Sudah tiga hari Ain Farhah tidak keluar dari rumahnya dan sepanjang tiga hari itu jugalah Fatin menjenguknya di apartment tersebut. Duit perbelanjaannya sama sekali tidak terusik malah ditanggung sepenuhnya oleh Fahni. Adakalanya dia segan dengan apa yang telah dilakukan Fahni terhadapnya.
Fahni berhenti dari terus menyusun barang dapur sebaik namanya dipanggil Ain Farhah. Dengan perlahan, dia bangun dan menghampiri Ain Farhah.
“Awak okay ke?” tanya Fahni. Wajah Ain Farhah tampak pucat. Pantas belakang tangannya diletakkan didahi.
“Awak demam,” ujar Fahni. Ain Farhah hanya tersenyum nipis. Tangan Fahni dialihkan dari dahinya.
“Saya tak apa-apa.”
“Awak berehatlah. Biar saya belikan ubat nanti.”
“Tak apa...”
Fahni memandang Ain Farhah. Dari tingkah Ain Farhah, dia yakin bahawa wanita itu ingin berkata sesuatu dengannya. Perlahan dia menarik lengan Ain Farhah dan diminta duduk disofa. Ain Farhah hanya menurut.
“Ada apa-apa yang awak nak cakap ke?” tanya Fahni. Anak matanya fokus memandang Ain Farhah yang menunduk.
“Maafkan saya kalau saya dah susahkan awak,” ujar Ain Farhah.
“Susahkan apa pula ni?”
Ain Farhah diam. Dia menundukkan kepalanya seraya melepaskan keluhan kecil. Fahni tetap memandangnya.
“Saya nak kahwin dengan awak.”
Fahni mengerutkan dahinya. Kata-kata Ain Farhah seolah terasa asing ditelinganya. Perlahan senyuman sumbingnya muncul.
“Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?”
“Ya, saya sedar dan saya memang dah fikir masak-masak. Saya akan berkahwin dengan awak.”
Senyuman sumbing Fahni mula hilang. Jika dulu dia yang beriya hendak berkahwin dengan Ain Farhah, kini dia bersikap sebaliknya. Dia bagaikan tidak sanggup untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita itu. Perasaannya pada wanita itu seolah berubah. Dan entah mengapa dia menganggap Ain Farhah bagaikan kakaknya sendiri.
“Kenapa tiba-tiba terfikirkan benda ni?” tanya Fahni ingin tahu.
“Saya tak tahu. Saya cuma fikir yang saya takkan mampu balas budi baik awak.”
“Jadi awak anggap perkahwinan tu sebagai balasan untuk budi yang saya bagi?”
“Ain, saya bukannya lelaki yang akan minta seseorang untuk balas budi. Kalau sekalipun selama ini saya nampak macam memaksa awak untuk berkahwin dengan saya, itu kerana saya memang sukakan awak walaupun saya lebih muda dari awak,” sambuung Fahni.
“Saya tak nak kita berkahwin hanya kerana rasa ingin membalas budi. Saya nak kita berkahwin atas rasa suka.”
Ain Farhah diam. Seribu satu penyelesaian muncul difikirannya.
“Macam inilah, apa yang awak katakan tadi saya anggap macam angin. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dan saya tak minta awak untuk balas apa yang saya dah bagi. Anggaplah kita ni macam satu keluarga,” ujar Fahni lagi.
Fahni bangun dari sofa yang didudukinya kembali ke meja makan. Beberapa bungkus makanan kembali dimasukkan kedalam rak. Sesekali matanya mengerling memandang Ain Farhah yang masih duduk disofa. Keluhannya turut dilepaskan.
Pak Othman dikejarkan ke hospital. Jennifer yang setia menjaga Pak Othman kini panik. Fahni sama sekali tidak menjawab panggilan telefonnya. Hampir saja mulutnya mengeluarkan sumpah seranah pada majikannya itu.
Diluar wad, Jennifer mencuba lagi. Namun hasilnya tetap sama. Fahni tetap tidak menjawab telefonnya.
“Mana pula budak ni?” Jennifer menggaru kepalanya. Dia tidak peduli akan beberapa orang jururawat yang sedang memandangnya.
“Hello!”
“Kenapa ni Jennifer? Banyak betul missed call awak?” tanya Fahni. Matanya fokus pada pemanduannya. Ditelinganya disumbat earphone.
“Tuan ada dimana ni? Dah lenguh saya cuba call tuan tapi tuan tak jawab call.”
“Sorrylah. Saya tertinggal phone dikereta tadi,” beritahu Fahni.
“Apa halnya yang awak beriya sangat call saya ni? Ayah tak apa-apa kan?” sambung Fahni.
“Pasal ayah tuanlah saya call banyak kali. Tadi ayah tuan sakit jantung jadi saya dah bawa ayah tuan ke hospital.”
Berderau darah Fahni sebaik mendengar pemberitahuan Jennifer.
“Awak biar betul?”
“Betullah ni. Tuan datanglah ke hospital Ayah tuan masih di ruang ICU,” balas Jennifer lagi.
“Ya. Sekejap lagi saya sampai.”
Earphone yang disumbat ditarik kasar. Pedal minyak ditekan sehingga ke dasar. Dia ingin menemui ayahnya yang dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.
Jennifer menarik nafas lega. Dia kembali menghampiri ruang ICU yang masih tertutup rapat. Sesekali dia menjenguk masuk melalui tingkap kecil namun dia tidak melihat satupun.
Hairul Jazmi mendengus kasar. Kertas kerjanya dibiarkan terbengkalai diatas meja. Fikirannya asyik mengingatkan Ain Farhah. Kehilangan Ain Farhah begitu berbekas didalam hati. Sudah puas dia berpusing di sekitar pusat bandar namun wanita itu tetap tidak menampakkan diri.
Kemanalah kau pergi Ain? Aku call pun tak dapat, dengus Hairul Jazmi.
Kepalanya yang tidak gatal mula digaru kasar. Dirinya tidak ubah bagaikan seorang manusia yang dihinggapi kutu. Beberapa orang pekerja lain yang duduk berhampiran dengannya mula memandangnya dengan seribu satu persoalan.
“Kau kenapa Hairul?” tanya Hamid, rakan sekerjanya yang duduk disebelahnya.
“Dah macam orang berkutu aku tengok? Break dengan awek ke?” sambung Hamid lagi.
“Tak adalah. Aku cuma ada masalah keluarga je sikit,” jawab Hairul Jazmi sambil tersenyum nipis.
“Masalah keluarga? Teruk ke?”
Hairul Jazmi hanya menggeleng. Dia kembali mencapai pennya yang terbaring diatas meja. Helaian kertas yang berterabur dan tidak disusun kembali dikemas.
“Aku ni bukannya apa Hairul. Kalau masalah keluarga baik kau jangan bawa masuk ke office. Nanti kau juga yang susah. Otak bercelaru dan akhirnya, kau sendiri hilang fokus,” nasihat Hamid.
“Aku cuma risaukan adik aku je. Dah berapa hari dia tak balik rumah. Risau juga aku kalau ada apa-apa berlaku pada dia,” ujar Hairul Jazmi. Dia menggelarkan Ain Farhah sebagai adiknya.
“Lah, kemana adik kau pergi? Kamu ada bergaduh ke?” Hamid sedikit terkejut.
“Bergaduh tu tak adalah cuma hari tu aku ada bantah dia untuk kahwin. Yalah, umur baru 20 tahun tapi dah ada hati nak kahwin muda. Entah macamana aku nak beritahu dengan keluarga aku.”
“Jadi sampai sekaranglah kau tak jumpa adik kau?” Hamid mula berminat untuk mengetahui masalah rakannya itu.
“Tak. Nak naik lenguh aku mencari dia tapi batang hidung pun tak nampak. Jangankan batang hidung, bayang pun tak ada.”
Hamid mengangguk tanda faham. Dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan sekiranya adiknya bersikap sedemikian rupa. Silap haribulan dia akan mengurung adiknya dari keluar dari rumah.
Hairul Jazmi mendengus berpura melepaskan keluhannya. Jauh didalam hati, dia menarik nafas lega. Bukanlah niatnya untuk berbohong tapi baginya, itulah jalan yang terbaik. Lagipula dia tidak mahu mendengar bebelan dan nasihat Hamid. Nasihat yang sering mendatangkan kekesalan dan sakit hati.
“Apa kata kau hebohkan di sosial media? Mana tahu ada orang yang boleh tolong,” Hamid memberi cadangan.
“Apa? Hebohkan? Oh, tidak. Aku takkan sama sekali hebohkan di sosial media. Silap haribulan adik aku dah kena jual,” Hairul Jazmi menggeleng. Dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan Hamid.
“Jangan-jangan adik kau dah kahwin lari ke Thailand.”
Hairul Jazmi terkejut. Riak wajahnya berubah.
“Apa yang kau mengarut ni? Kenapa pula dia nak kahwin ke Thailand?”
“Tak... Aku cuma cakap je. Tapi dari apa yang aku tahu, pasangan yang tak dapat restu akan kahwin di Thailand. Dah jadi macam satu trend pula,” terang Hamid.
“Tapi setahu aku, kalaupun berkahwin di Thailand, perkahwinan tetap tak sah selagi ayah kandung ada. Lainlah kalau di tukang nikah tu pak cik dia,” sambung Hamid.
Hairul Jazmi terdiam. Dia kembali teringat akan kata-kata Ain Farhah yang ingin mencari ayahnya suatu ketika dahulu sewaktu dia masih satu sekolah dengan Ain Farhah. Dari situlah dia tahu jika ayah rakannya pergi sewaktu dia di tingkatan lima.
“Hei, kau okay ke?” Hamid menjentikkan jarinya didepan wajah Hairul Jazmi.
“Hah?” Hairul Jazmi tersentak. Dia kembali sedar kealam nyata.
Air liurnya perlahan ditelan. Dia kembali melakukan tugasnya. Fikirannya benar-benar berserabut. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku pada Ain Farhah. Yang pasti dia mendoakan agar wanita dicintainya itu agar sentiasa berada didalam keadaan yang baik.
Pak Razak hanya mampu menggelengkan kepalanya sebaik mendengar omelan isterinya mengenai kedatangan Ain Farhah kerumahnya. Hendak dinasihati, silap haribulan dia pula yang diomeli.
“Dah lah tu. Kenapa awak asyik bencikan Ain tu? Dia kan anak buah awak juga,” ujar Pak Razak.
“Sejak bila dia anak buah saya? Sampai matipun saya takkan anggap dia tu anak buah saya. Anak dengan bapa sama je perangai,” bantah Puan Latifah. Tangannya kasar melipat pakaian.
“Awak tak boleh kata macam tu? Awak tahu ke dengan apa yang berlaku sebenarnya?”
“Oh, jadi awak nak kata saya ni buat-buat cerita? Macam tu? Eh, bang. Saya kenal adik saya tau. Tak mungkin dia akan buat perkara bodoh. Tengok dulu kita pergi rumah dia, ada nampak macam orang tak betul? Tak adakan.”
“Saya tahu tapi tak boleh ke awak jangan berkasar dengan Ain? Kasihan saya tengok dia.”
“Yang awak nak kasihan sangat dengan dia kenapa? Jangan-jangan awak kerja malam selama ni ditemani dia? Baguslah, buat dua kerja!”
“Astaghfirullahalazim. Tak baik awak menuduh saya macam tu tau. Saya penat-penat kerja jadi tukang jaga tapi awak pula tuduh saya buat maksiat.”
Puan Latifah menjeling tajam. Sakit benar hatinya akan sikap suaminya yang lebih membela Ain Farhah dari dirinya. Pak Razak melepaskan keluhannya. Peti televisyen kembali ditonton.
“Awak dah jumpa si Othman?” tanya Puan Latifah.
“Belum. Lagipun mana saya nak cari dia? Tempat tinggal dia saya pun tak tahu,” jawab Pak Razak tanpa memandang isterinya.
“Kenapa pula awak beriya suruh saya cari si Othman? Bukannya awak benci sangat dengan dia ke?” tanya Pak Razak kembali.
“Saya ni bukannya apa bang. Kalau nak bercerai, urus betul-betul. Jangan macam buang sampah. Dah tak nak dibuang macam tu je. Dahlah tak tinggalkan harta, adik saya pula yang kena bayar hutang dia.”
“Hutang? Hutang apa pula ni? Saya tak tahu pun.”
“Itulah awak. Asyik nak membela si Othman tu saja. Silap haribulan awak ditipunya hidup-hidup,” sindir Puan Latifah. Pak Razak mencebik.
“Roliah ada beritahu saya yang si Othman tu ada tinggalkan hutang sepuluh ribu. Nak tak nak dia terpaksa bayar.”
“Sepuluh ribu? Banyak betul? Dia nak buat apa sampai berhutang banyak tu?”
“Awak tanyalah dengan si Othman tu nanti. Entah-entah buat joli malam-malam ke kelab dangdut. Maklumlah lelaki ni lain, pantang ada duit sikit terus nak menggatal dengan perempuan jalang.”
“Mulut awak ni... Silap haribulan sampai juga tangan saya ni ke mulut awak. Kawallah sikit mulut tu,” tegur Pak Razak. Geram benar hatinya akan mulut tidak bertapis isterinya itu.
“Eh, bang. Saya ni cakap benda betul tau. Macam awak tu, pantang lepas gaji mesti duit habis macam air...”
“Amboi... Cuba awak fikir, macamana duit saya tak habis? Tu, mesin basuh tu siapa yang bayar? Tiap bulan saya kena bayar tau. Ni, bil elektrik dengan air ni? Siapa yang bayar? Saya juga.”
“Jadi awak nak mengungkitlah ye?”
“Bukan nak mengungkit tapi fahamlah sikit. Awak senang je tiap bulan minta duit nak beli itu beli ini sedangkan gaji saya taklah sebesar mana. Awak nak Astro Beyond lah, itulah, inilah padahal kalau pakai Astro Njoi pun okay je. Sama je cerita yang keluar.”
“Bang, saya ni bukannya nak minta itu minta ini sembarang tau. Abang tak malu ke tengok jiran kita disebelah tu? Astro dia bukan Astro murah tau. Tv dia 60 inci, sedangkan kita? Besar tv, besar lagi muka awak!”
“Hah! Itulah yang awak tahu. Daripada tengok jiran sebelah, apa yang kita dapat? Bagus awak tengok Al-Quran, ada juga pahala yang awak dapat”
Puan Latifah mencampakkan baju yang dilipatnya masuk kedalam bakul. Dengan wajah yang masam mencuka tidak berpuas hati, dia berlalu meninggalkan suaminya. Sekali lagi Pak Razak melepaskan keluhannya.
“Tak apalah Latifah oiii. Tunggulah gaji saya naik sampai lima ribu, saya belikan awak tv yang besar macam yang melekat di dinding bangunan tu. Awak tengoklah sampai biji mata awak keluar,” ujar Pak Razak sedikit kuat.
Siaran berita kembali ditontonnya. Bukanlah niatnya untuk tidak memenuhi permintaan isterinya tapi baginya, wang yang diperolehinya dari kerjanya hanya cukup untuk menampung kehidupan sehari-harinya. Ditolak dengan hutang yang pelbagai, ada kalanya dia harus menahan lapar.