Fahni menarik nafas lega tatkala menyedari ayahnya telah sedar dari pengsannya. Lafaz Zikrullah turut dituturkan di mulutnya. Dia tidak dapat membayangkan jika ayahnya telah pergi. Silap haribulan, dia akan menjadi orang yang tidak terurus.
“Fahni...”
“Ayah berehatlah dulu. Jangan terlampau banyak bergerak. Jantung ayah masih lemah,” ujar Fahni. Dia tidak mahu ayahnya bangun.
“Fahni, ayah tak apa-apa. Baring seharian membuatkan belakang ayah rasa lenguh,” beritahu Pak Othman. Suaranya terdengar cukup halus.
Mahu tidak mahu, Fahni terpaksa menurut kehendak ayahnya untuk duduk. Dengan sokongan bantal, Fahni membantu Pak Othman dengan perlahan. Jennifer yang berada disitu turut sama membantu tanpa suara.
“Jennifer, tolong saya belikan buah limau. Ambil duit dalam dompet saya,” pinta Fahni sambil menunjuk kearah dompetnya yang ada didalam jaketnya yang ada diatas sofa. Jennifer pantas mengangguk dan melakukan apa yang disuruh majikannya.
“Oh ya, awak pakailah kereta saya. Kunci ada sekali dekat situ,” sambung Fahni.
“Tak apalah. Saya boleh naik teksi, lagipun dekat je,” jawab Jennifer.
“Pakai je kereta saya.”
Jennifer terpaksa menurut. Kunci kereta dicapai sebelum berlalu keluar dari dalam wad sebilik itu meninggalkan Fahni bersama ayahnya.
“Ayah...”
Pak Othman hanya tersenyum. Tangan anak tirinya yang memegang tangannya dibiarkan.
“Ayah rasa sakit lagi tak?”
“Ayah dah tak apa-apa Fahni. Maafkan ayah sebab buat kamu risau,” jawab Pak Othman.
“Ayah berehatlah. Saya takkan bawa ayak berborak lagi.”
Senyuman Pak Othman semakin lebar. Ingatannya tiba-tiba tertuju pada arwah isterinya iaitu ibu kepada Fahni yang sanggup menerimanya seadanya. Dia tidak menyangka, masih ada insan yang sudi menerimanya menjadi suami sedangkan dalam pada masa yang sama, dirinya dihina sebagai manusia yang jijik. Bukanlah mintanya untuk dilahirkan sedemikian rupa, namun sikap manusia yang sering menilai rupa luaran membuatkan dia dipinggirkan oleh keluarganya.
Dari arwah isterinya, fikirannya semakin melayang jauh mengenangkan sikap isteri pertamanya yang begitu menyiksa jiwanya. Setiap hari, dirinya akan dimaki dan dihina sesuka hati. Tuduhan dan fitnah isterinya membuatkan dia tidak mampu menahan sabar. Akhirnya dia menceraikan isterinya dengan talak tiga. Hatinya sudah mati untuk bekas isterinya yang bernama Roliah itu.
Ain Farhah, satu-satunya anak yang dimilikinya. Walaupun dia lahir tanpa restu kedua pihak, dia akhirnya bersetuju untuk menjaga Ain Farhah bagaikan anak kandung. Dan entah mengapa nalurinya sebagai seorang ayah perlahan muncul. Dia sudah mula menyayangi Ain Farhah yang sama sekali tidak bersalah.
Kewujudan Ain Farhah sama sekali tidak diketahui Fahni. Apa yang Fahni tahu adalah dia pernah mempunyai isteri sebelum ibunya. Bagi Fahni pula, dia tidak mahu mengambil tahu akan kehidupan lampau ayahnya kerana dia tahu seorang manusia pasti ada mempunyai kisah kelam dibalik kehidupannya.
Fatin terkejut besar tatkala ada sepasang tangan berotot menekup mulutnya. Dengan paksa, dia ditarik masuk kedalam sebuah kereta. Hendak melepaskan diri, dia bagaikan ikan sardin yang sudah dimulut ikan paus. Mana mungkin dia mampu melepaskan diri dari pautan lelaki yang sebesar The Rock itu.
Terbuntang matanya sebaik memandang seorang wanita yang ada didalam kereta itu. Dia tidak menyangka Puan Roliah sanggup menculiknya dengan bantuan lelaki itu.
“Apa yang mak cik nak?” tanya Fatin.
“Mana kau sorok Ain?”
“Sorok Ain? Apa maksud mak cik ni? Saya dah lama tak jumpa Ain,” balas Fatin. Pertuturannya terdengar tenang walaupun jauh didalam hati, dia ketakutan.
“Takkanlah kau tak faham apa yang aku maksudkan? Bukannya aku cakap dalam bahasa Tamil.”
Fatin menelan air liurnya. Dia kecut melihat lelaki yang begitu besar itu. Jika hendak dibandingkan dengan dirinya yang kurus kering bagaikan tiang elektrik, senang saja lelaki itu mematahkan tulang belulangnya.
“Aku tahu kau dah berpakat dengan Fahni,” ujar Puan Roliah lagi. Sebuah pisau lipat pelbagai guna dikeluarkan dari dalam beg tangannya lalu diberikan kepada orang suruhannya.
“Mak cik nak buat apa dengan pisau tu?”
“Erm... Aku cadang nak anyam ketupat tapi sayang sekarang bukan musim raya,” jawab Puan Roliah.
Fatin diam. Lawak Puan Roliah sama sekali tidak lucu ditelinganya. Dia merasakan bahawa nyawanya ada dihujung tanduk. Bila-bila masa saja pisau itu boleh membelah perutnya.
“Macam nilah. Kau beritahu aku dimana Ain dan sebagai balasannya aku lepaskan kau. Tak perlu beritahu Fahni atau siapa pun,” ujar Puan Roliah lagi.
“Tapi mak cik tak boleh masuk sembarang. Kawasan tu dikawal ketat,” balas Fatin.
“Aku tahu dan sebab itulah aku perlukan kau. Kau bawa Ain keluar dari tempat tu lepas tu kau pergi. Kau pergilah kemana yang kau nak.”
Fatin diam. Dia mencuba untuk berfikir. Walaupun dia sudah berjanji dengan Fahni. namun dia terpaksa menerima arahan Puan Roliah. Pisau lipat sudah semakin hampir di perutnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa bersetuju.
“Okay, saya akan buat apa yang mak cik nak,” ujar Fatin.
“Bagus! Sikap macam inilah yang aku suka.”
Puan Roliah mengisyaratkan orang suruhannya agar kembali memandu kenderaan menuju ke apartment tempat Ain Farhah tinggal. Fatin semakin tidak keruan. Otaknya buntu. Dia kehilangan idea untuk menyelamatkan Ain Farhah. Dalam diam, dia mencuba untuk menghubungi Fahni namun sayang Fahni tidak menjawab panggilannya.
Setengah jam melawan kesesakan lalu lintas, akhirnya kenderaan yang dipandu orang suruhan Puan Roliah sampai di depan apetment mewah itu. Fatin disuruh keluar dengan diiringi The Rock. Mahu tidak mahu Fatin terpaksa menurut.
“Tunggu dulu,” Seorang pengawal keselamatan kawasan tersebut meminta Fatin untuk berhenti.
“Ya?”
“Cik ni siapa?”
“Saya Fatin yang datang tempoh hari dengan Fahni,” jawab Fatin perlahan. Dia sempat memberi isyarat anak mata pada pengawal keselamatan itu agar menghubungi Fahni.
“Ini siapa pula?” tanya pengawal keselamatan itu menunjuk kearah orang suruhan Puan Roliah. Fatin mula gagap untuk menjawab.
“Oh, dia kawan saya. Saya minta dia untuk angkat barang,” jawab Fatin.
Pengawal keselamatan itu mengangguk. Dia membenarkan Fatin untuk masuk ke kawasan tersebut. Namun Fatin melepaskan keluhannya. Hatinya hampa melihat pengawal keselamatan yang sama sekali tidak sedar akan isyarat matanya itu.
Punat bernombor 22 ditekan. Itulah tingkat dimana kediaman Fahni berada. Kediaman yang juga didiami Ain Farhah.
Loceng pintu ditekan berulang kali. Jauh didalam hati, Fatin berharap Ain Farhah tidak akan membuka pintu namun harapannya sia-sia. Ain Farhah kini ada didepan wajahnya.
“Fatin? Eh, kenapa ni?” Ain Farhah terkejut sebaik seorang lelaki berbadan besar dan tegap tiba-tiba masuk dan memegangnya. Wajah Fatin dipandangnya. Dia tidak menyangka jika Fatin sanggup bersekongkol dengan ibunya.
“Apa semua ni Fatin?”
“Maafkan aku Ain. Aku terpaksa,” jawab Fatin.
“Terpaksa? Kau biarkan lelaki ni tangkap aku?” Ain Farhah mencuba untuk melawan namun tenaganya sama sekali tidak setanding dengan lelaki itu.
“Buat apa lagi? Keluarlah!” Bentak lelaki berbadan besar itu tiba-tiba. Fatin tersentak. Bahunya sedikit terangkat.
“Boleh tak kalau saya ke tandas dulu? Saya nak buang air kecil sekejap,” ujar Fatin. Dalam diam dia mahu menghubungi Fahni.
“Tak!”
Fatin tiba-tiba bertindak diluar dugaan, tangannya mencapai sebuah pasu kaca yang ada diatas meja makan dan dihentak kuat pada lelaki itu. Lelaki itu berang. Fatin yang berbadan kecil ditolak kasar sehingga dengan senang dia terhentak pada dinding.
Ain Farhah mengambil kesempatan. Sebuah lagi pasu bunga dicapai dan dibaling kearah lelaki itu. Bagaikan Incredible Hulk, lelaki itu mendengus kasar. Dia menghampiri Ain Farhah dengan wajah yang bengis.
Ain Farhah menelan air liurnya. Otaknya sudah mula memintanya untuk melarikan diri. Dengan pantas dia berlari keluar dari dalam rumah. Tanpa mengenakan sebarang alas kaki, dia berlari menuju ke lif. Tangannya pantas menekan semua punat namun tiada satupun pintu lif terbuka.
Lelaki itu semakin lama semakin dekat. Ain Farhah semakin ketakutan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menguatkan otot kaki untuk menuruni anak tangga. Dengan pantas dia menuruni anak tangga. Sesekali dia melompat beberapa anak tangga sekaligus.
Fatin yang terhentak kuat mencuba untuk menguatkan diri. Belakang badannya terasa begitu sakit. Dengan sisa tenaga yang ada, dia menghubungi Fahni. Namun Fahni tetap tidak menjawab panggilannya.
Fatin tidak lagi mampu menahan rasa sakitnya. Akhirnya dia pengsan tidak sedarkan diri. Telefon yang dipegang turut terlepas dari tangannya.
Ain Farhah tidak lagi mampu melarikan diri. Akibat melompat melebihi satu anak tangga, dia tersadung dan jatuh. Kakinya terasa seperti terseliuh. Apatah lagi melihat sebuah pisau lipat yang dikeluarkan dari dalam poket seluar lelaki berbadan besar itu, membuatkan dia terpaksa mengalah. Dia tidak mahu nyawanya dicabut dengan cara sedemikian rupa.
Lelaki The Rock itu menarik Ain Farhah dengan kasar. Kakinya yang sakit setiap kali melangkah terpaksa ditahan. Pisau lipat diletakkan dibelakangnya.
Dari jauh Puan Roliah tersenyum puas melihat wajah anaknya. Namun senyumannya hilang tatkala melihat pengawal keselamatan yang keluar dari dalam pondok. Dengan pantas dia menarik sebuah kayu yang ada dibawah kerusi dan menghampiri pengawal tersebut.
Satu hayuan yang tepat di kepala membuatkan pengawal keselamatan itu rebah ke tanah. Puan Roliah pantas menyuruh orang suruhannya untuk masuk kedalam kenderaan.
“Hai sayang,” ujar Puan Roliah sebaik kenderaannya meluncur laju meninggalkan kawasan tersebut.
“Apa yang mak buat ni? Lepaskan saya!”
“No, mak takkan lepaskan kamu lagi. Kamu tetap kena berkahwin dengan Murad. Kasihan dengan dia, dah lama dia tunggu kamu tapi disebabkan mak, dia sanggup menunggu.”
Ain Farhah mendengus kasar. Dia melemparkan pandangannya keluar tingkap. Dia tidak sudi untuk memandang ibunya.
“Ain, kenapa ni? Kamu tak suka ke kalau mak kahwinkan kamu dengan Murad? Dia memang dah tua tapi dia berharta. Kamu tak perlu kerja. Dia akan beri kamu kemewahan. Kamu tak lagi perlu bekerja,” sambung Puan Roliah.
Tangannya membelai rambut anaknya namun Ain Farhah menepis dengan kasar. Dia tidak mahu tangan kotor ibunya memegangnya.
Puan Roliah hanya tersenyum. Sikap kasar anaknya sama sekali tidak mengecilkan hatinya. Apa yang dia tahu, sekejap lagi dia akan menerima duit tujuh puluh ribu.
“Kamu nak tahu tak sayang? Fahni bagi mak seratus ribu,” beritahu Puan Roliah setelah sekian lama mendiamkan diri.
“Kenapa pula dia nak bagi mak duit banyak tu? Mak bukannya nak jual saya pada dia,” balas Ain Farhah.
“Eh, siapa cakap? Mak memang ada offer dengan dia tapi sayang dia lambat. Sebab tu mak terima offer Murad. Dia sanggup bagi mak tujuh puluh ribu cash!”
“Habis tu kenapa mak tak terima tawaran Fahni? Kan dia bagi seratus ribu?”
“Entahlah. Fahni dah bagi seratus ribu, Murad pula akan bagi tujuh puluh ribu, jadi duit mak sekarang ada seratus tujuh puluh ribu. Wow, kayalah mak...”
Ain Farhah menjeling tajam. Dia sama sekali tidak menduga perangai ibunya akan menjadi lebih teruk.
Puan Roliah tersenyum lebar. Siapa sangka rancangannya akan membuatkan dia mempunyai wang sebesar itu dalam masa terdekat. Dia sudah membuat rancangan untuk bermalam di hotel mewah, mengunjungi pusat hiburan bersama beberapa orang rakannya dan tidak lupa untuk menyuntik botox diwajahnya agar tetap kencang dan terlihat muda.