Mimpi berulang lagi. Ain Farhah kini mengejar seorang lelaki yang mirip ayahnya. Tenaganya yang semakin berkurang mula memberi jarak diantara keduanya. Lelaki mirip lelaki itu kini telah jauh meninggalkannya.
Nafasnya kini termengah-mengah. Peluhnya kini membasahi wajah dan badannya. Ain Farhah terduduk diatas lantai tanah yang beralaskan rumput yang menghijau. Lelaki tersebut tidak mampu dikejarnya.
Ain Farhah kini menangis.Dia benar-benar merindui ayahnya. Dia ingin menatap wajah ayahnya yang sudah lima tahun tidak dilihatnya. Entah bagaimana nasib ayahnya, dia sendiri tidak tahu. Entah hidup atau mati, dia hanya mampu mendoakan dari jauh.
Wajahnya tiba-tiba ditampar dengan kuat. Ain Farhah rebah ke tanah. Tangan kanannya naik memegang pipinya yang merah. Tangisannya spontan terhenti.
“Kenapa kau nak buang air mata kau untuk lelaki tak guna tu?” Puan Roliah membentaknya. Tidak sedikitpun rasa kasihan timbul diraut wajahnya yang kencang.
“Kenapa mak benci sangat dengan ayah? Apa salah ayah sampai mak hina ayah?” Ain Farhah bertanya. Perlahan dia bangun dan berdiri sama tinggi dengan ibunya. Pipinya yang masih merasa sakit tetap dipegangnya.
“Kau tak perlu tahu mengapa aku bencikan ayah kau. Yang pasti lelaki tu tak guna. Dia tak layak hidup di dunia ni. Dia tu bawa nasib yang malang.”
“Mak! Dahlah. Tak perlu hina ayah macam tu sekali. Walau macamana pun, dia tetap ayah Ain. Dia tetap jadi wali bila Ain kahwin nanti,” Ain Farhah membela ayahnya.
“Apa kau kata? Jadi wali? Eh, dia tak perlu jadi wali kau. Masih banyak lagi lelaki yang boleh jadi wali kau.”
Ain Farhah menangis lagi. Hatinya seolah hancur berkecai dengan apa yang didengarnya. Ibunya memang benar membenci ayahnya namun dia tidak tahu apakah punca yang menyebabkan kebencian itu timbul.
Cahaya matahari yang menerjah masuk dari tirai jendelanya membuatkan Ain Farhah tersedar dari tidurnya. Wajahnya basah akibat air mata. Rupanya dia menangis dalam tidur. Perlahan dia menyelak selimutnya ke tepi dan duduk dibirai katil.
Sebotol air mineral yang ada ditepi katilnya dicapai. Diteguknya beberapa kali sehingga tekaknya yang terasa haus kembali basah.
Wajah ayahnya kembali menerpa masuk keruang fikirannya. Dia masih ingat lagi akan kata-kata ayahnya yang terakhir kali akan mahu dirinya sentiasa bersemangat untuk meneruskan kehidupan.
“Ayah nak anak ayah jadi orang yang berguna. Walaupun kamu mungkin takkan jadi orang yang berjaya, ayah tetap nak kamu jadi orang yang sentiasa diingat masyarakat. Jangan lupa solat dan jangan lupa jaga diri. InsyaAllah suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi,” ujar Pak Othman ayah kepada Ain Farhah.
Ain Farhah hanya tersenyum. Dia masih ingat akan belaian tangan ayahnya dikepalanya. Tapak kasar ayahnya begitu dirinduinya.
Tidak mahu hanyut dalam perasaannya, Ain Farhah bangun. Tuala mandi dicapai. Dia mahu memulakan hidup baru. Hari ini dia nekad bahawa dia akan mencari kerja. Dia akan mencari kerja dan mengumpul duit. Dia mahu mencari ayahnya, ayah yang sudah lama tidak ditemuinya. Ya, itulah azam barunya.
Tanpa bersarapan, Ain Farhah keluar dari rumahnya. Entah mengapa dia bersemangat untuk pergi ke bandar dan mencari kerja. Biarlah kerja memungut sampah, yang pasti gajinya akan disimpan agar dapat mencari ayahnya.
Sebaik pintu rumah dibuka, dia terkejut dengan kehadiran Fahni. Dengan pakaian Hawaii yang dipakainya, dia terlihat seperti seorang lelaki gila. Lelaki gila yang menganggap dirinya sedang berada ditepi pantai.
“Apa penyakit kau sampai pakai baju macam ni?” tanya Ain Farhah. Kasut sukannya dicapai dan disarungkan ke kakinya.
“Kenapa? Saya tak nampak bergaya ke?”
“Bergaya? Dirumah tak ada cermin ke? Dah macam orang gila aku tengok.”
Fahni mencebik. Dia menghampiri kenderaannya dan mula bercermin dengan cermin pintu kenderaannya. Bagaikan model, dia berpusing seolah memperagakan bajunya.
“Okay je...”
“Terpulanglah tapi dari apa yang aku tengok, kau nampak macam lelaki gila,” balas Ain Farhah.
“Maksud kau lelaki gila yang comel ke?” Fahni memperlihatkan lesung pipitnya. Ain Farhah mencebik geli.
Tanpa dipinta, Ain Farhah masuk kedalam kereta. Fahni mula menggaru kepala. Usikannya sama sekali tidak membuatkan Ain Farhah tertawa.
“Tunggu apa lagi?” Ain Farhah menjenguk keluar. Fahni tersentak.
“Amboi, bukan main mengarah.”
Pantas Fahni masuk ke keretanya. Ain Farhah hanya diam memekakkan telinganya.Dia bagaikan sudah lama mengenali Fahni, si pemungut hutang walaupun hakikatnya tidak sampai sebulan dia mengenali lelaki itu.
Fahni mula memandu kenderaannya keluar dari perkarangan rumah Ain Farhah. Mereka tidak sedar jika sepasang mata penuh kemarahan memandang mereka dari balik sebuah tingkap bertirai yang sudah lusuh dan berlubang.
Puan Roliah hanya mampu mendengus kasar. Hatinya mendidih seolah ingin meledakkan larva. Kini dia terpaksa mencari duit untuk membayar hutangnya pada lelaki itu. Niatnya untuk menyusahkan anaknya tidak kesampaian.
“Nak kemana?” tanya Fahni. Sekilas dia memandang Ain Farhah.
“Cari kerja.”
“Cari kerja? Maksudnya awak dah dapat kerjalah?”
“Bila masa pula aku dapat kerja sedangkan aku baru nak cari kerja? Kau tak habis sekolah ke?”
Fahni memuncungkan mulutnya. Ain Farhah kembali melemparkan pandangannya keluar tingkap.
“Berapa umur awak ya?” tanya Ain Farhah setelah sekian lama mendiamkan diri.
“20.”
Ain Farhah mengangguk. Dia tidak menyangka anak muda seperti lelaki itu sudah mempunyai kemudahan sendiri. Tidak seperti dirinya yang hanya mempunyai sebuah motor buruk yang dibelinya dari seorang penduduk kampung.
“Kenapa?”
“Apa yang kenapa?” Ain Farhah kembali bertanya.
“Apahal awak tanya umur saya? Awak sendiri umur berapa? Entah-entah awak dah 36.”
“Eh, pak cik. Mulut jangan celupar sangat ya? Saya masih 20-an lagi. Cuma tua tiga tahun je dari awak,” balas Ain Farhah. Fahni hanya mencbik.
“Erm... Untunglah dapat suami muda.”
“Suami muda? Apa yang kau mengarut ni?” Ain Farhah tertanya-tanya.
“Apa? Mesti awak sukakan sebab dapat suami muda macam saya?”
Ain Farhah mengerutkan dahinya sepuluh lapis. Dia mula merasa meluat. Bulu romanya meremang. Entah mengapa dia mula merasakan lelaki itu mula bersikap gatal dengannya. Perlahan dia memeluk beg sandangnya rapat pada badannya.
Hairul Jazmi terkejut dengan apa yang dilihatnya. Matanya mula digosok bagaikan tidak percaya. Dia tidak dapat mempercayai jika dia melihat rakannya keluar dari sebuah kenderaan berwarna putih susu dan bercermin gelap. Apatah lagi seorang lelaki tinggi lampai sempat melambai rakannya.
Boyfriend dia ke? Hairul Jazmi mula tertanya-tanya. Setahunya Ain Farhah tidak mempunyai teman lelaki. Hati lelakinya mula bertengkar.
Fahni tersentak sebaik telefon pintarnya berbunyi. Nama ayahnya tertera di skrin telefon.
“Hello ayah,” ujar Fahni.
“Kamu dimana Fahni?” tanya ayahnya.
“Diluar. Kenapa?”
“Erm... Boleh tak tolong ayah?”
“Tolong apa?”
“Temankan ayah ke hospital.”
“Boleh. Ayah tunggu dirumah. Saya balik sekarang,” balas Fahni sebelum memutuskan panggilannya. Dia kembali melambai Ain Farhah yang semakin menjauh.
Melihat lelaki tidak dikenali itu kembali memandu, Hairul Jazmi pantas mendapatkan Ain Farhah. Senyuman Ain Farhah spontan hilang tatkala Hairul Jazmi berdiri didepannya. Seribu satu persoalan mula muncul.
“Hairul? Kau buat apa disini?” tanya Ain Farhah.
“Siapa lelaki tu?” pertanyaan Ain Farhah tidak dijawab. Tiada sebarang senyuman diwajahnya. Dia bagaikan cemburu melihat kemesraan Ain Farhah dengan lelaki itu.
“Mana?” Ain Farhah berpusing. Matanya mula meliar mencari lelaki yang dimaksudkan rakannya.
“Lelaki yang ada mangkuk dipipi tu.”
“Mangkuk di pipi? Kau cakap apa ni Hairul?” Ain Farhah menggaru kepalanya.
“Lelaki yang hantar kau tadi,” suara Hairul Jazmi terdengar kencang namun masih terkawal.
“Oh, dia kawan saya. Namanya Fahni.”
“Lelaki apa yang nama macam perempuan tu?”
“Kau kenapa sebenarnya Hairul? Period ke?” Perangai Hairul Jazmi membuatkan Ain Farhah semakin tertanya-tanya.
Hairul Jazmi berpusing. Dia mula mengorak langkah. Hatinya panas. Dia tidak suka melihat lelaki lain baik dengan rakannya. Baginya, Ain Farhah adalah miliknya. Ya, rupanya dia menyimpan rasa cinta pada Ain Farhah dan dia menunggu masa yang sesuai untuk meluahkannya. Tapi kini dia harus bertindak cepat. Dia tidak mahu melepaskan wanita yang disukainya.
Ain Farhah hanya mampu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia semakin pelik akan sikap rakannya itu. Seribu satu persoalan muncul diruang fikirannya.