia tidak menyangka jika dirinya akan kalah dengan senang. Darah merah mula  keluar dari pahanya yang sudah terkena tembakan Fahni.

“Kau dengar ya baik-baik. Lepas ni kau tak payah tunjukkan muka lagi didepan aku dan Ain.  Sekali kau tunjukkan muka, aku akan pastikan kepala kau pecah dan berterabur.”

Fahni berlalu pergi. Pistolnya kembali diselitkan di belakang bajunya meninggalkan Hairul Jazmi yang kesakitan. Bahunya yang luka ditutup dengan tangan.

Hairul Jazmi mengerang. Rasa sakit dan ngilu akibat tembakan itu mula membuatkan dia tampak pening dan pusing. Darah yang keluar sudah pun membasahi tangannya yang sedang memegang kakinya itu. 

Akhirnya dia rebah akibat kehilangan darah. Pandangannya berpinar sebelum akhirnya tertutup. Namun telinganya masih dapat mendengar suara beberapa orang yang datang menghampirinya sambil menjerit meminta pertolongan.


Ain Farhah terkejut sebaik seseorang mengetuk tingkap kenderaannya. Dengan pantas dia berpaling dan membuka kunci kenderaan. Wajah Fahni yang tampak tegang dipandangnya.

“Apa yang berlaku?” tanya Ain Farhah. Dia tidak lagi melihat Hairul Jazmi.

“Tak ada apa. Pergi tandas tadi. Sakit perut,” jawab Fahni ringkas. Dia mula memandu kenderaannya keluar dari kawasan tersebut.

“Tapi bahu awak berdarah,” Ain Farhah terkejut sebaik melihat separuh dari baju Fahni yang kembali basah dengan darah.

“Jangan risaulah. Sikit je.”

Ain Farhah kembali diam. Wajah Fahni yang kini tampak pucat dipandangnya. Seribu satu penyesalan muncul. Dia mula merasa bersalah.

Fahni fokus memandu kenderaannya. Dengan pemanduan yang hanya bergerak sekitar 70km sejam, dia memandu semampu yang mungkin. Dia mahu membawa Ain Farhah jauh dari ibu dan rakannya. Dia tidak mahu ada sesiapapun yang mengambil Ain Farhah darinya.

Namun Fahni merasa semakin lemah. Darah yang keluar dari dalam badan membuatkan dia merasa lemah. Pemanduannya tidak lagi teratur. Akhirnya, dia tidak lagi mampu untuk memandu. Dia memberhentikan kenderaannya disebuah lorong gelap. 

“Fahni, awak okay ke?” tanya Ain Farhah. Pipi Fahni ditepuknya berulang kali namun Fahni tidak menjawab. Matanya kuyu sebelum akhirnya tertutup. Dia rebah dibahu Ain Farhah.

Ain Farhah panik. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Hendak menghubungi ambulans, dia risau sekiranya ada pihak yang akan menghubungi polis. Hendak dibiarkan, dia risau sekiranya Fahni menutup mata untuk selamanya. Semuanya menjadi serba salah sehinggalah dia teringat akan rakannya Fatin.

Telefon pintar Fahni yang ada didalam poket dikeluarkan. Dengan pantas dia mendail nombor Fatin yang sudahpun dihafalnya.

“Fatin!”

“Ain? Kau ke tu?” Dihujung talian Fatin terkejut. Dia tidak menyangka dirinya dapat mendengar suara rakannya.

“Kau dimana ni Ain?”

“Aku nak minta bantuan kau,” dengan panik Ain Farhah meminta bantuan. Dia tidak tenang melihat Fahni. Hatinya berdegup kencang melihat lelaki yang telah membantunya.

Fatin lantas bersetuju. Dengan pantas dia berlari keluar dari tempat kerjanya setelah meminta izin dari majikannya. Kenderaan Vivanya dipandu menuju ke farmasi berhampiran untuk membeli ubat.

Dari alamat yang diberikan Ain Farhah, dia menyusul. Walaupun jaraknya cukup jauh, Fatin tidak berfikir panjang. Apa yang dia tahu, dia mahu menebus kesilapannya pada Ain Farhah dan Fahni.


Hairul Jazmi terkejut dengan tetamu yang datang menjenguknya di hospital. Puan Roliah, itulah tetamu tidak diundang. Dengan wajah yang tidak senang, dia melemparkan pandangannya kearah lain. 

“Kasihan, kaki dah berbalut jadi tak boleh nak bergerak,” ejek Puan Roliah.

“Kau nak apa sebenarnya?”

“Aku nak apa? Hei, tak baik cakap macam tu dengan orang yang lebih tua tau... Apa-apapun kau kena hormat aku. Aku ni mak kepada Ain, kawan kau.”

“Banyaklah kau punya mak! Mak macam apa kau ni? Mak yang sanggup jual anak sendiri.”

“Amboi mulut. Mak bapa kau tak ajar ke macamana nak beradap dengan orang tua?” Puan Roliah bertindak memukul kaki Hairul Jazmi yang berbalut.

“Sakitlah!” Bentak Hairul Jazmi namun Puan Roliah hanya tersenyum mengejek.

“Sebab tu lah. Hati-hati bila bercakap. Jangan kurang ajar dengan orang yang lebih tua.”

“Pergi mampuslah kau! Bagus kau berambus dari sini!” Halau Hairul Jazmi.

“Tak payah nak menghalau sangat. Aku pun memang nak pergi. Buat sakit hati je tengok kau lama-lama.”

Hairul Jazmi mengetap bibirnya. Jika tidak kerana kakinya berbalut akibat tembakan Fahni, sudah pasti dia akan bangun dan menumbuk wanita tua itu. Namun dia hanya mampu menggenggam kedua tangannya erat.


Pak Othman memegang dadanya. Batuknya semakin lama semakin teruk. Namun dia enggan pergi ke hospital. Dia enggan mendapat rawatan lebih lanjut mengenai penyakitnya. Walaupun Jennnifer sudah berkali-kali memintanya untuk ke hospital, dia tetap dengan pendiriannya. Baginya tiada guna hendak menyembuhkan penyakitnya apatah lagi dengan dirinya yang sudah tua dan semakin tidak terdaya.

Jennifer hanya mampu menggelengkan kepalanya. Hendak dipaksa, risau juga jika Pak Othman terasa hati. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut. Dan kali ini dia harus lebih mengawasi Pak Othman tanpa keberadaan Fahni yang masih tidak kelihatan.

Melihat keadaan Pak Othman yang semakin teruk, Jennifer mengambil keputusan untuk menghubungi Fahni. Dia mahu majikannya pulang secepat yang mungkin.

Ain Farhah tersentak sebaik mendengar deringan telefon Fahni. Nama Jennifer yang tertera di skrin membuatkan Ain Farhah mula mengerutkan dahi. Dia mula tertanya-tanya siapakah Jennifer.

“Jennifer? Siapa Jennifer? Teman wanita dia ke?” Ain Farhah mula berkata sendiri. Wajah Fahni yang masih pengsan dipandangnya.

Dengan teragak-agak, dia menjawab panggilan tersebut.

“Hello.”

Jennifer yang berada dihujung talian terkejut. Telefon yang didekatkan ditelinga mula dijauhkan. Dia yakin bahawa dia menghubungi majikannya bukan seorang wanita. 

“Siapa pula ni?” Jennifer berteka-teki namun tetap meneruskan panggilan.

“Hello, mana Fahni?” tanya Jennifer.

“Dia ada... Sedang tidur,” jawab Ain Farhah sedikit tergagap. Mana mungkin dia akan memberitahu wanita itu jika Fahni pengsan tidak sedarkan diri.

“Tidur? Hei, awak siapa ya?” 

Ain Farhah menelan air liurnya. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan apa yang telah berlaku. 

“Hei, saya tengah bercakap ni,” sambung Jennifer. Dia semakin tertanya-tanya dengan apa yang berlaku. Dari kotak fikirannya, dia sudah mula mencium sesuatu. Wanita yang sedang menjawab panggilannya mula disyakinya sebagai perempuan murah yang mengambil kesempatan pada Fahni, majikannya.

“Maafkan saya. Fahni masih tidur. Nanti saya akan suruh Fahni untuk call awak balik,” balas Ain Farhah seraya memutuskan panggilan tersebut. Dia tidak sanggup untuk bersoal jawab dengan wanita yang tidak dikenalinya itu.

“Hoi, aku belum habis cakap lagi! Kau buat apa dengan Fahni? Hei! Eh, kurang ajar betul perempuan ni. Main letak je?” Jennifer merungut tidak berpuas hati. Hatinya bertukar geram.

Telefon pintarnya dimasukkan kedalam poket apronnya dengan kasar. Langkah turut diatur menuju ke dapur membawa semua tanda tanyanya pada wanita yang menjawab panggilannya.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.